No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Jangan Mengawal Aqidah dengan Undang-undang

Jangan Mengawal Aqidah dengan Undang-undang

Adakah patut Malaysia mengadakan undang-undang yang menghukum orang-orang Islam yang meninggalkan ugama mereka? Enakmen Hudud di Kelantan mengenakan hukuman mati ke atas orang yang murtad. PAS sudah bertahun-tahun mencuba untuk membentangkan, di Parlimen, rang undang-undang persendirian yang akan menjadi undang-undang persekutuan mengenai murtad yang membawa hukuman mati. Desakan ke atas Kerajaan untuk menggubal undang-undang khusus untuk menangani masalah murtad semakin bertambah, bukan hanya dari pihak pembangkang, tetapi juga dari dalam UMNO sendiri.

Dalam perlumbaan menunjukkan siapakah yang lebih beriman, Kerajaan sekarang bertindakbalas dengan deraf undang-undang contoh yang dipanggil Rang Undang-undang Pemulihan Akidah 2000, bagi memikat hati dan fikiran pengundi Islam. Rang undang-undang ini telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Perlis April lalu dan pada minggu lepas laporan daripada Bernama telah memetik kenyataan Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri bahawa rang undang-undang tersebut sedang disiapkan dan akan dihantar ke pejabat Peguam Negara sebelum ianya dibentang Parlimen untuk penguatkuasaan di Wilayah Persekutuan. Sudah tentu negeri-negeri lain juga akan meniru langkah ini.

Sisters in Islam tidak bersetuju dengan apa jua usaha yang menggunakan undang-undang untuk memelihara iman seorang Muslim. Dalam Surah al-Baqarah, 2:256, Allah berfirman: “Tidak ada paksaan dalam ugama.” Ayat Madinah ini diturunkan setelah beberapa Sahabat Nabi s.a.w. meminta kebenaran baginda untuk memaksa saudara-mara masing-masing memeluk Islam. Sebahagian besar pendapat mentafsirkan ayat ini sebagai bermaksud bahawa tidak seorang pun boleh dipaksa memeluk Islam. Agama berlandaskan iman dan kepercayaan, dan ini menjadi tidak bermakna jika paksaan digunakan. Islam sendiri bererti menyerah diri kepada Allah, dan penyerahan diri ini mesti dilakukan dengan rela hati melalui kepercayaan dan keimanan yang dicapai dengan keyakinan sebenarnya, bukan dengan paksaan.

Menurut mereka yang mahu menghukum orang yang murtad, ayat 2:256 adalah terhad kepada orang yang bukan Islam, yakni paksaan tidak boleh diguna untuk meng-Islamkan yang bukan Islam. Menurut mereka sebaik sahaja seseorang itu menjadi Islam, ianya hilang kebebesan untuk keluar dari Islam.

Kebebasan beragama semestinya mengiktirafi kebebasan menukar agama. Bagaimanakah orang-orang Islam boleh menuntut kebebasan agama untuk mereka yang ingin memeluk Islam sementara pada masa yang sama memegang

pendirian yang menidakkan kebebasan bagi mereka yang ingin keluar dari Islam?

Pendapat mereka ini menghadkan ruanglingkup maksud kemanusiaan luas yang dibawa oleh ayat ini. Mereka mengenakan dwistandard kepada prinsip iman dan kebebasan dan menjejas prinsip keadilan Islam yang luarbiasa yang mengiktirafi kebebasan beragama, perbezaan dan kepelbagaian di antara manusia. Tambahan pula, al-Qur’an dalam kira-kira 20 ayat mengenai keimanan dan kekufuran tidak menguntukkan apa-apa hukuman duniawi bagi kesalahan murtad. Sungguhpun ramai para fuqaha Islam berpendapat bahawa keluar dari Islam itu adalah kesalahan, mereka menganggap perkara tersebut sebagai sesuatu yang terbatas kepada hanya manusia berkenaan dan Penciptanya, dan bahawa hukumannya ditangguhkan hingga Hari Kiamat.

