No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

FATWA MENGENAI KEDUDUKAN PENAMA EPF & PERKESO DAN KEDUDUKAN PENAMA POLISI INSURAN SEBAGAI HARTA PUSAKA

FATWA MENGENAI KEDUDUKAN PENAMA EPF & PERKESO DAN KEDUDUKAN PENAMA POLISI INSURAN SEBAGAI HARTA PUSAKA

Dengan segala hormatnya kami merujuk kepada fatwa yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 23 September 2000, di mana wang-wang KWSP dan PERKESO si mati mesti dibahagikan kepada kesemua waris mengikut hukum faraidh.

Sisters in Islam (SIS) memohon agar Datuk dan Majlis Fatwa Kebangsaan dapat mengkaji semula mengenai kedudukan penama yang telah dinamakan oleh si mati agar harta si mati dalam KWSP, PERKESO dan polisi insuran boleh diwariskan kepada waris yang terdekat iaitu isteri atau suami dan anak-anak.

SIS ingin memaklumkan ketidakadilan yang sering berlaku terhadap kaum isteri dan kanak-kanak apabila kematian suami mereka kerana wang-wang di dalam KWSP, PERKESO dan polisi insuran tidak dapat diwarisi atau pun dibahagikan melalui hukum faraidh, seperti yang dihuraikan di bawah ini. Ini selalu berlaku di dalam kes-kes yang mana keluarga si suami mendapat bahagian yang lebih banyak daripada isteri atau anak-anak si mati sekiranya tiada anak lelaki tanpa menghiraukan kedudukan kewangan dan bebanan mereka. Masalah ini lebih ketara lagi kerana jarang sekali keluarga suami menjaga isteri dan anak-anak si mati dan ini merupakan suatu ketidakadilan dalam perlaksanaan hukum Islam.

Pandangan Yang Lebih Sesuai Dari Segi Islam dan Masyarakat

SIS tidak menolak perintah Allah swt dalam soal pembahagian harta pusaka seperti yang terdapat dalam Surah An-Nisa’ 4:11-12, 176, tetapi perlaksanaan hukum tersebut perlu mengambilkira situasi semasa masyarakat. SIS ingin menekankan di sini bahawa Islam merupakan satu agama yang cukup adil, dan dalam soal faraidh, lelaki diberikan bahagian yang lebih kerana tanggungjawab mereka ke atas kaum perempuan di bawah jagaan mereka, seperti ibu mereka, kakak dan adik-adik perempuan, kakak dan adik ipar mereka dan anak-anak saudara mereka.  Walaupun keadaan masyarakat kini telah berubah di mana kaum wanita kini merupakan tunggak utama di dalam sesuatu keluarga di mana ramai wanita kini yang bekerja, membantu suami dari segi kewangan, melahir dan mendidik anak-anak, dan menguruskan rumahtangga, namun demikian, dari segi fahaman masyarakat mengenai hukum faraidh, ramai masih tidak menghayati semangat dan prinsip-prinsip yang sebenar dari Allah swt.  Seperti poligami, masyarakat, terutama kaum lelaki masih menganggap hukum faraidh satu hak mutlak, dan tidak dilihat dari prinsip tanggungjawab.

Kebanyakan lelaki Islam hanya menuntut hak mereka dari harta pusaka peninggalan si mati sebagai satu hak istimewa dalam Islam, tetapi tidak pernah memikirkan tanggungjawab yang sebenar yang patut dipikul oleh mereka dalam memelihara dan melindungi kaum wanita di dalam keluarga mereka seperti yang dituntut oleh Islam.  Mereka hanya menuntut “hak istimewa” tersebut sementara tanggungjawab mereka terhadap keluarga dan agama di dalam hal ini sering diabaikan. Pemikiran seperti ini akan memudaratkan kaum wanita dan kanak-kanak, dan akhirnya mengakibatkan kaum isteri menghadapi banyak masalah untuk mendapat Surat Mentadbir Harta Pusaka bagi si mati.

