No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

MEMORANDUM REFORMASI UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM DAN PENTADBIRAN KEADILAN DALAM SISTEM SYARIAH DI MALAYSIA

MEMORANDUM REFORMASI UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM DAN PENTADBIRAN KEADILAN
DALAM SISTEM SYARIAH DI MALAYSIA

Diserahkan Kepada Kerajaan Malaysia

pada 18 March 1997

oleh Sisters in Islam, Association of Women Lawyers

dan National Council of Women’s Organisations (NCWO)

Pendahuluan

Sudah bertahun-tahun wanita Islam di Malaysia merungut mengenai ketidakadilan sistem syariah, terutama sekali semasa mereka meminta bantuan dan nasihat dari Jabatan-jabatan Agama dan apabila mereka mencari penyelesaian kepada segala masalah mereka di Mahkamah Syariah.

Mahupun terdapat ucapan-ucapan dan sokongan terbuka supaya kesengsaraan wanita di bawah sistem syariah diselesaikan, dari Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, dan mahupun masalah yang dihadapi kaum wanita untuk mendapatkan keadilan ini telah diberi liputan berleluasa yang berterusan oleh akhbar-akhbar, namun begitu tidak ada tindakan menyeluruh diambil bagi menghapuskan penderitaan yang dialami oleh wanita dan kanak-kanak apabila perceraian berlaku.

Hukuman-hukuman yang nampaknya diambil seolah-olah secara bercelaru telah meninggalkan kesan ke atas wanita-wanita bahawa Mahkamah Syariah tidak mampu untuk memberi keadilan kepada mereka dan telah gagal memainkan peranan sebagai hakim yang tidak memihak dalam kes-kes melibatkan pertikian antara dua pihak. Laporan-laporan yang berleluasa mengenai ketidak-adilan yang dialami oleh kaum wanita dalam sistem syariah telah menggugat keyakinan mereka bahawa sistem ini sungguh-sungguh mampu memberi keadilan.

Jika tindakan segera tidak diambil untuk mengatasi masalah ini secara menyeluruh, sistem syariah kita akan terancam dan menjadi semakin tidak berkesan dalam usaha menangani kepelbagaian masalah sosial yang timbul akibat permodenan masyarakat yang berlaku secara mendadak. Wanita Malaysia percaya bahawa ramai di antara mereka yang berkuasa dalam sistem syariah secara terbuka tidak memperdulikan kepentingan wanita dan kanak-kanak.

Satu penyelidikan terbaru yang dilakukan oleh Pusat Krisis Wanita di Pulau Pinang yang telah menyiasat kes-kes dan hukuman-hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah di Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang, membuktikan bahawa ketidak-adilan dan rintangan-rintangan yang dihadapi oleh kaum wanita, terutamanya apabila menuntut cerai dan nafkah, adalah benar.

Namun begitu, Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia adalah di antara yang paling baik di dunia Islam. lanya memberi wanita berbagai hak dan lindungan dari kekejaman. Seorang wanita itu berhak memohon cerai fasakh atas 12 sebab. Dianya berhak mendapat cerai taklik jika suaminya gagal memenuhi tuntutan kontrak perkahwinan dengan tidak memberinya nafkah selama lebih dari empat bulan, atau menganiayai dan atau meninggalkannya selama lebih dari setahun. Dianya juga berhak menuntut mutaah (pampasan) jika ia telah dicerai tanpa sebab-sebab munasabah. Dia berhak mendapat sebahagian dari harta sepencarian, sama ada dia membuat sumbangan kewangan atau tidak dalam usaha mencari harta berkenaan. Usaha dan masa yang telah disumbangkan sebagai ibu dan isteri semuanya diambil kira.

Meskipun terdapat banyak kebaikan dalam undang-undang Islam yang ada, aduan-aduan dari kaum wanita bahawa hak-hak tersebut masih jauh dari pengangan mereka terus tidak berhabisan. Hak-hak ini selalunya hanya bertulis, semata-mata kerana terdapat syak wasangka dan kelemahan-kelemahan dalam perlaksanaan undang-undang berkenaan dan juga dalam sistem syariah sendiri.

Pertama, pilih kasih secara terbuka oleh ramai para hakim Mahkamah Syariah dalam keputusan pengadilan mereka. Sungguhpun orang lelaki berhak mencerai isterinya dengan hanya melafazkan talaq, wanita pula setelah menuntut cerai terpaksa menghadapi berbagai rintangan dan kelengahan sebelum mendapat cerai, itu pun kalau diberi. Keadaan ini berlaku mahupun terdapat bukti yang cukup untuk ianya dicerai di bawah segala syarat yang telah ditetapkan oleh undang-undang. Apabila wanita menuntut cerai Mahkamah Syariah nampaknya bermati-matian inginkan supaya perkahwinannya ini berkekalan, mahupun yang cedera adalah keadilan sendiri. Tetapi sebaliknya jika si lelaki yang mahukan perceraian mereka seolah-olah tidak berminat langsung untuk cuba menyelamatkan perkahwinannya. Kehendak kaum lelaki selalunya dipenuhi hanya dengan satu perbicaraan sahaja.

Kedua, seorang wanita terpaksa mengalami berbagai kelengahan untuk mendapatkan cerai. Tidak terdapat jangka masa yang ditetapkan bagi setiap peringkat proses yang terpaksa diharungi oleh seorang wanita yang menuntut cerai. Kegagalan si suami untuk menghadiri sesi-sesi kauseling, perbicaraan, tindakan pengadilan boleh melambatkan proses perceraian selama bertahun-tahun. Sungguhpun terdapat peruntukan undang-undang bahawa hakam yang dilantik oleh mahkamah boleh melafazkan talaq bagi pihak suami jika kedua-dua pihak gagal memulihkan perkongsian mereka, mahkamah, terlalu berkeberatan menggunakan peruntukan ini.

Ketiga, ketiadaan satu sistem syariah Persekutuan yang mentadbirkan Undang-Undang Keluarga Islam secara seragam di seluruh negara. lni membolehkan kaum lelaki mengambil kesempatan untuk menggunakan undang-undang yang paling memihak mereka bagi keuntungan peribadi. lnilah sebabnya di dalam kes Aishah Abdul Rauf lwn Wan Mohd Yusof Othman, tertuduh telah dapat mengatasi keputusan Jawatankuasa Rayuan Syariah Selangor yang telah menolak permohonannya untuk berkahwin satu lagi dengan mudah sahaja. Dia telah ke Terengganu untuk berkahwin buat kali kedua. Bukan sahaja keputusan yang dibuat di Selangor tidak diterima pakai oleh negeri-negeri lain, di Terengganu undang-undang poligaminya tidak memerlukan si suami mendapat kebenaran isteri pertama, dan si pemohon tidak perlu memenuhi apa-apa syarat tertentu sebelum kebenaran diberi. Tambahan pula keputusan yang diambil tergantung kepada hakim semata-mata.

