No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Belasungkawa: Tan Sri Adenan Satem

Sisters in Islam menyampaikan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Tan Sri Adenan Satem atas pemergian beliau.
Sebagai Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham merupakan seorang contoh pemimpin yang menyambut kepelbagaian rakyat negeri Sarawak dengan memupuk semangat toleransi antara rakyat yang berbilang kaum dan agama. Beliau telah memansuhkan penggunaan kategori “lain-lain” dalam borang rasmi kerajaan dan menggantikannya dengan nama suku kaum bumiputera Sarawak, seperti Dayak, Iban dan Bidayuh. Hak penganut agama selain daripada Islam juga dijaga. Sebagai contoh, beliau telah mengambil pendirian yang berbeza daripada pemimpin di Semenanjung Malaysia, di mana beliau tidak mengekang hak penganut agama Kristian di Sarawak untuk menggunakan perkataan “Allah” yang bererti tuhan, di dalam kitab mereka.

Namun, antara sumbangan Allahyarham yang akan paling dikenang oleh SIS, adalah sokongan tegar beliau kepada organisasi SIS dan perjuangan untuk membela hak wanita. Allahyarham di dalam temubual di RTM1 pada tahun 2015 telah berkata, “walaupun lelaki dan wanita tidak sama, lelaki dan wanita berhak mendapat layanan yang sama rata.”

Dalam temubual yang sama juga, Allahyarham telah menunjukkan komitmen beliau dalam membela hak wanita dengan memberi jaminan bahawa beliau akan mengubah sebarang undang-undang yang mendiskriminasi wanita. Pendirian Allahyarham seperti ini yang membuatkan beliau seorang pemimpin yang dihormati dan disayangi oleh rakyat.

Pemergian Allahyarham merupakan kehilangan yang besar bukan sahaja kepada rakyat negeri Sarawak, tetapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia. SIS sekali lagi menyampaikan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham atas pemergian beliau.

Sumbangan Allahyarham tidak akan berhenti di sini. SIS akan menyambung perjuangan Allahyarham Tan Sri Adenan dalam membela hak wanita.

Sisters in Islam
12 Januari 2017
Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email