Kesopanan dan Kesederhanaan Pakaian dalam Islam

Kontroversi baru-baru ini di sekitar penangkapan dan pendakwaan tiga peserta Muslim pertandingan ratu cantik Miss Malaysia Petite, telah mendorong Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Hamid Othman, memanggil kesemua ketua jabatan agama Islam negeri untuk menghadiri satu mesyuarat pada bulan ini bagi menyelaraskan garis panduan dan cara penguatkuasaan undang-undang mengenai pakaian dan kelakuan orang-orang Muslim. Beliau berkata mesyuarat ini akan menerangkan apakah yang dimaksudkan dengan pakaian dan kelakuan sumbang sebelum undang-undang mengenainya dikuatkuasakan di seluruh negara.

Sungguhpun cadangan ini mempunyai para penyokongnya, namun begitu, terdapat pula mereka yang menentang mengenai maksud “sumbang” yang diperkatakan itu, di mana ia melebihi apa yang terkandung di dalam Kanun Keseksaan negara.

Perbuatan memalukan ketiga-tiga wanita berkenaan di khalayak ramai oleh pegawai penguatkuasa JAIS telah dikecam dengan meluas oleh rakyat dan akhbar Malaysia. Oleh itu adalah wajar jika kita mempertimbangkan dahulu langkah mengamanahkan tugas menentukan garis panduan mengenai kelakuan sumbang dan pakaian kepada pihak berkuasa tersebut.

Sisters in Islam berpendapat bahawa jika ada tindakan untuk mengenakan undang-undang baru mengenai tingkah laku orang Islam, ianya perlu didahului dengan musyawarah seluas mungkin, melibatkan mereka yang bersabit oleh tindakan tersebut. Undang-undang yang bermaksud menyekat kebebasan asas boleh membawa kesan meluas ke atas seluruh masyarakat Malaysia. Tugas menggubal undang-undang tersebut tidak sepatutnya dijalankan secara bersendirian oleh satu kumpulan eksklusif yang mempercayai bahawa orang lain tidak berhak bercakap atau membincangkan hal-hal berkaitan dengan agama, ataupun menyoalnya.

Semua undang-undang negeri atau fatwa yang menyentuh kebebasan asasi mestilah sejajar dengan kehendak perlembagaan Persekutuan dan Negeri. Pendapat bahawa kuasa membendung kebebasan asasi kita terletak hanya dengan Parlimen, dan bukan dengan Dewan Undangan Negeri, telah pun diajukan. Dan kita juga telah diingatkan bahawa kesalahan perlakuan sumbangan adalah satu jenayah yang tertakluk di bawah bidang kuasa Kanun Keseksaan. Oleh yang demikian, semua percubaan untuk menghukum perbuatan sumbang dengan menggunakan enakmen jenayah syariah negeri adalah bertentangan dengan perlembagaan dan merupakan satu pencerobohan ke atas kuasa pusat. Ia juga mungkin membawa kepada dwi-dakwaan (double jeopardy), yakni melanggar prinsip-prinsip undang-undang dan perlembagaan bahawa seseorang itu tidak boleh dihukum dua kali untuk kesalahan yang sama.

Namun begitu, apa yang lebih membimbangkan Sisters in Islam adalah samada terdapat pandangan yang menyeluruh Islam mengenai pakaian dan perbuatan sumbang terdapat di dalam kitab suci al-Qur’an. Jika ianya wujud di dalam al-Qur’an, inilah yang mesti dijadikan asas undang-undang Islam negeri dan fatwa. Ianya juga mesti berakar-umbikan perintah al-Qur’an untuk menegakkan keadilan, dan sejajar dengan kepentingan sebenar ummah (maslaha). Jika tidak, segala kebijaksanaan perundangan sekalipun tidak akan mampu memberikannya kesahihan.

Dalam semua perbincangan mengenai soal pakaian, selalunya ramai yang mempercayai bahawa penelitian mengenai pakaian Muslimah telah ditentukan secara terus terang oleh al-Qur’an. Pendapat ini adalah tidak tepat.

