No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Buku Telenisa: Statistik & Dapatan 2020 Mengupas Isu
yang dihadapi oleh Wanita ketika Pandemik CoVid-19

Telenisa, klinik bantuan guaman di bawah Sisters in Islam (SIS) telah melancarkan buku Telenisa: Statistik & Dapatan 2020 menerusi platform Facebook Sisters in Islam (www.facebook.com/officialSIS/) dan Telenisa (www.facebook.com/telenisa.sis/) yang mengupas isu-isu yang dihadapi oleh wanita ketika Perintah Kawalan

Pergerakan (PKP) dilaksanakan untuk mengawal penularan CoVid-19. Beroperasi semenjak tahun 2003, klinik guaman Telenisa telah membantu lebih daripada 10,000 orang wanita dari semua lapisan masyarakat dan merupakan satu-satunya perkhidmatan nasihat undang-undang percuma di Malaysia yang memahami konteks dan rintangan yang dialami wanita untuk mendapatkan hak mereka dalam keluarga.

Pandemik CoVid-19 telah menyebabkan pelbagai masalah bagi ramai orang, terutamanya golongan wanita kerana kes keganasan rumah tangga melonjak naik sebaik sahaja PKP dijalankan. Sebelum PKP, Telenisa beroperasi setiap Selasa hingga Khamis dari pukul 9 pagi hingga 5 petang. Sebagai usaha untuk membantu wanita ketika PKP, Telenisa telah melanjutkan waktu operasi iaitu dari 9 pagi hingga 10 malam dan juga hari operasi kepada setiap Isnin hingga Jumaat. Telenisa juga telah memperluaskan platformnya dari talian tetap ke WhatsApp dengan nombor 012-8123424 untuk memudahkan situasi bagi klien yang menghadapi kesukaran untuk membuat panggilan tetap kerana keadaan di rumah.

Buku Telenisa: Statistik & Dapatan 2020 ini juga merupakan usaha kami untuk mengetengahkan realiti hidup golongan wanita menerusi isu-isu yang dihadapi ketika pandemik CoVid-19 dan PKP. Untuk tahun 2020, Telenisa telah menerima seramai 422 orang klien, satu penurunan dari 610 orang pada 2019. Seramai 364 orang merupakan klien baru, manakala 58 orang adalah klien ulangan. Sejumlah 373 orang klien terdiri daripada wanita (88%), 31 orang klien adalah lelaki (7%) dan 18 (5%) orang klien tidak dikenal pasti. “Tidak dikenal pasti” bermakna bahawa klien tidak mendedahkan gender mereka. Penurunan jumlah klien ini berkemungkinan disebabkan kesan musim pandemik.

Statistik Telenisa tahun 2020 menyebut keganasan rumah tangga sebagai penyumbang utama kepada keruntuhan perkahwinan yang direkodkan setinggi 23% berbanding dengan 15% pada tahun 2019. Klien yang telah berhadapan dengan isu-isu keganasan menyatakan mereka telah mengharungi pelbagai bentuk keganasan dan penderaan ketika musim pandemik. Antara bentuk keganasan yang dialami adalah penderaan fizikal yang direkodkan pada 37%, penderaan psikologi pada 31%, penderaan sosial pada 11%, penyalahgunaan kewangan pada 16%, dan keganasan seksual pada 5%.

Pemerhatian Telenisa memberi pencerahan bahawa tuntutan harta sepencarian oleh isteri telah mengalami penurunan untuk beberapa tahun. Kebanyakan klien kami tidak menyedari tentang hak yang mereka ada sebagai isteri dan suri rumah. Pada tahun 2018, peratusan tuntutan harta sepencarian berada pada tahap 27%, namun ia kemudiannya menurun ke 20% pada tahun 2019 dan seterusnya menurun lagi ke 17% pada tahun 2020. Ini kerana, lazimnya, suri rumah membuat anggapan yang salah bahawa mereka tiada hak untuk menuntut harta sepencarian kerana mereka tidak memberi sumbangan dalam bentuk kewangan. Maklum balas daripada klien kami turut mendedahkan di mana anggapan salah tersebut sering diberitahu oleh suami supaya mereka tidak membuat tuntutan ke atas harta sepencarian.

