No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Hentikan Ketidakadilan dalam Mahkamah Syariah

27 Jun 2022 merupakan hari yang gelap bagi semua perempuan terutama sekali para ibu dan isteri Muslim di Malaysia kerana pada hari ini, kami telah menyaksikan seorang ibu yang terpaksa menyerah diri, dalam bantahan, untuk menjalani tempoh penjara selama tujuh hari, atas nasihat peguamnya. Sistem kehakiman Syariah yang sepatutnya bertanggungjawab untuk menegakkan keadilan dan menjaga kebajikan ahli keluarga yang terlibat daripada ditindas, sebaliknya telah bertindak untuk mengeluarkan waran tangkap penjara selama 7 hari ke atas ibu tersebut hanya atas sebab beliau telah menukarkan satu tarikh lawatan bekas suami di atas permintaan anak-anaknya.

Ibu tersebut, yang bernama Emilia Hanafi tiba di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada lebih kurang pukul 9.45 pagi untuk menyerah diri, dalam bantahan dan bukan rela hati, kepada mahkamah. Akan tetapi, setibanya di mahkamah, kami mendapat berita bahawa waran tangkap sebenarnya tidak pernah diserahkan kepada Emilia dan hakim yang berkenaan enggan berjumpa dengannya mahupun peguam syarienya. Hanya selepas diketahui bahawa waran tangkap itu tidak diserahkan sebelum ini, waran tangkap tersebut kemudian diserahkan kepada Emilia hanya pagi tadi ketika beliau berada di mahkamah dan Emilia telah dihantar ke penjara.

Emilia, yang juga merupakan bekas isteri kepada usahawan dan ahli perniagaan SM Faisal Nasimuddin telah memfailkan laporan keganasan rumah tangga terhadap bekas suaminya pada tahun 2015. Walaupun sudah tujuh  tahun, kes keganasan rumah tangganya masih berterusan.

Akan tetapi, kes Emilia ini bukanlah satu kes yang terpencil kerana ramai perempuan telah mengalami kesusahan di dalam sistem mahkamah syariah kita di Malaysia. Menurut maklumat yang dikumpul oleh Telenisa, sebuah klinik bantuan guaman yang dikendalikan oleh Sisters in Islam (SIS) di dalam buku Telenisa: Statistik & Dapatan yang diterbitkan setiap tahun, ramai perempuan menghadapi pelbagai isu yang berkaitan dengan Undang-Undang Keluarga Islam. Ramai klien Telenisa telah menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap beberapa aspek sistem perundangan Syariah di mana ada yang mengadu kes-kes mahkamah seperti tuntutan nafkah isteri dan nafkah anak, harta sepencarian, penjagaan anak dan lain-lain memakan masa yang panjang, rumit dan mahal. Ada juga yang tidak rela untuk menuntut hak-hak mereka melalui mahkamah kerana mereka merasakan kosnya sangat tinggi baik dari segi kewangan ataupun masa. Menurut kajian dan laporan talian Telenisa dan juga daripada pemerhatian kami di platform media sosial, terdapat beberapa jurang dari segi pentadbiran agama Islam di Mahkamah Syariah yang harus diperbaiki. Antara jurang yang didapati ialah:

  1. Pentadbiran Mahkamah Syariah

Mahkamah Syariah masih belum melalui proses pendigitalan secara menyeluruh seperti Mahkamah Sivil. Tiada sebarang rakaman dalam bentuk audio atau video dalam mahkamah. Ini boleh menimbulkan kesilapan dari segi rekod kerana wujud perbezaan antara rekod peguam-peguam, pihak-pihak dan mahkamah syariah yang terlibat. Sekaligus tidak menawarkan tempat atau medium rujukan semula bagi pihak-pihak tentang prosedur kes yang telah berlangsung.

Terdapat juga aduan di mana pegawai mahkamah tidak mencukupi sehingga menjejaskan kelancaran prosedur. Sebagai contoh, pelantikan wakalah peguam syarie yang sepatutnya mengambil masa 5-10 minit, kadangkala mengambil masa sehingga 2 jam.

Pentadbiran Mahkamah Syariah juga didapati menutup kaunter mahkamah atau kaunter bayaran pada seawal 3 petang, dan bukan seperti yang seharusnya iaitu pada 5 petang. Ini menyebabkan kesukaran pihak-pihak untuk melangsaikan denda, atau lain-lain bayaran dan terpaksa ditangguh.

  1. Kerumitan Prosedur Mahkamah Syariah

Aduan tentang prosedur yang amat rumit seperti pembubaran perkahwinan dan tuntutan hak-hak selepas perceraian di mana klien perlu membuka beberapa fail di Mahkamah Rendah Syariah dan Mahkamah Tinggi Syariah. Klien diberikan dua-tiga tarikh berbeza untuk setiap satu-satu tuntutan. Prosedur ini amat melecehkan dan tuntutan-tuntutan tidak dapat didengari secara menyeluruh.