Al-Qur’an membentangkan prinsip-prinsip dan nilai-nilai sejagat. Akan tetapi, ianya sering disuarakan menerusi konteks budaya dan sejarah Arab di kurun ke 7 Masihi. Para cerdikpandai Islam telah lama mengiktiraf ciri-ciri yang terkandung dalam al-Qur’an ini dan kemudahan yang diberikan untuk menyesuaikan pengalaman manusia kepada perintahnya yang merangkumi segala manifestasi iman berwarnakan budaya. Oleh yang demikian, perbezaan pendapat akan selalu wujud tentang bagaimana perintah al-Qur’an diterimapakai dalam keadaan-keadaan yang berlainan dan juga konteks sosio-budaya yang berubah-ubah kerana perintah al-Qur’an tidak pernah dimaksudkan untuk zaman tertentu sahaja. Kajian mengenai sejarah Islam akan menunjukkan bahawa undang-undang syariah adalah hasil kegiatan intelek yang hebat dan pendapat-pendapat yang berlainan. Ianya telah memakan masa enam abad. Malangnya selepas itu segalanya menjadi kaku.

Cabaran sekarang memerlukan kepada kebangkitan semula kegiatan intelek yang hebat ini dan juga perbahasan. Dengan itu, barulah kita boleh mengenali prinsip-prinsip sejagat yang terkandung di dalam perumpamaan-perumpamaan yang khusus kepada tempat dan masa tertentu yang terdapat di dalam al-Qur’an, dan menggunakannya sebagai panduan hidup di dalam konteks sosio-budaya zaman sekarang.

Kita telah pun melakukan kegiatan ini dalam berbagai aspek kehidupan ekonomi and politik Islam di Malaysia; dari perbankan Islam, dagangan hadapan Islam hinggalah kepada kemajuan terbaru di bidang perubatan; dan juga kepada idea kenegaraan dan sistem demokrasi berparlimen. Akan tetapi, kebolehan kita meyesuaikan diri dengan menggunakan ijtihad (pemikiran yang berdasarkan kitab suci Islam) untuk memahami peredaran zaman dan keadaan telah tidak digunakan apabila berhadapan dengan persoalan mengenai wanita. Penangkapan ke atas wanita Muslim oleh JAIS yang berat sebelah baru-baru ini jelas mencerminkan sikap misogynist (membenci wanita); sikap yang menghalang ramai lelaki dari mengiktiraf dan menggunakan prinsip-prinsip sejagat al-Qur’an mengenai keadilan dan kesaksamaan, dan dalam konteks perbahasan ini, kepada masalah pakaian dan kesopanan di khalayak ramai di Malaysia hari ini.

Perbincangan mengenai pakaian di dalam al-Qur’an berkisar di sekeliling konsep kesopanan dan keserdehanaan (modesty): kesopanan dalam peradaban dan pakaian; dan, pakaian yang menutup kemaluan. Surah al-A’raaf, 7:26, menyebut tentang pakaian untuk menutup aurat, dan pakaian perhiasan yang indah; tetapi ianya menegaskan bahawa “pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya”. Seterusnya di dalam ayat 31 surah yang sama Allah swt berfirman: “pakailah pakaian kamu yang indah berhias” pada tiap-tiap kali kamu beribadat tetapi “janganlah melampaui batas”.

Dalam hal menutup tubuh badan kita, kesopanan yang dimaksudkan adalah supaya kita menutup segala yang aib, yakni kemaluan kita (awrah sebenarnya (literal)) yang tidak boleh sengaja didedahkan. Kedua-dua ayat ini bila difaham bersama menuntut supaya kita menutup keaiban kita. Tetapi apa yang lebih bermakna di sini adalah bahawa al-Qur’an menekankan perihal pentingnya taqwa berbanding dengan kain yang menutupi tubuh kita, tidak kiralah betapa banyak atau kurang.