Dalam cara yang serupa, senang sahaja bagi lelaki yang telah diperintah memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya mengelak dari membuat pembayaran tersebut dengan berpindah ke negeri lain. Oleh yang demikian perintah mahkamah yang di keluarkan oleh Kuala Lumpur tidak berkuatkuasa jika lelaki berkenaan berpindah ke Petaling Jaya atau mana-mana negeri lain di Malaysia. Mahkamah Syariah di satu negeri tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasa perintah yang telah dikeluarkan oleh negeri lain. Sebelum pindaan kepada Fasal 121 Perlembagaan Persekutuan dibuat, mahkamah majistret boleh menandatangani sekali lagi perintah lampiran untuk menolak dari gaji bulanan suami jumlah pembayaran nafkah yang telah ditetapkan supaya bayaran secara terus kepada isteri dan anak-anaknya dapat dibuat. Peruntukan ini tidak lagi berkuatkuasa. Sekarang seorang wanita dalam keadaan yang sama terpaksa membuat permohonan baru untuk mendapatkan perintah perlaksanaan dari negeri di mana bapa anak-anaknya bermastautin.

Keempat, kita sedar bahawa satu daripada masalah yang menyebabkan kelengahan dan ketidak sempurnaan pentadbiran undang-undang Islam adalah kekurangan sumber yang dihadadapi oleh Mahkamah Syariah untuk menyempurnakan kerja penguatkuasaannya. Terdapat kekurangan kakitangan bertauliah di kebanyakkan mahkamah, dari peringkat hakim hinggalah ke pendakwa dan pemberi saman. Oleh demikian perbicaraan belambatan, saman tidak disampaikan, rayuan tidak didengar. Kami telah diberitahu bahawa hanya Jawatankuasa Rayuan Kuala Lumpur sahaja dapat berfungsi sepenuhnya. Di negeri-negeri lain, kes-kes rayuan dibiarkan begitu sahaja kerana Jawatankuasa Rayuan masih belum terbentuk atau telah berakhir kerana pemindahan atau pesaraan hakim-hakim. Kesilapan besar dalam pentadbiran keadilan ini mesti diperbaiki secepat mungkin.

lsu-isu ini merupakan masalah serius dan cemas yang telah melanda pentadbiran keadilan sistem syariah di Malaysia. Gentingnya ketidaksempurnaan ini,telah membawa kepada peringkat di mana kaum wanita tidak lagi yakin akan kebolehan mereka mendapat layanan yang adil dari sistem ini dan di mana sebaliknya kaum lelaki berasa mereka tidak perlu menghiraukan saman-saman dari Mahkamah Syariah dan boleh melanggar undang-undang Islam dengan sewenang-wenangnya.

Pada 1 1 Disember 1996 Sisters In Islam dan Association of Women Lawyers telah menyerahkan satu memorandum mengenai Reformasi Undang-undang Keluarga Islam mengenai Poligami kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. Memorandum kedua ini yang melihat secara lebih teliti lagi keseluruhan peruntukan Undang-Undang Keluarga Islam, mengandungi cadangan-cadangan reformasi yang harus dilakukan kepada undang-undang asas (substantive law), prosidur-prosidur Mahkamah Syariah dan pentadbiran mahkamah dan Jabatan Agama Negeri.

Kami merayu kepada Kerajaan supaya memulakan tindakan-tindakan segera untuk mencapai pembaharuan supaya ianya dapat mempertingkatkan mutu penyampaian dan pentadbiran keadilan dalam sistem syariah negara ini.

BAHAGIAN 1

PINDAAN KEPADA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM YANG
MEMPUNYAI KESAN TIDAK DIINGINI KE ATAS WANITA

  1. CERAI

Pindaan

Seksyen 55, Akta/Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam telah dipinda bagi membolehkan Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah mendaftarkan lafaz talaq atau perintah perceraian dan pembatalan perkahwinan sekiranya dia berpuas hati bahawa Mahkamah telah membuat perintah muktamad berhubung dengannya. Seksyen 55 yang lama telah memperuntukkan bahawa pendaftaran sedemikian hanya boleh dibuat setelah Ketua Pendaftar berpuashati bahawa Mahkamah telah membuat perintah muktamad mengenai hak jagaan dan nafkah anak-anak tanggunggannya, nafkah dan hak tempat tinggal isteri yang telah dicerai dan juga pembayaran muta’ah kepadanya.

Pada tahun 1994 satu seksyen baru, 55A telah dimasukkan, yang memperuntukkan bahawa Mahkamah boleh membenarkan perceraian walaupun talaq dilafazkan tanpa kebenaran Mahkamah jika ia berpuashati bahawa lafaz talaq itu adalah sah mengikut hukum syarak.

Perkara Yang Membimbangkan

Jelas sekali bahawa pindaan-pindaan yang tersebut di atas merupakan langkah yang memundurkan. Pada kesannya pindaan-pindaan ini telah menyangkal usaha-usaha Jawatankuasa Pembaharuan Undang-Undang yang telah menggubal Undang-Undang Keluarga Islam dengan begitu teliti, bertujuan di antara lain, mencegah talaq yang tidak bertanggungjawab. Malangnya pindaan-pindaan ini akan menggalakkan lebih ramai suami menceraikan isteri mereka di luar Mahkamah dan dengan itu membolehkan mereka mengelak tanggungjawab mereka terhadap isteri dan anak-anak.

Penyelidikan yang telah dijalankan oleh Pusat Krisis Wanita, Pulau Pinang (WCC) telah menunjukkan bahawa jumlah suami yang telah melafazkan talaq di luar Mahkamah melebihi, sebanyak tiga kali ganda, suami yang memohon perceraian melalui Mahkamah.

Syor

(i) Seksyen 55 yang telah dipinda mesti dimansuhkan. Seksyen 55 yang asal patut dimasukkan semula dengan syarat yang menyatakan bahawa sekiranya tiada perintah atau perintah-perintah muktamad dibuat mengenai hak jagaan dan nafkah anak-anak tanggungan, nafkah dan tempat tinggal isteri yang telah diceraikan dan pembayaran muta’ah kepadanya selepas tempoh tiga bulan dari tarikh perceraian maka Ketua Pendaftar bolehlah mendaftarkan perceraian itu hanya jika dia berpuashati bahawa perintah-perintah sementara telah dibuat oleh Mahkamah mengenai tuntutan-tuntutan tersebut. Peruntukan sedemikian adalah selaras dengan hukum syarak dan juga lebih adil terhadap isteri yang telah diceraikan dan anak-anak perkahwinan tersebut.

