No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Islam dan Poligami

Kami mengalu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan Syariah Selangor berhubung dengan kes Aishah Abdul Rauf lawan Wan Mohd Yusuf Wan Othman.  Hujah-hujah dalam keputusan itu membayangkan semangat sebenar ajaran kitab suci al-Qur’an, baik yang tersurat mahupun yang tersirat.

Izinkan kami mendedahkan beberapa kekalutan pemikiran yang terdapat di kalangan masyarakat umum terhadap nas-nas al-Qur’an tentang persoalan poligami:

  • Kebanyakkan orang lelaki menganggap poligami sebagai hak anugerah Allah swt swt yang diutuskan kepada mereka dalam al-Qur’an.
  • Ramai orang yang berpendapat bahawa dengan membenarkan poligami, Islam telah menemukan penyelesaian terhadap masalah nafsu seks lelaki yang diandaikan sebagai tidak terkawal itu.
  • Selain itu, kebanyakan orang mempercayai bahawa jika seorang wanita mengizinkan suaminya mengahwini isteri kedua, maka tempatnya di syurga telah terjamin.

Perbicaraan kes Aishah Abdul Rauf lawan Wan Mohd Yusuf Wan Othman ini telah mendedahkan kepada perdebatan umum kekalutan-kekalutan pemikiran tersebut yang sering diperagakan sebagai firman Allah swt swt.

Izinkanlah kami memaparkan apa yang sebenarnya dinyatakan oleh ayat-ayat suci al-Qur’an tentang poligami:

“Jika kamu takut bahawa kamu tidak akan berlaku adil tentang anak-anak yatim, maka kahwinlah olehmu perempuan yang baik bagimu: dua, tiga atau empat. Tetapi jika kamu takut bahawa kamu tidak akan berlaku adil kahwinilah seorang sahaja… yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.” (Surah an-Nisa’,4:3). 

Seterusnya, satu ayat lagi menyatakan:

“Kamu tidak akan mampu berlaku adil antara perempuan-perempuan itu, meskipun kamu sangat ingin akan yang demikian” (4:129).

Apa yang terserlah dari Al-Quran

Beberapa perkara terserlah dengan jelasnya daripada ayat-ayat tersebut:

Pertamanya, al-Qur’an tidaklah dengan sewenang-wenangnya memberikan hak yang menyeluruh kepada lelaki untuk beristeri lebih daripada satu.

Poligami bukanlah suatu hak, melainkan suatu tanggungjawab demi  menjamin agar keadilan sosial turut dinikmati oleh anak-anak yatim.

Sesungguhnya, apa yang telah diwahyukan oleh Allah swt adalah batasan kepada suatu amalan yang berleluasa pada waktu itu, yang mengizinkan lelaki mempunyai ramai mana isteri yang dikehendakinya.

Keduanya, oleh kerana poligami bukanlah suatu hak maka Allah swt telah mengenakan beberapa syarat terhadap amalan tersebut. Terdapat semangat keperihatinan yang amat mendalam terhadap keadilan dalam ayat yang ringkas itu.

Syarat-syarat itu dikemukakan untuk menjamin berlakunya keadilan.

  • Syarat A:  Poligami diizinkan dalam keadaan perang dan untuk melindungi anak-anak yatim.

Amalan tersebut diizinkan hanya jika orang-orang lelaki yang berkenaan berasa khuatir bahawa mereka tidak akan dapat berlaku adil terhadap anak-anak yatim tersebut.

  • Syarat B:  Lelaki yang ingin mengamalkan poligami mestilah mempunyai kemampuan untuk berlaku adil lagi saksama terhadap semua isterinya.

Ayat tersebut merupakan seruan agar lelaki berlaku adil terhadap wanita, bukannya memberikan hak kepada lelaki untuk memuaskan nafsunya yang diandaikan tidak dapat dikawal itu, atau untuk menjulang egonya.

Dalam hal ini, berlaku adil tidaklah semata-mata bererti kemampuan kewangan seseorang lelaki untuk menyara hidup lebih daripada seorang isteri. Dia mestilah berlaku adil dalam segala hal, termasuklah dari segi meluangkan waktu, memberikan sokongan dan memainkan peranan seorang teman untuk anak-anak dan isteri-isterinya.

  • Syarat C:  Jika seseorang lelaki itu berasa khuatir bahawa dia tidak akan berlaku adil terhadap semua isterinya, maka Allah swt menyarankan supaya dia hanya beristeri satu, untuk menghalang berlakunya penganiayaan.

