No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

SEKALI LAGI, KOTAKAN KATA!

JAG mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri yang menjamin “kerajaan bersedia melakukan perubahan terhadap undang-undang, peraturan, amalan dan pemikiran yang menghalang wanita untuk lebih maju”. Kami mengharapkan jaminan ini menjadi realiti dan menyeru undang-undang pro-wanita diluluskan dengan segera, oleh mana-mana pihak yang kelak membentuk kerajaan.

Dato’ Sri Najib Razak, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menjamin bahawa sesuatu yang baik tidak akan memakan masa tujuh tahun untuk dicapai. Kami berharap beliau telah mengambil kira bahawa pindaan positif kepada Akta Keganasan Rumah Tangga hanya diluluskan pada tahun 2011, 17 tahun selepas akta asal diluluskan pada tahun 1994.

Perubahan undang-undang dan dasar-dasar untuk memastikan keadilan serta menghentikan diskriminasi tidak sepatutnya mengambil masa tujuh tahun atau lebih untuk diluluskan dan dilaksanakan. Keadilan yang ditangguhkan ialah keadilan yang dinafikan.

Namun, kami dapati penangguhan seperti ini adalah suatu kebiasaan. Dalam masa sedekad lebih, JAG telah menyampaikan 22 memorandum kepada pihak kerajaan yang mengutarakan isu-isu wanita yang memerlukan tindakan segera. Kebanyakan memorandum ini tidak diberikan perhatian oleh pihak kerajaan. Usaha untuk meluluskan undang-undang dan dasar-dasar pro-wanita boleh bermula dengan mengkaji semula memorandum-memorandum ini.

Khususnya, sebarang perubahan harus memberi tumpuan kepada perkara-perkara berikut:

 Pastikan semua undang-undang negeri dan persekutuan melarang diskriminasi berdasarkan jantina, selaras dengan Artikel 8(2) Perlembagaan Persekutuan dan Konvensi Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW).

 Bawa ke Parlimen pindaan-pindaan kepada Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2006 yang tergendala walaupun sudah dipersetujui oleh Mesyuarat Komuniti Syariah Pejabat Peguam Negara pada 2006.

 Meminda undang-undang mengenai rogol supaya definisi rogol merangkumi rogol dengan menggunakan objek dan rogol dalam perkahwinan.

 Memperluaskan Akta Keganasan Rumah Tangga supaya merangkumi pasangan yang tidak berkahwin, supaya ianya selaras dengan undang-undang jenayah yang berkenaan, dan supaya bantuan untuk mangsa keganasan rumah tangga diinstitusikan.

 Luluskan undang-undang yang menyeluruh mengenai gangguan seksual, termasuk prosedur-prosedur dan remedi sensitif.

Pada tahun 2008, JAG menyeru wakil-wakil rakyat untuk “Kotakan Kata!” dan melaksanakan jaminan-jaminan pilihanraya untuk menghentikan diskriminasi berdasarkan jantina dan menegakkan hak-hak wanita. Lima tahun kemudian, pilihanraya umum sekali lagi menghampiri dan ahli-ahli politik giat mengulangi jaminan-jaminan dan janji-janji pilihanraya. Adakah retorik ini sekadar mengambil kesempatan ke atas isu-isu wanita?

Menjelang pilihanraya umum ke-13, JAG akan memerhati sama ada calon-calon pilihanraya mengambil kira tuntutan-tuntutan kami, serta mengajar serta memperkasa pengundi-pengundi wanita bagaimana untuk memantau calon-calon pilihanraya supaya mengutamakan isu-isu wanita.

Mahatma Gandhi pernah berkata “tindakan menzahirkan keutamaan”. Seperti itu, kredibiliti juga bergantung kepada tindakan. Kerajaan yang mengutamakan wanita seharusnya membuktikan kebolehan dan keinginan untuk mengubah undang-undang yang bercanggah dengan hak-hak wanita. Daripada menjadi tin kosong, lebih baik diam-diam ubi berisi. Kini adalah masa untuk bertindak.

###

Kenyataan akhbar ini dikeluarkan oleh Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG) yang terdiri daripada:

Sisters In Islam (SIS)

Women’s Aid Organisation (WAO)

All Women’s Action Society (AWAM)

Women’s Centre for Change, Penang (WCC)

Perak Women for Women Society (PWW)

Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)

The Sabah Women Action Resource Group (SAWO)

Persatuan Sahabat Wanita (PSW)

Tenaganita

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email