No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

SESI SUMBANG SARAN MENGENAI ISU DAN MASALAH ANAK TAK SAH TARAF: Pandangan dan Cadangan Sisters in Islam (SIS Forum) Mengenai Masalah Nafkah Anak Tak Sah Taraf Dari Aspek Undang-Undang Syariah Latarbelakang Seksyen 80 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984

Pada asalnya, Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 pernah mempertanggungkan bahawa bapa anak tak sah taraf juga boleh diperintahkan membayar nafkah, dengan mengadakan peruntukan (dalam seksyen 80(2)) bagi membawa tuntutan terhadap pihak bapa di mahkamah Majistret.. Tetapi pada tahun 1994, Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 telah dipinda melalui Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 1994.

Sejak pindaan pada tahun 1994 itu, kewajipan memberi nafkah kepada anak tak sah taraf nampaknya ditanggung oleh pihak ibu sahaja dengan pemotongan, oleh seksyen 26 Akta Pindaan 1994, akan seksyen 80(2) Akta 1984. Pemotongan tersebut telah dibuat tanpa mengadakan peruntukan baru bagi membolehkan tuntutan sedemikian dibuat di Mahkamah Syariah.

Walaupun ini mungkin dikatakan selaras dengan pentafsiran tradisional undang-undang Islam yang difahamkan (terutamanya mengikut mazhab Shafi’i) sebagai tidak mengiktiraf apa-apa pertalian di antara bapa dengan anak tak sah taraf, mungkin para ulama’ Islam patut mengkaji semula mengenai hal ini. Nas yang mengatakan bahawa pihak bapa tidak bertanggungan memberi nafkah untuk anak tak sah tarafnya nampaknya diperolehi daripada Hadith yang tidak membenarkan pihak bapa anak tak sah taraf mendapatkan hak jagaan ke atas anak itu. Dalam Hadith tersebut, Aishah r.a. melaporkan: Sa’d bin Abu Waqqas dan Abd’ bin Zaman telah bertikai mengenai seorang budak lelaki. Sa’d berkata, “Wahai Rasulullah, dia ini anak kepada saudara saya, Utba bin Abu Waqqas, yang telah memesan dengan jelas bahawa kanak-kanak itu ialah anaknya. Lihatlah rupanya.” Abd’ bin Zaman pula berkata, “Wahai Rasulullah, dia adalah adik saya kerana dia dilahirkan oleh hamba sahaya bapa saya di atas hamparan tidur bapa saya.” Rasulullah s.a.w. melihat budak itu dan mendapati rupanya sama dengan Utba. Tetapi Rasulullah s.a.w. bersabda, “Dia adalah untukmu wahai Abd’ bin Zaman kerana anak adalah kepunyaan orang yang pada hamparan tidurya dia dilahirkan, dan hukuman rejam adalah untuk penzina.” (Sahih Muslim Jilid II Kitab al-Nikah 3435)

Dari riwayat ini, adalah difahamkan prinsip bahawa “anak adalah bagi hamparan pasangan yang sah”.

Hadith tersebut tidak membenarkan pihak bapa anak tak sah taraf mendapatkan hak jagaan ke atas anak itu. Riwayat tersebut adalah mengenai kes pertikaian jagaan anak, Rasulullah (s.a.w) telah memberi hak jagaan anak itu kepada keluarga lelaki yang menikahi ibu anak itu dan bukan keluarga lelaki yang sebenarnya bapa kandung anak itu kerana “anak adalah kepunyaan lelaki yang pada hamparan tidurnya dia dilahirkan”. (Iaitu, anak itu dianggap sebagai anak pasangan suami isteri yang sah). Keadaan kes itu amat berbeza daripada masalah yang seringkali dihadapi oleh anak tak sah taraf yang terbiar pada zaman sekarang. Suatu lagi perbezaan ialah pada zaman ini, terdapat kemudahan memperolehi bukti yang jelas mengenai siapakah bapa seseorang anak itu. Kebapaan (paternity) kini boleh ditentukan melalui ujian saintifik dan tidaklah perlu bergantung keapda pengakuan seseorang lelaki bahawa anak itu adalah anaknya. Dalam kes pada zaman Rasulallah (s.a.w), anak itu bukannya anak yang terbiar; malah sebaliknya dia menjadi rebutan di antara dua keluarga, iaitu keluarga bapa di sisi undang-undang dan keluarga bapa kandung. Ajaran Islam memutuskan supaya kanak-kanak hendaklah “diletakkan dengan dan diamanahkan kepada ibu bapa yang penyayang dan budi pekertinya tidak disyaki” (Hammudah Abd al ‘Ati “The Family Structure in Islam”m.s. 395).