(ii) Mengenai seksyen baru 55A, kami syorkan supaya peruntukan tambahan diadakan yang akan membolehkan Mahkamah, apabila membenarkan perceraian yang dilafazkan di luar Mahkamah, membuat perintah untuk memastikan bahwa hak-hak kewangan isteri yang diceraikan itu, berkenaan dengan nafkah iddah, muta’ah dan harta sepencarian, adalah terjamin. Suami yang melafazkan talaq tanpa kebenaran Mahkamah patutlah dianggap sebagai telah menceraikan isterinya tanpa sebab yang patut dan dengan sendirinya pihak isteri berhak mendapat muta’ah.

(iii) Peruntukan hukuman dibawah seksyen 124 Akta yang sama dipinda agar hukuman yang lebih berat boleh dikenakan bagi kesalahan melafazkan talaq di luar Mahkamah. Hukuman yang dicadangkan adalah denda minima sebanyak RM1,000 dan penjara tidak kurang dari 4 minggu. Denda maksima seharusnya dinaikkan kepada RM5,000 dan hukuman penjara maksima dipanjangkan daripada enam bulan kepada satu tahun.

Tidak terdapat peruntukan undang-undang yang dilanggar dengan sewenang-wenangnya dan begitu kerap sekali seperti peruntukan perceraian di bawah Undang-Undang Keluarga Islam ini. Kami percaya sekiranya denda dan hukuman penjara yang dicadang dilaksanakan dengan tegas ia akan mencegah suami yang tidak bertanggungjawab daripada mengambil kesempatan kelonggaran undang-undang ini. la akan juga membantu memupuk sikap menghormati Undang-Undang Keluarga Islam di kalangan orang Islam.

  1. NAFKAH IDDAH

Pindaan

Seksyen 65(1) Akta yang sama telah dipinda untuk memberi Mahkamah kuasa menghentikan hak isteri yang dicerai mendapat nafkah iddah sekiranya isteri menjadi nusyuz.

Perkara Yang Membimbangkan
Pindaan ini telah mengakibatkan berbagai tuduhan palsu dan tidak wajar dibuat, dalam tempoh iddah, terhadap pihak isteri yang telah dicerai. Kami telah menerima banyak laporan kes-kes di mana para isteri telah didakwa menjadi nusyuz walaupun mereka telah meninggalkan rumah dengan izin suami atau kerana takut dianiyai baik secara fizikal mahupun mental.

Suatu peruntukan yang bertujuan memberi hak dan keistimewaan kepada isteri untuk tinggal di rumah kelamin dalam tempoh iddah telah disalahgunakan bagi memaksa isteri tinggal di rumah sebagai suatu tanggungjawab. Kami telah dapati bahawa kebanyakan suami telah menyalahgunakan peruntukan ini untuk mengelak dari membayar nafkah iddah kepada pihak isteri.

Tetapi apabila kes-kes begini dibawa ke Mahkamah, keterangan isteri sering tidak diperdulikan walaupun suaminya gagal menghadiri perbicaraan untuk membuktikan dakwaanya bahawa isterinya telah nusyuz. Dalam satu kes yang dilaporkan oleh penyelidikan WCC, hakim telah memutuskan bahawa pihak isteri telah menjadi nusyuz oleh sebab dia telah meninggalkan rumah semasa masih berada dalam tempoh iddah. Pihak isteri tersebut telah menerangkan bahawa dia telah keluar rumah dengan izin suaminya. Akan tetapi walaupun pihak suami tidak hadir di Mahkamah untuk menyokong atau menafikan kenyataan isterinya, pihak Mahkamah membuat keputusan bahawa si isteri telah menjadi nusyuz dan oleh yang demikian tidak berhak mendapat nafkah iddah. Tiada alasan diberikan oleh Mahkamah bagi keputusan ini.

Syor
(i) Ayat seksyen 65(1) yang merujuk kepada isteri menjadi nusyuz patut dimansuhkan. Peruntukan sedemikian adalah bertentangan dengan maksud dan semangat AI-Quran, Surah At-Talaq 65:1 yang bermaksud: “Jangan singkirkan mereka (isteri-isteri) dari rumah mereka (semasa tempoh iddah)”. Dalam tafsirannya mengenai ayat ini Muhammad Assad menekankan bahawa perintah berkenaan tidak membawa maksud bahawa seorang wanita yang telah diceraikan tidak boleh memilih untuk meninggalkan rumah kelaminnya. Ayat 6 surah yang sama selanjutnya menyebut dan bermaksud: “Benarkan wanita-wanita (yang berada dalam iddah) menikmati taraf kehidupan yang sama dengan apa yang kamu menikmati mengikut kemampuan kamu dan jangan mengganggu mereka dengan tujuan membuat kehidupan mereka sengsara”.

(ii) Dalam pada itu dimana sesuatu tuduhan nusyuz dibuat terhadap isteri oleh suaminya tuduhan itu mesti dibuktikan dalam Mahkamah dengan bukti-bukti yang kukuh.

  1. TERHENTINYA HAK TEMPAT TINGGAL

Pindaan
Seksyen 71(2) Akta ini juga telah dipinda dengan memasukkan satu perenggan baru (d) yang menyebut mengenai “perbuatan memberahikan secara terbuka” (fahisyah) yang dilakukan oleh seseorang perempuan sebagai suatu alasan baru untuk menghentikan hak tempat tinggal bagi perempuan itu.

Perkara Yang Membimbangkan
Sama seperti pindaan kepada seksyen 65(1), ini dikhuatirkan akan menggalak tuduhan palsu dibuat mengenai “perlakuan yang memberahikan” terhadap seorang perempuan.

Syor
Bagi mengelak dari kemungkinan tuduhan palsu dibuat terhadap seseorang isteri mengenai perlakuan sumbang, oleh suaminya, beban membuktikan tuduhan patut terletak kepada pihak suami dan Mahkamah patut membuat keputusan hanya selepas berpuashati bahawa tuduhan telah terbukti tanpa apa-apa lagi keraguan munasabah (beyond reasonable doubt).

BAHAGIAN 11

SYOR-SYOR TAMBAHAN MENGENAI AKTA

  1. PERDAMAIAN DAN TIMBANGTARA
    (a) Kami percaya bahawa peraturan yang ada sekarang bagi perlantikan jawatankuasa pendamai di bawah seksyen 47(5) dan Hakam di bawah seksyen 48(1) Akta, dan juga kauseling wajib yang dijalankan oleh Jabatan Agama, ini semua hanya memanjang dan merumitkan lagi proses permohonan perceraian. lanya mengecewakan dan menyusahkan semua pihak.

