No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Dapatan 10 tahun Telenisa menyingkap halangan berterusan yang dihadapi oleh perempuan Muslim dalam mendapatkan keadilan


Tarikh: 18 Jun 2026

KENYATAAN MEDIA
UNTUK SIARAN SEGERA

DAPATAN 10 TAHUN TELENISA MENYINGKAP HALANGAN BERTERUSAN YANG DIHADAPI OLEH WANITA MUSLIM DALAM MENDAPATKAN KEADILAN

SIS Forum (Malaysia) melancarkan penerbitan 10 Tahun (2016–2025) dan Statistik dan Dapatan Telenisa 2025 yang mengumpulkan satu dekad  pengalaman dan bukti wanita Muslim dalam mendapatkan keadilan ketika berurusan dengan sistem perundangan Syariah.

Petaling Jaya, 18 Jun 2026 – SIS Forum (Malaysia) hari ini melancarkan penerbitan 10 Tahun  (2016–2025) dan Statistik dan Dapatan Telenisa 2025, yang mengumpulkan satu dekad data dan pengalaman wanita Muslim dalam mendapatkan keadilan ketika berurusan dengan sistem perundangan Syariah.

Penerbitan ini mengetengahkan isu yang berulang sejak sedekad lalu, termasuklah kesukaran mendapatkan dan menguatkuasakan perintah nafkah, kelewatan dalam proses mahkamah, ketidakselarasan pelaksanaan undang-undang keluarga Islam antara negeri, keganasan rumah tangga serta cabaran mendapatkan maklumat dan bantuan perundangan.

Majlis pelancaran ini dihadiri pembuat dasar, pengamal undang-undang, penyelidik, wakil masyarakat sivil dan orang awam untuk meneliti dapatan yang dikumpulkan melalui Klinik Bantuan Guaman Telenisa (Telenisa), iaitu satu khidmat nasihat guaman percuma yang dikendalikan oleh SIS Forum (Malaysia). Program tersebut telah disempurnakan oleh YB Nurul Syazwani Noh, Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang, dan turut menampilkan ucapan khas daripada YB Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh, serta wakil Yayasan Sime Darby dan SIS Forum (Malaysia).

Dalam ucapan perasmiannya, YB Nurul Syazwani Noh berkata:

“Pengalaman dan data yang direkodkan oleh  Telenisa sepanjang 10 tahun lalu memberikan gambaran jelas tentang realiti yang dihadapi oleh ramai wanita dan keluarga. Dapatan yang disokong oleh bukti dan data seperti ini amat penting untuk memperkukuh dasar, menambah baik respons institusi dan memastikan capaian  kepada keadilan terus menjadi keutamaan dalam usaha meningkatkan kesejahteraan keluarga dan pembangunan sosial.”

Beliau turut menegaskan bahawa dapatan tersebut memberikan sumbangan yang bermakna kepada perbincangan berterusan mengenai penambahbaikan kerangka perundangan dan institusi yang memberi kesan kepada wanita dan kanak-kanak.

Ditubuhkan pada tahun 2003, Klinik Bantuan Guaman Telenisa menyediakan maklumat berkaitan undang-undang , khidmat nasihat dan rujukan kepada wanita Muslim yang berhadapan isu berkaitan perkahwinan, perceraian, nafkah, hak penjagaan anak, keganasan rumah tangga dan pelbagai permasalahan di bawah undang-undang keluarga Islam. Sejak tahun 2016, SIS Forum (Malaysia) telah menerbitkan laporan statistik dan dokumentasi pertanyaan yang diterima melalui Telenisa secara sistematik untuk  memberikan gambaran jelas  mengenai cabaran yang dihadapi wanita dalam mendapatkan keadilan melalui sistem perundangan Syariah.

Dapatan yang dikumpulkan sepanjang satu dekad ada menunjukkan pola yang berulang; memberikan gambaran  bukan sahaja permasalahan  individu, malah mencakupi masalah  yang lebih luas dari segi struktur dan institusi. Antara isu yang paling kerap dibangkitkan ialah kesukaran mendapatkan dan menguatkuasakan perintah nafkah, kelewatan serta halangan prosedur dalam proses mahkamah, ketidakselarasan pelaksanaan undang-undang keluarga Islam antara negeri, kurangnya pengetahuan mengenai hak dan saluran perundangan yang sedia ada,  kesan berterusan keganasan rumah tangga serta  ketidakstabilan kewangan terhadap kehidupan wanita dan anak-anak.