Keengganan mengiktiraf bapa kandung anak tak sah taraf dalam keadaan masyarakat Arab zaman dahulu merupakan suatu bentuk hukuman ke atas pihak bapa. Ia sama sekali tidak bertujuan sebagai hukuman ke atas anak yang tidak berdosa itu. Tetapi dalam keadaan masyarakat kita zaman sekarang, ia sebaliknya menjadi seperti hukuman dan bebanan ke atas pihak anak itu pula, apabila ia tidak boleh membuat tuntutan nafkah daripada bapanya. Pihak bapa yang tidak bertanggungjawab pula tidak merasakannya sebagai hukuman, tetapi sebaliknya mengambil kesempatan sebagai kemudahan melepaskan diri dari beban tanggungjawab memberi nafkah kepada anak. Walaupun terdapat peruntukan bagi anak itu mendapat nafkah daripada pihak ibu, ini tidaklah mencukupi jikalau ibu itu kurang berkemampuan. Keadaan juga berbeza dalam masyarakat Arab zaman dahulu di mana bukan pihak ibu itu sendiri tetapi pihak keluarga atau kabilahnya yang bertanggungjawab menanggung nafkah anak. Masyarakat kita tidak mempunyai sistem kabilah sedemikian. Mempertanggungkan pihak ibu sahaja mungkin juga menambah lagi prejudis dan salah anggapan di kalangan masyarakat yang menyangkakan seolah-olah pihak ibu sahaja patut dipersalahkan kerana melahirkan anak luar nikah. Ketakadilan ke atas pihak ibu menjadi kezaliman yang lebih buruk lagi sekiranya ibu itu sebenarnya adalah mangsa rogol tetapi tidak dapat membuktikannya.

Selagi bapa tidak dipertanggungjawabkan untuk memberi nafkah anak tak sah tarafnya dalam keadaan sekarang, ini mungkin menggalakkan orang lelaki yang kurang beriman melakukan perbuatan zina, sambil mengambil kesempatan melepasakan diri dari tanggungjawab kewangan terhadap anak yang malang itu. Ini tentu sekali membawa kepada mafsadah atau keburukan dalam masyarakat. Sebaliknya, jika bapa anak tak sah taraf juga dipertanggungkan membayar nafkah anak, ini mungkin membantu menimbulkan kesedaran untuk menahan diri dari perbuatan keji itu dan dengan itu membawa kepada maslahah atau kepentingan kebajikan dalam masyarakat. Pada zaman dahulu, kedudukan maslahahnya berbeza kerana ramainya anak (terutamanya anak lelaki) merupakan suatu kebanggaan kepada seseorang lelaki hingga anak tak sah taraf boleh menjadi rebutan di antara lebih dari satu keluarga, misalnya sebagaimana yang berlaku dalam Hadith yang disebut di atas.

Syor: Supaya diadakan peruntukan bahawa bapa juga bertanggungjawab mengenai nafkah anak tak sah tarafnya setelah dibuktikan melalui ujian perubatan bahawa anak itu adalah anaknya. Mempertanggungkan pihak bapa anak tak sah taraf membuat bayaran kewangan boleh juga dilihat sebagai suatu bentuk hukuman ke atas pihak bapa yang berdosa itu.

Dengan itu disyorkan sama ada:
dimasukkan semula subseksyen (2) seksyen 80 Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 yang memperuntukkan bahawa tuntutan bagi nafkah anak tak sah taraf terhadap bapa yang disangkakan boleh dibawa di Mahkamah Majjistret, atau
dimasukkan subseksyen baru (2) seperti berikut:
“(2) Jika seseorang lelaki cuai atau enggan menanggung nafkah seseorang anaknya yang tak sah taraf yang tidak berupaya menanggung nafkah dirinya, setelah dibuktikan melalui ujian perubatan bahawa anak itu adalah anaknya, Mahkamah boleh memerintahkan lelaki itu memberi apa-apa elaun atau sumbangan bulanan yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah.”

Sisters in Islam
7 February 2002

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email