Poligami dalam Hukum Islam

Surat kepada KOSMO/Berita Harian
9 Februari 2007

Kini nampaknya terdapat banyak minat dalam masyarkat kita mengenai soal poligami dan hukum Islam, misalnya surat kepada Berita Harian bertarikh 31 Januari 2007 misalnya “Kenyataan Sisters in Islam Dpertikai”, serta kenyataan Mahasiwa Islam yang membuat tuduhan “Poligami: SIS Ingin Mengubah Hukum Allah”.

Saya amat kesal bahawa terdapat orang Muslim zaman sekarang ini yang begitu mudah membuat tuduhan kesat terhadap orang Muslim lain tanpa memahami apakah yang sebenarnya dimaksudkan. Saya juga hairan kenapa ramai orang Muslim dalam masyarakat Melayu kini begitu mementingkan poligami sebagai suatu institusi umat Islam, seolah-olah hukum Allah menggalakkan poligami, dan melemparkan tuduhan melencong aqidah ke atas orang Muslim lain yang cuba menjelaskan ketidakadilan dalam amlan poligami masakini.

Aqidah Islam adalah berasaskan tawhid iaitu larangan mempersekutukan Allah swt. Asas ini jelas daripada Surah al-Ikhlas, surah ringkas yang nilainya sama dengan satu pertiga kitab suci al-Qur’an keseluruhannya, jauh lebih tinggi nilainya daripada ayat-ayat yang merupakan panduan mengenai hal mu’amalat sesama kaum manusia. Aqidah Islam juga jelas dalam dua kalimah shahadah yang dipertuturkan oleh setiap orang Muslim “Saya naik saksi bahwa tiada tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu Rasul Allah”. Rukun Iman yang enam mengasakan kepercayaan kepada Allah, Kitab-KitabNya, Malaikat-MalaikatNya, Rasul-RasulNya, Hari Qiamat, dan Qada’ serta Qadar atau Kekuasaan Allah swt. Rukun Islam yang lima mengasaskan dua kalimah shahadah, amalan solat, puasa, zakat dan haji. Tuduhan yang menyamakan perbincangan mengenai ketidakadilan dalam amalan polligami masakini sebagai melencong aqidah seolah-seolah menyamakan kepercayaan kepada keindahan poligami dengan kepercayaan kepada rukun Iman dan amalan poligami sebagai sebahagian daripada amalan dalam rukun Islam.

Terdapat juga orang Muslim masakini yang keliru dan nampaknya menganggap poligami sebagai kurnian Allah kepada umat Muslim lelaki, seolah-olah ayat mengenai poligami diwahyukan untuk membenarkan poligami di kalangan masyarkat yang sebelumnya monogami. Padahal, ayat mengenai poligami, Surah al-Nisa’ 4 : 3 telah diwahyukan selepas peperangan Uhud yang telah mengorbankan ramai lelaki, dan dalam masyarakat yang sebelumnya mengamalkan poligami tanpa had dan tanpa syarat. Latarbelakang sejarah serta asbab al-nuzul Surah al-Nisa’ 4 : 3 mengenakan had dan syarat untuk membataskan amalan poligami yang berleluasa di kalangan masyarakat Jahiliyah. Jika dikaji lagi keadaan pada zaman itu, semasa turunnya ayat tersebut, terdapat lelaki Muslim yang mempunyai lebih daripada empat orang isteri, dan mereka terpaksa memilih hanya empat orang di kalangan isteri-isteri sedia ada mereka. Hanya Rasulullah saw dibenarkan mengekalkan semua isteri baginda. Terdapat juga riwayat dalam Ibn Hajar al-Asqallani (m.853 H) yang menyatakan: “Menikah lebih seorang perempuan bagi lelaki adalah halal, ketika tidak melebihi empat orang perempuan, namun ia juga boleh dilarang ketika mengakibatkan keburukan di masa mendatang”.

Mengenai larangan Rasulullah (saw) terhadap hasrat Saidina Ali (ra) untuk berpoligami, alasan bahawa larangan baginda adalah kerana calon isteri itu adalah anak Abu Jahal tidap boleh diterima. Ini kerana ia bertentangan dengan akhlak Rasulullah (saw) yang tidak mengaitkan seseorang dengan kesalahan ibu bapa atau keluarganya, dan juga begitu pemaaf terhadap bekas musuh yang memeluk Islam. Perkahwinan di antara keluarga dan sahabat Rasulullah (saw) dengan mereka yang keluarganya sebelum itu pernah memusuhi dan memerangi umat Muslim memang berlaku pada zaman Rasullulah (saw).

Terdapat juga sebilangan para ilmuwan Muslim pada masakini, termasuk di Indonesia, Tunisia dan Maghribi yang mengemukakan hujah bahawa menghadkan bilangan isteri kepada empat orang lebih 14 kurun yang lalu merupakan langkah revolusioner yang dipelopori oleh hukum Islam, dan oleh kerana Surah al-Nisa’ juga ada menyatakan “jika khuatir tidak dapat berlaku adil, kahwinlah seorang sahaja”, kini tiba masanya untuk menghadkan bilangan isteri kepada seorang sahaja. Mereka juga mebuat kiasan dengan amalan memiliki hamba abdi. Al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah saw tidak mengharamkan pemilikan hamba abdi, tetapi mengenakan had dan syarat untuk membataskan amalan tersebut, dan memerintahkan tuan hamab agar melayan hamba abdi dengan belas kasihan atau membebaskan mereka. Kini amalan perhambaan telah dihapuskan – adakah umat Islam semuanya telah terpesong aqidah kerana hukum Allah dalam al-Qur’an dan Sunnah menyekat perhambaan tetapi tidak menghapuskannya?

Saya juga khuatir bahawa sikap segolongan Muslim masakini yang membela amalan poligami dalam Islam dengan begitu keras sekali mungkin pula melencong daripada hukum Allah. Ini kerana poligami yang tidak adil dan memudharatkan kesejahteraan keluarga adalah diharamkan oleh Allah awt. Dengan begitu keras sekali membela poligami orang Muslim secara keseluruhannya, sehingga sanggup menuduh orang Muslim lain sebagai melencong aqidah dan hendak mengubah hukum Allah hanya kerana membantah amalan poligami yang tidak adil, mungkin mereka yang membuat tuduhan itulah yang sebenarnya melencong aqidah. Ini kerana mereka seolah-olah hendak mengubah hukum Allah swt yang mengharamkan poligami yang tidak adil. Adakah orang Muslim yang begitu ghariah mempertahankan poligami dan mengaitkannya dengan aqidah Islam ingin kembali ke zaman Jahiliyah di mana amalan poligami dibenarkan tanpa syarat yang bertujuan menjamin keadilan dan kesejahteraan keluarga? Astaghfirullahalazim.

Hajah Nik Noriani Nik Badli Shah
9hb Februari 2006
77, Jalan Setia Kasih 9,
Damansara Heights,
50490 Kuala Lumpur
Tel: 03-79606121

Please follow and like us:
X