Oleh yang demikian, demi keadilan, SIS menyarankan Datuk dan Malis Fatwa Kebangsaan mengkaji semula fatwa KWSP, PERKESO dan juga mengenai kedudukan polisi insuran dari segi perlaksanaannya agar tidak menjadi beban kepada masyarakat berdasarkan kepada hujah-hujah berikut:-

  • KWSP dan PERKESO adalah wang yang dipotong dari gaji seseorang, dan seperti prinsip pencen ianya dianggap tidak termasuk dalam harta pusaka si mati, tetapi terus di bayar kepada waris yang terdekat sahaja. Konsep berikut kini dipraktikkan di beberapa negara Islam, termasuk negara Mesir, di mana isteri si mati boleh menuntut wang KWSP dan PERKESO yang dianggap seperti pencen berdasarkan prinsip bahawa wang-wang tersebut adalah dari gaji si mati.
  • Polisi insuran berdasarkan konsep perlindungan dan masa depan seseorang serta keluarga yang terdekat dan tersayang, dan di atas kematian pemegang polisi, pembayaran wang polisi patut dibayar terus kepada penama. Apabila seseorang membeli insuran nyawa, pada hakikatnya ia merupakan satu motif untuk pelaburan mereka pada masa tua atau untuk perlindungan (dalam bentuk wang) pada yang tersayang sekiranya mereka meninggal dunia. Pembelian polisi insuran bukanlah sesuatu yang dipaksa, tetapi adalah atas kerelaan dan kesedaran pemegang polisi tersebut untuk menjamin dirinya di masa tua atau melindungi isteri dan anak-anak sekira apa-apa terjadi ke atas dirinya.  Selalunya, di mana suami merupakan pencari nafkah tunggal bagi satu keluarga, salah satu sebab suami membeli polisi insuran adalah untuk melindungi isteri dan anak-anak.  Di sini SIS ingin mempersoalkan bagaimana kehendak pemegang polisi insuran boleh diketepikan, dan wang polisi insuran dijadikan sebagai harta pusaka.   Oleh yang demikian, adalah tidak wajar sekiranya waris yang bukan isteri dan anak-anak yang mewarisi wang polisi insuran si mati apabila tujuan utama adalah untuk melindungi keluarga yang terdekat dan yang tersayang iaitu isteri atau suami dan anak-anak.
  • Mengkaji doktrin ihtisãn yang diasaskan oleh Imam Hanafi berdasarkan prinsip di mana sekiranya undang-undang yang sedia ada akan membawa kepada keputusan yang kurang sesuai (rigid) atau tidak adil (inequitable), para ulama patut kembali kepada ijtihad dan mencari penyelesaian yang lebih sesuai dan adil. Semasa zaman Khalifah ‘Umar b. al-Khattãb, seorang wanita yang telah meninggal dunia telah meninggalkan seorang ibu, seorang suami, dua adik-beradik lelaki yang seibu dan dua adik beradik lelaki sebapa.  Dua adik beradik lelaki sebapa yang tidak mewarisi harta wanita tersebut berdasarkan Surah An-Nisa 4:12 telah mengadu kepada Khalifah ‘Umar dan beliau telah menggunakan prinsip ihtisãn, membahagikan harta pusaka si mati berdasarkan apa yang lebih adil dan sesuai, dan tidak mengikut hukum faraidh.
  • Jikalau ketidakadilan berlaku, Mahkamah Syariah boleh menggunakan budibicara mereka dalam menentukan pembahagian yang paling adil dan lebih sesuai di dalam sesuatu kes. Ini adalah langkah yang lebih sesuai dari mengambil hukum faraidh tanpa mengambil kira semangat dan prinsip keadilan yang menjadi asas faraidh dan seperti yang dituntut dalam Islam.
  • Jikalau ketidakadilan masih berlaku selepas ini, Mahkamah Syariah juga boleh memohon pendapat Mufti mengenai hak-hak penama dan waris terdekat berhubung dengan KWSP, PERKESO dan polisi insuran si mati seperti yang diperuntukkan di dalam Seksyen-seksyen 39(2) & 39(3) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan). Mufti boleh membuat keputusan mengikut qaul muktamad Hanafi, Maliki atau Hanbali atau Mufti boleh menyelesaikan persoalan itu mengikut hematnya sendiri tanpa terikat dengan mana-mana Mazhab yang empat itu, berdasarkan apa yang lebih adil dan sesuai, mengikut kepentingan awam.
  • Mencadangkan kepada pihak KWSP, PERKESO dan syarikat-syarikat insuran untuk memberi surat peringatan kepada kesemua pencarum dan pemegang polisi insuran setiap tahun apabila penyata tahunan dikirimkan samada mereka berhajat untuk menukar penama.

