No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

SIS Sokong Keputusan Ketetapan Jawatankuasa Fatwa Perlis

Sisters in Islam (SIS) mengalu-alukan ketetapan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang memutuskan hak penjagaan anak seharusnya mengambil kira kemaslahatan dan kebajikan anak tersebut dan bukan agama ibu atau bapanya. Keputusan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis itu mampu meluruskan persepsi awam bahawa kononnya hanya ibu atau bapa yang beragama Islam sahaja akan layak untuk diberikan hak penjagaan anak oleh Mahkamah.

Sekiranya kita meneliti perbahasan para ilmuan Islam kita pasti menemukan pendapat yang mengatakan bahawa hak penjagaan anak boleh diberikan kepada ibu atau bapa yang bukan beragama Islam. Inilah pandangan daripada Ibn Al Qasim, Abu Thaur, ulama Malikiyah dan Hanafiyah. Kebajikan anak haruslah diletakkan sebagai kepentingan utama sebelum hak penjagaan anak diputuskan oleh Mahkamah.

Walaubagaimanapun, SIS merasakan punca permasalahan yang berlaku adalah disebabkan sistem perundangan plural yang telah sekian lama menimbulkan pelbagai konflik dan pertindihan antara undang-undang Sivil dan Syariah. Pada hemat kami, terdapat keperluan segera untuk menilai kembali isu bidangkuasa di antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. Sehingga kini konflik tersebut telah menyebabkan banyak berlaku ketidakadilan, kemarahan orang ramai, perbalahan tentang bidangkuasa, dakwaan penyalahgunaan kuasa, diskriminasi gender yang berpunca daripada operasi di bawah undang-undang tersebut. Ini membuka ruang persoalan terhadap kredibiliti, proses penggubalan undang-undang, serta keyakinan masyarakat terhadap keadilan di bawah sistem perundangan negara ini.

Sisters in Islam
28 Julai 2015

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email