Bercakap semasa majlis pelancaran tersebut, Pengarah Eksekutif SIS Forum (Malaysia), Rozana Isa berkata bahawa dapatan yang direkodkan menunjukkan bahawa cabaran yang dihadapi wanita Muslim ini sangat penting dan masalah yang berulang ini  memerlukan perhatian dasar yang berterusan.

“Data Telenisa sepanjang 10 tahun menyampaikan satu mesej yang konsisten. Wanita terus berhadapan dengan kesukaran mendapatkan nafkah, berdepan dengan halangan dalam proses mahkamah dan mendapatkan jalan dan penyelesaian  yang berkesan. Data ini bukan sekadar angka. Ini adalah pengalaman sebenar wanita yang direkodkan tahun demi tahun. Apabila isu yang sama terus berulang sepanjang satu dekad dan turut tercatat dalam pelbagai dapatan nasional yang lain, ia perlu diberi perhatian serius dalam usaha memperbaiki dasar, amalan dan tanggungjawab institusi.”

Perkhidmatan Telenisa telah menerima sokongan daripada Yayasan Sime Darby sepanjang 10 tahun yang lalu, membolehkan SIS Forum (Malaysia) terus menyediakan maklumat undang-undang,  khidmat nasihat guaman dan rujukan kepada wanita Muslim yang memerlukan bantuan berkaitan undang-undang keluarga Islam. Kerjasama jangka panjang ini telah menyumbang kepada proses dokumentasi pengalaman wanita dan data  yang dapat menyokong usaha pembaharuan undang-undang, pembangunan dasar awam dan penambahbaikan institusi.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sime Darby, Dr. Hjh. Yatela Zainal Abidin berkata:

“Capaian  kepada keadilan bukan sekadar isu perundangan, tetapi berkait rapat dengan kesejahteraan, keselamatan dan harga diri wanita, kanak-kanak serta keluarga. Yayasan Sime Darby berbangga dapat memberi sokongan kepada  Klinik Bantuan Guaman Telenisa sejak tahun 2016 dengan komitmen melebihi RM2.5 juta bagi memastikan khidmat nasihat guaman percuma terus dapat dinikmati  oleh mereka yang memerlukannya. Sepanjang tempoh tersebut, Telenisa telah membantu lebih daripada 4,500 individu, menjangkau lebih 50,000 orang melalui program kesedaran dan jangkauan komuniti, serta melatih lebih 230 peguam dalam latihan  yang bakal menyumbang kepada profesion guaman negara.”

“Selain memberikan bantuan secara langsung, Telenisa juga telah berkembang menjadi platform advokasi berasaskan pengalaman dan bukti. Melalui proses  dokumentasi pengalaman sebenar dan cabaran berulang yang dihadapi wanita, penerbitan ini menyediakan maklumat yang bernilai untuk menyokong wacana awam, perbincangan dasar dan usaha berterusan untuk memperkukuhkan sistem perundangan Syariah serta akses kepada keadilan.”

Banyak isu yang direkodkan oleh Telenisa sepanjang sedekad lalu dan turut dikenal pasti oleh pengkalan data kerajaan, perbahasan Parlimen dan pelbagai kajian rasmi berkaitan kesejahteraan keluarga, penguatkuasaan nafkah, keganasan rumah tangga serta capaian  kepada keadilan. Persamaan dapatan ini menunjukkan bahawa isu yang dibangkitkan oleh wanita melalui Telenisa bukanlah kes terpencil, malah  mencerminkan cabaran yang lebih luas dan memerlukan perhatian berterusan daripada pembuat dasar serta institusi berkaitan.

Salah satu isu yang penting dalam dapatan Telenisa ialah nafkah dan sokongan kewangan selepas perceraian. Ramai wanita melaporkan kesukaran mendapatkan perintah nafkah, menguatkuasakan perintah yang telah diberikan mahkamah serta memperoleh sokongan kewangan yang sewajarnya untuk anak-anak mereka. Keadaan ini menyebabkan wanita dan anak-anak sering berdepan dengan tekanan kewangan yang berterusan. Ini menunjukkan keperluan untuk memperkukuhkan mekanisme pematuhan dan penguatkuasaan perintah mahkamah. Dapatan ini juga mengukuhkan tuntutan yang telah lama dibangkitkan demi mewujudkan pendekatan yang lebih berkesan dan selaras dalam penguatkuasaan nafkah.

