Memorandum Kepada Ahli Dewan Senat untuk Mengkaji Semula Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005

Diserahkan oleh Joint Action Group on Gender Equality (JAG)

Memorandum bersama Joint Action Group on Gender Equality (JAG) ini diserahkan kepada ahli Dewan Senat supaya menarik balik dan mengkaji semula Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005, yang telah diluluskan dalam persidangan Dewan Rakyat pada 26 September 2005. Walaupun beberapa pindaan dalam Rang tersebut mampu menjamin keadilan bagi wanita Muslim di negara ini, namun kami prihatin dan khuatir terhadap beberapa pindaan lain dalam Rang tersebut kerana ianya akan mengakibatkan diskriminasi dan penganiayaan terhadap wanita.

Malah Dewan Rakyat tidak diberikan masa yang secukupnya untuk membaca dan meneliti Rang Undang-Undang ini. Maka, ahli-ahli tidak berkesempatan untuk berunding dengan pihak-pihak berkenaan dan membahaskan dengan tuntas peruntukan-peruntukan yang mendatangkan kesan diskriminasi terutamanya kepada wanita Islam di Malaysia.

Dengan itu, kami berharap Yang Berhormat Senator-Senator akan mengkaji pindaan-pindaan yang membimbangkan ini dan akan mengesyorkan agar Rang tersebut ditarik balik untuk diteliti dan diperbahaskan semula di Dewan Rakyat.

Latarbelakang

Pada 26hb September, Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaaan) 2005, dengan tujuan memperbaiki Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 dan untuk memastikan agar ianya akan memupuk dan menegakkan keadilan.

Kami menyambut baik beberapa pindaan, khususnya berkenaan dengan tuntutan harta sepencarian oleh isteri apabila suaminya ingin berpoligami dan juga memerlukan isteri, atau isteri-isteri sedia ada, bakal isteri dan bakal wali untuk hadir di Mahkamah. Pindaan sebegini tentunya akan dapat melindungi hak kaum wanita yang selama ini terpaksa menanggung beban diskriminasi akibat dari undang-undang yang kurang prihatin dan kurang peka terhadap hakikat dan keadaan hidup wanita.

Namun terdapat beberapa pindaan yang telah diluluskan yang akan mendatangkan kesan diskriminasi kepada kaum wanita di Malaysia. Antara kesan diskriminasi yang perlu ditekankan di sini ialah:

(1) Seksyen 23(9)(b): Hak suami untuk menuntut harta sepencarian daripada bahagian harta isterinya apabila dia berpoligami.
Pindaan ini menyatakan “…Mahkamah mempunyai kuasa atas permohonan mana-mana pihak kepada perkahwinan untuk memerintahkan apa-apa aset di dalam perkahwinan dibahagi antara mereka atau dijual dan hasil jualan itu dibahagikan. Akibat daripada bahasa “gender neutral” berpilih (“mana-mana pihak”), suami juga boleh menuntut harta sepencarian daripada isteri atau isteri-isteri sedia ada. Kami sangat khuatir peruntukan ini akan disalah gunakan oleh suami yang tidak bertanggungjawab.

Implikasi pindaan ini:
Suami akan dapat menuntut supaya harta isteri sedia ada dibahagikan kepada suami, atau rumah yang mereka diami dijual apabila suami berkahwin lagi, untuk menampung gaya hidup barunya, atau untuk apa saja alasan. Malah, harta yang diberikan sebagai hadiah kepada isteri juga boleh dituntut sebagai harta sepencarian. Ini tentulah tidak adil sama sekali kepada isteri sedia ada dan anak-anak. Hendaklah juga diingat bahawa kecuali dalam kes perceraian khul’, Surah al-Baqarah 2 : 229 melarang suami mengambil balik apa jua yang telah mereka berikan kepada isteri: “tidak halal bagi kamu (suami) mengambil kembali dari sesuatu yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri)”.

(2) Seksyen 23(3) dan 23(4)(a): Menjadikan poligami lebih senang terhadap lelaki.

