Penemuan Kajian Mendedahkan Keperluan Mendesak untuk Reformasi Undang-Undang dan Sokongan Kewangan yang Lebih Kukuh
Sisters in Islam (SIS), dengan sokongan Kedutaan Switzerland di Malaysia dan Yayasan IOI, hari ini melancarkan dapatan daripada satu kajian penting mengenai hak kewangan wanita Muslim berpendapatan rendah selepas perceraian. Majlis yang berlangsung di hotel St. Giles Boulevard, Kuala Lumpur ini menghimpunkan pakar perundangan, pejuang hak wanita, peserta wanita, dan wakil media bagi menyorot cabaran sistemik yang dihadapi oleh wanita Muslim yang bercerai dalam sistem perundangan keluarga Islam di Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Kajian yang melibatkan 124 wanita Muslim daripada golongan berpendapatan rendah B40 ini mendedahkan jurang ketara antara hak kewangan yang diperuntukkan di bawah undang-undang Islam dan realiti yang dihadapi oleh wanita dalam kehidupan sebenar.
Dapatan kajian menunjukkan pelbagai halangan dalam menuntut nafkah, harta sepencarian, dan sokongan kewangan selepas perceraian, dengan ramai wanita berdepan kesukaran akibat kekangan birokrasi, kewangan, dan sosial.
Dapatan Utama:
- Cabaran Kewangan: Kebanyakan responden memperoleh pendapatan antara RM1,000 hingga RM3,999 sebulan, dengan perbelanjaan isi rumah sering melebihi pendapatan sebanyak 5% hingga 14%. Beban hutang termasuk pinjaman perumahan, kereta, peribadi, dan bil perubatan.
- Kadar Kejayaan Tuntutan Undang-Undang yang Rendah: Hanya 12.9% wanita yang memfailkan tuntutan harta sepencarian menerima apa yang sepatutnya, manakala hanya 5.6% berjaya mendapatkan nafkah. Banyak kes mengambil masa lebih dua tahun untuk diselesaikan.
- Isu Penguatkuasaan: Walaupun telah ada keputusan mahkamah, ramai bekas suami mengabaikan perintah mahkamah dalam pemberian nafkah, dan menyebabkan wanita dan anak-anak mengalami kesulitan kewangan.
- Kesan Emosi dan Kesihatan: Ramai wanita mengalami tekanan emosi yang teruk, kemurungan, serta masalah kesihatan kronik seperti diabetes, hipertensi, dan penyakit jantung.
Tindakan Segera
Kajian ini menggariskan cadangan komprehensif bagi memperkukuh keselamatan kewangan wanita Muslim yang bercerai, termasuk:
- Reformasi Undang-Undang: Mempermudahkan proses Mahkamah Syariah, memperkasakan penguatkuasaan perintah mahkamah, serta menyediakan bantuan guaman percuma atau bayaran rendah kepada wanita yang berpendapatan rendah.
- Pengukuhan Sokongan Kewangan: Memperluas program bantuan kerajaan serta meningkatkan sokongan NGO untuk ibu tunggal.
- Kempen Kesedaran Awam: Mendidik wanita mengenai hak kewangan mereka di bawah undang-undang keluarga Islam serta manfaat yang disediakan oleh Bahagian Sokongan Keluarga (BSK).
- Menubuhkan Agensi Sokongan Kanak-kanak: Memastikan sokongan kewangan yang konsisten dan boleh dikuatkuasakan untuk kanak-kanak selepas bercerai.
Dalam ucapannya, Pengurus Komunikasi SIS, Ameena Siddiqi, menekankan kepentingan dapatan kajian ini:
“Kajian ini mendedahkan realiti pahit yang dihadapi oleh wanita Muslim yang bercerai, di mana halangan sistemik bukan sahaja menafikan mereka keadilan tetapi juga memaksa mereka ke dalam kemiskinan. Kita perlu menangani cabaran ini melalui reformasi undang-undang yang lebih kukuh, mekanisme penguatkuasaan yang lebih tegas, dan program sokongan yang memberi keutamaan kepada kebajikan wanita serta anak-anak mereka.”
Ucapan dan Pandangan
Ahli Lembaga Pengarah SIS, Shareena Sheriff, menekankan perubahan sistemik untuk melindungi dan memperkasa wanita:
- Mempertingkatkan Kesedaran dan Menuntut Penguatkuasaan: Wanita mesti mengetahui hak kewangan mereka, dan pihak berkuasa mesti memastikan hak ini dipertahankan.
- Perluaskan Bantuan Guaman dan Sokongan: Memastikan bantuan guaman adalah percuma dan senang didapati agar tiada wanita dinafikan haknya hanya kerana mereka mempunyai kekangan kewangan.
- Perkasa Program Pembangunan Ekonomi: Melabur dalam latihan vokasional, pendidikan kewangan, dan peluang pekerjaan untuk wanita yang bercerai.
- Menguatkuasakan Penalti terhadap Bekas Suami yang Ingkar: Melaksanakan penguatkuasaan yang lebih ketat untuk memastikan bekas suami menunaikan tanggungjawab kewangan mereka.
- Ubah naratif: Wanita yang bercerai bukanlah satu kegagalan, bukan satu beban, dan bukan satu liabiliti. Mereka adalah pejuang, ibu, dan individu yang berhak mendapat penghormatan, maruah, dan keselamatan.
Datuk Ismail Yahya, Mantan Ketua Hakim Syariah berkata:
“Undang-undang Islam sudah sedia cantik dan lengkap, tetapi pelaksanaannya di mahkamah tidak selari dengan peruntukan yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, Seksyen 47 Enakmen/ Akta Undang-Undang Keluarga Islam memperuntukkan bahawa semua tuntutan berkaitan hendaklah dikemukakan serentak dengan permohonan perceraian. Pihak kerajaan dan pihak kerajaan yang berkaitan mesti melaksanakan perubahan sistemik untuk memperkukuh amalan perundangan dan memastikan sokongan yang sewajarnya sampai kepada wanita yang bercerai dan anak-anak mereka.”
Langkah ke Arah Perubahan
Majlis hari ini diakhiri dengan sesi panel perbincangan yang menampilkan SIS dan Merdeka Center, yang berkongsi dapatan kajian mereka. Perbincangan ini menegaskan keperluan bagi pendekatan berperspektif gender dalam sistem perundangan Syariah, dengan matlamat untuk mengembalikan maruah, keselamatan, dan keadilan kepada wanita Muslim yang bercerai di Malaysia.
Muat turun laporan di sini:
******