No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Fatwa: Bolehkah keputusan Jawatankuasa Fatwa di semak melalui semakan kehakiman?

Setiap negeri di Malaysia mempunyai Jawatankuasa Fatwa tersendiri. Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM), dalam percubaan untuk menyeragamkan keputusan fatwa telah menggariskan satu panduan tentang pengeluaran fatwa untuk negeri-negeri di Malaysia. Di dalam panduan tersebut, Jawatankuasa Fatwa memainkan peranan dalam mengeluarkan fatwa di bawah dua situasi iaitu:

  • Mengeluarkan pandangan hukum atau fatwa atas sesuatu persoalan yang diajukan kepadanya atau yang menimbulkan pertikaian berkaitan dengan hukum syarak.
  • Menimbangkan hukum yang telah dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa MKI mengenai isu yang ada hubungan dengan kepentingan nasional.

Jawatankuasa Fatwa boleh mengeluarkan fatwa di atas perintah Raja yang memerintah atau atas initiatif sendiri. Setiap fatwa yang dikeluarkan akan merujuk kepada hukum yang terdapat di dalam Al-Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qiyas. Ini termasuklah beberapa kitab yang dijadikan bahan rujukan yang telah dibahagikan mengikut kepentingan dalam proses memutuskan satu fatwa. Jika bahan-bahan rujukan ini tidak mencukupi atau tidak menyentuh tentang isu yang dibincangkan di dalam fatwa tersebut, maka ijtihad dan kepentingan awam akan di gunakan sebagai sumber pembincangan.

Untuk memutuskan satu fatwa, Jawatankuasa Fatwa hendaklah membuat penyelidikan tentang isu yang berkaitan dengan fatwa tersebut. Selepas penyelidikan selesai, ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa akan membincangkan tentang usul dan ciri-ciri fatwa sebelum membuat sesuatu keputusan fatwa. Fatwa yang telah diputuskan hendaklah mempunyai tajuk hukum atau fatwa, muqadimmah keputusan, latar belakang isu, hujah, dalil dan hukum. Ini kerana Fatwa akan membawa kesan perundangan bila ia diwartakan.

Malangnya, tiada dalam peruntukan garis panduan mahupun undang-undang yang membenarkan semakan fatwa bagi mereka yang terkesan dengan keputusan fatwa tersebut. Garis panduan yang diberikan oleh JAKIM hanya mengutamakan penyelidikan dan tidak menitik beratkan kualiti atau ketulusan penyelidikan tersebut. Konsultasi dalam penyediaan penyelidikan juga tidak di nyatakan dan ia tidak perlu di semak oleh orang lain.

Kewujuduan semakan kehakiman boleh memastikan keputusan yang di buat oleh badan-badan berkuasa dikawal daripada penyalahgunaan kuasa. Kekurangan proses semakan ini adalah bertentangan dengan hak asasi yang telah dijamin oleh Perlembagaan. Semakan kehakiman berfungsi sebagai satu mekanisme untuk memastikan bahawa badan-badan kehakiman bertindak mengikut undang-undang.

Dalam kes Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan Bhd v Transport Workers’ Union mahkamah menyatakan:

“Dalam keputusan saya, prinsip yang benar adalah seperti berikut. Satu tribunal ‘inferior’ atau mana-mana pihak berkuasa yang boleh membuat keputusan, sama ada mempunyai kuasa separa-kehakiman atau administrative, tidak mempunyai hak untuk membuat kesalahan dari segi undang-undang. Oleh itu, ia bukan lagi satu kebimbangan sama ada kesilpan dibuat dibawah bidang kuasa atau tidak. Jika sesebuah badan separa kehakiman atau mana-mana pihak berkuasa membuat kesilapan, kesilapan itu telah melampaui batas bidang kuasa. Bila bidang kuasa telah dilampaui, maka ia telah melakukan ketidakadilan dari segi prosedur atau dimana keputusan itu tidak munasabah, dalam maksud bahawa tiada mana-mana tribunal bawah situasi yang sama akan membuat keputusan sebegitu.

… oleh itu, sebuah tribunal ‘inferior’ tidak mempunyai bidang kuasa untuk melalukan kesilapan dari segi undang-undang, dan keputusannya tidak kebal daripada semakan kehakiman.’

Dalam kes R Rama Chandran v The Industrial Court of Malaysia & Anor Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa keputusan tribunal ‘inferior’ boleh di semak atas sebab ‘ketidaksahihan’, ‘tidak munasabah’, dan ‘tidak berkadar’ di mana mahkamah di bolehkan untuk meneliti keputusan berdasarkan proses dan sebab-sebab yang diberikan.

Dalam kes Ahmad Jefri bin Mohd Jahri @ Md Johari v Pengarah Kebudayaan & Kesenian Johor & Ors, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa ada beberapa elemen penting sebelum membuat semakan kehakiman iaitu perkara tersebut mestilah berkaitan dengan undang-undang awam.

Disebabkan pengeluarkan fatwa akan menyebabkan kesan dari segi undang-undang, ia boleh didefinasikan sebagai satu tribunal. Oleh itu, keputusan pengeluaran fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa boleh di semak semula dengan semakan kehakiman.

Pandangan bahawa mahkamah sivil tidak boleh campur tangan dalam perkara-perkara yang menyentuh agama Islam boleh dirujuk kepada kes Indira Gandhi, dimana Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa walaupun murtad jatuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah seperti yang tertera di bawah Perkara 121(1A), ia tidak bermaksud ia boleh mengenepikan bidang kuasa mahkamah sivil hanya kerana ia perkara yang berkaitan dengan Islam. Mahkamah Persekutuan menyatakan:

Kuasa semakan kehakiman dan perlembagaan atau pentakrifan undang-undang adalah penting bagi bidang kuasa mahkamah sivil di bawah Perkara 121(1). … Sebagai sebahagian daripada struktur asas perlembagaan, ia tidak boleh diambil-alih daripada mahkamah sivil mahupun diberikan kepada Mahkamah Syariah…

Oleh Itu, semakan kehakiman ini amatlah penting untuk melindungi hak individu yang tertakluk dibawah Perlembagaan Persekutuan untuk memastikan tiada penyalahgunaan kuasa yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.


Advocacy, Legal Services and Research (ALSR) UNIT

SIS Forum (Malaysia)

17 Disember 2021

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email