No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Impak Negatif Akibat dari Lelaki Kolot Punca Wanita Tidak Kahwin

SURAT KEPADA AKHBAR UTUSAN MALAYSIA
8 Julai 2003

Kepada:

En Aziz Ishak
Utusan Malaysia
46M Jalan Lima off Jalan Chan Sow Lin
55200 Kuala Lumpur

Impak Negatif Akibat dari Rencana Lelaki Kolot Punca Wanita Tidak Kahwin

Sisters in Islam (SIS) ingin merujuk kepada artikel yang diterbitkan di dalam Utusan pada Jumaat, 4 Julai 2003, bertajuk Lelaki kolot punca wanita tidak kahwin. Walaupun isu yang dibincangkan di dalam artikel tersebut telah menjana berbagai reaksi dari pembaca dan pandangan dari pihak berkuasa, SIS ingin menyatakan rasa tidak puas hati kami terhadap cara isu ini dipaparkan hingga mengakibatkan berbagai reaksi yang buruk sangka terhadap SIS, berdasarkan sebab-sebab berikut.

Pertama, perkataan “kolot” yang digunakan pada tajuk rencana tersebut tidak keluar dari mulut pengarah eksekutif SIS, Zainah Anwar semasa perbualan telefon yang meminta pendapat beliau tentang isu tersebut. Beliau tidak menggunakan perkataan “kolot” tetapi sebaliknya menggunakan perkataan”tradisi ” bila merujuk kepada lelaki yang tidak mahu mengikut perubahan zaman. Ini ditegaskan di dalam perbualan telefon dengan pengarang berita En Kamil dan pemberita En Khairul yang mengambil kenyataan beliau pada hari Isnin, 7 Julai.

Kedua, penggunaan perkataan keras “kolot” pada tajuk rencana tersebut menunjukkan bahawa akhbar Utusan Malaysia bertujuan untuk sensasikan isu tersebut bagi mendapatkan knee-jerk reaction dari pembaca. Perkataan “tradisi” yang digunakan oleh Zainah, sekiranya digunakan di dalam headline, mungkin tidak membangkitkan reaksi yang sebegitu keras dan kata-kata yang kesat dari pembaca.

Ketiga, pihak Utusan terus menerus memerah kontroversi ini dan mengulangi penggunaan perkataan “kolot” bagi membakar telinga pembaca dan mengumpul reaksi orang ramai untuk memenuhi beberapa lagi halaman di dalam akhbar Utusan, 4 hari berturut-turut. Ini jelas sekiranya kita melihat surat-surat yang ditulis oleh pembaca dan kata-kata sindiran yang dilontarkan kepada Zainah dan Sisters in Islam kebanyakannya adalah merupakan reaksi yang keras terhadap perkataan “kolot” yang pada hakikatnya di war-warkan oleh Utusan.

Keempat, apabila ada peluang untuk pihak Utusan membetulkan kesilapan tersebut, contohnya selepas perbualan telefon dengan Zainah pada hari Isnin, 7 Julai, di mana pihak Utusan Malaysia berjanji untuk memasukkan pembetulan ekoran dari perbualan tersebut, janji pihak Utusan tidak dikotakan.

Kelima, rencana tersebut cuma mengandungi komen dari Zainah sahaja. Ini memberi gambaran bahawa ianya adalah satu lagi cubaan dari pihak SIS untuk “sekali lagi menuding jari menyalahkan kaum lelaki, sama sepertimana isu poligami sebelum ini”, seperti yang ditulis oleh wartawan Zulkiflee Bakar pada hari Isnin, 7 Julai. Padahal, pihak Utusan dan Sisters in Islam tahu bahawa Zainah diajak untuk memberi komen terhadap rencana yang disiarkan sebelum itu.

Di samping itu, ia juga memberi gambaran bahawa terdapat satu sahaja sebab mengapa wanita tidak berkahwin, sedangkan kita tahu ada banyak fakta yang menyumbang kepada fenomenon tersebut, yang akan timbul sekiranya wartawan bernama Rahana MD yang menemuramah Zainah, berhubung dengan kumpulan-kumpulan lain. Ketika Zainah berbual dengan Rahana MD, beliau adalah di bawah tanggapan bahawa komen beliau cuma satu daripada beberapa komen tentang isu mengapa ramai wanita professional masih membujang.

Keenam, keputusan pihak Utusan menerbitkan rencana tersebut berdasarkan komen dari satu pihak sahaja adalah satu contoh bad journalism. Isu tersebut tidak mungkin dapat dikupas dengan sepenuhnya cuma berdasarkan satu pandangan sahaja. Pendekatan yang sempit terhadap newsgathering seperti ini tidak mungkin dapat menjana diskusi yang sihat mengenai isu semasa.

Ini juga tidak adil kepada Zainah dan Sisters in Islam dan tidak membawa keadilan kepada isu yang ingin dibincangkan. Sisters in Islam mengikuti dengan teliti rencana-rencana yang ditulis berkenaan isu ini dan kami mendapati kebanyakannya adalah merupakan reaksi terhadap komen yang ditujukan kepadapengarah eksekutif kami. Komen-komen yang diberi banyak berbentuk “serangan peribadi” terhadap beliau, contohnya yang menggambarkan beliau sebagai seorang yang “tidak berkeilmuan” dan “suatu penyakit jiwa yang perludiubati segera”.

Selain dari publisiti negatif di halaman Utusan, kami juga menerima e-mel yang mengutuk organisasi kami ekoran dari rencana pada 4 Julai tersebut. Perkataan-perkataan yang digunakan mungkin menyakitkan telinga tetapi reaksi sebegini bukan sesuatu yang memeranjatkan. Sebagai pembaca, mereka hanya memberi reaksi terhadap rencana Utusan yang memaparkan komen dari satu orang sahaja.Kami faham bahawa pihak Utusan tidak bertanggungjawab ke atas pandangan yang diutarakan oleh pembaca.

Tetapi, sebagai salah satu media arus perdana yang sepatutnya mempraktikkan journalistic integrity, pihak Utusan juga bertanggungjawab untuk memberi pandangan yang seluasnya terhadap isu semasa bagi membuka minda pembaca untuk membolehkan mereka membuat penilaian yang baik.Kami dapati cuma terdapat satu sahaja rencana yang cuba untuk melihat isu ini secara kritis: pandangan yang ditulis oleh wartawan Siti Rohayah Attan di bawah ruangan Pada Hemat Saya (Sabtu 5 Julai).

Hujah-hujah beliau berkenaan mengapa wanita professional kahwin lambat sangat tajam dan soalan-soalan yang beliau kemukakan berjaya melihat secara mendalam isu tersebut.Malangnya, pandangan beliau tidak dapat menahan arus kritikan terhadap SIS yang bermula dari hari Sabtu lagi kerana pintu untuk melancarkan serangan peribadi dan berlandaskan emosi terhadap organisasi kami telah dibuka luas.

Pandangan-pandangan yang diutarakan tidak berminat langsung untuk melihat isu yang Zainah ingin ketengahkan. Liputan berita di dalam Utusan beberapa hari ini jelas telah memberi impak yang negatif di kalangan pembaca akhbar Utusan, termasuk dari pihak berkuasa, terhadap imej organisasi kami juga misi kami untuk memperjuangkan hak-hak wanita dalam kerangka Islam. SIS ingin menyarankan agar pihak Utusan lebih bertanggungjawab di masa hadapan dalam membawa isu-isu semasa ke dalam arena diskusi dan bukan mengheretnya ke dalam kancah kontroversi.

Sekian terima kasih.

Sisters in Islam

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email