Bagi mengelakkan keadaan di mana pihak-pihak berkenaan terpaksa menjalani beberapa proses damai yang bertindih, kami syorkan:

(i) Mahkamah diberi kuasa hanya untuk melantik dua Hakam mengikut seksyen 48(1) bagi tujuan menimbangtara antara pihak suami dan isteri. Kedua-dua Hakam ini juga seharusnya diberi kuasa dari awal lagi untuk memerintahkan perceraian sekiranya mereka gagal mendamaikan pasangan suami isteri itu.

(b) Mengenai proses pendamaian atau timbangtara sebelum permohonan perceraian oleh pihak suami atau isteri dibicarakan kami cadangkan bahawa suatu tempoh yang tetap diberi oleh Mahkamah untuk mengelakkan kelewatan dan kesulitan kepada pihak-pihak terlibat.

Kami syorkan:

(i) rangkamasa tiga bulan untuk proses kaunseling di peringkat Jabatan Agama Islam. Kegagalan suami menghadiri sesi kaunseling tidak seharusnya melambatkan hak isteri untuk membuat perhonan perceraiannya.

(ii) rangkamasa 6 bulan bagi proses timbangrata oleh dua Hakam yang disebut di bawah seksyen 48. Sekiranya kedua-dua Hakam yang dilantik gagal mendamaikan pasangan suami-isteri selepas habis tempoh 6 bulan, tersebut, Mahkamah seharusnya merakamkan perlafazan satu talaq dengan menggunakan kuasanya di bawah seksyen 48 Akta ini.

(c) Sebagai pindaan susulan, kami syorkan:
(i) seksyen-seksyen kecil kepada seksyen 47 berkenaan jawatankuasa pendamai dimansuhkan.

  1. PERINTAH PERCERAIAN JIKA INGKAR HADIR DI MAHKAMAH

Ramai wanita terpaksa menahan kelengahan yang lama dan tidak adil, sering untuk selama beberapa tahun, dalam usahanya memohon perceraian. Ini menyebabkan berlakunya keadaan “gantung tak bertali”. Umumnya keadaan ini adalah akibat suami gagal menghadiri Mahkamah sungguhpun dia telah berkali-kali disaman.

Dalam kes Faridah lwn. Habibullah, pemohon terpaksa menunggu enam tahun sebelum ia diberi perceraian sungguhpun ia telah memohon cerai taklik pada tahun 1989 atas sebab didera oleh suami. Mahkamah Syariah Selangor menolak permohonan perceraiannya kerana mereka menerima dakwaan suaminya bahawa dia telah nusyuz sebagai alasan menderanya. Hanya kenyataan si isteri untuk meninggalkan Islam, satu percubaan gagal untuk menghadapkan kesnya ke mahkamah sivil, diikuti kemudiannya dengan pencelahan Mahkamah Syariah negeri lain barulah akhirnya Mahkamah memerintahkan dia diberi cerai pada tahun 1995. Kesnya telah dipindahkan kepada Mahkamah Syariah Johor Bahru yang memberinya cerai fasakh apabila suaminya gagal menghadiri tiga tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan.

Kami syorkan:
(i) suatu peruntukan baru dimasukkan yang menghendaki Mahkamah membuat perintah perceraian kerana ingkar hadir bagi pembubaran perkahwinan itu. lni boleh dilakukan dengan menggunakan prosidur yang ditetapkan di bawah seksyen 48 sekiranya pihak suami tidak hadiri perbicaraan sebanyak tiga kali dalam rangkamasa maksimum enam bulan.

  1. CERAI TAKLIK

Walaupun mengikut undang-undang seorang isteri boleh menuntut cerai taklik sekira suaminya melanggar mana-mana syarat surat taklik, pada amalannya, isteri biasanya terpaksa menghadapi pelbagai masalah untuk mendapat cerai. Misalnya dalam kes penderaan, ada Mahkamah Syariah yang seringkali menolak laporan perubatan dan laporan polis mengenai penderaan itu kerana lebih mementingkan keterangan orang-orang yang telah menyaksikan perbuatan deraan itu. Dalam kes-kes ketinggalan langsung pula, mahkamah biasanya mengambil langkah-langkah luarbiasa bagi, mengesan suami dan tidak suka bergantung kepada keterangan saksi-saksi mengenai tuduhan ketinggalan langsung itu. Dalam kes-kes di mana pihak suami gagal memberi nafkah pula, surat taklik mensyaratkan bahawa sekiranya pihak suami tidak membayar nafkah kepada isterinya selama empat bulan, talaq akan jatuh dengan sendirinya. Walaupun demikian Mahkamah Syariah seringkali enggan membenarkan cerai taklik seperti yang diperuntukan di bawah seksyen 50 Akta ini sungguhpun pihak suami telah gagal memberi nafkah buat bertahun-tahun lamanya.

Dalam kes mahkamah 254196 seperti yang disebutkan oleh penyelidikan WCC, pemohon yang telah meminta cerai taklik atas sebab-sebab bahawa dia didera oleh suaminya dan tidak diberi nafkah, tambahan pula suaminya penagih dadah yang pernah dipenjarakan, Hakim enggan memberinya cerai dan memerintahkan supaya dia kembali ke suaminya dan bersikap taat! Keputusan dibuat walaupun si suami gagal menghadirkan diri di mahkamah. Apakah asas bagi keputusan Hakim hanya Allah sahajalah yang mengetahui.

Kami syorkan:
(i) satu peruntukan dimasukkan ke dalam Akta yang menghendaki Mahkamah menerima keterangan dokumentar seperti laporan-laporan polis dan perubatan sebagai bukti sokongan.

(ii) mengenai kes di mana pihak isteri telah ditinggalkan langsung oleh suaminya, Mahkamah patut mewartakan permohonan cerai taklik tersebut dan jika selepas tempoh tiga bulan pihak suami masih tidak menjelma, perintah perceraian patut diberi.

(iii)mengenai kes-kes di mana suami gagal memberi nafkah, sekira isteri dapat membawa dua orang saksi, lelaki ataupun perempuan, untuk memberi keterangan bahawa dia tidak diberi nafkah bagi tempoh yang disyaratkan dalam surat taklik, mahkamah seharusnya memberi perintah perceraian.

  1. PERJANJIAN TAKLIK
    Satu perjanjian taklik yang seragam haruslah diterima-pakai oleh semua negeri di Malaysia. Perjanjian taklik yang ada sekarang berbeza-beza dari negeri ke negeri. Perlis tidak langsung mempunya perjanjian taklik.

Kami syorkan:
(i) satu perjanjian taklik seragam yang mengandungi sebab-sebab berikut untuk cerai taklik diterima-pakai oleh semua negeri:
? nakfkah tidak diberi kepada isteri buat selama empat bulan, atau
? ditinggal langsung buat selama enam bulan, atau
? apa-apa tindakan yang menyebabkan darar syarie kepada isteri, atau
? apa-apa sebab lain yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak, termasuklah pilihan cerai taklik jika suami berkahwin lagi.

