Bantahan terhadap Rang Undang-Undang “Hudud” PAS
oleh Sisters in Islam
Pihak kerajaan PAS Terengganu kini menyatakan bahawa rang undang-undang jenayah syariah (Hudud dan Qisas) yang dikeluarkan pada Mei 2002 hanyalah cadangan atau lakaran sahaja. Ia sekarang bersedia membuat pindaan kepada seksyen 9 berdasarkan maklum balas dan pandangan daripada pihak wanita yang menyatakan peruntukan tersebut menzalimi mangsa rogol yang akan dikenakan hukuman sebat 80 kali atas kesalahan qazaf jika gagal membuktkan jenayah rogol itu. Sebenarnya masalah rang undang-undang tersebut bukanlah terhad kepada seksyen 9 itu sahaja. Selama ini, kerajaan negeri PAS di Terengganu dan juga Kelantan telah senantiasa mendakwa bahawa versi undang-undang “hudud” mereka adalah Hukum Allah swt. Hakikat bahawa percanggahan ketara kini jelas terdedah di antara beberapa peruntukan yang dicadangkan itu dengan apa yang tertulis dan dimaksudkan dalam al-Qur’an dan hadith sahih boleh menimbulkan berbagai keraguan mengenai cadangan rang undang-undang itu pada keseluruhannya.. Ini termasuklah keraguan tentang keselarasan dan kesesuaian peruntukan-peruntukan lain cadangan tersebut dengan semangat dan maksud sebenar sumber-sumber suci Hukum Syara’. Pihak kumpulan wanita telah menumpukan perhatian kepada peruntukan-peruntukan yang jelas mendiskriminasi dan menganiyai wanita. Selain daripada itu, terdapat juga keraguan mengenai peruntukan-peruntukan lain serta nass dan kefahaman dari segi konsep hukum suci Allah swt.
Diskriminasi dan Penganiayaan terhadap wanita – kekeliruan mengenai rogol dan zina
Masih terdapat kekeliruan mengenai jenayah rogol dan zina, dan perbuatan rogol lebih dipandang sebagai pembelaan wanita terhadap tuduhan bagi kesalahan zina daripada sebagai jenayah ganas yang berat yang dilakukan terhadap wanita. Terdapat pandangan supaya rogol dijadikan suatu subseksyen di bawah peruntukan zina. Tetapi ini akan hanya mengekalkan kekeliruan tersebut. Zina adalah dosa terhadap hak (huquq) Allah swt., manakala rogol adalah jenayah terhadap hak mnusia (huquq insan) serta juga dosa terhadap huquq Allah swt. Mengatakan bahawa siasatan akan dijalankan dan mangsa rogol tidak akan dituduh melakukan zina dan qazaf sekiranya terdapat keterangan qarinah bahawa dia telah dirogol tidak menyelesaikan kekeliruan ini. Wanita itu masih disyaki, dan pendekatan siasatan itu nampaknya diarahkan terhadap wanita itu dan bukan terhadap perogolnya. Keterangan qarinah juga bukanlah begitu mudah diperolehi dalam kes rogol. Di bawah undang-undang sekarang, iaitu Kanun Keseksaan dan Kanun Prosedur Jenayah, yang boleh dikira sebagai peruntukan ta’zir bagi undang-undang jenayah, keterangan circumstantial (qarinah) dipakai bagi pembuktian rogol. Pengamal undang-undang mengakui bahawa bukannya senang hendak mendapat keterangan tersebut, dan dalam kes-kes di mana tertuduh itu dibebaskan, ia tidak bermakna bahawa tertuduh itu sebenarnya tidak bersalah Tertuduh dibebaskan hanya kerana dia diberi faedah keraguan (benefit of the doubt) di bawah undang-undang jenayah. Ia tidak bermakna bahawa mangsa telah membuat aduan palsu. Dalam keadaan ini, walaupun mangsa tentulah berasa sedih kerana telah dirogol dan pihak pendakwa gagal membuktikan kesnya, tetapi sekurang-kurangnya mangsa itu tidaklah terdedah kepada kemungkinan bahawa dia sendiri pula boleh dituduh 2
melakukan qazaf dan zina. Wanita hamil yang tidak bersuami pula dianggap melakukan zina, melainkan jika dibuktikan sebaliknya. Dengan itu, beban bukti diletakkan di atas bahu pihak wanita, walaupun dia mungkin telah dirogol.
