No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Islam dan Hak-Hak Wanita

Islam dan Hak-Hak Wanita

Beberapa pendapat Menteri Besar Kelantan, Haji Nik Aziz Nik Mat dalam temuramah khas beliau dengan Utusan Malaysia, 24 & 25 Disember 1990, amat membimbangkan kami, terutamanya pendapat beliau berhubung dengan kedudukan wanita dalam Islam. Kami ingin mengutarakan pertanyaan dan mempersoalkan pandangan tersebut.

1. Soal wanita menjadi pemimpin.

Haji Nik Aziz menyatakan, “Islam meletakkan lelaki lebih berkebolehan daripada perempuan dalam soal kepemimpinan.” Dari manakah pernyataan ini diperolehinya? Pendapat dan kepercayaan menyatakan bahawa dalam Islam hanya kaum lelaki sahaja boleh menjadi pemimpin adalah berasaskan satu pandangan yang sempit.

Dalam al-Qur’an dan Hadith tidak terdapat kenyataan bahawa hanya lelaki sahaja boleh diterima sebagai pemimpin. Terkandung dalam al-Qur’an cerita yang menyanjungi kepimpinan seorang raja, iaitu Balqis, Ratu Saba (Surah al-Naml, 27:23-44). Jantina Balqis tidak menjadi persoalan langsung. Yang diutamakan adalah sifat-sifat beliau sebagai seorang pemerintah yang arif lagi bijaksana. Antara sifat-sifat itu adalah kebolehan beliau untuk memenuhi tuntutan jawatannya, kecekapan dalam menangani hal-hal pemerintahan dan pentadbiran, keupayaan membuat keputusan yang bijaksana, serta keteguhan dan ketabahan tingkahlaku dan juga sifat takwa yang beliau miliki.

Dalam Sirah Nabi saw pula, banyak lagi contoh dan pengajaran yang menunjukkan bahawa antara tokoh-tokoh Islam dalam zaman Nabi saw adalah terdiri daripada wanita. Umm Waraqa binti Naulal merupakan seorang imam yang dilantik oleh Nabi saw, pandangan Umm Salama dirujuk oleh Nabi saw apabila menandatangani Perjanjian Hudaybiyah, dan Al-Shifa’ binti Abdullah adalah Ketua Inspektor pasar Madinah.

Masing-masing memegang jawatan dan diberi peranan sebagai pemimpin. Kesemuanya ini jelas menunjukkan bahawa, bukan kaum lelaki sahaja dianggap berkemampuan menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin dalam komuniti dan masyarakat.

Di antara tokoh-tokoh terkemuka wanita Islam adalah ‘Aisyah Siddiqa, isteri Nabi Muhammad saw yang sentiasa memainkan peranan sebagai seorang pemimpin dan guru. Pendapat dan saranan beliau selalu dirujuk dan diterima oleh golongan sahabi dan angkatan tabi’in dalam pelbagai hal tentang kehidupan ummah selepas wafatnya Rasullah saw. Jika demikian keadaannya, adakah pengikut-pengikut Islam terawal itu melakukan sesuatu yang salah dan bertentangan dengan ajaran agama? 2

2. Soal perbezaan antara wanita dan lelaki.

Haji Nik Aziz beberapa kali dalam temuramahnya menekankan bahawa perbezaan di antara lelaki dan wanita membawa implikasi khusus iaitu:

  • pada umumnya orang lelaki lebih berkebolehan daripada wanita bukan saja dari segi fizikal, tetapi juga dalam membuat keputusan.
  • Wanita hanya berkebolehan dalam hal-hal rumahtangga seperti menjaga anak, memasak, menjahit, menjaga rumah.
  • wanita sama sekali tidak boleh bekerja pada waktu malam hari kerana akan “berlaku masalah moral, di mana lelaki menunggu di luar tempat kerja untuk membawa wanita tersebut pulang.”
  • wanita tidak perlu keluar rumah untuk bekerja kerana “maruah mereka akan tercemar.”

Semua kenyataan di atas boleh disangkal keseluruhannva. Bagi Haji Nik Aziz, perbezaan biologi adalah sebab utama yang membuktikan bahawa taraf wanita adalah lebih rendah daripada lelaki. Kenyataan tersebut ternyata bertentangan dengan ajaran al-Quran yang begitu jelas mengakui kesaksamaan dalam penciptaan wanita dan lelaki.

Lupakah beliau bahawa Allah mencipta makhluknya, termasuk manusia, secara bersepasangan (Surah al-Dhariyat, 51:49)? Insan yang dijadikan Allah dalam bentuk sepasang dan saling melengkapi itu diberikan pula tuntutan dan tanggungjawab (untuk bertakwa) yang sama dan tidak berbeza (Surah al-Taubah, 9:71-72) malah dianggap setaraf dan saksama. Di sisi Allah pula orang yang paling mulia di antara manusia ialah orang yang paling bertakwa tidak kira lelaki atau wanita (Surah al-Hujurat, 49:13).