(ii) lafaz taklik patut dilakukan oleh si suami di hadapan isterinya.

  1. MUTA’AH
    Selain daripada hak-hak isteri untuk mendapatkan nafkah dalam tempoh perkahwinan dan nafkah iddah, haknya untuk mendapat muta’ah patut juga ditekankan. Kami berpendapat bahawa “muta’ah” sepatutnya tidak diistilahkan sebagai bayaran “saguhati” (seksyen 56 Akta) – istilah ini mungkin mengelirukan orang awan yang menyangka bahawa ia hanyalah bayaran sukarela yang dibuat oleh suami kepada bekas isterinya. Mengikut Mazhab Syafi’i, muta’ah adalah bayaran pampasan yang mesti diberi kepada bekas isteri yang telah diceraikan tanpa sebab yang adil dan mencukupi.

Kami syorkan:
(i) Akta dipinda agar dimasukkan garis panduan yang lebih jelas dan terperinci untuk menentukan jumlah yang berpatutan bagi muta’ah dalam sesuatu kes tertentu mengikut hal keadaan pihak-pihak yang terlibat. Faktor-faktor yang patut diambilkira termasuklah jumlah pendapatan dan hal ehwal kewangan pihak-pihak berkenaan, tempoh perkahwinan itu dan hal keadaan perceraiannya. Misalnya Akta No. 10011985 di Mesir memperuntukkan bahawa seseorang isteri yang diceraikan tanpa sebab adalah berhak, selain daripada mendapat nafkah iddah, untuk mendapat muta’ah yang tidak kurang daripada jumiah dua tahun nafkah dengan pertimbangan sewajarnya diberi mengikut kekayaan atau kemiskinan pihak suami, hal dan keadaan perceraian terlibat, dan tempoh perkahwinan itu. Pihak suami boleh dibenarkan membayar muta’ah secara ansuran.

  1. NUSYUZ
    Menurut perundangan Islam, nusyuz membabitkan kelakuan pihak suami serta isteri, dan bukan hanya kelakuan isteri sahaja. AI-Quran menyebut tentang nusyuz oleh pihak suami (Surah 4:128) dan nusyuz oleh pihak isteri (Surah 4:34). Syed Qutub dalam bukunya “in the Shade of the Quran” mentafsir istilah ‘nusyuz’ sebagai “merosakkan keharmonian rumahtangga oleh mana-mana satu pasangan suami-isteri”. Seksyen 59(2) sebaliknya mengisytiharkan nusyuz sebagai satu hal keadaan di mana seseorang isteri “enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya…”

Kami syorkan:
(i) istilah ‘nusyuz’ itu sendiri dikaji dan diisytiharkan sebagai “merosakkan keharmonian rumahtangga” oleh mana-mana satu pasangan suami-isteri

(ii) satu peruntukan baru dimasukkan ke dalam Akta ini yang menyatakan bahawa adalah suatu kesalahan bagi seseorang yang melakukan nusyuz yang diistilahkan di bawah Hukum Syarak sebagai “kegagalan menyediakan pihak isteri dengan nafkah, pakaian, tempat tinggal yang berpatutan dan hak-haknya mengikut Hukum Syarak”. Suatu hukuman dimasukkan yang terdiri dari denda tidak melebihi seribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

BAHAGIAN Ill

SYOR-SYOR MENGENAI REFORMASI PROSIDUR DAN PENTADBIRAN

  1. KANUN PROSIDUR MAL SYARIAH
    Satu daripada kelemahan-kelemahan dalam pentadbiran sistem perundangan Islam di negara ini adalah tiadanya undang-undang yang menyeluruh yang mengaturkan amalan dan prosidur dalam hal-hal perkahwinan dan perceraian di Mahkamah Syariah. Oleh itu kami cadangkan penggubalan satu kanun prosidur mengenai kes-kes mal syariah yang menyeluruh. Enakmen Kanun Prosidur Mal Negeri Selangor patut digunakan sebagai contoh. Latihan khusus bagi hakim-hakim Mahkamah Syariah dalam bidang ini patut diwajibkan.
  2. SISTEM DI MANA MAHKAMAH-MAHKAMAH RENDAH TERIKAT DENGAN KEPUTUSAN MAHKAMAH TINGGI
    Kami mengesyorkan agar satu sistem di mana mahkamah-mahkamah rendah terikat dengan keputusan Mahkamah Tinggi (system of binding precedent) yang diamalkan oleh Mahkamah Sivil juga diperkenalkan di Mahkamah Syariah. lni akan memastikan bahawa keputusan-keputusan Mahkamah Syariah samada di peringkat rendah, tinggi atau rayuan tidak lagi bercanggah. Keputusan Mahkamah Rayuan Syariah boleh disamakan dengan suatu fatwa yang biasanya dikeluarkan oleh Majiis Agama Islam, kecuali dalam hal ini di mana Mahkamah Rayuan akan hanya membuat sesuatu keputusan biasa dalam perkara-perkara mengenai undang-undang keluarga Islam. lni akan mengelak dari berlakunya kecenderongan hakim-hakim memberi keputusan yang berlainan dalam kes-kes yang sama faktanya atau memberi penghakiman mengikut cita rasa masing-masing.
  3. MAHKAMAH RAYUAN SYARIAH PERSEKUTUAN
    Kami mengalu-alukan pengumuman Kerjaan baru-baru ini berkenaan dengan penubuhan suatu Jabatan Persekutuan Kehakiman dan Perundangan Syariah. Kami mengsyorkan agar Kerajaan juga mewujudkan suatu Mahkamah Rayuan Syariah di peringkat Persekutuan. Buat sementara waktu, kami menggesa semua negeri-negeri yang masih belum berbuat demikian supaya melantik Jawatankuasa Rayuan Syariah di negeri masing-masing. Kini terdapat penundaan kes-kes rayuan yang banyak disebabkan oleh kegagalan kerajaan Negeri untuk melantik satu Jawatankuasa Rayuan Syariah. Buat masa ini hanya Jawatankuasa Rayuan Syariah di Wilayah Persekutuann sahaja yang wujud dan berfungsi.
  4. SISTEM KEHAKIMAN SYARIAH PERSEKUTUAN
    Sistem yang ada sekarang di mana wujudnya mahkamah-makamah Syariah berasingan untuk setiap negeri di Malaysia harus diganti dengan satu Sistem Kehakiman Syariah di peringkat Persekutuan. Kehakiman Syariah mesti dipertingkatkan supaya bertaraf sama seperti sistem Kehakiman Sivil Persekutuan. Penubuhan satu sistem Kehakiman Syariah Persekutuan yang mentadbir serangkaian Undang-Undang Keluarga Islam yang sejajar akan dapat menghapuskan masalah yang dibincangi dalam Memorandum ini. Misalnya masalah kesukaran penguatkuasaan perintah-perintah mahkamah dan lelaki yang melarikan diri ke negeri-negeri lain untuk berkahwin lagi supaya dapat mengelakkan peruntukan poligami yang lebih ketat di negerinya sendiri.