Dalam Surah Yunus 10:99, Allah menyampaikan wahyu kepada Nabi s.a.w.: “Dan jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. Maka patutkan engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?” Dalam ayat yang lain, Surah an-Nahl 16:125, Allah bersabda: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahasalah dengan mereka dengan cara yang lebih baik.”

Bagaimanakah pula perutusan al-Qur’an seperti ini boleh disifatkan sebagai hukuman ke atas mereka yang tidak beriman? Prinsip asas kebebasan beragama dalam Islam adalah jelas terkandung dalam berbagai ayat al-Qur’an dan norma Shari’ah yang timbul daripadanya menolak segala penindasan dan pencabulan keutuhan kebebasan ini. Tidak seorang pun boleh dipaksa memeluk agama Islam kerana takut bahawa jikalau tidak mereka akan ditahan selama setahun di Pusat Pemulihan Akidah, seperti diperuntukan didalam rang undang-undang ini.

Dari segi perlembagaan pula, rang undang-undang ini mencabuli Fasal 11 yang menjamin hak kebebasan beragama. Memang terdapat tradisi yang telah lama wujud dalam sistem perundangan Malaysia yang mengiktiraf kebebasan beragama. Dalam kes Menteri Dalam Negeri lwn Jamaluddin bin Othman, Mahkamah Agong telah menegakkan jaminan kebebasan beragama. Ianya menolak dakwaan Menteri berkenaan bahawa apabila Jamaluddin menjadi Kristian, tindakan ini membahayakan keselamatan negara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Hakim di perbicaraan yang terdahulunya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berpendapat bahawa “Menteri berkenaan tidak mempunyai kuasa untuk menghalang seseorang itu dari menyatakan dan mengamal agamanya seperti yang dijamin oleh Fasal 11 Perlembagaan Persekutuan, dan, dengan demikian jika Menteri berkenaan bertindak membatas kebebasan seseorang dari menyatakan dan mengamalkan agamanya, tindakannya ini adalah bercanggah dengan apa yang diperuntukkan oleh Fasal 11 dan dengan itu perintah penahanan adalah tidak sah.” Berikutan itu, hakim

telah memerintahkan supaya Jamaluddin, yang telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, dibebaskan.

Jadi mengapakah Kerajaan bertujuan menggubal undang-undang untuk mengawal iman kita? Adakah ini keputusan politik sebagai menjawab cabaran PAS? Atau, adakah terdapat ancaman terhadap keselamatan awam akibat jumlah orang Islam meninggalkan agama mereka yang terlalu ramai? Menurut perangkaan JAKIM di antara 1994 dan Mei 1997, 519 orang Islam memohon untuk menukar agama. Hanya 55 dari mereka adalah warganegara Malaysia, kebanyakan mereka ini merupakan orang yang telah memeluk Islam. Dalam tempoh masa yang sama, di Malaysia, kira-kira 11,000 orang telah memeluk agama Islam. Jadi, adakah Rang Undang-undang Pemulihan Akidah ini hanya satu undang-undang yang mencari masalah untuk memenuhi tujuan politik?

Apakah implikasi undang-undang seperti ini dalam masyarakat majmuk di mana perkahwinan campur adalah amalan biasa? Adakah seorang wanita Cina yang telah memeluk Islam kerana berkahwin dengan lelaki Islam akan dihantar ke pusat pemulihan akidah untuk ditahan selama setahun supaya akidahnya dipulihkan kerana imannya runtuh dengan berakhirnya perkahwinan? Adakah anaknya akan di ambil daripadanya secara otomatik? Patutkah dia dihukum dan tidak diberi hak untuk kembali kepada keluarganya dan sistem sokongannya kerana ketakutan dia akan di dakwa di bawah undang-undang Pemulihan Akidah ini.

Rang undang-undang tersebut, seperti yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Perlis, tidak kukuh. Rang undang-undang ini bermaksud memberi perlindungan, pemulihan dan penentuan akidah seorang Muslim. Tetapi ianya tidak dilengkapi dengan cara bagaimana akidah dapat dipelihara. Pendekatannya memilih untuk memulih dengan menghukum dengan membolehkan pesalah ditahan selama setahun di Pusat Pemulihan Akidah. Menurut laporan, dua buah pusat telah pun dibina, di Bangi dan di Jelebu. Intipati undang-undang ini adalah pemulihan tetapi ianya tidak menjelaskan ruangkerja dan isi cara pemulihan, dan sekali lagi pegawai-pegawai agama dibiar mentafsirkannya sendiri.