Pindaan ini memberi kelonggaran yang amat tidak adil kepada suami untuk berpoligami. Peruntukan asal Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, seksyen 23 memperuntukkan bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu hendaklah “patut dan perlu” tetapi ini dipinda kepada “patut atau perlu”.

Implikasi pindaan ini:
Ini bermakna, suami hanya perlu memenuhi syarat “keperluan” untuk berpoligami dan tidak perlu membuktikan persoalan “kepatutan” kepada Mahkamah. Pindaan ini nampaknya sengaja hendak menolak dan mengetepikan penghakiman Jawatankuasa Rayuan Syariah dalam kes Aishah lawan Wan Mohd Yusof (1990) 7 JH 152 yang telah menekankan bahawa kesemua syarat di bawah subseksyen ini sama pentingnya dan hendaklah dibuktikan berasingan. Pihak suami telah memberi alasan untuk berpoligami bagi maksud menghalalkan pertalian kasih sayangnya dengan perempuan yang berkenaan.

Jawatankuasa Rayuan Syariah berpendapat bahawa walaupun alasan ini mungkin mencukupi untuk memenuhi syarat “keperluan” untuk berpoligami, tetapi ianya tidak ada kena-mengena dengan soal “kepatutan”. Jawatankuasa itu menegaskan bahawa sebagai seorang Islam, dia patut boleh mengawal nafsunya dan mengelakkan diri dari melakukan zina dan perkara maksiat. Oleh itu, Mahkamah berpendapat bahawa walaupun defendan memenuhi syarat “keperluan”, tetapi dia gagal memenuhi syarat “kepatutan” dan permohonannya ditolak.

(3) Seksyen 23(9): Memaksa isteri memilih nafkah ATAU pembahagian harta sepencarian apabila suami berpoligami.

Seksyen ini yang bertujuan untuk melindungi isteri sedia ada dalam perkahwinan poligami boleh mendatangkan ketidakadilan kerana ia sebenarnya memaksa seorang isteri memilih sama ada untuk memohon perintah nafkah ATAU memohon perintah pembahagian harta sepencarian. Ini satu ketidakadilan dan tiada sebarang asas dalam perundangan Islam kerana adalah menjadi satu kewajipan seorang suami untuk menanggung isterinya. Hak isteri untuk menuntut pembahagian harta sepencarian adalah untuk melindungi kepentingan isteri sedia ada dan anak-anak dan juga supaya keadilan terlaksana dalam perkahwinan poligami. Oleh itu, adalah tidak munasabah seorang isteri dipaksa membuat pilihan antara salah satu jaminan kewangannya. Dia berhak terhadap kedua-duanya mengikut perundangan Islam.

(4) Seksyen 52(1): Melanjutkan hak fasakh seorang isteri kepada suaminya.

Hak untuk menuntut fasakh, yang secara tradisinya merupakan hak isteri di bawah perundangan Islam, diberikan juga kepada suami, sedangkan suami masih mempunyai hak untuk mentalaqkan isterinya. Kami mendapati sungguh aneh bahawa apabila terdapat percanggahan pendapat ulama’ mengenai sesuatu kaedah, terdapat kecenderungan menerima pendapat yang lebih memberi faedah kepada pihak suami serta memperluaskan lagi faedah itu. Sebaliknya, apabila terdapat percanggahan pendapat ulama’ mengenai kaedah lain yang boleh memberi faedah kepada pihak isteri, pendapat ini diketepikan dan ditolak (contohnya memberi wanita isma’ atau talaq tafwid [mewakilkan perceraian], dimana suami memberi hak untuk membubarkan perkahwinan kepada isteri sebagaimana beliau boleh membubarkan secara talaq – pendapat perundangan berdasarkan Surah al-Ahzab, 33:28-29).