Peruntukan-peruntukan itu secara ketara bercanggah dengan ayat-ayat suci al-Qur’an dan Hadith yang dengan jelas melindungi wanita dan melarang dengan kerasnya sikap mudah menuduh ataupun mengesyaki wanita melakukan zina. Misalnya Surah an-Nur 24 : 4 menyatakan:
Dan orang-orang [kata ganda lelaki] yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya [muhsanat—kata ganda perempuan], kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka [kata ganda lelaki] lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka [kata ganda lelaki] itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasiq
Larangan ini ditegaskan lagi dalam ayat 23 Surah yang sama, yang mela’nat mereka yang membuat tuduhan sedemikian, dan Hadith Rasulullah s.a.w. menyenaraikan tuduhan zina terhadap perempuan “muhsanat, mu’minat, ghafilat” (perempuan suci mu’min yang pula lalai) sebagai di antara tujuh dosa besar yang perlu dijauhi (enam dosa besar lain adalah syirik, sihir, membunuh, makan harta riba, makan harta anak yatim, lari semasa berhadapan musuh pada hari peperangan). Ayat al-Qur’an dan hadith di atas menunjukkan bahawa ia menyedari bahawa perempuan beriman juga mengkin lalai atau kurang berjaga-jaga dan dengan itu secara tidak sengaja terdedah kepada situasi yang boleh mengakibatkan fitnah.
Terdapat ulama’ pada zaman dahulu yang meyedari betapa seriusnya jenayah rogol terhadap wanita. Misalnya, Ibn ‘Arabi menyatakan bahawa rogol adalah termasuk dalam kategori hirabah dan menegaskan bahawa hirabah yang melibatkan bahagian tubuh badan wanita adalah lebih teruk daripada hirabah yang melibatkan harta benda, kerana seseorang itu lebih sanggup menyerahkan barangan harta bendanya daripada dirogol dan diperkosa.
Pelaksanaan hukuman terhadap zina di zaman moden ini pula amat membimbangkan. Misalnya, di negara-negara seperti Pakistan dan Nigeria yang mendakwa bahawa mereka kononnya menjalankan hukum hudud, dalam kebanyakan kes, pihak wanita sahaja dituduh melakukan zina sedangkan pihak lelaki bebas dari tuduhan kerana dikatakan bukti tidak mencukupi. Keadaan demikian menunjukkan kurang kemampuan dan kurang kefahaman pihak berkuasa zaman moden ini tentang pelaksanaan hukum Allah swt. Adakah perempuan itu berzina seorang diri? Sepatutnya tiada seorang pun perempuan boleh dituduh berzina melainkan jika pihak lelaki itu juga dituduh.
Peruntukan mengenai saksi
Peruntukan mengenai saksi dalam cadangan rang undang-undang Hudud juga bersifat diskriminasi kerana lelaki Islam sahaja layak dipertimbangkan sebagai saksi dalam kes hudud dan qisas. Dengan itu kaum wanita dan orang bukan-Islam adalah didiskriminasikan. Tetapi pada zaman awal Islam, terdapat kes di mana Rasulullah saw menerima keterangan seseorang perempuan, misalnya dalam kes seorang gadis yang 3
telah dirompak dan dipukul teruk ( dalam riwayat Muslim, Jamaul Fawaid Hadith No. 5231, 5233 dan 5234), dan dalam kes seorang wanita yang dirogol oleh orang yang tidak dikenali semasa perjalanannya ke masjid pada waktu subuh (riwayat Abu Daud dan Tirmidhi). Dalam zaman Khulara al-Rashidin, terdapat pula kisah mengenai isteri Sayidinna Othman, yang merupakan satu-satunya saksi yang melihat pembunuhan suaminya. Tuntutan bagi qisas yang dibuat oleh sebilangan para sahabat adalah berdasarkan kepada keterangan isteri Sayidinna Othman itu, dan tiada seorang pun yang membantah dengan alasan bahawa tuntutan qisas tidak dapat dibuat dengan ketiadaan saksi lelaki.
Peruntukan kesalahan dan hukuman lain
Rang undang-undang Negeri Terengganu menambah tiga lagi hukuman “hudud” walaupun hukuman itu tidak terdapat dalam al-Qur’an. Misalnya, hukuman bunuh bagi kesalahan murtad tidak terdapat dalam al-Qur’an, dan hadith Rasulullah (s.a.w.) mengenainya sebenarnya adalah bagi keadaan di mana si murtad itu juga bertindak derhaka terhadap pihak berkuasa dan memusuhi masyarakat Islam. Terdapat ikhtilaf ulama’ dalam soal ini, kerana ada ulama’ pada zaman dahulu dan juga zaman sekarang (misalnya Sheikh Tantawi, Sheikh al-Azhar) yang berpendapat bahawa tidak terdapat hukuman di dunia ini bagi perbuatan murtad yang tidak melibatkan tindakan keganasan atau permusuhan terhadap masyarakat.
Hukuman bagi “syurb” (minuman memabukkan) juga tidak terdapat dalam al-Qur’an, walaupun al-Qur’an melarang perbuatan sedemikian. Kesalahan “bughah” yang diperuntukkan pula amat mengelirukan – adakah ia bererti penderhakaan atau keganasan bersenjata? Kesalahan “:bughah” tidak dinyatakan dalam al-Qur’an atau dalam mana-mana undang-undang hudud lain.
