No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Wanita dan Pekerjaan dalam Islam

Wanita dan Pekerjaan dalam Islam

Pandangan retrogresif Datuk Haji Nik Aziz Nik Mat mengenai wanita, pekerjaan, dan keluarga telah menyebabkan kebimbangan di kalangan kami dalam pergerakan wanita. Sembilan tahun setelah menjadi Menteri Besar sebuah negeri yang berbangga dengan sejarah bahawa ia pernah diperintahi oleh seorang wanita, dan di mana para wanita masih terkenal dengan sifat berdikari, rajin dan keusahawanannya, kami merasa kecewa kerana pandangan Datuk Nik Aziz terhadap wanita masih belum berubah untuk mencerminkan hakikat sebenar dan hal keadaan kehidupan wanita masa kini.

Menteri Besar Kelantan menegaskan bahawa adalah fitrah dan tanggungjawab kaum lelaki untuk menyara nafkah keluarganya dan oleh yang demikian, tidaklah adil dan tidaklah perlu bagi wanita bekerja di luar rumah. Lebih-lebih lagi, beliau menganggap urusan rumah tangga sebagai tanggungjawab wanita dan memberi asuhan kepada anak-anak dan membuat kerja rumah sebagai kerja wanita pada fitrahnya.

Pertama sekali, kami ingin mengingatkan bahawa tiada apa-apa jua pun dalam kitab suci al-Qur’an atau Hadith yang menghalang kaum wanita daripada bekerja di luar rumah. Malah al-Qur’an memberi pujian kepada Balqis, Ratu Saba bagi kebolehannya untuk memenuhi tanggungan jawatannya, kemahiran politiknya, kesucian keyakinannya dan kewibawaan pandangannya (Surah an-Naml, 27:23-44). Sekiranya seseorang perempuan itu layak dan paling sesuai untuk memenuhi sesuatu tugas, maka tidak terdapat larangan al-Qur’an yang menegahnya daripada apa-apa usaha itu atas alasan jantinanya.

Keduanya, Hadith dan riwayat hidup Nabi Muhammad saw menunjukkan banyak kisah mengenai pemimpin-pemimpin wanita, wanita-wanita yang berilmu serta wanita-wanita yang mengambil bahagian sepenuhnya dalam urusan hal ehwal masyarakat. Siti Khadija ra, isteri pertama Nabi Muhammad saw, merupakan seorang peniaga terkemuka yang membantu golongan miskin, membebaskan hamba dan menyebarkan ajaran Islam. Selepas Khadija ra meninggal dunia, Rasulullah saw telah mengahwini Aisyah Siddiqa ra, seorang wanita muda yang handal yang pernah memimpin tentera dalam peperangan, dan juga menyebarkan ilmu kepada orang Islam lelaki dan perempuan dari berbagai pelusuk dunia Islam yang sedang berkembang pada zaman itu. Al-Shifa bint Abdullah merupakan ketua inspektor pasar di Medina. Umm Waraqa bint Naulal telah dilantik menjadi imam oleh Rasulullah saw. Pada masa peperangan Uhud, para wanita Islam telah pergi ke medan perang bukan sahaja sebagai jururawat tetapi juga turut menghunus pedang menghadapi musuh.

Ketiganya, kecenderungan Datuk Nik Aziz untuk menafikan kepada kaum wanita akan haknya untuk bekerja di luar rumah adalah cadangan yang tak realistik dalam keadaan dunia zaman ini. Adalah suatu kesilapan untuk 2

mengatakan bahawa wanita tidak perlu bekerja kerana lelaki mempunyai tanggungjawab utama untuk menyara nafkah keluarga. Kata-kata dan anggapan sedemikian bercanggah dengan hakikatnya yang sebenar. Struktur keluarga dan sistem ekonomi pada asasnya telah berubah dalam masyarakat masa kini. Bagi kebanyakan keluarga di Malaysia, kedua-dua ibu bapa sekarang ini kena bekerja untuk mencapai taraf kehidupan yang berpatutan bagi keluarga.