BAHAGIAN IV

SYOR-SYOR AM

  1. UNDANG-UNDANG YANG TIDAK SERAGAM
    Kami kurang senang dengan keadaan sekarang di mana Undang-Undang Keluarga Islam yang terpakai di semua negeri di Malaysia adalah tidak seragam. Percanggahan yang amat ketara sekali di antara negeri-negeri adalah mengenai peruntukan-peruntukan berkenaan dengan poligami dan perceraian. Misalnya, negeri-negeri Perak, Kelantan dan Kedah memperuntukkan hanya empat atau lima alasan sahaja bagi perceraian fasakh. Sebaliknya pula negeri-negeri lain memperuntukkan dua belas alasan dalam Undang-Undang Keluarga Islam mereka. Di Kedah penderaan isteri dan ketinggalan langsung isteri tidak diiktirafkan sebagai alasan untuk cerai fasakh.

Perbezaan undang-undang ini telah membolehkan suami yang tidak bertanggungjawab mengelak peruntukkan undang-undang untuk kepentingan mereka sendiri seperti kes poligami Aishah Abdul Rauf lwn. Wan Mohd Yusof Wan Othman. Suami yang tidak bertanggungjawab telah juga berjaya mengelak dari mebayar nafkah kepada isteri and anak masing-masing dengan cara berpindah ke bidangkuasa Mahkamah Syariah negeri lain. Keadaan ini berlaku kerana perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah satu negeri tidak boleh dikuatkuasakan di negeri yang lain.

Kami syorkan:
(i) agar hanya satu undang-undang berkaitan keluarga Islam diwujudkan di negara ini. Walaupun agama Islam, menurut Perlembagaan Persekutuan, adalah perkara yang terletak di bawah bidangkuasa negeri, matlamat menyeragamkan Undang-Undang Keluarga Islam boleh dicapai dengan menggunakan kuasa yang diberi kepada Parlimen Persekutuan oleh artikel 76(b) Pelembagaan yang berbunyi:

“76(1) Parlimen boleh membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara yang dimasukkan dalam Senarai Negeri, akan tetapi hanya seperti berikut, iaitu:

(a),……. [tidak dipergunakan]
(b) bagi tujuan mempromosikan keseragaman undang-undang bagi dua atau lebih negeri;”

Penggubalan satu Akta Undang-Undang Keluarga Islam oleh Parlimen Persekutuan khusus untuk mempromosikan keseragaman undang-undang keluarga Islam semua negeri-negeri dalam Persekutuan Malaysia dengan jelas dicakupi oleh bidangkuasa Artikel tersebut di atas.

(ii) sebelum tindakan tersebut di atas dapat diperkenalkan, peraturan-peraturan yang dipersetujui bersama oleh negeri-negeri anggota Persekutuan Malaysia harus diwujudkan supaya perintah-perintah dan keputusan-keputusan mahkamah dapat dikuatkuasakan.

  1. KURSUS PERKAHWINAN
    lsi kandungan kursus perkahwinan yang diwajibkan untuk semua bakal pasangan suami-isteri mestilah dikaji semula. Kami bimbang kerana banyak laporan yang diterima menyatakan bahawa pensyarah-pensyarah kursus ini mendokong poligami tanpa menekankan kewajiban dan syarat-syarat undang-undang yang ada khusus untuk menentukan supaya keadilan tercapai. Ramai di antara mereka juga menekankan hak-hak lelaki tanpa menyebut tentang tanggungjawab mereka dan sebaliknya menekankan tanggungjawab isteri tanpa mengingatkan bahawa mereka juga mempunyai hak-hak tertentu. Pensyarah-pensyarah ini juga mempromosikan watak wanita sebagai pihak yang ta’at dan melupakan langsung hak mereka kepada perkongsian yang saksama dalam perkahwinan.

Kami syorkan:
(i) supaya kursus-kursus ini memberi gambaran yang lebih seimbang mengenai hak dan tanggungjawab kedua-dua suami dan isteri di bawah undang-undang keluarga Islam. lanya harus menekankan bahawa perkahwinan itu adalah satu perkongsian saksama di mana suami dan isteri sama-sama bertanggungjawab mendidik anak-anak mereka dan membina rumahtangga yang harmonis.

(ii) satu kurikulum seragam yang mengandungi garis panduan jelas mesti diberi kepada pensyarah-pensyarah yang menjalankan kursus-kursus tersebut.

(iii) mereka yang menjalankan kursus-kursus ini mesti menjalani kursus kepekaan gender (gender sensitising). Modul-modul latihan mestilah direka bersama dengan pergerakan wanita dan pakar-pakar gender.

(iv) kurikulumnya juga harus mengandungi satu segmen untuk memberi maklumat mengenai hak-hak isteri andai berlakunya poligami atau perceraian.

(v) pihak-pihak berkuasa agama sepatutnya berunding dengan pergerakan-pergerakan wanita untuk mendapatkan maklumbalas dari mereka apabila merancang kurikulum baru mereka.

  1. BADAN PENGAWAS
    Terlalu banyak aduan telah dibuat mengenai sikap negatif hakim-hakim dan kakitangan Mahkamah Syariah serta kakitangan Jabatan-Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri terhadap wanita. Bukti-bukti dokumen serta lisan menunjukkan bahawa wanita amnya menghadapi berbagai masalah dalam usaha mereka mencari keadilan dari Mahkamah-Mahkamah Syariah sementara aduan yang sering terdengar mengenai Jabatan Agama Islam pula ialah bahawa mereka mendokong pendapat yang meletak wanita pada taraf yang lebih rendah dari lelaki dan jarang sekali bersimpati atau dapat memahami kesengsaraan wanita yang dalam kesusahan. Telah terdapat juga aduan-aduan tentang adanya seseparoh Jabatan Agama Islam yang secara aktif menggalakkan poligami kerana didorongi oleh salah kepercayaan bahawa ini adalah hak mutlak kaum lelaki, tanpa mempertimbangkan kesengsaraan dan ketidakadilan (darar syarie) yang terakibat kepada isteri-isteri dan kanak-kanak yang terjejas.

