No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

JAG mengesa penangguhan segera bagi hukuman korporal dan penyelesaian krisis dalam sistem keadilan

Berikutan hukuman sebat dua orang wanita di Terengganu, Joint Action Group for Gender Equality (JAG) dan beberapa organisasi masyarakat sivil menggesa kerajaan Malaysia untuk menangguhkan perlaksanaan hukuman korporal dengan kadar segara.

Hukuman sebat yang dilaksanakan di khalayak umum di mahkamah pada 3 September menandakan suatu anjakan yang meruncingkan dalam perlaksanaan hukuman korporal, yang telah mengejutkan dan menimbulkan kemarahan rakyat di seluruh negara.

Tidak wujud “perikemanusiaan” dalam hukuman sebat

Respon oleh pelbagai pihak telah mencapai satu tahap yang tidak masuk akal dengan hujah-hujah yang membandingkan cara perlaksanaan sebat di bawah undang-undang Syariah dan Sivil untuk menunjukkan yang mana lebih “berperikemanusiaan”.

Kami ingin menegaskan bahawa perikemanusiaan tidak wujud dalam hukuman sebat, apatah lagi apabila diarahkan oleh kerajaan sebagai tontonan umum. Perikemanusiaan juga tidak wujud dalam mempertahankan dan membiasakan keganasan serta pengaiban atas alasan untuk mendidik.

Kami menyeru agar semua pihak berhenti menandingkan kedua-dua sistem kehakiman kerana pada dasarnya semua adalah tertakluk pada prinsip dan proses demokratik yang sama. Sebatan dan apa jua bentuk hukuman korporal merupakan isu yang sudah lama dibangkitkan dalam sistem kehakiman Malaysia dengan pelbagai bukti yang menunjukkan bahawa ianya kejam, tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah.

Penafian sistematik dalam akses kepada keadilan

Kes di Terengganu juga menyuluh kepada masalah sistemik yang kritikal berkenaan akses kepada keadilan bagi wanita dan golongan terpinggir.

Usaha berterusan JAG dalam menyokong wanita dan golongan lesbian, gay, bisesksual dan transgender (LGBT) menunjukkan wujudnya kesukaran dalam mendapatkan wakil dan sokongan guaman bagi kes berkaitan moraliti di bawah sistem Syariah. Seringkali kami dapati individu yang kurang atau tidak mendapat nasihat guaman akan mengaku bersalah untuk mengakhiri trauma dengan segera akibat sistem pendakwaan yang berlandaskan pengaiban.

Ini juga kemungkinan apa yang berlaku dalam kes dua orang wanita di Terengganu. Mereka kemungkinan telah menukar pengakuan mereka daripada ‘tidak bersalah’ kepada ‘bersalah’ tanpa diwakili peguam. Natijahnya, mereka dijatuhkan hukuman maksima sebatan oleh mahkamah.

Penyalahgunaan sistem keadilan jenayah

Hujah bahawa perlaksanaan hukuman Syariah bebas daripada bidangkuasa persekutuan adalah tidak benar sepertimana yang dilihat di Terengganu di mana pegawai perubatan dan pegawai-pegawai penjara dibawah sistem pentadbiran persekutuan terlibat secara langsung dalam melaksanakan hukuman sebat.

Sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, sebarang perkara berkenaan undang-undang jenayah adalah di bawah bidangkuasa persekutuan. Justeru, anggapan bahawa semua perkara berkenaan jenayah Syariah terletak di bawah bidangkuasa mutlak kerajaan negeri bercanggah dengan Perlembagaan.

Perlaksanaan hukuman korporal juga bercanggah dengan prinsip undang-undang jenayah persekutuan yang bertujuan “untuk melindungi rakyat daripada sebarang bentuk serangan atau pencederaan, serta mewujudkan perlindungan secukupnya daripada eksploitasi dan korupsi, terutamanya bagi golongan “rentan”.

Penggunaan kaedah yang tidak manusiawi seperti hukuman sebat sepatutnya dilarang oleh sebab kemudaratan mental dan fizikal yang mendalam dan tidak terpulih. Penggunaan kaedah sebatan di Terengganu adalah contoh jelas bagaimana sistem Syariah negeri terpesong daripada objektif keadilan jenayah yang sepatutnya melindungi rakyat daripada “kemudaratan”.

Kami amat bimbang dengan kegagalan sistemik yang jelas wujud dalam kes ini: Kedua-dua wanita, yang menukar pengakuan mereka semasa prosiding, tidak diwakili peguam untuk membela mereka pada mana-mana peringkat dalam proses ini. Demikian, mereka dijatuhkan hukuman maksima sebatan bersertakan denda. Tambah lagi, kezaliman yang amat mengaibkan martabat diri apabila hukuman sebat tersebut dilaksanakan depan khalayak.

Penangguhan hukuman korporal

Sistem keadilan Malaysia sedang mengahadapi krisis dan sebagai langkah pertama bagi menyelesaikannya, kami menggesa agar perlaksanaan hukuman korporal ditangguh dengan kadar segera.

JAG telah menyerahkan satu memorandum kepada Perdana Menteri dan ahli kabinetnya pada 30 Ogos yang manggariskan asas bagi pemansuhan hukuman korporal mengikut beberapa perspektif—Syariah, Perlembagaan dan perundangan; seiring dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia sejagat.

JAG menyeru Peguam Negara untuk menyemak semula semua undang-undang jenayah Syariah dengan segera. Hal ini harus dilakukan secepat mungkin untuk memastikan undang-undang jenayah Syariah tidak bercanggah dengan Perlembagaan. Ia juga untuk memenuhi komitmen Malaysia terhadap undang-undang dan piawaian antarabangsa. Sementara itu kami menyeru kerajaan-kerajaan negeri agar menangguhkan hukuman korporal dengan segera.

Ini sekaligus akan melaraskan Malaysia ke arah merealisasikan komitment kerajaan untuk meratifikasi enam konvesyen hak asasi manusia termasuk Convention against Torture and other Cruel, Inhuman and Degrading Treatment and Punishment (CAT) atau Konvensyen Menentang Penyeksaan Dan Layanan Atau Hukuman Lain Yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan, Atau Menjatuhkan Maruah.

Hukuman sebat terhadap dua orang wanita di Terengganu, dan kesemua wanita sebelum mereka, merupakan petaka dan kegagalan dalam perlaksanaan keadilan yang tidak boleh berulang sama sekali. Martabat diri merupakan asas kepada hak asasi manusia. Sepertimana yang dikatakan oleh Perdana Menteri: Islam tidak seharusnya dilihat sebagai bengis, tetapi sebagai satu agama yang berperikemanusiaan dan meraikan kepelbagaian.

###

Kenyataan media ini disokong oleh ahli JAG yang berikut:-
All Women’s Action Society (AWAM)
Association of Women Lawyers (AWL)
Foreign Spouses Support Group (FSSG)
Justice For Sisters
Perak Women for Women (PWW)
Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS)
Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)
Sabah Women’s Action Resource Group (SAWO)
Sarawak Women for Women Society (SWWS)
Sisters in Islam (SIS)
Tenaganita
Women’s Aid Organisation (WAO)
Women’s Centre for Change (WCC)

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email