Al-Qur’an menunjukkan bahawa sifat kesederhanaan dan kesopanan seseorang timbul dari ketaqwaan, ia tidak boleh dipaksa sama ada dengan menutup ataupun mendedahkan aurat. Surah al-Baqarah, 2:256 menegaskan bahawa: “tidak ada paksaan dalam agama”. Dalam tafsirannya, Abdullah Yusuf Ali menerangkan bagaimana agama bergantung atas iman dan kesanggupan, dan kedua-dua sifat ini tidak bermakna jika dipaksa. Didikan dan kesedaran sendiri dan bukannya paksaan ataupun undang-undang yang akan membawa kepada taqwa.

Ayat-ayat ini telah diturunkan di Mekah di permulaan riwayat Nabi Muhammad saw sebagai rasul Allah swt. Sebagai satu alat perundangan, ayat-ayat Mekah menentukan prinsip-prinsip ‘am untuk kegunaan sejagat.

Ayat-ayat Madinah yang diturunkan selepas itu, umumnya adalah lebih khusus dari segi penekanannya. Ini sebagai memenuhi keperluan keadaan tertentu yang berlaku dalam hidup Nabi saw dan ummah pertamanya. Ayat-ayat Madinah juga membincangkan perihal kesederhanaan pakaian. Dalam perbincangan ini pula, keadaan sejarah dan budaya ummah yang sedang menjelma di Madina pada zaman itu perlu diambil kira apabila menganalisis ayat-ayat berkaitan. Ayat-ayat ini menggambarkan bagaimana prinsip-prinsip sejagat al-Qur’an dikenakan kepada ummah yang pertama.

Pada zaman itu, ayat-ayat awal mengenai kesederhanaan dan kesopanan terkandung di dalam Surah an-Nur, 24:30-31, di mana kedua-dua lelaki dan wanita digesa “menyekat pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka”. Surah an-Nur, 24:31 menggesa wanita supaya jangan mendedahkan kecantikan mereka selain dari apa yang dianggap sopan dan menyuruh wanita “menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala [khimar] mereka”.

Tudung kepala atau khimar yang dimaksudkan ini dilihat oleh seseparuh para sarjana sebagai selendang perhiasan yang sering dipakai oleh wanita Arab di zaman jahiliyyah yang dibiar meleret dibelakang mereka; sejajar dengan fesyen ketika itu, leher baju wanita begitu luas hingga mendedahkan dada mereka. Oleh yang demikian, perintah menutup belahan leher baju wanita dengan khimar tidak semestinya bermaksud penggunaan khimar itu sendiri. Tafsiran surah tersebut mengutarakan bahawa perintah berkenaan menjelaskan yang bahagian dada wanita tidak termasuk dalam bahagian badan “yang zahir padanya” yang boleh didedahkan.

Ayat terakhir dalam Surah an-Nur mengenai kesederhanaan pakaian, 24:60, membenarkan wanita “yang telah putus kedatangan haid, yang tidak mempunyai harapan berkahwin lagi” menanggalkan pakaian luar mereka tanpa bertujuan menayang kecantikan mereka.

Surah an-Nur khususnya dari segi kesederhanaan pakaian mendefinasikan apakah dia bahagian tubuh yang mengaibkan dan tidak boleh didedah. Persamaan yang terdapat pada kesemua ayat-ayat di atas menggesa kesederhanaan peradaban dan pakaian.

Surah Madinah seterusnya, Surah al-Ahzab, 33:59 menyuruh para isteri Nabi saw, anak perempuan baginda dan para muslimat “melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar)”,(memakai jilbab) supaya dengan “cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu”.

Ayat-ayat al-Qur’an ini tidak boleh ditafsir sebagai mengutarakan jenis pakaian yang tertentu. Sebaliknya ayat-ayat ini membawa makna bahawa kesederhanaan boleh dicapai dengan memakai bermacam jenis pakaian asalkan ianya bersesuaian dengan masa dan tempat dan budaya tempatan.

Jenis pakaian yang dipanggil jilbab ini, yang dipakai oleh wanita bangsawan Arab Jahiliyyah, menandakan mereka sebagai wanita terlindung dan mesti dihormati di khalayak ramai. Akhirnya pakaian ini telah dijadikan pakaian yang dianggap sopan di zaman Nabi saw. Surah al-Ahzab, 33:59 memerintah kaum muslimat supaya memakai pakaian seperti ini. Dengan itu mereka akan dihormati dan tidak akan diganggu. Prinsip sejagat yang terdapat pada ayat tersebut adalah sikap menghormati kaum wanita, bukannya pemakaian jilbab, yakni pakaian yang khusus untuk satu budaya dan sejarah yang tertentu.

