Paksa Tudung Non Muslim di Universiti Islam Antarabangsa (UIA)

Ke hadapan editor,

Isu mewajibkan pemakaian tudung ke atas pelajar perempuan di Malaysia telah menerima liputan yang berlainan dalam akhbar di Malaysia. Akhbar New Straits Times (November 10, 2005) memetik Datuk Maximus Ongkili sebagai berkata bahawa pemakaian tudung tidak diwajibkan ke atas pelajar perempuan di universiti dan pusat pengajian tinggi di seluruh negara, tanpa membezakan antara pelajar Islam atau bukan Islam.

Walau bagaimanapun, The Star (November 10, 2005) memetik Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Shafie Mohd. Salleh sebagai berkata bahawa walaupun pelajar perempuan bukan Islam di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) tidak diwajibkan memakai tudung ke kuliah, mereka perlu menghormati Islam dan patuh kepada kod pakaian universiti, yang dengan jelas menyatakan bahawa pelajar perempuan bukan Islam diwajibkan memakai skaf. Selanjutnya, buku panduan ‘IIUM Students’ Discipline Rules 2004’ mewajibkan pemakaian tudung ke atas semua pelajar perempuan Islam pada setiap waktu, dan mewajibkan pemakaian tudung untuk semua pelajar perempuan tanpa mengira agama semasa konvokesyen sebagai pakaian rasmi istiadat konvokesyen.

Sisters in Islam berpendirian bahawa pemakaian tudung ialah suatu isu yang berkaitan dengan keimanan peribadi seseorang itu. Oleh itu, institusi awam atau kerajaan tidak seharusnya membentuk undang-undang sama ada untuk mewajibkan atau mengharamkan wanita supaya bertudung. Kami faham pihak berkuasa UIAM telah berkata bahawa kod pakaiannya bukanlah “isu agama tetapi merupakan hak Universiti untuk menentukan peraturan pakaian istiadat rasmi”. Kami tidak bersetuju dengan hujah ini atas beberapa sebab.

Pertamanya, pernyataan bahawa kod pakaian ini bukan isu agama adalah sebuah dakwaan yang boleh dipertikaikan. Malah, pemakaian tudung oleh sesetengah perempuan Islam sekalipun, walaupun berbeza-beza, sudah pastinya adalah amalan yang berpunca daripada kefahaman masing-masing. Sisters in Islam menegaskan bahawa kita tidak boleh menggunakan paksaan dalam agama. Tidak dapat dinafikan bahawa sesetengah gaya pemakaian berkait rapat dengan kepercayaan agama, identiti dan politik peribadi. Oleh itu, dengan menetapkan tudung sebagai kod pakaian wajib untuk perempuan Islam dan skaf untuk perempuan bukan Islam seolah-olah menafikan konteks ini. Selanjutnya, pelaksanaan kod pakaian ini untuk pelajar perempuan Islam dan bukan Islam adalah sebuah perbuatan yang mungkin akan menyinggung perasaan sesetengah pihak dan melanggar hak mereka untuk menghayati kepercayaan masing-masing, iaitu hak yang dijamin oleh Allah s.w.t. dalam kitab suci Al Quran.

Keduanya, kami ingin menarik perhatian kepada persamaan antara situasi pelajar perempuan di Malaysia dengan situasi di negara Perancis tidak lama dahulu di mana kerajaan Perancis telah mengharamkan pemakaian hijab oleh perempuan Islam di institusi awam. Dalam kes ini, Sisters in Islam juga telah membantah pengharaman oleh kerajaan Perancis kerana ia telah mencabul kebebasan beragama dan hak-hak perempuan Perancis yang beragama Islam. Yang pentingnya di sini ialah keputusan untuk memakai atau tidak memakai hijab, tudung atau skaf merupakan keputusan individu yang terlibat, bukannya mana-mana institusi kelolaan manusia yang tidak sunyi daripada melakukan kesalahan walaupun ia berpunca daripada niat yang murni. Kami faham bahawa terdapat sesetengah institusi yang ingin menyelaraskan kod pakaian rasmi untuk tujuan simbolik atau praktikal, tetapi kod pakaian ini tidak boleh memperalatkan simbol agama dan budaya yang seharusnya menjadi keputusan peribadi seseorang individu.