Rang undang-undang ini nampaknya memilih pentafsiran yang paling sempit dan menindas. Misalnya hukuman rejam sampai mati bagi zina sebenarnya tidak dinyatakan dalam al-Qur’an, ia dinyatakan dalam kitab Taurat dan terdapat pandangan minoriti ulama’ bahawa ia telah dimansuhkan setelah turunnya ayat al-Qur’an yang menghadkan hukuman zina kepada hukuman sebatan. Mungkin akan dihujahkan bahawa ini hanya pandangan minoriti, tetapi apabila sesuatu pandangan minoriti itu keras dan menindas, pandangan minoriti itu pula diterima. Misalanya, pandangan bahawa kehamilan perempuan yang tidak bersuami boleh dijadikan keterangan bahawa perempuan itu telah berzina adalah pandangan minoriti, tetapi pandangan itu dimasukkan dalam cadangan rang undang-undang.
Sumber undang-undang dan konsep hudud
Kajian semula yang mendalam dan menyeluruh mengenai konsep perundangan jenayah Islam patutlah juga diadakan. Mestilah difahamkan dengan jelas bahawa terdapat perbezaan di antara sumber-sumber undang-undang Islam yang telah diwahyukan – dalam kitab suci al-Qur’an – dan sumber-sumber yang bukannya diwahyukan, tetapi merupakan hasil tafsiran dan pendapat para ulama’ dari kalangan kaum manusia. Sebahagian besar daripada sejarah perundangan Islam ialah hasil usaha manusia dan bukannya diwahyukan. Pembentukan dan perkembangan undang-undang Islam berlaku melalui beberapa abad dan menerusi berbagai proses. Pembentukan empat mazhab 4
Ahl-ul-Sunnah itu bermulanya sekurang-kurangnya 100 tahun selepas wafatnya Rasulullah saw. Untuk memastikan sistem undang-undang yang adil berdasarkan kepada prinsip-prinsip Islam yang berkekalan, asas dan menyeluruh itu, kajian dan penyelidikan yang teliti, halus dan terperinci perlulah dijalankan berkenaan dengan peruntukan-peruntukan yang dicadangkan dalam undang-undang “hudud” itu. Adalah amat menyedihkan sekali kerana hukun-hukum al-Qur’an yang bertujuan untuk melindungi anggota masyarakat pada amnya, dan kaum wanita khususnya, telah pula diselewengkan menjadi peruntukan-peruntukan undang-undang yang membawa kepada akibat yang berlawanan sekali di beberapa negara Islam yang kononnya mendakwa sebagai melaksanakan hukum jenayah syariah. Peruntukan-peruntukan yang dicadangkan dalam rang undang-undang itu juga patut diteliti semula dalam konteks hak-hak kemanusiaan Islam yang menyeluruh.
Perkataan “hudud” itu sendiri juga tidak patut disalahgunakan. Hudud Allah dalam al-Qur’an mempunyai konsep yang jauh lebih luas dan tidak terbatas kepada hukuman ataupun perundangan jenayah. Ia merupakan garispanduan yang meyeluruh yang merangkumi aspek-aspek keagamaan, kemoralan dan perundangan. Hudud atau batasan yang dinyatakan oleh Allah swt, yang tidak patut dicabuli, merangkumi segala perintah dan larangan Allah swt, dan tidak hanya disempitkan kepada beberapa hukuman mandatori tertentu seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang hudud. Al-Qur’an menggunakan istilah hudud berhubungan dengan ibadat puasa, undang-undang keluarga, harta pusaka, serta juga secara amnya bagi merangkumi segala ajaran agama Islam.
Berkenaan dengan hukuman jenayah, perlulah senantiasa diingatkan bahawa pengampunan dan sifat penyayang Allah swt seringkali disebut dan ditekankan dalam kitab suci al-Qur’an. Misalnya selepas ayat-ayat mengenai hukuman bagi sariqah atau mencuri (dalam Surah al-Maidah) dan zina dan qazaf (dalam Surah an-Nur), pengampunan Allah swt telah disebut:
orang yang bertaubat sesudah itu dan memperbaiki (dirinya), sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (Surah Al-Maidah 5 :39, Surah An-Nur 24 : 5).
Patutkah manusia dan institusi buatan manusia begitu terburu-buru hendak menghukum apa yang mungkin, dengan limpah kurniaNya, diampun oleh Allah swt yang Maha Pengampun dan Mengasihani? Mungkin boleh ditanya atas alasan apakah manusia itu begitu angkuh hendak menghukum sesama manusia, tanpa memikirkan kuasa pengampunan Allah swt? Kalaupun pemimpin itu ikhlas dan berniat baik, dan kalaupun hukuman itu dilaksanakan atas dasar perundangan sah, dan melalui institusi keadilan yang berkelayakan dan berkebolehan (yang seringkali bukan sebaik itu dalam dunia yang serba tidak sempurna ini), kita patutlah berhati-hati dan berwaspada sebelum terburu-buru untuk mengenakan hukuman.