No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Kempen Monogami

Gabungan Hak Wanita dalam Islam hari ini melancarkan kempen Monogami. Kami ahli gabungan ini, telah berkumpul untuk menyatakan rasa prihatin kami terhadap hak-hak wanita Muslim di Malaysia yang semakin terhakis.

Undang-undang, peraturan dan praktik poligami semakin meletakkan wanita ke tempat yang merugikan. Pada masa yang sama, hak wanita untuk membuat keputusan mengenai diri mereka sendiri semakin berkurang.

Kami percaya bahawa agama Islam melindungi hak-hak wanita. Islam tidak memaksa para isteri untuk menderita dalam perkahwinan poligami jika dia tidak bersetuju suaminya untuk berkahwin lagi. Islam mengalakkan perkahwinan monogami dan buktinya terkandung dalam kitab suci al-Qur’an dan juga sunnah Rasulullah s.a.w..

Kami juga percaya bahawa pihak berkuasa dan masyarakat mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bahawa wanita Muslim mengetahui hak-hak mereka dan tidak memaksa mereka untuk terjebak dalam situasi yang memudaratkan. Kami melancarkan kempen ini dengan tujuan untuk:

1. memupuk kefahaman di kalangan rakyat Malaysia bahawa poligami bukanlah norma perkahwinan dalam Islam

2. mempromosikan komitmen terhadap pratik monogamy

3. memastikan isteri yang tidak bersetuju suaminya berkahwin lain diberi pilihan untuk mendapatkan cerai melalui ta’liq

4. meningkatkan prosedur yang boleh menolong wanita membuat keputusan yang wajar mengenai hidup mereka dengan:

a. mempromosikan hak-hak wanita untuk mengetahui status perkahwinan bakal suaminya

b. memastikan isteri/isteri-isteri yang sedia ada dimaklumkan mengenai perkahwinan yang bakal berlangsung

c. memastikan isteri yang sedia ada, samada dia bercadang untuk meneruskan perkahwinan ataupun menuntut perceraian, tidak akan menghadapi kemudaratan samada dari segi kewangan ataupun ketidakadilan taraf kehidupan.

Monogami – satu suami, satu isteri — adalah norma perkahwinan dalam Islam. Surah an-Nisa’ 4 : 3 menyatakan “jika kamu khuatir tidak akan berlaku adil, maka berkahwinlah satu sahaja”. Al-Qur’an menghadkan amalan poligami yang sedia wujud pada zaman itu dan merupakan satu-satunya kitab suci yang mengandungi frasa “kahwinlah satu sahaja”.

Poligami dalam Sejarah Manusia

Pada Zaman Arab Jahiliyah, poligami tanpa had telah diamalkan dan Islam memperkenalkan permbaharuan dengan menghadkan bilangan maksimum perkahwinan poligami kepada empat orang isteri, serta memerintahkan supaya berkahwin seorang isteri sahaja sekiranya khuatir tidak akan berupaya melakukan keadilan. Ayat Surah an-Nisa’ itu pula telah diturunkan selepas tragedi peperangan Uhud yang telah mengakibatkan ramai kaum lelaki Islam terkorban mati syahid di medan pertempuran, dan meninggalkan ramai perempuan balu serta anak-anak mereka yang telah menjadi anak yatim, dan menghadapi kesukaran hidup kerana pada zaman itu pencari rezeki biasanya kaum lelaki. Dalam keadaan sedemikian pun, al-Qur’an tidak lagi membenarkan perkahwinan poligami tanpa had yang telah diamalkan sebelum itu.

Dari segi sejarah, poligami merupakan institusi yang pernah wujud bukan sahaja di kalangan masyarakat Arab Jahiliyah, tetapi juga dalam pelbagai tamaddun, agama dan budaya di merata-rata dunia. Bahkan poligami pernah diamalkan di kalangan masyarakat Yahudi, Cina, India, dan Kristian Mormon, sehinggalah diharamkan oleh undang-undang. Misalnya, Amerika Syarikat mengharamkan poligami melalui Akta Anti-Bigami tahun 1862, dan pihak Gereja Mormon secara rasminya menghentikan amalan poligami pada tahun 1907, selepas mereka gagal mencabar undang-undang tersebut di Mahkamah Agung. Di Malaysia juga, poligami pernah diamalkan oleh masyarakat Cina dan Hindu India di bawah undang-undang adat masing-masing, sehingga ia diharamkan di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Pekahwinan dan Perceraian) yang mula berkuatkuasa pada tahun 1982.

