No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Nilai-Nilai Pernikahan Dalam Islam

Konsep pernikahan yang dicanang dalam masyarakat kita perlu diperbetulkan dan dilihat berdasarkan nilai-nilai dalam pernikahan yang dianjurkan oleh Islam. Pernikahan atau perkahwinan dalam Islam (Surah Al-Nisa, 4:21) disebut sebagai satu perjanjian agung atau kukuh (mitsaqan ghalidza). Perjanjian ini asasnya adalah berdasarkan kesepakatan, dan ianya termaktub dengan adanya akad nikah, di mana ulama fekah berpendapat akad nikah merupakan ibahah, yang bermaksud pernikahan memberikan keizinan dan bukan pemilikan. Pemberian izin ini pula tidak hanya dimiliki oleh satu pihak, tetapi perlu datang dari kedua-kedua belah pihak. Hak keizinan dalam pernikahan ini  bukanlah bermaksud pemilikan ke atas hak-hak (suami atau isteri) dan manfaatnya. Hak dan manfaat hak tersebut masih dimiliki oleh pemiliknya, dan bukan secara automatik berpindah kepada orang yang diberi izin.  Justeru, manfaat dan hak milik diri itu hanya boleh diberikan apabila izin diminta daripadanya, sehingga sebahagian ulama fekah berpendapat tidak boleh melakukan apa-apa kepada tuan badan tanpa izinnya. Bahkan ia boleh dilihat di dalam fatwa yang dikeluarkan oleh Dar Al Ifta, Mesir tidak berapa lama dahulu yang mengharamkan rogol dalam perkahwinan.

Jadi, amatlah mencurigakan dan membimbangkan apabila ada dalam kalangan masyarakat kita yang cuba menafikan elemen izin atau consent selepas memasuki alam perkahwinan. Ideologi yang bertapakkan patriarki ini mendatangkan banyak mudarat kepada wanita, para isteri cenderung menjadi mangsa keganasan rumahtangga, termasuklah keganasan seksual, apatah lagi ideologi ini menafikan pengalaman dan trauma isteri-isteri yang mengalami sendiri keganasan seksual dalam perkahwinan.

Pernikahan dalam Islam tidak meletakkan satu pihak itu ada lebih hak atau berkuasa ke atas pihak yang lagi satu. Ini bermakna rumahtangga itu merupakan kerjasama di antara suami isteri dan bukan sesuatu yang boleh dianggap sebagai satu transaksi, kontrak atau sistem barter  atau ‘tukar menukar’. Setelah  mencapai satu kata sepakat dalam apa-apa perbincangan mahupun dalam suatu keputusan, kemudian barulah diikuti dengan pemberian izin, termasuklah untuk melakukan hubungan seksual atau bersetubuh. Dalam I’anatu Ath-Tholibin, Al ‘Allamah Abu Bakr Uthman Al Bakri mengatakan bahawa pernikahan membolehkan  untuk melakukan hubungan seksual, bukan pemilikan mutlak pada hak dan manfaatnya. Justeru, tubuh badan isteri bukan hak mutlak suami dalam pernikahan.

Pernikahan bukan sekadar menghalalkan seks

Kebenaran atau keizinan melakukan hubungan seks dalam hubungan pernikahan ini sering disalahertikan. Pernikahan bukanlah untuk menghalalkan hubungan seks semata, dan agama Islam bukan hanya pada halal dan haram. Islam menghuraikan lagi secara terperinci tujuan pernikahan dalam Surah Ar-Rum, 30: 21 menyatakan pasangan suami isteri itu diciptakan untuk saling memberi dan memperoleh kehidupan yang  sakinah (tenteram), mawaddah  (rasa cinta)dan rahmah (kasih sayang). Ketiga-tiga nilai ini sangat sinonim dengan pernikahan dan sering didengari, namun pemahaman dan aplikasinya tidak seperti yang diharapkan. Jika dalam perhubungan seks antara suami isteri tidak mendatangkan ketenteraman, rasa kasih sayang dan cinta, tambahan pula, jika hubungan seksual itu dijalinkan tanpa mengambil peduli keizinan si isteri, adakah Islam masih membenarkannya atas dasar autoriti atau ‘hak’ si suami?

Pandangan yang mengiyakan prinsip serong ini, seakan-akan meletakkan Islam sebagai agama yang tidak  peduli dengan martabat diri perempuan, dan lebih mendahulukan autoriti dari rasa selamat jiwa para perempuan. Komitmen dalam pernikahan adalah demi mencapai kesejahteraan bersama bukanlah untuk memuaskan keperluan sebelah pihak sahaja. Sekali lagi ingin ditegaskan, pandangan yang membawa naratif bahawa ia merupakan tanggungjawab isteri sebagai pelayan seks kepada suami semata-mata, cenderung meletakkan isteri-isteri kepada keganasan dan kekerasan termasuklah keganasan seksual atau rogol dalam perkahwinan.

Suami bukan tu(h)an isteri

Selain itu, Islam dalam Surah An-Nisa, 4:19, juga menekankan sikap dan hubungan yang baik (mu’asyarah bil ma’ruf) dalam perkahwinan. Maka, suami isteri tidak boleh saling menyakiti, harus saling menghargai dan menghormati. Nilai ini perlu hadir dari kedua-dua belah pihak dalam perkahwinan. Seperti yang disebutkan dalam Surah Al-Baqarah, 2:187 “Hunna libasun lahun wa antum libasun lahunna”, yang bermaksud “Mereka adalah pakaianmu, dan kamu adalah pakaian mereka” menerangkan bahawa hubungan dan layanan antara suami isteri itu adalah saling membahagiakan, harmoni dan sama rata dan bukannya isteri itu dianggap sebagai objek seks, orang bawahan atau orang suruhan milik suami.

Yang terakhir, nilai keredhaan dalam perkahwinan. Hal ini sering kali ditekankan kepentingannya dalam masyarakat kita bagi si isteri mengejar keredhaan si suami sepanjang perkahwinan, tidak kira dalam apa-apa urusan, keredhaan suami itu wajib. Yang diajar kepada para perempuan atau isteri, bukannya nilai redha (saling menerima dengan hati terbuka), tetapi pasrah. Apa-apa keputusan dan tindakan dari suami, isteri harus ‘redha’ atau yang sebenarnya pasrah dan terima sahaja. Sehingga masyarakat terlupa, apa yang dianjurkan oleh Islam sebenarnya adalah konsep suami isteri saling mencari keredhaan Allah dan sesama pasangan. Keredhaan Allah juga seringkali disamakan nilainya dengan keredhaan suami. Seolah-olah jika suami redha, maka Allah juga akan redha. Jika keganasan dan paksaan itu wujud dalam perhubungan suami isteri, adakah sewenangnya sahaja kita boleh mengatakan Allah redha terhadap hambanya dan perlakuan tersebut?

 Artikel Tamat

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email