No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Nasib Wanita Tidak Terbela Rang Undang-Undang Keluarga Islam Beri Lebih Kesempatan Kepada Lelaki

Merujuk kepada apa yang dikatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin, ddalam Berita Harian pada Rabu 28 Disember 2005, Sisters in Islam ingin menjelaskan bahawa Rang Undang-Undang tersebut mempunyai banyak kelemahan dan ketidaksempurnaan. Terdapat undang-undang keluarga Islam di negara lain yang memberi lebih hak kepada pihak isteri. Misalnya di Iran, isteri yang diceraikan berhak menuntut ujrah mithl atau upah kerja daripada suaminya untuk segala kerja rumah yang telah dilakukan oleh isteri selama tempoh perkahwinan mereka.

Di dalam undang-undang kita pula, walaupun isteri diberi hak menuntut harta sepencarian daripada suami apabila berlaku perceraian atau apabila suami berpoligami, hak yang sama juga diberi kepada suami yang boleh menuntut harta sepencarian daripada isteri. Bahasa yang digunakan (“mana-mana pihak”) tidak membezakan tuntutan harta sepencarian sama ada oleh isteri atau oleh suami. Ini amat tidak adil kerana pihak yang boleh berpoligami adalah suami. Ia memberi kesempatan kepada suami yang hendak berpoligami untuk mengugut isteri sedia ada yang hendak menuntut harta sepencarian bahawa suami juga akan menuntut harta sepencarian. Ini amat tidak adil dan melanggar perintah dalam al-Qur’an yang melarang perkahwinan poligami jika dikhuatri membawa ketidakadilan kepada pihak isteri. Memanglah tidak adil jika isteri mengahwini pihak suami semasa suami itu tidak berharta, dan setelah bertungkus-lumus bersama suaminya, apabila suami menjadi kaya, dia mengahwini perempuan lain pula. Jika isteri boleh menuntut harta sepencarian daripada suaminya, ini boleh mengurangkan ketidakadilan. Tetapi amatlah tidak adil jika terdapat kemungkinan bahawa suami juga boleh menuntut harta sepencarian daripada isteri, atau supaya rumah kelamin mereka dijual bagi membantu menyara isteri barunya.

Tuntutan suami untuk harta sepencarian, sama ada semasa perceraian atau poligami, dipermudahkan lagi dengan peruntukan baru seksyen 107A yang membolehkan suami mendapat perintah mahkamah untuk menghalang isteri atau bekas isteri daripada melupuskan hartanya. Peruntukan ini telah mengakibatkan kes Puan Zaidah …. di Negeri Johor di mana pihak suami berjaya mendapat perintah Mahkamah membekukan akaun-akaun simpanan isteri atas alasan tuntutan harta sepencarian. Isteri malang ini menghadapi kesusahan menanggung diri dan anak-anaknya kerana dia hanya seorang surirumah dan akaun simpanan itulah satu-satunya punca pendapatannya. Suaminya yang memperolehi pendapatan lebih dari RM30,000 sebulan tidak memberikan nafkah isteri selama prosiding perceraian berlangsung, dan juga tidak memberi nafkah yang mencukupi untuk anak-anak.

Mengikut Hukum Syara’, suami tidak mempunyai hak ke atas harta isterinya. Harta isteri adalah hartanya sendiri, manakala isteri berhak mendapat saraan nafkah daripada suaminya. Hak dan kewajipan yang berbeza mengenai harta dan nafkah ada kaitannya dengan pembahagian pusaka yang memberi bahagian yang lebih kepada lelaki daripada perempuan. Bahagian harta pusaka yang lebih kepada lelaki sebenarnya berhubung-kait dengan kewajipan kewangan yang dikenakan ke atas kaum lelaki. Ia juga boleh dikatakan berkaitan dengan soal harta sepencarian. Sumbangan kewangan pihak suami bagi belanja harian rumahtangga tidaklah boleh dianggap sebagai sumbangan kewangan terhadap harta yang diperolehi oleh isterinya, kerana memanglah kewajipan suami menyara nafkah isteri dan anak-anaknya. Tetapi sumbangan kewangan pihak isteri bagi belanja harian rumahtangga patutlah dianggap sebagai sumbangan kewangan terhadap harta yang diperolehi oleh suaminya, kerana bukanlah kewajipan isteri untuk menyara nafkah suami dan anak-anaknya. Apa yang dikatakan oleh Datuk Dr Abdullah Zin bahawa suami tidak boleh usik pendpatan isteri kerana ia manjadi hak mutlak isteri memanglah benar dari segi Hukum Syara’. Tetapi ia tidak benar dari segi peruntukan Rang Undang-Undang ini kerana terdapat seksyen yang membenarkan suami berbuat demikian. Oleh sebab itulah, kami menyeru agar penelitian semula dibuat kerana memang terdapat peruntukan dalam Rang Undang-Undang yang melanggar prinsip keadilan Islam yang sememangnya bertujuan melindungi kebajikan wanita dan kanak-kanak. Kemusykilan kami bukan sekadar mengenai tafsiran atau sikap “bias” yang dikhuatri terdapat pada hakim lelaki di mahkamah, tetapi juga melibatkan isi kandungan peruntukan Rang Undang-Undang itu sendiri yang tidak adil adil dan tidak membela nasib wanita.

Sisters in Islam

30 Disember, 2005

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email