Hal ini terserlah dengan sejelas-jelasnya dalam ayat tersebut.

Ketiganya, orang sering lupa kepada konteks sosio-sejarah yang menjadi latar belakang turunnya ayat tersebut sebagai wahyu.

Konteks tersebut adalah suatu zaman yang penuh tragedi dalam sejarah Islam setelah meletusnya Perang Uhud, dengan puluhan lelaki terbunuh dalam komuniti Islam Madinah yang masih dalam proses pembentukan itu.

Sejumlah besar para wanita dan kanak-kanak ditinggalkan tanpa tempat perlindungan. Untuk mengatasi masalah tersebut, Allah swt mewahyukan ayat yang mengizinkan lelaki mengamalkan poligami.

Dengan keadaan begitu buruk yang diakibatkan oleh tragedi Uhud itu, Allah swt tentu sahaja boleh mengizinkan berterusannya amalan poligami tak terbatas yang terdapat pada waktu itu. Namun sebaliknya, meskipun poligami diizinkan, Allah swt membataskan bilangan isteri hanya kepada empat orang sahaja.

Kami ingin menumpukan perhatian kepada tujuan yang jelas terserlah dalam al-Qur’an untuk membatasi poligami. Malangnya, pada amalannya batasan-batasan yang dikenakan oleh al-Qur’an itu selalunya tidak dilaksanakan, dan konteks penurunan ayat tersebut sebagai wahyu seringkali diabaikan begitu sahaja.

 

Sukar berlaku adil kepada semua isteri

Jika kita memberikan penekanan yang lebih tentang betapa pentingnya bersikap adil terhadap wanita dan betapa perlunya tiap seorang isteri itu mendapat layanan yang setara, dan jika kita sedar tentang betapa sukar ataupun mustahil untuk berbuat demikian (4:129), maka tidak mungkin ayat tersebut ditafsirkan sebagai mendorongkan poligami.

Apa yang jelas, ayat tersebut menyarankan monogami sebagai bentuk perkahwinan yang sempurna dalam Islam.

Selain itu, tidaklah pula terdapat sebarang nas dalam al-Qur’an yang menyokong pemikiran umum yang percaya bahawa wanita yang memberikan izin kepada suaminya supaya mengahwini isteri kedua akan menghuni syurga.

Sepanjang yang dapat dibuktikan berdasarkan penyelidikan kami, tidak terdapat sebarang hadith sahih yang menyokong kekalutan pemikiran yang demikian.

Namun demikian,  kepercayaan tersebut sering digunakan untuk meyakinkan para wanita bahawa agamanya menuntut supaya mereka menerima sahaja amalan poligami  suami mereka.

Langkah tersebut merupakan taktik yang tidak bermaruah untuk memperdayakan para wanita supaya menganggap diri mereka sebagai bukan isteri yang solehah jika mereka membantah amalan poligami suami mereka.

Penyelesaian terhadap nafsu?

Akhirnya, kami ingin menyatakan bahawa adalah tidak munasabah bagi seorang Muslim untuk menyatakan bahawa poligami merupakan penyelesaian yang dikemukakan oleh Islam terhadap persoalan nafsu lelaki yang diandaikan tidak terkawal itu.

Ajaran-ajaran Islam menekankan unsur-unsur kesucian, pengawalan dan disiplin diri. Penyelesaian terhadap persoalan masyarakat yang tidak bermoral, baik di Barat mahupun di dunia Islam sendiri, bukanlah melalui poligami.

Penyelesaiannya, sebagaimana yang terserlah dalam al-Qur’an dan hadith, ialah dengan mengubah sikap kita daripada melayani rangsangan seks secara rambang kepada amalan kawalan diri dan amalan menghormati di antara satu sama lain.

Kami ingin menyeru kepada saudara-saudara seagama kami supaya kembali kepada al-Qur’an dan menghayati ayat-ayatnya dengan teliti.

Tuduhan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan Syariah Selangor itu tidak mengikut Hukum Syarak merupakan penafian yang bertentangan dengan tujuan dan semangat keadilan yang termaktub dalam kitab suci al-Qur’an.

 

Sisters in Islam
Kuala Lumpur
18 Ogos 1990

 

Surat ini yang merupakan surat kepada pengarang yang pertama sekali ditulis oleh Sisters in Islam, telah diterbitkan dalam  Utusan Malaysia,  Utusan Melayu, Berita Harian, The Star dan The New Straits Times.

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email