No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Hentikan Obsesi Terhadap Pakaian Perempuan!

Kenyataan akhbar ini adalah maklum balas mengenai berita tentang keputusan Terengganu untuk menguatkuasakan pematuhan etika pemakaian patuh syariah di Terengganu seperti yang dilaporkan di Harian Metro pada 20 Februari 2023:  https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/02/938041/wanita-berpakaian-mencolok-mata-di-terengganu-akan-diambil-tindakan-metrotv (Tajuk: Wanita berpakaian mencolok mata di Terengganu akan diambil tindakan [METROTV]) dan berita mengenai seorang perempuan disuruh keluar daripada Parlimen kerana memakai skirt paras lutut terbelah seperti yang dilaporkan di Malaysiakini pada 20 Februari 2023: https://www.malaysiakini.com/news/655734 (Tajuk: Visitor expelled from Parliament for wearing knee-length skirt with slit)

Terdapat beberapa laporan yang menyatakan bahawa perempuan dikenakan tindakan pengawasan terhadap pemakaian mereka. Satu contoh terbaru yang berlaku di Terengganu adalah di mana Hanafiah Mat, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri mengumumkan bahawa tindakan akan diambil terhadap perempuan yang tidak mematuhi pemakaian “patuh syariah” di Terengganu. Pada hari yang sama, seorang perempuan juga telah dihalau dari bangunan Parlimen kerana memakai skirt paras lutut dengan belahan.

Ia amat membimbangkan apabila tindakan pengawasan moral ini sentiasa berlaku di Malaysia. Sisters in Islam (SIS) menolak dengan keras sebarang usaha oleh kerajaan, institusi awam atau sektor swasta yang memaksa perempuan untuk memakai pakaian mengikut peraturan dan standard mereka. Tindakan ini merupakan salah satu bentuk pelanggaran hak dan gangguan terhadap perempuan yang memilih pakaian mereka dengan sendiri serta memperlekehkan maruah dan autonomi mereka.

SIS juga mengkritik sebarang usaha atau cubaan untuk memalukan perempuan secara terang-terangan dengan memaksa kod pemakaian terhadap mereka, seperti yang dilihat menerusi kenyataan Hanafiah Mat dan tindakan pegawai keselamatan di Parlimen yang menghalau perempuan hanya kerana pemakaiannya. Pemaksaan kod pakaian seperti ini merendahkan martabat perempuan dan mewujudkan suatu perasaan yang takut dan ketidakselesaan terhadap perempuan di mana mereka sentiasa merasakan bahawa mereka dipantau dan dihakimi oleh orang ramai.

Oleh itu, kami menggesa pihak institusi awam dan swasta, serta orang ramai bagi mengakhiri obsesi mereka untuk mengawal perempuan, terutamanya cara mereka memakai pakaian. Hentikanlah tindakan meletakkan sesuatu standard tentang apa yang “sesuai” dan “betul” untuk perempuan kerana ia bersifat misoginis dan seksis!

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email