No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Artis Tempatan Menyuarakan Erti Kebebasan

Artis Malaysia telah bekerjasama dengan Galeri CULT untuk menjayakan pameran seni amal untuk Sisters in Islam (SIS).

Pameran seni amal yang dinamakan sebagai SISArt 2020 ini telah dibuka pada hari Sabtu, 26 September di Galeri CULT Kuala Lumpur. Ia bertemakan Free/Bebas yang memaparkan artis tempatan bersama hasil seni mereka.

Berdasarkan kejayaan dari tiga pameran seni sebelum ini, kami menjangkakan sambutan yang baik untuk tahun ini juga. Pameran seni amal ini dimulakan pada tahun 2017 dan tema Hell Heaven telah dipilih. Pada tahun 2018, ia bertema Halal Haram dan pada tahun lepas, pihak penganjur telah memilih tema Awan & Tanah. Pameran seni amal Awan & Tanah telah berjaya mengumpul RM177,283 untuk SIS.

Tema pada tahun ini ialah Free/Bebas diinspirasikan dari pandemik CoVid-19 di mana pelbagai aktiviti telah dihadkan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Justeru, artis-artis ini telah meluahkan makna kebebasan melalui pelbagai media seperti minyak, akrilik, ukiran kayu, monotype dan pelbagai media kreatif.

Semasa majlis pelancaran, Pengarah Eksekutif SIS, Rozana Isa berkata, “Kami amat teruja untuk mendalami konsep kebebasan melalui pameran seni amal SISArt 2020 kerana tahun ini merupakan tahun yang amat unik di mana pergerakan terbatas disebabkan pandemik CoVid-19. Namun begitu, batasan ini tidak menghadkan produktiviti dan kreativiti kami.”

“Walaupun masih patuh kepada SOP, kami merasakan pameran seni amal ini akan mendapat sambutan yang baik seperti tahun lepas. Kami mempunyai lebih ramai artis yang menyumbangkan hasil seni mereka pada tahun ini. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada komuniti pengumpul seni Malaysia atas sokongan terhadap perjuangan SIS iaitu menegakkan keadilan untuk wanita Muslim dan seluruh rakyat Malaysia.”

Pameran seni amal ini menunjukkan beberapa artis Malaysia yang dikenali di peringkat nasional dan antarabangsa seperti: Ahmad Zakii Anwar, Ilse Noor, Dato Sharifah Fatimah Zubair, Chong Siew Ying, dan Kow Leong Kiang. Artis Malaysia terkenal seperti Kamal Mustafa dan Chang Yoong Chia juga membuat penampilan sulung di SISArt 2020. Pameran seni amal ini juga menampilkan artis-artis baru seperti Ain Rahman, Iona Danald, Lyne Ismail, Amir Mansor, Faiz Mahdon, dan Haz Yusup.

Artis terkenal dan pemilik galeri seni CULT, Ahmad Zakii Anwar menyuarakan erti kebebasan melalui lukisan yang berjudul, “Plant, Kettle & Persimmons” yang dibuat dengan akrilik di atas kain kanvas. Ilse Noor , seorang artis grafik seni halus menyuarakan erti kebebasan melalui lukisannya yang menggunakan media lukisan garisan etching dan aquatint yang berjudul, “Cenderawasih.”

Hasil seni tenunan oleh artis meningkat naik, Iona Danald yang berjudul “Phosphenes & Eigengrau” diilhamkan oleh pengalamannya dengan phosphenes , sesuatu fenomena yang menyebabkan seseorang melihat pancaran cahaya yang berlatarbelakangkan warna seakan-akan hitam ketika mata tertutup dan eigengrau , warna yang dilihat ketika kekurangan cahaya.

Faiz Mahdon, juga seorang artis yang meningkat naik meluahkan kebebasannya melalui hasil seninya yang berjudul, “Unmentioned” yang diperbuat daripada media akrilik di atas kain kanvas.

Antara hasil lukisan yang lain adalah, Dato Sharifah Fatimah Zubair dengan hasil seninya, Greenscape ‘20 (akrilik di atas kain kanvas) , Chong Siew Ying dengan hasil seninya Soul Mountains (arang, emulsi akrilik dan plaster di kertas – mounted kanvas), Kow Leong Kiang dengan hasil seninya Fishing Boats (lukisan minyak di atas kanvas) , Bayu Utomo Radjikin dengan hasil seninya Wild Scent – Bertaut dan Wild Scent – Seloka (akrilik di atas kain kanvas) , Chang Yoong Chia dengan hasil seninya “Rabbits and Cannibals” dan “Self-Portrait as the Rabbit I have Eaten” (monotype print) dan Elephant in 4 Parts” (drypoint etching) , Umibaizurah Mahir Ismail dengan hasil seninya Basuh, Bersih dan Cuci Tangan (seramik, akrilik di kain kanvas, bingkai kayu dan kaca), Nia Khalisa dengan hasil seninya Haih (batik di
atas kain linen) , Ain Rahman dengan hasil seninya Shadows of Power (arang di atas kanvas) , Haz Yusop dengan hasil seninya Hampir (lukisan minyak di atas kain linen) , Kamal Mustafa dengan hasil seninya The Elephant (media campuran) dan Anniketyni Madian dengan hasil seninya Tangga Beji #01 (campuran kayu keras, cat minyak dan damar epoksi).

Free/Bebas dibuka di Galeri CULT dari 3 hingga 10 Oktober 2020 . Disebabkan CoVid-19, ia terbuka melalui temu janji sahaja iaitu dari 10 pagi hingga 6 petang. Sila hubungi Sisters in Islam (SIS) di talian 03-7960 3357 untuk temujanji. Seperti tahun lepas, semua hasil lukisan dijual dan 50 peratus hasil akan didermakan kepada SIS. Jumlah yang didermakan layak untuk pengecualian cukai.

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email