No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

SIS menyambut baik Ucapan PM mengenai Gagasan ke Sepuluh – Menambahbaik Undang-Undang Keluarga Islam

SIS Menyambut Baik Ucapan PM Mengenai Gagasan ke Sepuluh

Saudara Pengarang,

Kami di Sisters In Islam mengalu-alukan Gagasan Kesepuluh yang disampaikan oleh Presiden UMNO dalam Ucapan Dasarnya di Perhimpunan Agung UMNO 2006 baru-baru ini.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat kenyataan bahawa kerajaan prihatin terhadap keadaan wanita di negara ini dari segi undang-undang dan bertekad untuk menyemak semula dan menyelaraskan undang-undang syariah keluarga untuk memastikan berlakunya keadilan.

Malah Datuk Seri menegaskan dalam ucapan dasarnya bahawa Kerajaan Barisan Nasional pimpinan UMNO berpegang teguh kepada keadilan untuk semua, selaras dengan prinsip utama yang dianjurkan oleh Islam.

Di sini, Sisters In Islam ingin mengambil kesempatan untuk menyeru supaya usaha-usaha yang telah dilakukan oleh pihak Peguam Negara, bersama dengan Komuniti Syariah dalam membincangkan cadangan pindaan Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2006 direalisasikan. Kami berharap agar cadangan pindaan tersebut dapat dibentangkan di Parlimen dengan segera.

Jika prinsip keadilan kepada semua merupakan keutamaan kerajaan, maka, adalah perlu supaya undang-undang yang telah disemak semula ini dipercepatkan perlaksanaannya untuk dinikmati oleh masyarakat keseluruhannya. Seperti yang selalu diperkatakan, “…justice delayed is justice denied” (keadilan yang dilengah-lengahkan untuk dilaksanakan, tidaklah dapat memberi keadilan).

Sisters in Islam
21st November 2006

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email