Cadangan-cadangan yang dikemukakan dalam penerbitan 10 Tahun  (2016–2025) berasaskan bukti,pemerhatian  serta pengalaman yang dikumpulkan sepanjang satu dekad untuk membantu wanita di Malaysia. Cadangan tersebut merangkumi usaha memperkukuhkan akses kepada keadilan, menambah baik penguatkuasaan nafkah, meningkatkan literasi dan capaian  kepada maklumat perundangan, memperkukuhkan tanggungjawab institusi serta memastikan pentadbiran undang-undang keluarga Islam yang selari dengan prinsip keadilan, kesaksamaan dan melindungi kebajikan keluarga.

Majlis pelancaran turut membentangkan Dapatan  10 Tahun  (2016–2025) dan Statistik dan Dapatan Telenisa 2025, diikuti forum bertajuk “10 Tahun Penerbitan Telenisa: Memperkasa Akses kepada Keadilan dan Pembaharuan  Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia” yang membincangkan langkah-langkah ke arah sistem sokongan yang lebih responsif dan berkesan untuk wanita dan keluarga.

Ketika Malaysia terus berusaha menangani pelbagai isu berkaitan kesejahteraan keluarga, keselamatan ekonomi dan akses kepada keadilan, penerbitan Telenisa menawarkan sumber rujukan yang penting kepada pembuat dasar, pihak berkuasa agama, pengamal undang-undang dan organisasi masyarakat sivil dalam merangka pembaharuan  berasaskan data dan maklumat.

Mengenai Telenisa

Telenisa ialah perkhidmatan klinik bantuan guaman percuma ditubuhkan oleh SIS Forum (Malaysia)  pada tahun 2003 dan menyediakan maklumat undang-undang,  khidmat nasihat dan rujukan kepada wanita Muslim. Melalui talian bantuan guaman ini, Telenisa membantu wanita yang berhadapan pelbagai isu berkaitan undang-undang keluarga Islam serta menjadi sumber penting dalam mendokumentasi cabaran yang dihadapi oleh wanita untuk mendapatkan keadilan.

Mengenai SIS Forum (Malaysia)

SIS Forum (Malaysia) adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang komited mempromosikan keadilan, kesaksamaan dan kemuliaan insan dalam Islam serta memperjuangkan hak wanita Muslim melalui penyelidikan, pendidikan awam, advokasi dan perkhidmatan sokongan perundangan.

Hubungan MediaAmeena Siddiqi
Pengurus Komunikasi
SIS Forum (Malaysia)
Mobile: +6 012-380 1049 | Tel: +603 7960 5121 | Fax: +603 7960 8737
No.4, Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Nota: Ringkasan media


RINGKASAN MEDIA

PENEMUAN 10 TAHUN TELENISA MENYINGKAP HALANGAN BERTERUSAN TERHADAP CAPAIAN KEPADA KEADILAN YANG DIHADAPI OLEH WANITA MUSLIM

Analisis terhadap 4,761 klien sepanjang tempoh sepuluh tahun menunjukkan cabaran yang berulang terutama dalam penguatkuasaan nafkah, keganasan rumah tangga, capaian kepada jalan dan penyelesaian dan pelaksanaan hak di bawah undang-undang keluarga Islam.

MENGAPA IA PENTING

Selama lebih dua dekad, Klinik Bantuan Guaman Telenisa (Telenisa) telah menyediakan maklumat, nasihat dan sokongan perundangan kepada wanita Muslim yang berdepan dengan pelbagai isu berkaitan sistem perundangan Syariah.

Ditubuhkan pada tahun 2003 oleh SIS Forum (Malaysia), Telenisa diwujudkan untuk membantu wanita mendapatkan panduan berhubung perkara-perkara berkaitan perkahwinan, perceraian, nafkah, keganasan rumah tangga, hak penjagaan anak dan isu-isu lain di bawah undang-undang keluarga Islam. Dari masa ke semasa, Telenisa berkembang menjadi lebih daripada sekadar perkhidmatan nasihat guaman. Ia turut menjadi sumber  penting yang mendokumentasi bagaimana undang-undang, dan dasar  dilaksanakan, serta pengalaman yang dialami oleh wanita dalam mencari keadilan.

Pelancaran 10 Tahun  (2016–2025) bersama Statistik dan Dapatan  Telenisa 2025 adalah penerbitan pertama yang mengumpul  dan menganalisis data selama sepuluh tahun melalui khidmat Telenisa.

