No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

HENTIKAN DASAR YANG MENDISKRIMINASI WANITA

Gabungan Organisasi Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG) menyatakan kebimbangan kami terhadap suatu dasar hotel antarabangsa yang melarang kakitangan barisan hadapan daripada memakai tudung.

Dasar ini mendiskriminasi wanita beragama Islam, kerana ia mengurangkan peluang pekerjaan bagi wanita yang memakai tudung. Pada masa yang sama, dasar yang mewajibkan pemakaian tudung juga merupakan suatu bentuk diskriminasi.

Kenyataan bahawa dasar itu adalah dasar antarabangsa hotel tersebut tidak bermakna pendiskriminasian sebegitu dibolehkan. Keupayaan calon pekerja bukanlah berdasarkan pemakaian mereka, tetapi pada kemahiran dan kebolehan mereka.

JAG secara konsisten membangkitkan isu tentang pengawasan pemakaian wanita, termasuk pada tahun 2014 apabila seorang guru di Kota Tinggi terpaksa menanggalkan tudungnya, dan apabila wanita dihalang daripada memasuki institusi awam berdasarkan kelabuhan pakaian mereka.

Jawatankuasa pakar hak asasi manusia  di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menyatakan bahawa dasar-dasar sebegini bersifat diskriminatif. Hak berkerja wanita tidak boleh diterhadkan oleh pemakain atau agamanya, termasuk pilihannya untuk memakai tudung. Jawatankuasa ini terdiri daripada Jawatankuasa CEDAW dan Jawatankuasa CRC – Malaysia telah meratifikasi kedua-dua CEDAW (Konvensyen mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita) dan CRC (Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak).

Semua dasar harus menegakkan prinsip asas yang termaktub di dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kesaksamaan dan ketiadaan diskriminasi berdasarkan gender dan agama.

Dalam mencapai matlamat tersebut, kami menegaskan kepentingan untuk melaksanakan Akta Kesamarataan Gender dalam mengakhiri diskriminasi gender di tempat kerja dan dalam semua linkungan kehidupan.

Diiktirafkan oleh Gabungan Organisasi Wanita Bertindak Bagi Kesamarataan Gender (JAG) yang terdiri daripada:-

  1. All Women’s Action Society (AWAM)
  2. Association of Women’s Lawyers (AWL)
  3. EMPOWER
  4. Perak Women for Women (PWW)
  5. Women’s Aid Organisation (WAO)
  6. Sisters in Islam (SIS)
  7. Sabah Women’s Action Resource Group (SAWO)
  8. Justice for Sisters
  9. Women’s Centre for Change (WCC)
  10. Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS)
Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email