No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Hak seorang wanita untuk memilih pakaiannya

Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG)

Hak seorang wanita untuk memilih pakaiannya

Surat kepada penyunting – 22 Januari 2014

Sekitar minggu lepas, beberapa sumber berita telahpun melaporkan bahawa seorang guru sekolah rendah di Kota Tinggi, Johor telah diarahkan oleh pihak lembaga sekolah untuk menanggalkan tudungnya, andainya guru tersebut ingin meneruskan perkhidmatannya di sekolah tersebut. Kami gembira mendengar bahawa Timbalan Menteri Pendidikan II P. Kamalanathan menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan telahpun mengkaji kes ini. Kami juga gembira mendapat tahu bahawa Pengetua sekolah tersebut, sebagaimana Pengerusi badan pengurusan sekolah yang sama, telahpun memohon maaf daripada guru yang terbabit.

Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang pernah menyaksikan diskriminasi berlaku ke atas wanita atas pilihannya untuk memakai tudung. Di negara-negara seperti Norway, Turki, dan Jerman, sebagai contoh, beberapa polisi dan peraturan pernah diperkenalkan yang mengehadkan kebebasan wanita dalam bertudung.

Badan-badan pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telahpun menyatakan melalui komen mereka bahawa polisi-polisi sedemikian bersifat diskriminasi. Walaupun kes di Kota Tinggi berbeza kerana tidak membabitkan pelaksanaan polisi atau peraturan, kes ini tetap boleh diklassifikasikan sebagai satu bentuk diskriminasi berkaitan pekerjaan yang telah dipersetujui oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Hak seseorang wanita untuk bekerja tidak boleh dihadkan mengikut pemilihan pakaian atau agamanya, dan ini turut merangkumi pilihannya untuk memakai tudung, ataupun tidak memakai tudung.

Sebagai contoh, pada tahun 2009, kerajaan Norway telahpun mengisytiharkan bahawa pegawai-pegawai polis wanita di negara tersebut tidak dibenarkan untuk memakai tudung walaupun pengumuman sedemikian bercanggah dengan Tribunal Kesamarataan Norway.

Badan pakar PBB berkenaan hak asasi wanita – Jawatankuasa Penghapusan Diskriminasi terhadap Wanita – telahpun menyebut dalam Pemerhatian Penutup mereka kepada Norway pada tahun 2012 bahawa wujudnya perundangan yang mengehadkan akses wanita terhadap jawatan-jawatan tertentu, berdasarkan “cara-cara berpakaian, seperti mana pemakaian hijab”.  Jawatankuasa tersebut telahpun mendesak agar kerajaan Norway menjalankan kajian berkaitan kesan-kesan pelaksanaan perundangan sedemikian dengan tujuan “memastikan hak-hak wanita terpelihara seperti mana yang termaktub dalam Konvensyen [berkaitan Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terdadap Wanita (CEDAW)].”

Selain itu, Jawatankuasa berkaitan Hak-Hak Kanak-Kanak turut mengemukakan kerisauan mereka berkaitan undang-undang yang dilaksanakan di beberapa negeri di Jerman berkaitan pengharaman terhadap guru-guru memakai hijab di tempat kerja. Mereka menyatakan dalam Pemerhatian Penutup yang ditujukan kepada negara tersebut pada tahun 2004 bahawa undang-undang sedemikian “tidak menyumbang kepada pemahaman kanak-kanak berkaitan hak dan kebebasan dalam beragama dan perkembangan mereka dalam memahami konsep toleransi.”

Malaysia telahpun meratifisasikan Konvensyen berkaitan Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dan Konvensyen berkaitan Hak-Hak Kanak-Kanak (CRC), yang telah memberikan mandat daripada badan-badan pakar Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang disebutkan.

Konvensyen-konvensyen hak asasi PBB yang lain juga turut menawarkan jaminan bahawa wanita memiliki hak untuk memilih cara mereka berpakaian. Sebagai contoh, Komen Umum ke-28 bagi Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak-Hak Sivil dan Politik (ICCPR) telahpun menekankan bahawa “sebarang peraturan berkaitan pakaian yang harus dipakai oleh wanita di tempat awam” mungkin bercanggah dengan hak-hak yang sepatutnya telah dijamin dalam Perjanjian, termasuklah dalam artikel ke-19 jika “wanita tertakluk kepada syarat-syarat berpakaian yang tidak mengikut fahaman agama mereka ataupun hak mereka untuk mengekspresikan diri” dan artikel ke-27 jika “syarat-syarat berpakaian sedemikian bercanggah dengan budaya wanita yang terbabit.”

Bagaimanapun, kita seharusnya ingat bahawa prinsip ini perlu juga digunapakai terhadap mereka yang memilih untuk tidak bertudung. Hak wanita untuk bekerja, menuntut ilmu, dan lain-lain seharusnya tidak dinafikan sekiranya mereka memilih untuk tidak bertudung. Andainya sebarang kejadian seumpama ini berlaku lagi pada masa depan – walaupun kami sama-sekali tidak mengharapkan sedemikian – ugutan keras tidak seharusnya dijadikan solusi; perbincangan yang rasional dan bertamadun jelas merupakan saluran penyelesaian terbaik yang perlu dipilih.

Diterbitkan oleh Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG):

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)
Sisters in Islam (SIS)
All Women’s Action Society (AWAM)
Perak Women for Women Society (PWW)
Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)
Sabah Women’s Action Resource Group (SAWO)

Untuk maklumat lanjut: Yu Ren Chung, [email protected] / (010) 225 7971

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email