Supaya keraguan-keraguan ini dapat ditangani, kami syorkan bahawa sebuah badan pengawas berkecuali sama seperti Biro Aduan Awam dengan cawangan-cawangan disetiap negeri ditubuhkan untuk matlamat-matlamat berikut:

(i) menerima aduan dari pihak-pihak yang terkilan dan menyalurkan aduan-aduan mereka kepada pihak-pihak berkuasa berkenaan untuk tindakan;

(ii) mengawasi perlaksanaan undang-undang keluarga Islam oleh Mahkamah-Mahkamah Syariah;

(iii) mengawasi kursus-kursus yang diselenggarakan oleh pihak berkuasa agama, khususnya kursus-kursus yang meliputi hak-hak dibawah undang-undnag keluarga Islam. Proses pengawasan ini sepatutnya meliputi kedua-dua isi kandungan kursus dan penyampaian syarahan serta sikap pensyarah yang dilantik mengenai isu-isu hak wanita dalam Islam. lni adalah bagi memastikan bahawa suatu gambaran yang adil dan seimbang mengenai hak-hak dan tangggungjawab kaum lelaki dan wanita disampaikan.

  1. KETIADAAN MAKLUMAT SELARAS MENGENAI TARAF PERKAHWINAN LELAKI ISLAM DI MALAYSIA.

Kini tidak ada mekanisma yang membolehkan Mahkamah memastikan taraf perkahwinan seseorang lelaki Islam. Oleh yang demikian pemohon yang ingin berkahwin mungkin memberi maklumat palsu kepada bakal isteri dan mahkamah. Terdapat banyak misalan di mana si isteri mendapat tahu bahawa suami mereka sudah pun beristeri hanya selepas berkahwin.

Di Singapura, semua lelaki Islam terpaksa menandatangani suatu akuan berkanun menyatakan bahawa mereka masih bujang. Akuan palsu akan mengakibatkan tertuduh didakwa di bawah Akta Akuan Berkanun (SDA) yakni satu undang-undang jenayah. Dakwaan jenayah dijalankan di bawah SDA di mahkamah sivil. Di Malaysia walaupun akuan palsu merupai suatu kesalahan yang boleh membawa dakwaan jenayah di bawah undang-undang Syariah negeri, pejabat dakwaan jenayah Pendakwa Raya Syarii adalah terlalu lemah. Bagi membantu Mahkamah mengesan akuan-akuan palsu dan juga pedaksanaan peruntukan-peruntukan Akta ini amnya, kami syorkan:

(i) agar suatu sistem berkomputer pendaftaran perkahwinan dan perceraian Islam diwujudkan dan dihubungkan kepada jaringan rangkaian seluruh negara. Ini akan membolehkan pihak berkuasa agama dimana-mana negeri pun mendapat maklumat mengenai taraf perkahwinan seorang pemohon. Dalam hal di mana pemohon-pemohon telah memberi maklumat palsu mengenai taraf perkahwinan mereka, Mahkamah bolehlah membuat keputusan dari awal lagi untuk menolak permohonan berkenaan. Kami mengalu-alukan pengumuman bahawa sistem berkomputer akan dilaksanakan di Wilayah Persekutuan, Selangor dan Negeri Sembilan menjelang hujung tahun 1996. Kami harap bahawa usaha ini akan diperluaskan kepada negeri-negeri lain dengan secepat mungkin dan akhirnya menjadi suatu jaringan bersepadu di seluruh negara.

  1. PERUBAHAN SIKAP
    Undang-undang yang paling baik sekalipun tidak akan berkesan selagi pegawai-pegawai kehakiman dilatih supaya memahami sebab-musabab bagi sesuatu pembaharuan undang-undang dan peka serta celik kepada bukan sahaja hak-hak kaum lelaki tetapi juga hak-hak kaum wanita. Satu rintangan besar yang menghalang perlaksanaan adil dan berkesan undang-undang keluarga Islam adalah prejudis terhadap kaum wanita yang dipegang oleh para hakim Mahkamah Syariah dan pegawai Agama. Oleh yang demikian kami syorkan supaya semua para hakim Mahkamah Syariah, para juru kausel dan kakitangan professional agama yang lain menjalani latihan kepekaan gender !(gender sensitive training). Latihan ini patutnya di jalankan oleh lnstitut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) dengan sumbangan dari pertubuhan-pertubuhan wanita.
  2. KAKITANGAN
    (i) Mahkamah-Mahkamah Syariah patut dilengkapi secukupnya dengan kakitangan yang diperlukan. Sebaik-baiknya struktur organisasi dan kakitangan Mahkamah, Syariah patut mencerminkan struktur Mahkamah Sivil. Buat, masa ini terdapat kekurangan kakitangan sokongan di Mahkamah Syariah seperti penghantar saman dan bailif yang mengakibatkan kebanyakan saman-saman dan lain-lain dokumen Mahkamah tidak dapat diserah kepada pihak-pihak terlibat dengan perbicaraan.

(ii) Jabatan-jabatan agama negeri patut mempunyai kakitangan yang terlatih khususnya bagi memberi khidmat nasihat kepada mereka yang tidak mampu melanggan peguam untuk mengenalpasti hak-hak mereka di bawah undang-undang keluarga Islam serta juga membantu dengan permohonan mereka di Mahkamah.

  1. KHIDMAT KAUNSELING
    Sekarang ini terdapat banyak Mahkamah-Mahkamah Syariah dan jabatan-jabatan agama yang tidak mempunyai para kaunselor yang terlatih. Kebanyakan kakitangan yang bergelar “kaunselor’ tidak layak memakai gelaran sedemikian. Kami telah menerima banyak aduan berkenaan sikap tidak bersimpati para kaunselor sungguhpun ramai dari mereka terdiri dari kaum wanita.

Kami berpendapat bahawa khidmat kaunselor terlatih adalah paling penting kerana biasanya wanita yang berpaling kepada mereka untuk bantuan berada di dalam keadaan paling menekan. Kaunselor inilah selalunya juga merupakan orang pertama dari pihak berkuasa agama yang ditemui oleh wanita-wanita dalam kesusahan ini. Layanan tidak bersimpati dan tidak tepat pada tempatnya yang ramai wanita telah mengalami apabila bertentangan dengan para kaunselor meninggalkan kesan negatif mengenai tanggungjawab dan peranan yang dimainkan oleh pihak berkuasa agama.

Latihan ini patut juga menyampaikan pengetahun serta mendedahkan para pelatih kepada budaya bukan Melayu yang ada di Malaysia. lni akan membolehkan para kaunselor bersikap prihatin terhadap penganut baru Islam dan melayan mereka dengan baik.