Adalah jelas bahawa semua ayat yang dipetik di atas, mengagungkan sikap kesederhanaan dan tidak melampaui batas; menghindar dari perbuatan sumbang dan tidak sopan; dan, memerintah kita menghormati kaum wanita. Semuanya ini adalah tanda ketaqwaan.

Jika kita berpandukan ayat-ayat mengenai kesederhanaan peradaban dan pakaian ini, wanita yang suka menunjuk-nunjukkan apa yang tidak seharusnya didedahkan (an-Nur 24:31) tidak patut diganggu atau pun tidak dihormati (al-Ahzab 33:59), kerana al-Qur’an menyuruh kita menyekat pandangan kita dari terus melihat mereka. Inilah tindakan sewajarnya. Menurut al-Qur’an pakaian yang paling baik adalah taqwa (al-A’raaf 7:26).

Jelaslah bahawa al-Qur’an nampaknya tidak memerintahkan kita memakai pakaian yang tertentu. Tetapi kita kelihatan ghairah untuk menggubal lebih banyak lagi undang-undang dan peraturan mengenai pakaian dan akhlak yang tidak akan menambahkan ketaqwaan orang-orang Muslim, tetapi sebaliknya menyemai perasaan gerun terhadap pihak berkuasa dan Islam.

Mesej al-Qur’an tidak berniat menyekat pemikiran manusia. Dalam memutus untuk menjadikan agama sebahagian dari kehidupan umum masyarakat (public life), tugas paling rumit bagi kita sekarang ialah bagaimana hendak membina kebolehan menyesuaikan iman kita untuk menangani cabaran-cabaran peralihan zaman dan keadaan. Adakah kita akan terus wujud sebagai satu bangsa yang muqallid (menganut secara membuta-tuli)? Ini akan hanya membawa kepada kelumpuhan intelek dan kedangkalan yang berpanjangan. Atau, adakah kita bersedia memeluk dan membina minda yang mampu menyoal di kalangan ummah dan rakyat negara ini, terutama generasi akan datang?

Sebagai langkah pertama, kita mesti mengenali perbezaan di antara apa yang telah diwahyukan, kerana ia tidak boleh dipersoalkan; dengan apa yang terhasil dari usaha-usaha para pemikir cerdikpandai dan juga pengaruh adat resam kita yang sentiasa berubah dan mungkin tidak lagi sesuai diadaptasikan masakini. Pendapat Majlis Fatwa atau pihak-pihak berkuasa agama adalah hanya usaha manusia mentafsir Wahyu Tuhan yang tidak terbatas. Tafsiran inilah yang sepatut boleh kita perbahaskan dan dibincang.

Para ulama kita mesti memahami bahawa mereka hidup dalam masyarakat majmuk yang demokratik di mana warganegaranya bukan sahaja semakin berpengetahuan, tetapi juga lebih memahami dan prihatin tentang Islam dan juga komitmennya yang mendalam terhadap keadilan, kesaksamaan, kebebasan dan kebaikan. Suara ramai yang telah mengecam pengharaman konsert KRU dan penangkapan tiga orang peserta ratu cantik baru-baru ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia tidak lagi sanggup berdiam diri menghadapi ketidakadilan, sikap yang melampau dan tindakan keterlaluan yang dilakukan atas nama agama. Menggunakan paksaan untuk menguatkuasa peraturan dan perintah yang dibuat atas nama agama, telah dilihat oleh masyarakat sebagai sesuatu yang tidak adil, dan akan hanya membawa padah kepada masyarakat dan kestabilan politik negara.

Sisters in Islam
Kuala Lumpur
8 Ogos 1997

Surat ini telah diterbitkan dalam Utusan Malaysia, Berita Harian dan The New Straits Times.

Please follow and like us:
X