Akta Kesalahan Jenayah Syariah terutamanya yang berkaitan dengan ‘moral policing’ amat bertentangan dengan prinsip keadilan dan hak privasi yang dijamin dalam Islam. Terdapat pelbagai surah dalam Al-Quran yang menunjukkan ini, seperti Surah al-Hujurat (49:12) yang berkata, “janganlah mencari rahsia orang lain” dan Surah an-Nur (24:27, 28) yang berkata: “janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; jika dikatakan kepada kamu ‘baliklah’, hendaklah kamu berundur balik; cara yang demikian adalah lebih baik untuk kamu.”
Tambahan itu, tiada sumber akademik dalam sejarah Islam yang mewar-warkan amalan mengintip dan mencari aib orang lain melalui ‘moral policing’. Perbuatan mengintip juga melanggar hak rakyat hidup dalam negara demokrasi sepertimana yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Adalah amat dikesali apabila undang-undang jenayah Syariah di Malaysia diimplementasi tanpa mengambil kira prinsip keadilan, hak privasi dan pembelaan maruah individu. Sebaliknya, operasi khalwat dijalankan untuk menjatuhkan maruah individu atas dasar agama. Dan yang lebih dikhuatiri adalah kecenderungan untuk melakukan serbuan khalwat terhadap mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah atau mereka yang dipinggirkan masyarakat.
SIS menyeru ahli pembela agama dan pengamal undang-undang Syariah untuk menerima kritikan konstruktif dan cadangan yang berlandaskan hujah-hujah Islamik dan bekerjasama untuk membaikpulih sebarang kepincangan dalam pentabdiran dan pelaksanaan undang-undang Syariah di Malaysia. Kemaslahatan orang Islam akan lebih terbela apabila kita berpegang teguh kepada ajaran Islam yang membela hak asasi manusia dan menekankan sikap kasih sayang dan keinsafan.
Sisters in Islam
10 Disember 2015