  1. KELULUSAN AKADEMIK MINIMA BAGI HAKIM DAN PEGUAM MAHKAMAH SYARIAH.
    (i) Dengan adanya cadangan untuk mewujudkan Jabatan Kehakiman Syariah , kami ingin menggesa supaya kelulusan akademik minima di kenakan untuk para hakim yang baru dilantik. Paling minima mereka seharusnya mempunyai kelulusan Sarjana Muda Undang-Undang di mana penkhususan pemohon adalah di bidang undang-undang Syariah.

(ii) Disamping itu, kami juga syorkan supaya Kerajaan mewajibkan semua institusi pelajaran tinggi di negara ini yang menawarkan kursus undang-undang supaya memasukkan undang-undang syariah sebagai mata pelajaran wajib.

(iii)Para peguam syarii mesti berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang Syariah. Jika mereka sudah mempunyai kelulusan LLB mereka juga dikehendaki mencapai sekurang-kurangnya Diploma Undang-Undang Syariah dari institusi pengajian tinggi yang diiktiraf.

  1. PERLANTIKAN HAKIM WANITA MAHKAMAH SYARIAH
    Kami juga ingin menggesa supaya wanita dilantik sebagai hakim Mahkamah Syariah. Tidak terdapat sebarang halangan samada di dalam AI-Quran atau Hadith mengenai perlantikan wanita sebagai hakim. Malahan negara-negara Islam lain seperti Indonesia, Pakistan dan Bangladesh telah melantik wanita untuk berkhidmat sebagai hakim Mahkamah Syariah.

 

  1. PERLAKSANAAN WARAN TANGKAP
    Pusat Islam seharusnya mengadakan sesi dialog dengan pihak Polis dengan tujuan menentukan apakah sebab-sebab mengapa pihak Polis tidak berminat atau lembap melaksanakan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah.

1 1. BADAN DISIPLIN UNTUK PEGUAM SYARII
Kini tidak terdapat badan berkanun yang mengawas tindak-tanduk dan disiplin para peguam Syarii. Sekarang ini terdapat keadaan di mana bukan semua peguam Syarii merupakan ahli Majiis Peguam.

 

Kami syorkan:
(i) agar Kerajaan mengambil langkah mewujudkan badan penyelia dan disiplin untuk peguam-peguam Syarii khususnya melalui suatu undang-undang baru atau pemindaan “Legal Profession Act 1976” supaya Akta ini juga meliputi peguam-peguam Syarii. Tindakan sebegini akan memberi perlindungan kepada orang-orang awam dari menjadi mangsa peguam Syarii yang tidak bertanggung-jawab.

(ii) pewujudan satu badan tunggal peguam Syarii di peringkat Persekutuan. Kini para peguam Syarii perlu memohon secara berasingan untuk diterima masuk ke Mahkamah Syariah di setiap negeri jika mereka ingin bertugas di negeri-negeri tersebut.

(iii)peraturan-peraturan yang selaras bagi pengeluaran dan pembaharuan perakuan amalan (practising certificates) bagi para peguam Syarii. Ini akan mengelakkan keadaan di mana mereka yang berkuasa boleh bertindak sesuka hati apabila menimbang permohonan dari peguam Syarii.

  1. KAKITANGAN BIRO BANTUAN GUAMAN
    Kami mengalu-alukan pengumuman baru-baru ini mengenai tambahan kepada kategori kes-kes yang akan ditangani oleh Biro Bantuan Guaman (BBG), yang kebanyakan dari pelanggan mereka adalah pemohon-pemohon ke Mahkamah Syariah. Tetapi kami berpendapat bahawa jumlah kakitangan professional BBG perlu ditambah jika tidak ianya mungkin tidak dapat menangani pertamahan jumlah kes yang dijangka berlaku.
  2. DANA BAITULMAL
    Kami menggesa supaya satu dana dimulakan untuk memberi bantuan kewangan kepada pemohon-pemohon wanita yang tidak mampu terutama mereka yang sedang menunggu samada permohonan mereka, untuk mendapatkan nafkah dari suami atau bekas suami mereka, berjaya dan penyelesaiannya tercapai di Mahkamah. Kami syorkan supaya dana ini dimulakan oleh Baitulmal yang mengutip berjuta-juta ringit setiap tahun melalui pembayaran zakat.
  3. DAKWAAN AWAM
    Enakmen-Enakmen Undang-Undang Keluarga semua Negeri di Malaysia mengandungi peruntukan-peruntukan untuk mendakwa mereka yang tidak memperdulikan perintah-perintah mahkamah. Dakwaan kes-kes begini selalunya dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Syarii. Telah diketahui bahawa Jabatan Dakwaan Syariah di semua negeri adalah amat lembab dan tidak berkesan. Keadaan ini diburukkan lagi apabila yang didakwa melarikan diri ke negeri lain dan oleh yang demikian mengelak dakwaan kerana Pendakwa Syarii di satu negeri tidak mempunyai bidangkuasa di negeri-negeri lain.

Kami syorkan:
(i) Akta/Enakmen dipinda untuk membolehkan pihak yang teraniaya mendakwa orang yang gagal mematuhi perintah mahkamah yang telah berjaya dipohon oleh pihak yang teraniaya. lni adalah serupa dengan dakwaan peribadi di bawah undang-undang sivil.

15.HUKUMAN
Kami sedar bahawa Bahagian 9 Akta Undang-Undang Keluarga Islam memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RMI,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali. Dalam kebanyakan kes, mereka yang didapati bersalah di bawah Undang-Undang Keluarga Islam didenda hanya kira-kira RM300 dan berlandaskan kebijaksanaan hakim. Jumlah kecil ini tidak merupakan teladan pahit atau satu hukuman kepada pihak yang bersalah. Kami rasa ini adalah sebab utama mengapa ramai orang Islam dengan sewenang-wenang melanggar undang-undang dan tidak memperdulikan perintah Mahkamah Syariah.

Bagi segala kesalahan yang disenaraikan dalam Bahagian 9, kami syorkan:
(i) hukuman bagi kesemua kesalahan di atas, dari seksyen 123-133, diperberatkan lagi di mana denda minima RM1,000 dan denda maksima tidak melebihi RM5,000 dan atau penjara tidak melebihi 12 bulan.

(ii) dan sebagai tambahan, mahkamah harus juga mengenakan penjara mandatori selama satu hari.

(iii)Mana-mana kakitangan kerajaan yang didapati bersalah berpoligami tanpa kebenaran mahkamah, di bawah seksyen 123, atau mencerai isterinya di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah, di bawah seksyen 124 Akta yang sama, seharusnya tertakluk kepada peraturan disiplin di bawah Perintah-Perintah Am kerajaan.

Disediakan oleh: Sisters In Islam
Association of Women Lawyers
National Council of Women’s Organisations (NCWO)

18 Mac 1997

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email