No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Ada Apa Dengan Tudung?

Ada Apa Dengan Tudung?

Pandangan masyarakat Barat yang menganggap tudung itu sebagai simbol penindasan dan pendapat masyarakat Islam yang melihat tudung sebagai simbol ketakwaan adalah tidak tepat dan tidak kena pada tempatnya.

Dengan mengharamkan pemakaian tudung dan lain-lain simbol keagamaan yang ‘zahir’ di sekolah-sekolah, kerajaan Perancis dengan sendirinya telah gagal menghormati prinsip asasnya mengenai kebebasan, kesamarataan dan semangat persaudaraan. Kebebasan untuk mengajar, beramal, beribadat dan memenuhi tuntutan agama seseorang, samada secara peribadi atau di tempat awam, berseorangan atau bersama-sama dengan sesuatu masyarakat, adalah suatu hak asasi yang didukung oleh Pengisytiharan Hak Asasi Manusia. Kebebasan ini hanya boleh disekat oleh undang-undang semata-mata untuk menghormati hak asasi orang lain dan mestilah memenuhi tuntutan keadilan dari segi moral, ketenteraman awam dan kesejahteraan umum di dalam sesebuah negara demokrasi.

Dengan menyekat amalan kebebasan beragama ini, Perancis tidak dapat membuktikan bagaimana pemakaian simbol-simbol keagamaan secara nyata boleh menyekat kebebasan orang lain atau meninggalkan kesan yang sangat buruk terhadap moral, ketenteraman atau kesejahteraan awam.

Sisters in Islam menolak sebarang percubaan oleh mana-mana kerajaan untuk menetapkan apa jua undang-undang terhadap pakaian – samada untuk memaksa wanita menutup ataupun mendedahkan kepala mereka. Mereka yang menentang undang-undang Perancis sebagai suatu penyekatan yang tidak adil terhadap kebebasan beragama seharusnya, atas prinsip yang sama, juga menentang undang-undang kerajaan Arab Saudi dan Iran yang mewajibkan pemakaian tudung di tempat-tempat awam serta undang-undang kerajaan Turki yang mengharamkan pemakaian tudung di institusi-instisusi awam.

Apa yang perlu diakui adalah perdebatan dan penumpuan perbincangan mengenai pakaian wanita terutama isu tudungnya, adalah lebih kepada isu politik dan identiti, berbanding dengan isu keimanan dan ketakwaan. Presiden Amerika Syarikat, George Bush, telah mempertahankan serangannya ke atas Afghanistan atas nama ‘pembebasan wanita-wanita Afghanistan yang tertindas’ yang mana penggunaan burqa dianggap sebagai simbol penindasan terhadap wanita Islam. Namun, kita sedia maklum bahawa dalam usaha Afghanistan yang masih 2

merangkak ke arah demokrasi berpelembagaan, hak-hak wanita Afghanistan untuk mendapatkan kehidupan yang saksama, adil, bebas dan bermaruah bukannya menjadi agenda yang penting, samada bagi pentadbiran Bush, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu maupun kerajaan sementara di Kabul.

Beribu wanita Islam telah mengenakan hijab sebagai simbol protes menentang pemerintahan kuku besi Shah Iran. Dua puluh lima tahun selepas revolusi Iran ini, wanita-wanita di Iran kini mula mencabar pihak-pihak berkuasa dengan mendedahkan sebanyak mungkin rambut mereka samada di hadapan atau di belakang tudung yang diwajibkan ke atas mereka.

Mereka melanggar peraturan hijab sebagai memprotes pemerintahan golongan agama konservatif yang tidak membawa kehidupan yang dijanjikan, iaitu suatu kerajaan yang menjamin keadilan, kebebasan dan kemakmuran. Penggunaan hijab “tidak sempurna” yang kian berleluasa ini tidak lagi dapat dibendung oleh kerajaan kerana kerajaan telah hilang kewibawaan dan kuasa moralnya untuk mentadbir atas nama Islam.

Bagi sesetengah orang Islam, hijab merupakan tanda keimanan mereka. Bagi sesetengah yang lain pula, hijab adalah simbol identiti mereka sebagai seorang Islam dalam masyarakat yang kebanyakannya terdiri dari orang bukan Islam. Ada juga yang mendukungnya sebagai simbol penentangan terhadap masyarakat Barat yang terlalu dikuasai oleh sesuatu kaum atau terhadap suatu Kerajaan yang menindas.

Di beberapa negara, hijab merupakan pakaian yang memperkasakan diri wanita. Pemakaian tersebut membolehkan mereka menceburi dan turut serta dalam aktiviti dan arena awam yang dahulunya terbatas bagi mereka.

Masyarakat Barat hanya menunjukkan kegagalan mereka memahami kepelbagaian maksud, simbol dan pengalaman masyarakat Islam apabila mereka menganggap seseorang wanita yang memakai hijab itu sebagai suatu ancaman terhadap keselamatan negara atau integrasi kaum, maupun sebagai suatu simbol kemunduran, atau keagamaan yang dikaitkan dengan perjuangan militan.

Sebaliknya pula, ada juga masyarakat Islam yang kurang memahami warisan ajaran Islam dan menganggap kawalan ke atas kaum wanita sebagai satu-satunya ajaran tulen agama Islam. Akibatnya, definasi mengenai wanita Islam yang “baik” diterima bukan kerana tidak mungkin terdapat tafsiran lain, tetapi kerana ia merupakan tafsiran yang dianjurkan oleh fahaman politik dominan, yang menuduh pemahaman atau tafsiran lain sebagai “sesat” atau “menyeleweng”.

Sisters In Islam
19 Februari 2004

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email