Selain itu, statistik Telenisa juga menunjukkan punca perceraian yang lain di mana ia melibatkan kes-kes suami gagal memberi nafkah pada 18%. Suami yang tidak memberi nafkah kepada isteri yang tidak bekerja atau tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi akan memaksa isteri tersebut mencari pekerjaan baru atau pendapatan tambahan yang lain. Seperti yang kita sedia maklum, peluang pekerjaan ketika musim pandemik amat terjejas dan ini mempunyai kesan terhadap kewangan keluarga secara keseluruhan.

Menurut tinjauan ini lagi, timbulnya dua punca baharu pada tahun 2020 berkenaan keruntuhan rumah tangga yang tidak pernah dilaporkan pada tahun sebelumnya iaitu masalah kewangan dan poligami, masing-masing pada 10%. Seperti yang diketahui, ramai yang telah kehilangan punca rezeki ketika pandemik ini yang menyebabkan masalah kewangan serta meletakkan beban ekonomi yang lebih berat ke atas isi rumah. Ketika pandemik ini juga, terdapat beberapa kes di mana sesetengah isteri hanya mendapat tahu suami mereka telah mengahwini isteri baru tanpa restu atau kebenaran mereka.

Sepanjang tahun 2020, Telenisa menerima pertanyaan sebanyak 52% berkenaan kes-kes hak penjagaan anak. Peratusan ini melonjak naik daripada 2% pada 2019. Ini diikuti dengan pertanyaan berkenaan hak lawatan pada 39%, peratusan yang menurun daripada 88% pada 2019. Pertanyaan berkenaan perampasan anak pada 9% turut menurun sedikit daripada 10% pada tahun 2019. Daripada pemerhatian kami, terdapat perubahan besar mengenai keprihatinan ibu bapa terhadap hak penjagaan anak ketika musim pandemik jika dibandingkan dengan tahun 2019. Ini disebabkan oleh larangan rentas negeri yang telah menghadkan pergerakan ibu atau bapa yang mempunyai hak lawatan anak.

Musim pandemik ini membawa kesan yang berbeza ke atas wanita dan lelaki. Wanita lebih terdedah kepada kemudaratan seperti penderaan fizikal, emosi dan psikologi yang disebabkan oleh konflik dan tekanan keadaan.

Untuk menangani isu-isu yang dihadapi wanita dan kanak-kanak terutamanya ketika pandemik ini, SIS mengadvokasikan agar hukuman yang lebih berat dikenakan terhadap suami yang gagal memenuhi tanggungjawab nafkah kepada isteri dan anak-anak. SIS seringkali mengadvokasikan agar pihak kerajaan menubuhkan Agensi Nafkah Anak Persekutuan untuk menaksir, mengumpul dan melangsaikan nafkah-nafkah tertunggak bagi anak-anak yang ibu bapanya telah berpisah atau bercerai. Tujuan agensi ini adalah untuk menyediakan dana yang secukupnya bagi anak-anak, menjadikan nafkah anak sebagai bayaran automatik dan berterusan tanpa memerlukan perintah mahkamah untuk menuntut nafkah dari bapa-bapa yang gagal menyediakannya.

Selain itu, SIS menyarankan agar Undang-Undang Keluarga Islam dipinda dan mewujudkan syarat-syarat yang lebih ketat di bawah undang-undang untuk mewajibkan si suami mengisytiharkan kesemua aset dan tanggungan apabila memohon untuk berpoligami di hadapan mahkamah dan mempertimbangkan keupayaan kewangannya sebelum berkahwin lagi. Tambahan lagi, perintah mahkamah harus dikeluarkan untuk mengarahkan suami menyediakan nafkah untuk kebajikan isteri yang terdahulu serta anak-anak untuk memastikan bahawa tiada wanita atau anak-anak ditinggalkan tanpa nafkah atau tersisih disebabkan poligami.

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email