Utusan – Response to Mashitah

Merujuk kepada apa yang dikatakan oleh Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Y.B. Datuk Dr Mashitah Ibrahim dalam Utusan Malaysia pada 26 Disember 2005, Sisters in Islam ingin menjelaskan hal-hal yang berikut

1. Mengapa baru dibuat bantahan?
Sebenarnya pihak pertubuhan wanita telah mengemukakan syor-syor pembaharuan dan pindaan undang-undang kepada Jabatan Perdana Menteri, dan juga Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga, dalam beberapa memorandum kami sejak 2002.. Ini termasuklah Memorandum Perbandingan Rang Undang-Undang Keluarga Islam dengan Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 pada tahun 2002, dan Memorandum mengenai Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 pada tahun yang sama. Beberapa mesyuarat telah diadakan di antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan JAKIM mengenai memorandum 42 mukasurat yang kami kemukakan mengenai berbagai banyak kelemahan dan perkara yang bersifat diskriminasi. Kebimbangan kami juga telah dinyatakan dengan terperinci kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor semasa Enakmen Selangor itu diluluskan. Selama empat tahun, kami telah berharap bahawa pihak berkuasa mengambil kira pandangan dan kekhuatiran kami. Malangnya, isi peruntukan yang sama telah dibentangkan dalam Rang Undang-Undang di Dewan Undangan Negeri-Negeri lain dan di Parlimen Persekutuan. Sebagaimana yang dikatakan kepada Ahli Dewan Negara, kami juga diberitahu supaya “menerimanya dan akan dipinda kemudian”.

2. Kebimbangan tafsiran undang-undang
Kebimbangan kami mengenai tafsiran undang-undang ialah kerana bahasa yang digunakan memang membolehkan, malah boleh dikatakan menggalakkan, penyalahgunaannya oleh suami yang tidak bertanggungjawab untuk mengugut pihak isteri. Peruntukan yang memberi hak kepada isteri sedia ada untuk menuntut harta sepencarian daripada suami yang hendak berpoligami juga memberi suami itu hak untuk menuntut harta sepencarian dariapda isteri sedia ada. Ini kerana peruntukan tersebut menyatakan “mana-mana pihak kepada perkahwnan itu” boleh menuntut harta sepencarian, dan tidak secara khusus menyatakan “isteri sedia ada” boleh menuntut harta sepencarian. Suami yang hendak berpoligami boleh mengugut isteri sedia ada yang hendak menuntut harta sepencarian bahawa suami juga akan menuntut harta sepencarian.

Malah, tuntutan suami untuk harta sepencarian dipermudahkan lagi dengan peruntukan baru seksyen 107A yang membolehkan suami mendapat perintah mahkamah untuk menghalang isteri atau bekas isteri daripada melupuskan hartanya. Peruntukan ini telah mengakibatkan kes Puan Zaidah Abdul Rahman di Negeri Johor di mana pihak suami berjaya mendapat perintah Mahkamah membekukan akaun-akaun simpanan isteri atas alasan tuntutan harta sepencarian. Isteri malang ini menghadapi kesusahan menanggung diri dan anak-anaknya kerana dia hanya seorang surirumah dan akaun simpanan itulah satu-satunya punca pendapatannya. Suaminya yang memperolehi pendapatan lebih dari RM30,000 sebulan tidak memberikan nafkah isteri selama prosiding perceraian berlangsung, dan juga tidak memberi nafkah yang mencukupi untuk anak-anak.

3 Hak fasakh untuk suami
Al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah (saw) biasanya memberi garispanduan dan peruntukan am mengenai sesuatu hal, misalnya dalam soal nikah cerai, Surah al-Baqarah 2 : 229 ada menyatakan “berbaiklah dengan cara yang patut (ma’ruf) atau bercerailah dengan cerai yang baik”, dan mengenai perjanjian perkahwinan, hadith Rasulullah (saw) riwayat Uqbah bin Amir ada menyatakan “syarat yang paling patut dipenuhi olehmu ialah yang menjadikan persetubuhan (dengan isterimu) halal (untukmu)”. Kaedah-kaedah terperinci mengenai amalan nikah cerai kebanyakannya terdapat dalam kitab-kitab fiqh yang diusahakan oleh para fuqaha. Terdapat pendapat jumhur (majoriti) fuqaha dalam beberapa hal, dan terdapat juga ikhtilaf (perbezaan pendapat) di kalangan para fuqaha.