Berdasarkan pengalaman 4,761 klien, analisis ini menunjukkan pelbagai cabaran berulang yang terus memberi kesan terhadap wanita Muslim serta keluarga mereka. Data yang dikumpulkan menunjukkan  banyak kesukaran yang dihadapi oleh wanita berpunca daripada halangan dalam pelaksanaan, penguatkuasaan, tanggungjawab  dan akses kepada jalan dan penyelesaian yang berkesan.

Dapatan  ini menjadi  salah satu sumber dan bukti mengenai pengalaman wanita Muslim yang berurusan dengan sistem perundangan Syariah. Ia juga menjadi  penemuan penting bagi pembuat dasar, pengamal undang-undang, penyelidik dan institusi yang berusaha untuk memperkukuh akses kepada keadilan.

Penemuan Telenisa juga selari dengan kebimbangan yang telah lama dibangkitkan oleh agensi yang berkaitan, pengamal undang-undang dan penyelidik berhubung isu penguatkuasaan nafkah, keganasan rumah tangga, keruntuhan institusi keluarga, kerentanan ekonomi dan capaian kepada jalan dan penyelesaian yang berkesan. Oleh itu, dapatan ini wajar diberikan perhatian dalam perbincangan mengenai reformasi undang-undang, dasar dan institusi.

PENEMUAN UTAMA DARIPADA DATA SEPULUH TAHUN (2016–2025)

1. Nafkah Anak Kekal Menjadi  Cabaran kepada Keadilan   yang Dihadapi Wanita dan Kanak-Kanak

Permasalahan berkaitan nafkah adalah  konsisten dalam data Telenisa sepanjang tempoh sepuluh tahun.

Kes tunggakan nafkah anak merekodkan jumlah tertinggi dalam kategori kes berkaitan kanak-kanak, manakala kegagalan membayar nafkah kekal antara isu yang paling kerap dilaporkan. Ramai wanita terus berdepan kesukaran menguatkuasakan perintah mahkamah dan mendapatkan bayaran nafkah secara konsisten walaupun telah memperoleh perintah yang memihak kepada mereka.

Bagi wanita dan kanak-kanak, nafkah bukan sekadar isu perundangan. Ia memberi kesan secara langsung kepada jaminan  kewangan, tempat tinggal, pendidikan dan kesejahteraan hidup.

Dapatan ini menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh mekanisme yang dapat memastikan perintah nafkah dipatuhi dan dikuatkuasakan dengan berkesan.

2. Keganasan Rumah Tangga Terus Menjejaskan Keselamatan, Harga Diri  dan Capaian  kepada Keadilan

Keganasan rumah tangga kekal antara isu utama yang dilaporkan kepada Telenisa.

Data menunjukkan bahawa keganasan yang dialami wanita melangkaui penderaan fizikal semata-mata. Keganasan psikologi, penderaan emosi, kawalan sosial dan penderaan ekonomi terus menjadi sebahagian daripada pengalaman ramai wanita untuk mendapatkan bantuan.

Keganasan rumah tangga sering berlaku selari dengan pertikaian nafkah, prosiding perceraian dan isu berkaitan anak-anak, sekali gus mewujudkan pelbagai halangan kepada wanita yang mencari perlindungan dan keadilan.

Corak yang berterusan sepanjang sepuluh tahun ini menunjukkan perlunya tindakan jitu daripada institusi berkaitan untuk memperkukuh, mengutamakan keselamatan mangsa, bertanggungjawab  dan membuka  jalan dan penyelesaian yang berkesan.

3. Wanita Terus Berdepan Halangan untuk Merealisasikan Hak yang Diperuntukkan di Bawah Undang-Undang

Salah satu dapatan  paling ketara daripada data sepuluh tahun ini adalah jurang  hak yang diperuntukkan di bawah undang-undang dan realiti  kehidupan sebenar.

Sama ada berkaitan nafkah, perlindungan daripada keganasan, harta sepencarian, hak penjagaan anak atau perkara lain di bawah undang-undang keluarga Islam, ramai wanita masih berdepan pelbagai halangan untuk mendapatkan jalan dan penyelesaian dan menguatkuasakan perintah  yang telah diberikan.

Dapatan ini menunjukkan bahawa akses kepada keadilan tidak hanya bergantung kepada  hak yang wujud dalam  undang-undang, malah  usaha institusi untuk memberikan keadilan yang berkesan dan bermakna.

4. Kerentanan (Marginalisasi) Ekonomi Mempengaruhi Capaian  Wanita kepada Keadilan

Sebahagian besar klien Telenisa  berpendapatan di bawah RM1,000 sebulan.