Kaum lelaki diibaratkan pakaian bagi wanita dan begitu juga sebaliknya (Surah al-Baqarah, 2:187). Mereka diseru supaya menerima sesama sendiri sebagai awliyya atau kawan yang saling membantu dan menyokong di antara satu sama lain (Surah al-Taubah 9:71).

Mengapakah wanita mesti disekat penglibatan mereka dari sudut ekonomi dan sosial hanya semata-mata untuk menghindar kaum lelaki supaya tidak melakukan maksiat?

Cadangan untuk menghindar perlakuan maksiat melalui beberapa peraturan yang hanya dikenakan terhadap wanita (mengurung mereka di rumah?) merupakan satu pengakuan bahawa sebenarnya bentuk masyarakat amnya dan pengasuhan lelaki khususnya perlu diteliti dan disusun semula dengan segera.

Saranan yang sedia mengikat satu golongan anggota masyarakat (wanita) sebagai cara mengatasi sesuatu masalah sosial yang berpunca daripada satu golongan yang lain (lelaki) adalah hasil pemikiran yang amat cetek. Lebih dari itu, saranan ini tidak ada asas dalam al-Qur’an. 3

3. Perkara yang perlu diamati oleh para ulama.

Penilaian yang dibuat oleh Haji Nik Aziz berteraskan hanya kepada penafsiran beliau terhadap perbezaan antara wanita dan lelaki, tetapi penafsirannya tidak berasas kepada hakikat.

Hakikat yang ternyata dalam al-Qur’an ialah bahawa wanita dan lelaki adalah saksama dan setaraf. Dalam banyak surah dan ayat al-Qur’an (antaranya, Surah al-Ahzab, 33:35-36; Surah al-Taubah, 9:71; Surah an-Nisa’, 4:124; Surah al-Imran, 3:195; Surah Ghafir, 40:40; Surah an-Nahl, 16:97) Allah menyeru kepada manusia seluruhnya, baik lelaki maupun wanita: Kedua-duanya diberi tanggungjawab dan peranan yang sama di dunia dan akhirat.

Segala perbuatan baik mereka akan menerima ganjaran dan kejahatan akan menerima hukuman melalui satu ukuran yang sejagat.

Perkara asas yang melanda rata-rata masyarakat Islam kini adalah penganiayaan dan penindasan sosial, terutama sekali terhadap kaum wanita semakin meleluasa. Penindasan wanita berlaku dari beberapa sudut: ketidaksamarataan dalam kedudukan wanita sebagai anggota keluarga dan ummah serta ketidaksamaan hak wanita berbanding dengan kaum lelaki.

Tambahan pula, wanita Islam kini menghadapi dua tuntutan yang bertentangan: Mereka digalakkan menyertai kehidupan sosial dan ekonomi sepenuhnya; sebaliknya pula, sejak kebangkitan semula Islam akhir-akhir ini, mereka juga diseru mengasingkan diri dari arus utama kehidupan masyarakatnya.

Pemikiran golongan ulama seperti Haji Nik Aziz tidak akan sampai ke mana-mana kerana tidak berupaya mengatasi pertentangan sosial yang berlaku.

Tindakan mereka terbatas kepada satu usul sahaja iaitu: kaum wanita disuruh mengundurkan diri dari arus sosial utama tersebut, serta menyerahkan kepada kaum lelaki segala peranannya dalam gelanggang umum kehidupan masyarakat.

Pendekatan Haji Nik Aziz terhadap masalah sosial masyarakat kini amat mengecewakan kerana kita inginkan kebangkitan dan kemajuan Islam setara dengan cabaran masa kini.

Masyarakat Malaysia umumnya berhak menerima kepimpinan dan pandangan yang bernas daripada tokoh-tokoh Islam terkenal kita. Namun begitu, pandangan Haji Nik Aziz ternyata menghampakan harapan masyarakat kita kerana tidak wajar seorang alim mempunyai pemikiran sedemikian.

Mengapa begitu sukar bagi sebilangan besar di kalangan kita menerima ajaran murni Islam yang mengagungkan keadilan dan kesaksamaan di antara wanita dan lelaki, juga di antara semua golongan masyarakat? 4

Untuk menghayati ajaran murni itu, satu reformasi sosial berteraskan pemikiran Islam yang lebih terbuka perlu difikirkan.

Sisters in Islam
Kuala Lumpur
13 Januari 1991

Surat ini telah diterbitkan dalam Utusan Malaysia dan The New Straits Times.

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email