Di akhir penahanan selama setahun ini, jika yang ditahan masih enggan bertaubat, hakim akan memutuskan samada ianya bukan lagi Islam dan dengan itu dilepaskan. Janganlah pula ini dianggap sebagai mengalah kepada kebabasan beragama. Hak asasi dan kebebasan mangsa telah dicabul. Jika dia sudah berkahwin, perkahwinannya akan dianggap tidak sah lagi dan hakim akan menentukan tanggungjawab atau liabilitinya di bawah Undang-undang Keluarga Islam.

Rang undang-undang ini tidak menjelaskan apakah itu murtad. Ia membolehkan Pegawai Penguatkuasa Syariah menjalankan penyiasatan jika pegawai berkenaan, dari maklumat yang diterima atau sebaliknya, mempunyai sebab

untuk mensyaki kejadian “percubaan menukar akidah” oleh seorang Muslim “samada dengan apa yang dikatakan olehnya, kelakuannya atau dengan cara lain”. Apakah perkataan, perbuatan atau cara-cara lain yang merupakan “percubaan menukar akidah” itu tidak pula didefinasikan.

Adakah aktivis wanita yang mendukung kesaksamaan di antara lelaki dan wanita, yang mempercayai bahawa poligami bukannya satu hak mutlak dalam Islam, bahawa lelaki tidak mempunyai hak memukul isterinya, akan dituduh “mencuba menukar akidah” kerana yang menghakimi bersikap konservatif dan memutuskan bahawa pendirian seperti ini adalah menyalahi ajaran Islam? Sebuah kitab yang popular yang digunakan disekolah pondok di utara negara ini menyatakan bahawa wanita yang menentang hak suami mereka untuk mengahwini isteri kedua adalah murtad dan kufur. Tidaklah keterlaluan jika kita mengkhuatiri kemungkinan adanya pegawai-pegawai penguatkuasa Syariah dan hakim-hakim yang mengambil pendirian ini.

Rang undang-undang ini menentukan bahawa jika setelah selesai penyiasatannya, Pegawai Penguatkuasa Syariah berkenaan berpendapat bahawa “terdapat bukti atau syak wasangka yang cukup untuk memulakan dakwaan…” orang yang dituduh akan disaman untuk menghadiri Mahkamah. Apa yang dianggap “bukti atau syak wasangka yang cukup” tidak didefinasikan.

Mungkin mereka yang mengarang undang-undang ini tidak berniat menghukum orang-orang Islam yang mempercayai bahawa lelaki dan wanita mempunyai hak yang saksama atau orang-orang Islam yang menghadiri upacara pengkebumian sahabat Kristian mereka di Gereja. Tetapi, apa yang dikhuatiri adalah bahawa sama seperti peruntukan undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah, peruntukan-peruntukan yang tidak kemas ini membolehkan ianya disalah-guna. Undang-undang ini memberi ruang yang terlalu besar kepada pegawai-pegawai penguatkuasa mentafsirkannya sendiri.

Implikasinya bagi masyarakat majmuk sangat serius. Seperti yang dicerminkan oleh kes-kes dan aduan yang diterima oleh pertubuhan-pertubuhan wanita, ada terdapat ibu-bapa yang membuat aduan kepada Jabatan Agama menuduh anak perempuan mereka mencuba meninggalkan Islam selepas gagal memutuskan hubungan anak-anak mereka ini dengan teman lelaki yang bukan Islam. Dalam satu kes tertentu, sebuah jabatan agama negeri telah memecah masuk ke rumah pangsa seorang gadis bedasarkan laporan ibu-bapa gadis berkenaan, kemudian memberkasnya dan menghantarnya ke sebuah pusat pemulihan penagih dadah “Islam” swasta di mana gadis itu mendapati dirinya berada bersama tiga gadis lain yang senasib dengannya – kesemua mereka dikunci di dalam sebuah bilik di rumah ustaz yang menyelenggarakan pusat tersebut, tanpa keredhaan mereka dan tanpa dihadapkan ke mahkamah, dan tanpa “pemulihan” secara Islam.?