Ramai yang mendapatkan nasihat dan maklumat perundangan sebelum mengambil tindakan seterusnya, sekali gus menunjukkan betapa pentingnya khidmat sokongan perundangan yang mudah dicapai oleh  wanita yang berdepan kesukaran kewangan.

Dapatan ini menunjukkan bahawa kerentanan ekonomi sering memburukkan lagi keadaan sedia ada dan mengehadkan keupayaan wanita untuk membuat tuntutan, mendapatkan perwakilan undang-undang serta mengharungi proses tersebut. 

5. Kelewatan, Ketidakselarasan dan Halangan Prosedur Terus Mempengaruhi  Kes

Data menunjukkan ratusan kes masih berada dalam status tertangguh, termasuklah kes yang berlarutan untuk tempoh yang panjang.

Aduan berulang mengenai kelewatan, halangan prosedur dan pengalaman yang tidak konsisten menunjukkan bahawa  keputusan sesuatu kes sering dipengaruhi oleh cara undang-undang dilaksanakan dan amalan pentadbiran.

Dapatan ini menunjukkan keperluan memperkukuh tanggungjawab, kecekapan, ketelusan dan keselarasan dalam pentadbiran undang-undang keluarga Islam.

APA YANG DITUNJUKKAN OLEH DAPATAN TELENISA 2025

Dapatan terkini menunjukkan bahawa isu-isu yang dikenal pasti sepanjang sepuluh tahun lalu masih kekal relevan sehingga hari ini.

Telenisa merekodkan 561 klien pada tahun 2025 berbanding 188 klien pada tahun 2024, menunjukkan peningkatan ketara dalam permintaan terhadap bantuan dan khidmat nasihat yang disediakan.

Lebih tiga perempat daripada klien pada tahun 2025 merupakan klien baharu, manakala wanita mewakili  sembilan daripada  sepuluh individu yang mendapatkan bantuan.

Keganasan rumah tangga, kegagalan komunikasi dalam perkahwinan dan isu berkaitan nafkah kekal antara isu yang paling kerap dilaporkan, sekali gus mengesahkan corak yang telah dikenal pasti sepanjang tempoh sepuluh tahun.

APA YANG DITUNJUKKAN OLEH DATA

Dapatan Telenisa sepanjang sepuluh tahun menunjukkan banyak cabaran yang dihadapi wanita Muslim hari ini bukanlah isu baharu.

Kegagalan membayar nafkah, keganasan rumah tangga, kelewatan mendapatkan jalan dan penyelesaian  dan halangan terhadap  capaian kepada keadilan terus memberi kesan negatif kepada wanita dan kanak-kanak walaupun perlindungan undang-undang ada tersedia.

Secara keseluruhannya, dapatan ini menunjukkan banyak masalah yang dikenal pasti tidak berpunca daripada ketiadaan hak, tetapi  kelemahan dalam pelaksanaan, penguatkuasaan, tanggungjawab dan capaian  kepada keadilan.

Dapatan ini menyingkap keperluan kepada reformasi yang dapat memperkukuh institusi, menambah baik mekanisme penguatkuasaan dan memastikan hak yang diperuntukkan di bawah undang-undang dapat direalisasikan dalam amalan.

STATISTIK UTAMA

Data Telenisa Sepuluh Tahun (2016–2025)

IndikatorDapatan
Jumlah klien dibantu4,761
Klien wanita4,327 (90.9%)
Klien baharu3,467
Permintaan nasihat guaman3,400 (71.5%)
Klien berpendapatan bawah RM1,000 sebulan3,160 (66.4%)
Kes keganasan rumah tangga1,658
Kes tertangguh415
Kes tunggakan nafkah anak633
Kes nafkah anak367
Negeri dengan jumlah klien tertinggiSelangor (1,981) (41.61%)
Negeri kedua tertinggiKuala Lumpur (956) (20.08%)

Sorotan Telenisa 2025

IndikatorDapatan
Jumlah klien dibantu561
Peningkatan berbanding 202466.5%
Klien baharu428 (76.3%)
Klien berulang133 (23.7%)
Klien wanitaLebih 91%

CADANGAN SIS FORUM (MALAYSIA)

Menubuhkan Agensi Sokongan Kanak-Kanak dan Memperkukuh Penguatkuasaan Nafkah Anak

Dapatan Telenisa sepanjang sepuluh tahun menunjukkan bahawa permasalahan berkaitan nafkah kekal antara cabaran  berterusan yang dihadapi wanita dan kanak-kanak.