Malangnya, sejak pengharaman poligami di kalangan orang beragama lain, kekeliruan telah timbul yang mengait rapat poligami dengan agama Islam. Ia seolah-olah menganggap bahawa poligami adalah hak istimewa bagi lelaki Islam; mereka yang membantah penyalahgunaan poligami di kalangan masyarakat Islam sering dituduh sebagai menentang ajaran Islam dan terpengaruh oleh nilai-nilai Barat.

Monogami sebagai Norma Perkahwinan dalam Islam

Mereka yang menyokong poligami sering merujuk kepada Sunnah Rasululah (s.a.w.) dan biasanya lupa akan hakikat bahawa Rasulullah (s.a.w.) mengamalkan monogami selama lebih dua puluh lima tahun, iaitu sepanjang hayat Siti Khadija (r.a.) dan perkahwinan-perkahwinan Rasulullah (s.a.w.) selepas Siti Khadija meninggal dunia adalah dengan perempuan-perempuan balu atau janda atas sebeb-sebab menjalinkan hubungan baik di antara puak-puak tertentu. Seorang sahaja anak dara yang dikahwininya, iaitu isteri keduanya Aishah (r.a.).

Terdapat juga Hadith sahih yang meriwayatkan bahawa Rasulullah (s.a.w.) tidak membenarkan menantunya, Ali ibn Abi Talib (r.a.) berkahwin dengan perempuan lain kecuali jika Ali menceraikan anak Rasulallah (s.a.w.), Fatimah (r.a.) Cicit Rasulallah (s.a.w), Sakinah binti Hussein, iaitu cucu kepada Ali dan Fatimah, meletakkan berbagai syarat dalam perjanjian perkahwinannya, termasuk syarat bahawa suaminya tidak boleh berkahwin lain selagi masih berkahwin dengannya.

Jelaslah bahawa memberi isteri hak untuk membuat pilihan melalui perjanjian perkahwinan atau surat ta’liq bukanlah tafsiran baru yang hanya timbul pada zaman moden ini. Sebaliknya, tindakan sedemikian disokong oleh amalan tadisional dari zaman awal Islam lagi. Ia tidaklah mengharamkan sesuatu yang halal kerana cerai ta’liq juga adalah sesuatu yang halal.

Mazhab Hanbali iaitu mazhab yang dianggap paling konservatif di kalangan empat mazhab ahli-Sunnah wal Jam’ah tidak teragak-agak untuk mengiktiraf hak isteri dalam hal ini. Hak tersebut kini diiktiraf di kalangan berbagai masyarakat Islam di Timur Tengah, termasuk di kalangan orang Islam yang bukanlah pengikut mazhab Hanbali, misalnya di Jordan, Maghribi, Mesir dan Iran. Negara Tunisia telah mengambil tindakan yang lebih tegas lagi, iaitu melarang poligami sama sekali atas alasan bahawa dalam hal-keadaan pada zaman sekarang, adalah mustahil bagi seseorang lelaki untuk menunaikan kewajipan untuk berlaku adil kepada lebih dari seorang isteri. Walaupun tindakan di Tunisia itu sukar diterima di negara Islam lain, kebanyakan negara Islam kini telah menetapkan berbagai syarat dan sekatan ke atas perkahwinan poligami. Tujuannya ialah untuk memastikan bahawa perkahwinan poligami yang adil sahaja dibenarkan, serta memberi peluang kepada isteri yang tidak setuju suaminya berpoligami untuk mengenakan syarat ta’liq.

Kempen kami mengenai monogami sebagai norma perkahwinan dalam Islam, bukanlah satu tuntutan yang radikal, malah ianya menegakkan satu tradisi Islam yang berkurun lamanya mempromosikan monogami, dan hanya membenarkan poligami dalam konteks yang sangat terhad.

Gabungan Hak Wanita Dalam Islam

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email