Ada juga bekas suami yang menuduh bekas isterinya yang telah memeluk Islam murtad kerana wanita itu bersosial dengan lelaki beragama lain. Ataupun bapa

menuntut hak hadhanah kepada anak bukannya atas dasar kasihsayangan tetapi kerana dengki akan bekas isterinya sudah mempunyai hidup baru secara sendirian.

Pertubuhan pertubuhan wanita sangat khuatir bahawa undang undang ini boleh di salahgunakan kerana niat jahat. Mestikah orang Islam, baik yang memeluk Islam mahu pun yang dilahirkan dalam Islam, hidup dalam ketakutan sekiranya gayahidup mereka dianggap sebagai melanggar akidah oleh orang yang menyimpan dendam terhadap mereka dengan menggunakan undang-undang ini? Adakah undang-undang ini akan membenarkan bekas suami atau isteri, usahawan lawan, musuh pejabat untuk membuat aduan di jabatan agama bahawa seseorang itu telah dilihat memasuki restoran menjual arak, atau bahawa seorang bekas isteri sekarang ini tinggal dengan ibu-bapanya yang makan babi, dan dengan itu memulakan penyiasatan ke atas keperibadian tertuduh oleh pihak berkuasa agama untuk menentukan samada seseorang itu murtad atau tidak?

Dan siapakah yang akan memutuskan apakah yang akan membezakan keimanan dari kekufuran dan percubaan meninggalkan Islam? Malahan para fuqaha di zaman awal Islam sendiri tidak berupaya mencapai persetujuan mengenai perkara ini. Sepanjang sejarah Islam, ada terdapat tuduhan kafir-mengkafir di antara kumpulan-kumpulan yang berselisih pendapat sehingga membawa kepada pertumpahan darah dan penindasan. Ini telah pun mula berlaku di Malaysia.

Adakah Kerajaan membenarkan jalan merbahaya ini wujud dengan mengadakan undang-undang murtad ini? Jika melalui tindakan punitif ini ia bertujuan menawan sokongan penyokong PAS, ingin kami ingatkan di sini bahawa PAS melalui tiga ahli Dewan Undangan Negeri Perlis mereka telah mengecam enakmen ini sebagai tidak memenuhi kehendak ajaran Islam: iaitu, hukuman mati ke atas mereka yang murtad. Tidakkah lebih wajar jika Kerajaan mengambil pendirian yang berprinsip serta berani yang menghormati hak kebebasan beragama seperti yang jelas di tuntut dalam al-Qur’an dan seperti yang dicerminkan oleh Fasal 11 Perlembagaan Persekutuan dan Fasal 18 Deklarasi Sejagat Hak-hak Asasi Manusia?

Jika pihak berkuasa agama sangat bimbang bahawa orang Islam akan memeluk agama lain, hukuman dan penahanan bukanlah jalan yang patut diambil. Tetapi sebaliknya mereka ini patut diajar dengan baik. Al-Qur’an memberi kita bimbingan yang paling jelas mengenai perkara ini dan bukannya dengan menahan mereka dalam pusat-pusat pemulihan selama setahun dan kemudian mengharapkan mereka mengasihi penindas mereka dan agama yang diwakili oleh penindas mereka.

Tanggungjawab mereka yang beriman adalah untuk memujuk, bukannya memarahi atau memaksa. Dalam Surah al-Hajj 22:68-69, Allah berfirman: “Dan

jika mereka mengemukakan bantahan kepadamu, maka katakanlah: ‘Allah amat mengetahui akan apa yang kamu lakukan. Allah akan menghukum di antara kamu semua pada hari kiamat, mengenai apa yang kamu berselisihan padanya.”

Sisters in Islam
Kuala Lumpur
29 September 2000

Surat ini telah diterbitkan dalam Utusan Malaysia, The Star, The Sun, The New Straits Times dan Malaysiakini.

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email