Pindaan Kepada Pindaan Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 2005

Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG) menyambut baik Pindaan kepada Pindaan Rang Undang-Undang Keluarga Islam (2005) sebagai langkah pertama dalam menghasilkan Undang-Undang Keluarga Islam yang lebih adil dan saksama. Pindaan ini adalah hasil dari proses perundingan Komuniti Syariah bersama persatuan bukan kerajaan termasuk JAG yang dipengerusikan oleh Peguam Negara. Kami amat mengalukan pendemokrasian proses perundangan ini kerana ia berasaskan prinsip maslahah yang telus, terbuka, dan mengambil-kira pandangan dan hasil kajian semua pihak yang terbabit dalam perlaksanaan undang-undang keluarga islam terutamanya suara wanita Muslim yang telah dipertengahkan oleh JAG.
Kami juga menyokong saranan Kerajaan yang telah disuarakan oleh Peguam Negara bahawa Pindaan ini bukanlah penamat dalam proses penggubalan undang-undang keluarga Islam. Proses yang sama akan diadakan sekali lagi bagi melihat semula keseluruhan Rang Undang-Undang Keluarga Islam tersebut. JAG telah menyatakan bahawa pindaan secara runcitan yang dilakukan kini harus diubah dan suatu pindaan yang komprehensif terhadap undang-undang keluarga Islam perlu dilakukan. Pindaan komprehensif ini akan mengambil kira prinsip-prinsip Islam yang murni dengan berlandaskan keadilan, kesaksamaan dan keseimbangan antara kedudukan, hak dan kewajipan kaum lelaki dan wanita. Ia akan memastikan keadilan diberi kepada semua pihak.
Kami masih berdukacita terhadap Pindaan baru yang telah dihantar ke Parlimen kerana ia masih menggunakan perkataan tanpa berbeda gender yang boleh membawa ketidakadilan. Konsep kesamarataan gender yang diusulkan kini, tidak menampilkan prinsip kesamarataan gender yang sebenar kerana secara amnya ia masih mengakibatkan diskriminasi terhadap wanita. Konsep ini hanya boleh digunakan sekiranya prinsip kesamarataan gender digunakan secara menyeluruh merangkumi semua aspek perundangan keluarga islam di Malaysia. Sebagai contoh, hanya suami yang boleh melafazkan talaq di luar Mahkamah. Dia kemudiannya hanya perlu ke Mahkamah bagi mengesahkan perceraian dan membayar denda minima. Isteri perlu memohon kepada Mahkamah bagi mendapatkan perceraian. Hanya suami yang boleh menambahkan syarat pernikahan (takliq) secara lisan dan tidak memerlukan saksi sah. Sekiranya isteri melanggar syarat tersebut maka talaq akan jatuh. Sekiranya isteri pula mahu menambah syarat pernikahan, dia terpaksa menurut formaliti iaitu menulis syarat, mendapatkan persetujuan suami dan ada 2 orang saksi. Di dalam Pindaan ini, perkataan tanpa berbeda gender masih digunakan dalam Sek 23 Pembahagian Harta Sepencarian, Sek 107A Pelupusan Harta Sepencarian dan merangkumi Sek 52 Fasakh.
Pindaan yang perlu diperluaskan supaya juga merangkumi pihak lelaki masih tidak dilakukan lagi. Contohnya, prinsip nusyuz yang yang boleh ditafsirkan sebagai merosakkan keharmonian rumahtangga hanya dikenakan kepada isteri walaupun ia boleh juga dikenakan kepada suami melalui Surah An-Nisa 4:128. Tanggungjawab ke atas nafkah anak tak sah taraf juga masih hanya di atas bahu ibu dan bapa tidak dipertanggungjawabkan.
Sekiranya kita mengambil-kira realiti kedudukan wanita Islam di dalam perlaksanaan undang-undang keluarga Islam di Malaysia pada masa ini, perkataan tanpa berbeda gender adalah tidak adil digunakan di dalam Pindaan kepada Pindaan Rang Undang-Undang Keluarga Islam (2005). Kebanyakan isteri Muslim masih berada di kedudukan tawar-menawar yang lebih lemah dan rendah kerana proses perceraian dan kuasa ekonomi memihak kepada suami. Proses ini adalah berbeza dengan sistem undang-undang keluarga sivil di mana memang terdapat keseimbangan hak kerana proses perceraian tidak mengira gender (gender neutral). Permohon perceraian samada dari suami atau isteri, perlu melalui proses yang sama; dengan itu penggunaan bahasa yang tidak mengira gender adalah adil bagi mereka.
Kami berharap apabila proses mengulang-kaji semula dilakukan terhadap Pindaan ini, penggunaan konsep kesamarataan gender akan dilihat semula dan pindaan yang adil akan dilakukan.
Kami juga berharap agar terdapat penyelarasan dalam perlaksanaan Undang-Undang Keluarga Islam ini iaitu:
a. Semua dokumen berkenaan pembahagian harta simati hendaklah mempunyai ruangan yang menyatakan dengan jelas bahawa isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian ke atas harta peninggalan suami sebelum harta pusaka difaraidkan.
b. Semua dokumen mengenai pembahagian harta perceraian hendaklah mempunyai ruangan yang menyatakan dengan jelas bahawa isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian, mutaah dan nafkah iddah.
c. Borang permohonan untuk berpoligami dan pengesahan perkahwinan poligami hendaklah menuntut dengan jelas segala butir-butir keupayaan kewangan suami, butir-butir semua orang tanggungan dan bakal ditanggung, dan semua aset kepunyaan suami.
Kami amat berharap agar suatu kajian menyeluruh dan komprehensif akan dilakukan dengan secepat mungkin dengan diketuai oleh Peguam Negara dan agar setiap Majlis Perundangan Negeri akan merujuk kepada Rang Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan dan tidak melakukan pindaan dengan sewenangnya kerana proses ini telah dilakukan dengan prinsip maslahah dan demokrasi. Ini adalah bagi memastikan agar setiap Rang Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia berlandaskan prinsip keadilan yang amat ditegaskan Islam
Sisters In Islam
Bagi Pihak Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG)

Please follow and like us:
X