SIS Forum (Malaysia) menggesa penubuhan Agensi Sokongan Kanak-Kanak (Child Support Agency) atau mekanisme institusi yang setara bagi memperkukuh penguatkuasaan, pemantauan dan kutipan nafkah anak, meningkatkan pematuhan terhadap perintah mahkamah serta mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh wanita dan kanak-kanak.

Menambah Baik Capaian  kepada Keadilan dan Mengurangkan Halangan Prosedur

Wanita seharusnya dapat membuat tuntutan dan memperoleh jalan dan penyelesaian  tanpa berdepan kelewatan yang tidak munasabah, halangan prosedur atau kesukaran kewangan.

Pelaburan yang lebih besar diperlukan dalam bantuan guaman, perwakilan undang-undang dan perkhidmatan sokongan amat diperlukan, khususnya bagi wanita yang berpendapatan rendah.

Memperkukuh Tindakan terhadap Keganasan Rumah Tangga

Institusi berkaitan perlu mengamalkan pendekatan yang memihak kepada  mangsa dan mengiktiraf segala bentuk keganasan yang dialami wanita, termasuklah keganasan psikologi, emosi, sosial dan ekonomi.

Memperkukuh Tanggungjawab, Keseragaman dan Penyelarasan Antara Negeri

Capaian  kepada keadilan tidak seharusnya bergantung kepada tempat wanita itu tinggal.

Pelarasan  yang lebih baik dalam prosedur, pelaksanaan dan amalan pentadbiran antara negeri diperlukan bagi memastikan keputusan  yang lebih adil dan mengurangkan jurang dalam mencapai jalan dan penyelesaian.

PETIKAN MEDIA

“Dapatan Telenisa sepanjang sepuluh tahun menunjukkan banyak cabaran yang dihadapi wanita hari ini bukanlah perkara baharu. Kegagalan membayar nafkah, keganasan rumah tangga, kelewatan mendapatkan jalan dan penyelesaian, dan halangan kepada keadilan yang berulang menunjukkan perlunya tindakan daripada institusi yang lebih kukuh serta reformasi yang bermakna. Dapatan  ini menunjukkan bahawa persoalan bukan sekadar sama ada hak itu wujud di bawah undang-undang, tetapi sama ada hak tersebut dapat direalisasikan dalam amalan. Pengalaman sebenar wanita harus menjadi asas dalam usaha memperkukuh capaian dan memastikan pentadbiran undang-undang keluarga Islam dapat memberikan keadilan yang bermakna.”

Rozana Isa
Pengarah Eksekutif
SIS Forum (Malaysia)

MENGENAI TELENISA 

Telenisa ialah perkhidmatan klinik bantuan  guaman percuma yang ditubuhkan oleh SIS Forum (Malaysia) yang ditubuhkan pada tahun 2003 dan bagi menyediakan maklumat undang-undang, guaman, khidmat nasihat dan rujukan kepada wanita Muslim. Melalui talian bantuan dan klinik guaman ini, Telenisa membantu wanita yang berhadapan pelbagai isu berkaitan undang-undang keluarga Islam serta menjadi sumber penting dalam mendokumentasikan cabaran yang dihadapi oleh wanita untuk mendapatkan keadilan.

Sepanjang lebih dua dekad, Telenisa  menjadi sumber dalam menyediakan bukti penting mengenai cabaran yang dihadapi wanita Muslim dalam mendapatkan keadilan, sekali gus menyumbang kepada usaha advokasi, pendidikan awam dan reformasi yang bertujuan memperkukuh akses kepada keadilan untuk wanita, kanak-kanak dan keluarga.

Penerbitan 10 Tahun Telenisa (2016–2025) menyingkap kepentingan untuk mendokumentasi pengalaman sebenar wanita dan memastikan pengalaman tersebut menjadi rujukan dalam usaha menambah baik undang-undang, dasar dan institusi.

Mengenai SIS Forum (Malaysia)

SIS Forum (Malaysia) adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang komited mempromosikan keadilan, kesaksamaan dan kemuliaan insan dalam Islam serta memperjuangkan hak wanita Muslim melalui penyelidikan, pendidikan awam, advokasi dan perkhidmatan sokongan perundangan.

Hubungan Media
Ameena Siddiqi
Pengurus Komunikasi
SIS Forum (Malaysia)
Email: [email protected]
Mobile: +6 012-380 1049 | Tel: +603 7960 5121 | Fax: +603 7960 8737
No.4, Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA 

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email