Prinsip KWSP, PERKESO dan Syarikat-syarikat Insuran

Sebelum fatwa di atas ini dikeluarkan, SIS telah difahamkan oleh KWSP bahawa di bawah Akta KWSP 1991, sekiranya si mati sudah menamakan penama untuk mewarisi wang KWSP mereka, maka KWSP akan tetap membayar wang KWSP kepada penama yang berkaitan. Penama juga diberi surat yang menasihati agar penama menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Islam dengan membahagikan wang KWSP melalui prinsip faraidh kepada waris-waris yang sah.  Walaupun pada zahirnya penama mendapat wang KWSP, tetapi surat nasihat dari KWSP tersebut boleh mengelirukan si penama. Waris-waris yang sah boleh juga menuntut wang KWSP tersebut dari Mahkamah Syariah untuk mensabitkan wang itu dijadikan sebagai harta pusaka si mati dan dibahagikan melalui hukum faraidh.

Bagi penama yang dinamakan di dalam PERKESO, sebelum fatwa di atas dikeluarkan, prinsip pembayarannya adalah sama seperti KWSP, kepada penama seperti yang dinyatakan di atas.

Bagi penama yang dinamakan di dalam polisi insuran si mati pula, Kerajaan telah meminda Akta Insuran pada tahun 1996 melalui Seksyen 167(2) (yang hanya meliputi orang-orang Islam sahaja), di mana kini penama tersebut tidak lagi boleh mewarisi polisi yang berkaitan dan wang dari polisi tersebut akan dibahagikan kepada waris-waris yang sah di bawah hukum faraidh.

Cadangan

Sehubungan itu, SIS ingin mengemukakan beberapa cadangan penyelesaian yang patut dipertimbangkan oleh kesemua pihak:-

  1. Di dalam kes di mana isteri adalah penama dalam KWSP, PERKESO dan polisi insuran

    Mengikut hukum faraidh, isteri yang tidak mempunyai anak atau hanya mempunyai anak perempuan terpaksa berkongsi harta pusaka suami dengan ibu, bapa dan adik-beradik si suami.

    SIS mencadangkan agar sekiranya si suami telah menamakan isteri dan anak-anaknya (walaupun kesemua anak-anaknya adalah perempuan), penamaan ini patut diterima dan ditepati. Begitu juga jika si isteri menamakan suaminya sebagai penama, penamaan ini patut diterima dan ditepati oleh pihak KWSP, PERKESO dan syarikat-syarikat insuran.
    Ibu, bapa dan adik beradik si mati masih mewarisi harta benda si mati yang lain di bawah hukum faraidh.

  2. Di dalam kes yang penama merupakan ibubapa, tetapi penamaan dibuat sebelum perkahwinan, dan si mati meninggalkan isteri atau suami dan anak-anak

    Kes seperti ini banyak berlaku di mana si suami telah terlupa untuk menukar penama KWSP, dan akhirnya, isteri dan anak-anak tidak dapat mewarisi wang KWSP, PERKESO dan polisi insuran arwah suami.

    Jikalau penamaan ini dibuat sebelum perkahwinan si mati, isteri dan anak-anak merupakan waris yang terdekat, maka wang KWSP, PERKESO dan polisi insuran tersebut patut diberikan kepada isteri dan anak-anak mengikut prinsip gaji dan pencen. Dan sekiranya isteri yang meninggal tetapi menamakan ibubapanya sebagai penama KWSP, PERKESO dan polisi insuran, di mana penamaan ini dibuat sebelum perkahwinan, suami dan anak-anak patut mewarisi wang KWSP, PERKESO dan polisi insuran si isteri.

  3. Di dalam kes yang penama merupakan ibubapa, isteri atau suami dan anak-anak, tetapi penamaan dibuat selepas perkahwinan si mati

    SIS mencadangkan di mana penamaan telah dibuat selepas perkahwinan, pihak KWSP, PERKESO dan syarikat insuran patut menghormati kehendak si mati, dan membuat bayaran kepada penama yang telah dipilih oleh si mati, termasuk ibubapa yang telah dinamakan mengikut bahagian yang dicatitkan oleh si mati.

