No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Hukuman ke atas perkahwinan poligami tanpa kebenaran

Sisters In Islam menyokong hukuman penjara dan denda yang telah dikenakan oleh Mahkamah Syariah Kota Baru ke atas Wan Abdul Rahim Wan Abdullah kerana berpoligami tanpa kebenaran mahkamah dan pihak berkuasa.

Perkahwinan poligami di luar negara telah menjadi lumrah bagi suami-suami yang mahu berpoligami. Mereka berbuat demikian kerana perkahwinan  poligami tersebut masih boleh didaftarkan walaupun ia adalah tanpa kebenaran. Hukuman penjara bagi kesalahan ini amat kurang dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah dan denda yang dikenakan adalah amat sedikit dan mampu dibayar. Ia tidak menjadi penghalang bagi suami yang mahu berkahwin lagi kerana setelah denda yang minimum itu dibayar, perkahwinan poligami tersebut boleh didaftarkan dan dianggap sah di sisi undang-undang.

Kelonggaran yang terdapat ini harus diperketatkan oleh Mahkamah Syariah. Perkahwinan poligami tanpa kebenaran biasanya tidak diketahui oleh isteri sedia ada. Sisters In Islam banyak menerima aduan dari wanita yang mempunyai suami yang sememangnya tidak mampu untuk berpoligami tetapi telah mengambil jalan mudah dengan berkahwin di sempadan. Isteri pertama kemudiannya tidak diendahkan atau terpaksa bertungkus-lumus untuk menyara keluarganya kerana suami tidak mampu.

Kami menyarankan agar hukuman penjara dan denda yang setimpal dikenakan ke atas mereka yang memperolokkan undang-undang. Denda haruslah munasabah. Sekiranya seorang suami boleh berbelanja untuk keluar negara, penginapan, makan-minum, mas-kahwin, hantaran, persalinan, bayaran untuk kadi, bayaran pernikahan dan lain-lain; sudah tentu dia mampu untuk membayar denda. Rayuan untuk menurunkan denda tidak harus dilayan oleh Mahkamah Syariah. Di dalam kes Wan Abdul Rahim Wan Abdullah denda RM1800.00 yang telah dikenakan adalah tidak membebankan.

Kami juga menyarankan supaya isteri sedia ada dipanggil apabila suami membuat permohonan untuk mendaftarkan perkahwinan poligami. Ini bukan sahaja untuk memaklumkan isteri sedia ada mengenai perkahwinan tersebut tetapi juga supaya Mahkamah boleh memerintahkan suami untuk membuat peruntukan kepada isterinya. Isteri sedia ada boleh menuntut bayaran nafkah, nafkah anak dan lain-lain kepada suami.

Kami berharap agar Mahkamah Syariah lebih tegas dalam menangani isu suami berpoligami tanpa kebenaran.

Sisters In Islam
22 Mei 2002

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email