Terdapat perbezaan pendapat mengenai hak fasakh suami. Kami mendapati sungguh aneh bahawa apabila terdapat perbezaan pendapat mengenai sesuatu kaedah, terdapat kecenderungan menerima pendapat yang lebih memberi faedah kepada pihak suami serta memperluaskan lagi faedah itu. Sebaliknya, apabila terdapat perbezaan pendapat mengenai kaedah lain yang boleh memberi faedah kepada pihak isteri, pendapat ini diketepikan dan ditolak. Misalnya, kaedah yang memberi isteri isma’ atau talaq tafwid [mewakilkan perceraian). di mana suami membuat perjanjian memberi hak kepada isteri untuk membubarkan perkahwinan dengan cara yang sama seperti suami boleh membubarkannya secara talaq. Di beberapa negara di Timur Tengah dan juga Pakistan, perjanjian individu di antara pasangan suami isteri mengenai hak isteri kepada talaq tafwid adalah dibenarkan. Jika undang-undang kita kini memberi hak fasakh kepada suami, maka sepatutnya ia hendaklah juga dipinda untuk memberi hak talaq tafwid kepada isteri, atau sekurang-kurangnya untuk menjelaskan bahawa pasangan suami isteri mempunyai pilihan untuk memasukkan peruntukan talaq tafwid di dalam perjanjian mereka.

4. Nafkah atau peruntukan untuk isteri yang diceraikan
Peruntukan dalam undang-undang ini tidak menjelaskan bahawa isteri berhak menerima nafkah jika dia difasakahkan. Kalau inilah niat pihak berkuasa, maka perlulah dibuat pindaan kepada peruntukan nafkah bagi bekas isteri untuk menjelaskan hal ini. Kami khuatir bahawa suami yang menfasakhkan isterinya tidak perlu membayar nafkah iddah dan mut’ah (pampasan) kerana sebenarnya dalam cerai talaq, suami perlu membayar nafkah iddah dan mut’ah kepada isteri, (walaupun suami yang tidak bertanggungjawab tidak membuat bayaran tersebut).. Malah, apa yang dkhuatiri ialah tiada peruntukan yang menghendaki suami membayar nafkah iddah dan mut’ah dalam cerai fassakh

Malah, pihak kumpulan wanita juga telah membuat beberapa syor untuk memperkukuhkan hak isteri untuk mendapat mut’ah (pampasan) setelah diceraikan, tetapi cadangan kami mengenai peruntukan mut’ah yang lebih jelas dan tegas tidak diambilkira. Kalau suami masih sayang dan kasihan akan isteri yang ada keaiban, undang-undang sedia ada telahpun mempunyai peruntukan di bawah seksyen 65(2) di mana suami boleh membuat perjanjian bahawa dia akan terus membayar pemberian kepada bekas isterinya sehingga bekas isterinya berkahwin lain. Tetapi hak bekas isteri untuk mendapat pemberian ini bergantung kepada persetujuan pihak suami untuk membuat perjanjian sedemikian, dan tidak terdapat peruntukan yang membolehkan mahkamah mengarahkan suami yang tidak bersetuju untuk berbuat demikian.

Kesimpulan
Undang-Undang Keluarga Islam 2005 tidak seimbang dan tidak adil kerana bahasa yang meminda Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 membolehkan pihak suami memperolehi hak yang sepatutnya bertujuan melindungi pihak isteri. Prinsip Hukum Syara’ menegaskan kesaksamaan dan keseimbangan antara hak dan kewajipan kaum lelaki dan wanita. Para fuqaha zaman dahulu telah memberi kelebihan hak kepada kaum lelaki seimbang dengan kelebihan kewajipan kaum lelaki. Dalam perundangan 2005 in, bahasa yang digunakan jelas boleh disalahgunakan untuk menambahkan lagi hak kaum lelaki dan menambahkan lagi beban kaum wanita, dan akan membawa keadaan di mana:

• Bagi kaum lelaki, hak tradisional dikekalkan serta ditambah lagi hak baru, dan kewajipan tradisional dikurangkan.

• Sebaliknya pula bagi kaum wanita, hak tradisional dikurangkan dan kewajipan tradisional dikekalkan serta ditambah lagi kewajipan baru.

Keadaan ini boleh menggalakkan penindasan dan kezaliman ke atas kaum wanita, dan tidak mencerminkan ajaran suci agama Islam.

Sisters in Islam
28 Disember, 2005

Please follow and like us:
X