Ketiganya, ia merupakan permainan bahasa semata-mata jika dinyatakan bahawa pelajar perempuan bukan Islam tidak perlu memakai tudung tetapi mesti patuh kepada kod pakaian UIAM, yang jelasnya menyatakan bahawa pelajar perempuan bukan Islam wajib memakai skaf. Di antara umat Islam sekalipun, terdapat pelbagai gaya pemakaian tudung. Oleh itu, pembezaan antara tudung untuk orang Islam dan skaf untuk orang bukan Islam sebenarnya menafikan isu sebenar mengapa kaum perempuan tidak mahukan sebarang pihak manusia lain untuk menentukan cara mereka berpakaian. Lagipun, dalam sejarah perkembangan perundangan dan ilmu Islam, alim ulama dan para cendekiawan Islam yang teragung sekalipun tidak pernah mencapai kata sepakat tentang gaya pemakaian perempuan yang “betul”. Hinggakan Allah s.w.t. telah berfirman dalam kitab suci Al Quran bahawa maruah diri perempuan boleh dipelihara dengan pelbagai cara melalui cara-cara pemakaian yang bersesuaian dengan budaya, tempat dan peredaran masa yang berlainan. Oleh itu, pembentukan peraturan pemakaian perempuan berdasarkan apa yang dibayangkan sebagai sebuah piawai “Islam” yang tunggal sebenarnya tidak mengambil kira kepelbagaian pendapat dan pemikiran dalam perkembangan Islam.

Keempatnya, UIAM juga menyatakan bahawa kod pakaiannya untuk pelajar perempuan bukan Islam tidak pernah dipertikaikan selama ini. Kami menyoal ketepatan dan andaian di sebalik pernyataan ini. Kod pakaian UIAM memang pernah dipertikaikan oleh kaum bukan Islam. Malah dalam tahun 2003, wakil rakyat Batu Gajah, Fong Po Kuan, telah menggesa Menteri Pendidikan ketika itu, Tan Sri Musa Mohamad, untuk bertindak ke atas isu mewajibkan pelajar perempuan bukan Islam di UIAM supaya memakai tudung. Pada masa yang sama, nada perbincangan tentang Islam di negara ini mungkin telah menyebabkan minoriti bukan Islam merasa bahawa mereka tidak mempunyai pilihan melainkan untuk berdiam diri dan mengikut keputusan majoriti rakyat Malaysia yang beragama Islam. Mereka yang menyuarakan pendapat yang bertentangan dengan pendapat arus perdana seringkali disambut dengan kemarahan dan cacian oleh sesetengah pihak yang mendakwa bahawa mereka mesti mempertahankan Islam. Apa pun, kita sebagai masyarakat Malaysia yang majmuk perlulah menghormati perasaan dan pandangan golongan minoriti etnik dan agama, dan juga pandangan yang berbeza antara umat Islam. Apa yang penting di sini ialah kita sebagai masyarakat majmuk perlu mempertahankan kepelbagaian pendapat dan pendirian di antara kita.

Kelimanya, Sisters in Islam juga berharap bahawa pihak berkuasa akan prihatin terhadap kesan tekanan rakan sebaya di universiti dan institusi pengajian tinggi di negara ini. Polisi yang mempertahankan hak pelajar perempuan tidak akan berkesan jika terdapat tekanan yang berleluasa daripada rakan sebaya yang memaksa pelajar perempuan untuk bertudung atau tidak bertudung.

Kami amat mengalu-alukan kesediaan rakyat Malaysia dari pelbagai latarbelakang untuk menyuarakan pendapat dan saranan yang berbeza-beza tentang subjek ini. Seperti yang pernah dikatakan oleh Imam Malik ibn Anas, “Kepelbagaian pendapat ialah rahmat Allah s.w.t. kepada umat manusia.” Allah s.w.t. juga telah berfirman dalam kitab suci Al Quran: “Tidak ada paksaan dalam agama.” (Surah al-Baqarah, 2:256). Kami berharap bahawa kebijaksanaan yang sedemikian dapat disemai dalam semua aspek kehidupan awam, termasuklah dalam isu pemakaian perempuan.

Sisters in Islam
Petaling Jaya
11 November 2005

Please follow and like us:
X