  4. Di dalam kes yang tiada penama, tetapi si mati meninggalkan isteri dan anak-anak

    Seperti yang dicadangkan di atas, isteri dan anak-anak merupakan waris yang terdekat, maka wang KWSP, PERKESO dan polisi insuran tersebut patut diberikan kepada isteri mengikut prinsip gaji dan pencen. Dan sekiranya isteri meninggalkan suami dan anak-anak tanpa penama, suami dan anak-anak patut mewarisi wang KWSP, PERKESO dan polisi insuran si isteri.

  5. Di dalam kes di mana si mati adalah seorang yang bujang tetapi telah membuat penamaan

    Di dalam kes-kes seperti ini, pihak KWSP, PERKESO dan syarikat insuran patut menghormati kehendak si mati, dan membuat bayaran kepada penama yang telah dipilih oleh si mati tanpa sebarang keraguan. Selalunya, orang yang belum berkahwin akan menamakan ibubapa sebagai penama dan bukan adik beradik memandangkan mereka sudah pun bekerja dan mempunyai harta dan pendapatan sendiri. Terdapat juga banyak kes di mana orang-orang bujang menamakan seseorang yang bukan ahli keluarga sebagai penama atas dasar penama telah menjaga mereka (orang-orang bujang) semasa hidup, satu tanggungjawab yang kadangkala telah diabaikan oleh ahli keluarga sendiri.

    Satu perkara yang amat perlu diteliti di dalam hal pewarisan harta pusaka adalah tanggungjawab waris yang merupakan abang atau adik lelaki si mati di mana si mati tiada meninggalkan anak lelaki.  SIS berpendapat bahawa tanggungjawab ini perlu dihuraikan dengan terperinci dan waris-waris lelaki dikehendaki menjalankan tanggungjawab tersebut dengan taat dan teliti.  Yang menjadi kenyataan sekarang kebanyakan lelaki Islam tidak faham atau ambil peduli mengenai tanggungjawab yang besar ini. Seperti poligami, apabila bercakap soal harta pusaka, kaum lelaki menggunakan Islam, tetapi apabila bercakap mengenai tanggungjawab, tiada sesiapa pula ingin menghayatinya dengan sebenar dan secara Islam. Kami ingin mencadangkan agar satu undang-undang digubal supaya waris lelaki yang mendapat pembahagian harta yang lebih menjalankan tanggungjawab mereka terhadap waris wanita.

    Satu lagi senario yang sering berlaku ialah adik-beradik lelaki yang tidak memperdulikan  ibubapa semasa hayat mereka.   Sering berlaku, ibubapa yang uzur dijaga oleh anak-anak perempuan mereka yang mengeluarkan tenaga dan wang terutama sekali untuk keperluan perubatan ibubapa yang uzur. Tanggungjawab menjaga ibubapa jatuh ke atas semua anak-anak, tetapi selalunya anak-anak perempuan yang memikul tanggungjawab ini. Tetapi apabila sampai ke pembahagian harta pusaka, adik-beradik lelaki mendesak supaya hukum faraidh dipakai. Walhal, jika mereka mempunyai kesedaran di atas pengabaian tanggungjawab mereka, dengan kata sepakat harta pusaka ini boleh dibahagikan dengan cara yang lebih adil.  Sudah tentu, prinsip  ihtisãn yang disebut di atas patut digunakan kerana ianya lebih adil dan sesuai.

    Oleh yang demikian, SIS amatlah berharap agar Datuk dan Majlis Fatwa Kebangsaan dapat meneliti isu ini dengan sewajarnya, dan membentuk satu jawatankuasa untuk mengkaji semula secara menyeluruh terutama sekali perlaksanaan dan kesan sistem faraidh terhadap kaum wanita dan kanak-kanak, termasuk pentadbiran keadilan dalam sistem syariah.  Jawatankuasa ini juga perlu melibatkan agensi-agensi kerajaan (HAWA, Jabatan Kebajikan, Jabatan Peguam Negara dll), pertubuhan-pertubuhan Wanita dan Majlis Peguam.  Ini adalah amat penting untuk memastikan keadilan dilaksanakan sejajar dengan tuntutan agama Islam.

Terima kasih atas perhatian dan tindakan segera dan wajar dari pihak Datuk.