  1. Wali Hakim

Melalui pemerhatian kami di platform media sosial, terdapat pelbagai isu berkenaan Undang-Undang Keluarga Islam yang dialami di mahkamah syariah. Antaranya, kakitangan mahkamah di kaunter yang mengeluarkan arahan lanjut untuk permohonan wali hakim walaupun undang-undang berkaitan menyatakan hanya hakim mahkamah syariah sahaja yang berhak mengeluarkan arahan. Ini juga telah menyukarkan pemohon apabila arahan lanjutan yang diberikan oleh kakitangan mahkamah adalah tidak munasabah. Sebagai contoh, sebelum fail pemohon sampai ke hakim untuk penilaian, kakitangan mahkamah telahpun mengeluarkan arahan agar pemohon mencari rekod kematian si bapa di JPN atau diminta untuk mengeluarkan iklan di akhbar tempatan bagi mencari si bapa tersebut. Perkara ini menjadi masalah kerana, fakta-fakta kes bahawa si bapa merupakan pemangsa, pencabul atau si bapa telah meninggalkan keluarga tanpa khabar berita tidak dapat dikemukakan kepada mahkamah sebelum arahan ini diberikan.

  1. Hak Penjagaan Anak

Ada klien Telenisa juga, seperti yang dilaporkan buku Telenisa: Statistik dan Dapatan 2019, mempunyai kes penjagaan anak dari tahun 2017 di Mahkamah Syariah di mana klien tidak menerima panggilan atau surat daripada mahkamah mengenai sebutan kes. Klien ini hanya menerima perintah mahkamah berkenaan kesnya pada Ogos 2019,  dan perintah tersebut diberikan ketika beliau tidak menghadiri prosiding di mahkamah kerana tidak dimaklumkan tarikh bagi sebutan dan kes.

  1. Mutaah dan Nafkah

Aduan berkenaan Mutaah dan nafkah. Klien Telenisa ini telah berjaya dalam tuntutan Mutaah dan nafkah namun, bekas suaminya tidak mematuhi perintah mahkamah. Klien ini telah memohon kepada mahkamah agar satu perintah dikeluarkan untuk mengambil sebahagian gaji bulanan suaminya sebagai bayaran tetapi, mahkamah enggan mengeluarkan perintah tersebut yang menyebabkan bayaran masih tertunggak selama berbulan atau bertahun. Menurut pemerhatian Telenisa juga, lazimnya, kes-kes berkenaan Mutaah dan nafkah boleh tertunggak sehingga dua hingga tiga tahun atau ada sehingga tujuh tahun.

  1. Poligami

Aduan berkenaan poligami. Klien telah mengadu kepada Telenisa di mana suami klien memfailkan permohonan poligami di mahkamah. Suami klien hanya memfailkan dokumen mahkamah kepada klien setengah jam sebelum sebutan bermula. Suami klien juga telah mencuri kad pengenalan klien dan memalsukan surat bahawa klien kami bersetuju untuk berpoligami. Apabila isu ini ditimbulkan di mahkamah, hakim pula berkata yang klien telah membazirkan masa mahkamah dan tidak seharus berkelakuan begitu kerana beliau telah “bersetuju dengan perkahwinan baru ini.”

  1. Perkahwinan Kanak-kanak

Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah pun mengeluarkan satu pekeliling agar hakim syarie menggunakan laporan dari Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) bagi menilai keperluan satu-satu perkahwinan kanak-kanak sebelum meluluskannya. Walau bagaimanapun, dalam pekeliling tersebut tidak menggunakan perkataan ‘diwajibkan’ atau ‘mewajibkan’ hakim syarie untuk merujuk laporan JKM dan akhirnya ia masih terserah pada ‘budi bicara’ hakim syarie itu sendiri untuk merujuk atau tidak pada laporan JKM. Masih tiada SOP yang diperketatkan dalam permohonan perkahwinan kanak-kanak. Malah, perkahwinan kanak-kanak, iaitu perkahwinan bawah umur 18 sepatutnya dimansuhkan terus.

Ini amatlah merisaukan dan menyedihkan, sudahlah golongan perempuan menghadapi ketidakadilan dan tertindas di bawah bumbung rumah sendiri, apabila mereka berpaling dan mengharapkan kepada institusi keadilan dalam membela nasib mereka, kesusahan dan kepayahan lain pula yang terpaksa mereka hadapi. Siapa lagi yang boleh perempuan harapkan untuk mendapatkan keadilan bagi diri mereka dan anak-anak? Pada tahun 2021, sebanyak 75% klien teridiri daripada golongan B40 yang menghadapi kesukaran untuk membayar khidmat guaman yang terlalu mahal dan tidak pernah dikawal. Oleh itu, mahkamah syariah mesti memastikan hak-hak golongan ibu ini terjamin serta keadilan ditegakkan dengan serta-merta. Keadilan ditunda adalah keadilan dinafikan.

Kami juga ingin mempersoalkan keperluan Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah (JKMMS) yang telah ditubuhkan semula seperti yang dilaporkan pada 22 Jun 2022 di Berita Harian dengan tajuk, “Jawatankuasa Perkasa Mahkamah Syariah ditubuhkan semua” (Pautan: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/06/968856/jawatankuasa-perkasa-mahkamah-syariah-ditubuhkan-semula) Apa guna mempertingkat dan memartabatkan sistem perundangan Syariah apabila sistem sedia ada masih lagi penuh kelemahan? Oleh itu, kami menggesa dan sentiasa mengadvokasikan untuk pembaikan dan pembaharuan sistem kehakiman syariah agar hak-hak perempuan dalam keluarga terbela dan terlindung. #PerbaikiSebelumPerkasa #HentikanPenindasanPerempuan

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email