Amalan Tuduh-Menuduh Murtad

Surat kepada Berita Harian
27 Julai 2006
Merujuk kepada surat daripada Mohd Hishamuddin Mansor mengenai “Amalan bercanggah akidah juga murtad” BH Selasa 25 Julai 2006, saya berasa amat kesal bahawa terdapat orang Muslim zaman sekarang ini yang begitu mudah hendak menuduh orang Muslim lain sebagai murtad kerana kononnya dikatakan melakukan amalan yang bercanggah aqidah. Adakah orang yang membuat tuduhan itu faham tentang aqidah Islam? Aqidah Islam adalah berasaskan tawhid iaitu larangan mempersekutukan Allah swt. Asas ini jelas daripada Surah al-Ikhlas, surah ringkas yang nilainya sama dengan satu pertiga kitab suci al-Qur’an keseluruhannya, jauh lebih tinggi nilainya daripada ayat-ayat yang merupakan panduan mengenai hal mu’amalat sesama kaum manusia. Nampaknya terdapat orang Islam masakini yang keliru dan jahil sehingga menyamakan asas aqidah dalam al-Qur’an dengan sesetengah pentafsiran hukum fiqh dalam kitab-kitab para fuqaha yang juga mengandungi ikhtilaf atau perbezaan pendapat di kalangan para ‘ulama. Kekeliruan begini langsung tidak membezakan antara ayat Qur’an mengenai sifat Allah swt dan hari akhirah dengan ayat Qur’an mengenai hubungan manusia dalam masyarakat. Ia juga tidak membezakan antara shariah dan fiqh, antara perintah atau panduan di dalam nas, iaitu al-Qur’an dan Sunnah yang sahih, dengan pentafsiran dan perincian dalam kitab-kitab fuqaha. Sikap begini telah menyempitkan agama suci Islam kepada shariah, dan menyempitkan pula shariah kepada fiqh yang tidak menerima ikhtilaf pentafsiran atau pandangan lain.

Saya amat kesal sekali dengan sikap yang sanggup menuduh “kumpulan … mempertikaikan hukum poligami dan faraid” sebagai di antara pihak yang dituduh sebagai murtad. Isu poligami telah menjadi kekeliruan besar di kalangan umat Muslim di Malaysia sejak undang-undang sivil melarang poligami di kalangan orang beragama lain. Seolah-olah poligami itu dianggap sebagai hukum yang diwahyukan khas sebagai kurniaan Allah swt ke atas kaum lelaki Muslim. Anggapan demikian merupakan kesilapan besar kerana tidak memahami latarbelakang sejarah serta asbab al-nuzul Surah al-Nisa’ 4 : 3, yang sebenarnya mengenakan had dan syarat untuk membataskan amalan poligami yang berleluasa di kalangan Arab Jahiliyah. Begitu juga al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah saw mengenakan had dan syarat untuk membataskan amalan memiliki hamba abdi pada zaman itu. Kini amalan perhambaan telah dihapuskan – adakah umat Islam semuanya telah murtad kerana sudah terpesong daripada perintah dalam al-Qur’an dan Hadith yang menyekat perhambaan tetapi tidak menghapuskannya? Adakah semua umat Islam di Turki dan Tunisia semuanya murtad kerana undang-undang mereka melarang poligami?

Berkenaan dengan faraid pula, terdapatlah juga ikhtilaf di kalangan para fuqaha, terutamanya berkenaan dengan peranan Baitulmal, serta berkait dengan hukum mengenai wasiat dan waqaf yang boleh dibuat perbincangan panjang lebar mengenainya.

Kalau semua orang Muslim yang mempersoalkan sesuatu hukum fiqh menjadi murtad, maka begitu ramailah orang yang murtad. Malah pada zaman sekarang ini sudah terdapat kaum lelaki yang mendakwa bahawa shariah Islam dalam undang-undang keluarga kononnya tidak adil dan membebankan pihak lelaki kerana kaum bapa sahaja yang wajib menanggung nafkah anak, sedangkan kini terdapat kaum ibu yang mempunyai pendapatan yang lumayan. Tetapi hukum yang mengenakan kewajipan menanggung nafkah ke atas kaum bapa adalah jelas daripada al-Qur’an. Adakah para bapa yang mempertikaikannya dan enggan menanggung kewajipan mereka ini menjadi murtad? Hukum menanggung nafkah juga berkait dengan hukum faraid yang memberi lebih bahagian pusaka kepada kaum lelaki. Kaum bapa yang tidak mahu tanggung nafkah tidak pula mempertikaikan faraid (mungkin takut murtad kerana hukum faraid), tetapi berani pula mempertikaikan nafkah (tidak pula takut murtad kerana hukum nafkah).

Hajah Nik Noriani Nik Badli Shah
27hb Julai 2006
77, Jalan Setia Kasih 9,
Damansara Heights,
50490 Kuala Lumpur
Tel: 03-79606121

Please follow and like us:
X