Yang benar,
Zainah Anwar

 


 

SALAH SATU KAJIAN KES YANG MENUNJUKKAN KETIDAKADILAN DAN MASALAH YANG DIHADAPI OLEH KAUM WANITA DI BAWAH SISTEM FARAIDH

Kes Di Mana Si Suami telah Meninggalkan Isteri Dan Anak-Anak Perempuan

Di dalam kes ini, di bawah hukum faraidh, keluarga si suami mempunyai hak ke atas harta pusaka arwah suami.  Keluarga si suami (yang terdiri dari ibu, lima adik beradik lelaki dan dua adik beradik perempuan), terutama adik-beradik lelaki, asyik mengganggu isteri supaya mendapatkan Surat Mentadbir Harta Pusaka dari Mahkamah agar mereka boleh mendapat bahagian mereka.  Alasan utama yang sering digunakan oleh keluarga suami adalah “….ini adalah hak kami dalam Islam….”  Malang sekali bagi si isteri dan anak-anak perempuannya (yang berusia lima belas, sembilan dan tujuh tahun), tiada siapa yang bertanya khabar, menghulurkan bantuan ataupun mahu mengambil berat keadaan mereka. Keluarga suami terlalu ghairah untuk merebut harta arwah, terutama sekali rumah yang didiami oleh isteri dan anak-anak si mati memandangkan rumah tersebut mempunyai nilai pasaran yang tinggi.  Kalau boleh mereka mahu menjual rumah itu dan mendapat habuan masing-masing.

Dalam keasyikan keluarga suami merebut harta pusaka, mereka lupa mengenai liabiliti harta pusaka si mati, iaitu pinjaman perumahan yang masih ada dan kena dibayar kepada pihak bank setiap bulan (memandangkan suami tidak mengambil  insuran perlindungan nyawa ke atas pinjaman perumahan tersebut). Dalam Qur’an Surah An-Nisa’ 4:11, adalah jelas menyatakan bahawa waris-waris hanya boleh mewarisi harta pusaka si mati setelah segala wasiat dan hutang telah dibayar.  Apabila isu mengenai liabiliti harta pusaka dibangkitkan, dan cadangan agar wang simpanan dan KWSP si mati digunakan untuk membayar pinjaman perumahan dahulu, ianya ditentang dengan hebat oleh keluarga si mati dan menuduh pula isteri si mati hendak menipu mereka dari hak mereka. Mereka berkeras menuntut bahagian mereka dalam wang simpanan dan KWSP si mati apabila Surat Mentadbir Harta Pusaka dikeluarkan kelak.

Masalah juga timbul apabila isteri si mati melantik peguam untuk mengendalikan Surat Mentadbir Harta Pusaka si mati dan Perintah Pembahagian (berdasarkan sijil faraidh yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dari negeri yang berkenaan).  Keluarga suami tidak mahu isteri menjadi pentadbir dan akhirnya petisyen untuk Memohon Surat Mentadbir Harta Pusaka lewat difailkan di Mahkamah. Keluarga suaminya juga melantik peguam yang lain atas alasan untuk menjaga kepentingan mereka. Mereka lupa tanggungjawab mereka untuk menjaga keluarga si mati, dan tidak mengambil kira pembayaran pinjaman perumahan yang dibuat oleh isteri si mati setiap bulan kepada pihak bank.

Apabila persoalan ini dibangkitkan kepada keluarga suami, mereka menjawab rumah tersebut patut dijual bagi melangsaikan hutang si mati. Keluarga suami terlupa untuk mengambilkira bahawa walaupun rumah tersebut dapat dijual, hampir 90% wang jualan digunakan untuk membayar pihak bank.

Isteri dan anak-anak terpaksa menempuhi pelbagai masalah dari keluarga suami dan setelah beberapa tahun barulah segala urusan harta pusaka si mati selesai. Isteri dan anak-anak si mati hilang tempat tinggal mereka dan terpaksa menyewa rumah yang lain. Akhirnya, isteri dan anak-anak si mati hanya mewarisi sedikit sahaja dari pembahagian wang simpanan, wang EPF dan baki wang penjualan rumah si mati memandangkan keluarga suami adalah besar.

