No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Keperluan pindaan Perlembagaan berkaitan kewarganegaraan anak

Sisters in Islam (SIS) menegaskan bahawa pindaan Perlembagaan adalah sangat perlu dan mesti dilaksanakan dengan segera untuk mengelakkan lebih ramai kanak-kanak menjadi mangsa status kewarganegaraan atas dasar tempat kelahiran dan kewarganegaraan ibu mereka.

Oleh itu, kami menyokong pengumuman yang dibuat oleh Yang Berhormat Hannah Yeoh untuk meminda Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan. Pindaan ini adalah bagi membolehkan ibu warganegara Malaysia mendapat status kewarganegaraan bagi anak mereka yang lahir di luar negara secara automatik.

Malaysia adalah antara 25 negara di dunia di mana hanya bapa yang berwarganegara Malaysia dibenarkan untuk memperoleh kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara secara automatik. Sementara itu, sekiranya ibu yang berwarganegara Malaysia, proses permohonan perlu dibuat untuk tujuan tersebut.

Keperluan untuk membuat permohonan ini bukan saja suatu bentuk diskriminasi terhadap ibu berwarganegara Malaysia, malah pengalaman ibu-ibu dalam membuat permohonan tersebut juga mengalami pelbagai halangan dan kelewatan yang menyumbang kepada ketidakadilan dalam akta Perlembagaan yang sedia ada. Adakalanya permohonan tersebut menjadi tertunda selama bertahun-tahun tanpa alasan yang jelas dan munasabah dari pihak berkuasa.

Kanak-kanak adalah mangsa akibat proses permohonan ini dan sering mengalami komplikasi apabila ingin memasuki alam persekolahan. Masalah dalam proses permohonan yang panjang ini juga sering merumitkan akses kepada rawatan kesihatan dan pergerakan keluar-masuk negara bagi kanak-kanak tersebut.

Andaian yang kebanyakan ibu warganegara Malaysia yang terlibat tidak berminat memohon status kewarganegaraan Malaysia untuk anak mereka kerana berharap akan mendapat lebih banyak faedah yang diberi oleh negara suaminya, bukan saja tidak wajar, malah adalah suatu penghinaan dan penganiayaan yang menjatuhkan martabat wanita Malaysia.

Andaian oleh sesetengah pihak bahawa bapa berwarganegara asing khususnya dari negara maju semestinya akan menuntut supaya anak mereka menjadi warganegara yang senegara dengannya adalah tidak tepat dan tidak munasabah. Malah ada juga yang cuba menegaskan bahawa ada pihak yang akan cuba mengambil kesempatan untuk menuntut dwi-kewarganegaraan untuk anak mereka.

Semua andaian ini tidak berasas dan tidak mencerminkan realiti kehidupan yang dialami oleh keluarga-keluarga yang dibelenggu dalam masalah ini. Pada hakikatnya, masalah permohonan kewarganegaraan kanak-kanak merupakan beban ekonomi jangka panjang yang boleh dialami oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kemampuan dan taraf pendidikan keluarga tersebut.

Oleh itu, kami menggesa supaya pindaan Perlembagaan dilaksanakan dengan segera untuk membawa keadilan dan kesaksamaan kepada keluarga-keluarga terutama sekali kanak-kanak yang tidak dapat menjalankan kehidupan secara normal akibat akta yang sedia ada.

Sisters in Islam
27 September 2019

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email