Implikasi pindaan ini:
Hak suami terhadap perceraian diperluaskan tetapi bagi isteri, hak mereka tetap tidak berubah. Suami pula dengan sewenang-wenangnya boleh melafazkan cerai walaupun isteri tidak redha, malah sekarang, suami diberikan hak untuk fasakh. Tidak terdapat peruntukan seimbang yang menghalang Mahkamah daripada membubarkan perkahwinan walaupun jika pembubaran perkahwinan itu tidak adil bagi isteri. Memberikan suami hak untuk mendapat cerai fasakh membenarkannya melarikan diri dari membayar apa-apa saguhati kepada bekas isteri.

(5) Seksyen 107A: Suami boleh memohon kepada Mahkamah untuk menahan/menegah isteri memindahkan hartanya sendiri.

Di bawah seksyen baru ini, suami boleh menahan/menegah isteri memindahkan hartanya sendiri. Mengikut hukum syarak, isteri tidak bertanggungjawab untuk memberi nafkah. Oleh itu, suami tiada hak ke atas harta isteri, tetapi isteri mempunyai hak ke atas harta suami untuk saraan hidupnya dan anak-anak.

Implikasi pindaan ini:
Pada asalnya, peruntukan dalam Akta 1984 membolehkan Mahkamah membatalkan atau menahan perpindahan harta oleh pihak ibu bapa atau pihak suami yang bertujuan untuk mengurangkan kemampuannya membayar nafkah kepada anak atau isteri, atau mut’ah kepada isteri, atau untuk menghalang isterinya daripada harta itu. Dengan memberikan hak yang tampaknya seperti sama rata kepada suami dan isteri, tetapi implikasinya lebih kepada mendiskriminasikan wanita kerana ini sebenarnya memperluaskan hak lelaki dan membantutkan perkembangan hak wanita.

Pindaan ini yang telah dilaksanakan di Johor, telah mengakibatkan seorang wanita tampil membuat pengaduan bahawa suaminya berjaya mendapat perintah Mahkamah membekukan akaun simpanannya atas alasan tuntutan harta sepencarian. Isteri malang ini menghadapi kesusahan menanggung diri dan anaknya kerana akaun simpanan itulah satu-satunya punca pendapatannya. Suaminya juga tidak memberikan nafkah selama prosiding perceraian berlangsung.

Cadangan

Memandangkan pindaan-pindaan tersebut mempunyai implikasi yang parah kepada prinsip keadilan dan kesaksamaan dalam Islam, JAGGE menyeru Yang Berhormat Senator-Senator agar mempertimbangkan untuk menarik balik Rang Undang-Undang ini supaya ia dapat diteliti dan dibahaskan secara tuntas di Dewan Rakyat, mengambil kira hujahan daripada persatuan wanita dan pihak-pihak lain yang berminat. Buat masa ini, sekiranya Rang Undang-Undang ini akan diluluskan, JAGGE mencadangkan kajian semula dan pindaan kepada seksyen berikut:

(1) Seksyen 23(9)(b): Pindaan ke atas harta sepencarian bagi harta suami yang berpoligami, kebenaran menuntut harta haruslah dihadkan hanya kepada ISTERI;

(2) Seksyen 23(3) dan 23(4)(a): Pindaan kembali kepada seksyen asal, iaitu “patut dan perlu”;

(3) Seksyen 23(9): Seksyen baru ini harus dipinda bagi mengiktiraf hak isteri ke atas nafkah dan harta sepencarian, tanpa memerlukan isteri membuat pilihan antara satu;

(4) Seksyen 52(1): Hak baru suami ke atas cerai fasakh harus dimansuhkan;

(5) Seksyen 107A: Seksyen baru yang membenarkan suami menegah isteri melupuskan hartanya sendiri harus dimansuhkan.

Diserahkan oleh Joint Action Group on Gender Equality (JAG)

Sisters in Islam (SIS)
All Women’s Action Society (AWAM)
Women’s Aid Organisation (WAO)
Women’s Centre for Change Penang(WCC)
Women’s Development Collective (WDC)
MTUC-Women’s Section

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Sharifah Mas’ad Azzahir di SIS.
Tel: 7960-6121. Email:[email protected]

8 Disember 2005.

Please follow and like us:
X