Kes seperti ini bukanlah satu kes yang tersendiri (isolated case) tetapi pada hakikatnya berlaku dalam kebanyakan keluarga masyarakat Islam di Malaysia.  Banyak ketidakadilan berlaku atas nama Islam. SIS ingin menyatakan beberapa masalah yang sama yang selalu dihadapi oleh isteri-isteri dalam cuba menyelesaikan harta pusaka si mati:-

  • Waris-waris kurang faham tanggungjawab mereka dari segi Islam mengenai harta pusaka. Kebanyakan waris-waris lelaki beranggapan bahawa mendapat bahagian yang lebih adalah satu hak mutlak tanpa apa-apa tanggungjawab;
  • Waris-waris, terutama keluarga suami hanya memikirkan harta pusaka si mati tanpa mengambil kira segala bebanan yang sedia ada, mahupun kedudukan kewangan/bebanan isteri dan anak-anak si mati;
  • Banyak kes-kes harta pusaka tidak diselesaikan sehingga hari ini walaupun si mati telah lama meninggal dunia kerana waris-waris tidak mahu menandatangani dokumen-dokumen yang berkenaan untuk difailkan bersama petisyen Memohon Surat Mentadbir Harta Pusaka, tidak mempercayai isteri si mati, tidak setuju melantik isteri sebagai pentadbir, tidak memahami prosedur memohon Surat Mentadbir Harta Pusaka mengakibatkan isteri dan anak-anak si mati menderita.

Berdasarkan kepada di atas, SIS mencadangkan agar ditubuh suatu jawatankuasa untuk menolong waris-waris menguruskan harta pusaka, di mana satu mediasi diadakan di antara kesemua waris, dan tugas utama jawatankuasa ini adalah untuk menasihati kesemua waris mengenai perkara-perkara di bawah untuk mengelakkan pembaziran masa dan pertelingkahan di antara keluarga:-

  • Prosedur memohon Surat Mentadbir Harta Pusaka, di mana kesemua waris dikehendaki menandatangani penolakan (menolak hak mereka menjadi pentadbir dalam harta pusaka si mati, dan bersetuju dengan perlantikan pentadbir yang dicadangkan), menandatangani perlantikan isteri sebagai “Trustee” sekiranya anak-anak masih kecil, menandatangani Affidavit Persetujuan mengenai pembahagian harta melalui hukum faraidh atau permufakatan, jangkamasa untuk memperolehi Surat Mentadbir harta Pusaka, kos peguam atau kos permohonan di Pejabat Tanah;
  • Menerangkan kesemua aset dan liabiliti dalam harta pusaka si mati, dan di mana kesemua liabiliti mestilah dibayar dahulu dari aset-aset si mati;
  • Menerangkan tanggungjawab keluarga suami untuk menjaga dan menyediakan rumah bagi isteri dan anak-anak si suami yang merupakan lebih penting dari pembahagian harta pusaka;
  • Mengeluarkan perintah kepada waris-waris yang enggan bekerjasama dengan waris-waris dalam segala hal berhubung dengan harta pusaka si mati.

Salah satu masalah yang ketara yang juga dihadapi oleh isteri dan anak-anak ialah ketiadaan wang membawa kes ini ke Mahkamah sekiranya ada waris-waris yang enggan untuk bekerjasama.  Di dalam kes yang dikendalikan oleh Pejabat Tanah pula, walaupun kos adalah rendah, tetapi ianya memakan masa yang lama apabila ada waris yang tidak bekerjasama memandangkan Pejabat Tanah tidak bersikap tegas terhadap mereka.   Oleh yang demikian, jawatankuasa ini mestilah mempunyai kuasa untuk memerintah mana-mana waris yang enggan bekerjasama untuk membuat apa yang harus dibuat bagi menyelesaikan harta pusaka si mati.

Sistem faraidh patut dikaji semula dar segi perlaksanaannya memandangkan keadaan masyarakat yang kini sudah jauh berbeza dari keadaan masyarakat semasa ayat ini diturunkan oleh Allah swt. Konsep di mana satu keluarga yang terdiri daripada beberapa generasi tinggal di bawah satu bumbung (extended family) dan menjaga di antara satu sama lain sudah lama tidak diamalkan lagi dalam masyarakat Malaysia. Sekarang kebanyakan keluarga merupakan “keluarga nukleus” iaitu terdiri daripada ibubapa dan anak-anak sahaja.  Faktor-faktor seperti siapa yang menjaga ibubapa mereka yang tua dari segi bantuan kewangan, keperluan dan jagaan perubatan, sokongan emosi dll., adik beradik lelaki yang tidak bertanggungjawab atau salah seorang waris adalah penagih dadah perlu diambilkira dalam membahagikan harta pusaka agar lebih sesuai dan adil.

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email