JAG memuji seruan untuk debat dan dialog terbuka berkenaan Perundangan Islam

Awal minggu ini, sekumpulan rakyat Malaysia telah mengarang satu surat yang menyeru supaya “debat dan dialog terbuka berkenaan Perundangan Islam” diwujudkan.

Surat terbuka itu ditulis oleh 25 rakyat Malaysia yang dihormati, termasuk bekas kakitangan kerajaan, hakim-hakim, duta-duta, dan lain-lain, termasuk Dato’ Noor Farida Ariffin, salah seorang pengasas serta pemegang amanah Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO). Pesanan mereka jelas, dan Gabungan Kumpulan Wanita Tindakan bagi Kesamarataan Gender (JAG) menyokongnya penuh.

Beberapa isu penting telah dibangkitkan dalam surat itu. Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dikritik kerana bersikap tidak adil dan “mengapi-apikan” beberapa tindakan yang beliau gelar “gelombang tentangan bentuk baru terhadap Islam.” Salah satu tindakan ini termasuk langkah Sisters in Islam untuk membuat semakan kehakiman terhadap fatwa yang dikeluarkan berkenaan mereka.

JAG teguh bersama Sisters in Islam untuk menyokong sepenuhnya hak mereka untuk membuat semakan kehakiman, dan hak kebebasan bercakap dan bersuara mereka seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Kami juga menyokong panggilan untuk bersikap sederhana dan menghormati hak-hak masyarakat transgender untuk membuat semakan kehakiman terhadap diskriminasi gender yang dihadapi mereka di tangan pegawai-pegawai jabatan agama.

Surat itu menyatakan rasa bimbang terhadap “institusi-institusi agama [yang] kelihatan bertindak di luar bidang kuasa mereka.” Kita telahpun melihat bagaimana tindakan ini boleh membawa penderitaan, termasuk terhadap keluarga yang salah satu pasangan menukar agama, sepertimana dalam kes Indira Gandhi dan kes S. Deepa.

Pesanan surat ini selaras dengan obligasi antarabangsa Malaysia. Semasa Jawatankuasa Penghapusan Diskriminasi terhadap Wanita (Jawatankuasa CEDAW) menilai Malaysia pada tahun 2006, jawatankuasa tersebut menggesa kerajaan Malaysia untuk “menjalankan proses penyemakan undang-undang untuk menghapuskan percanggahan antara undang-undang sivil dan undang-undang Syariah, termasuk dengan memastikan mana-mana percanggahan undang-undang berkenaan hak-hak wanita untuk kesamarataan dan tanpa diskriminasi diselesaikan mengikuti Perlembagaan.”

Surat itu mengutuk “penggunaan Akta Hasutan sebagai alat untuk menggertak dan mendiamkan sesiapa yang mempunyai pandangan yang berbeza.” Sebagai organisasi-organisasi penyokong Gerakan Hapuskan Akta Hasutan (GHAH), kami setuju sepenuhnya.

Paling penting, surat itu menyeru Perdana Menteri untuk “menekankan kepimpinannya [untuk] menghidupkan budaya debat dan wacana yang terbuka dan koheren berhubung dengan pentadbiran undang-undang Islam di negara ini.” Kami berharap Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin kerajaan lain mengambil perhatian seruan ini, dan bukannya suara-suara yang ekstremis dan bersifat ketuanan.

Kami memuji 25 orang rakyat Malaysia ini yang berani dan prihatin kerana menyuarakan kerisauan mereka mengenai hala tuju negara ini. Kami menggesa semua rakyat Malaysia yang menghargai demokrasi, kedaulatan undang-undang, dan hak asasi manusia untuk berbuat demikian.

Gabungan Kumpulan Wanita Tindakan bagi Kesamarataan Gender (JAG)

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)
Women’s Centre for Change Penang (WCC)
All Women’s Action Society (AWAM)
Association of Women Lawyers (AWL)
Perak Women for Women Society (PWW)
Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)
Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS)
Sabah Women’s Action Resource Group (SAWO)
Sisters in Islam (SIS)
Tenaganita

Please follow and like us:
X