Terdapat juga ramai pekerja wanita yang belum berkahwin, atau yang telah berpisah atau bercerai dengan suaminya dan mempunyai anak yang masih kecil, atau yang telah diabaikan oleh si suami apabila suami itu berpoligami. Jarang sekali terdapat wanita yang mampu untuk duduk sahaja di rumah, dengan jaminan dan keselesaan bahawa akan sentiasa terdapat seseorang lelaki dalam kehidupannya, sama ada bapa, abang, atau adik lelaki, atau bekas suami, atau suami yang berpoligami yang akan bertanggungjawab sepenuhnya untuk menyara hidup mereka. Keadaan ideal itu tidak wujud pada hakikatnya.

Lebih-lebih lagi, hak untuk bekerja adalah suatu hak yang tidak patut dilucutkan daripada kaum wanita. Jika hak ini dinafikan, ia akan mengakibatkan kaum wanita terlepas peluang dalam berbagai bidang dan menjejaskan hak-hak lain yang berkaitan dengannya seperti hak mendapat pelajaran, hak untuk bergerak, hak membuat keputusan, dan hak penyertaan politik. Kaum wanita dengan demikian akan sentiasa dipandang rendah, tidak berkesempatan dan tidak berpeluang membuktikan kebolehannya atau menaikkan martabat dirinya.

Keempatnya, walaupun peranan dan tanggungjawab para wanita di luar rumah telah berubah, isteri-isteri yang bekerja masih lagi menanggung hampir kesemua beban tanggungjawab menjalankan kerja tak bergaji dalam rumah tangga, seperti mengasuh anak, membuat kerja rumah, dan menjaga ibu bapa yang telah lanjut usia. Wanitalah yang menanggung kedua-dua beban untuk sama-sama mencari rezeki bagi membantu menyara nafkah keluarga tanpa diringankan tanggungjawabnya di dalam rumah. Pandangan tradisi berserta dengan sikap masyarakat, masih kuat pengaruhnya dalam megekalkan pembahagian tenaga kerja mengikut jantina di dalam keluarga.

Kelimanya, untuk menetapkan peranan yang berasingan bagi wanita dan lelaki akan juga menjejaskan peranan kaum lelaki sebagai bapa dan menafikan peri mustahaknya peranan mengasuh dan membesarkan anak dari segi sosialnya. Peranan wanita dalam mengandungkan anak tidak sepatutnya menjadi asas bagi diskriminasi. Apa yang sebaliknya perlu ditekankan ialah perkongsian tanggungjawab di antara wanita dan lelaki dan masyarakat pada keseluruhannya dalam membesarkan kanak-kanak dan menyenggarakan rumah tangga yang berharmoni.

Tidak terdapat apa-apa jua dari segi biologi kaum lelaki yang menghalang lelaki daripada mengasuh dan menjaga anak. Sebab mengapa orang lelaki tidak melakukan lebih kerja rumah dan mendidek anak ialah kerana mereka tidak mahu berbuat demikian. Dan mereka boleh mengikut kehendak mereka oleh kerana pemikiran kaum wanita telah dipengaruhi dengan kepercayaan bahawa beban tanggungjawab adalah di atas pihak wanita untuk memelihara dan mengekalkan hubungan suami isteri dan keharmonian keluarga dalam keadaan apa sekalipun.

Memanglah kami bersetuju dengan Datuk Nik Aziz bahawa adalah tidak adil dan menganiayai kaum wanita apabila wanita itu memikul kedua-dua beban tanggungan kerja di luar dan di dalam rumah, tetapi kami tidak begitu bersetuju dengan analisisnya mengenai masalah itu dan cadangan cara penyelesaiannya. Warga-warga Malaysia berada dalam masyarakat yang menggalakkan kaum wanita supaya bekerja dan berjaya dengan cemerlangnya dari segi akademik. Penuntut-penuntut perempuan di Malaysia mempunyai pencapaian yang lebih baik daripada penuntut-penuntut lelaki, dan keadaan ini juga digambarkan pada dunia keseluruhannya.

Statistik di Malaysia dalam tahun 1998 menunjukkan bahawa:

  • kaum perempuan merupakan 65.3 peratus daripada jumlah mereka yang mendaftar masuk untuk pengajian pra-universiti;
  • kaum perempuan merupakan 54.5 peratus daripada 79,014 penuntut yang mendaftar masuk ke dalam institusi pengajian tinggi sektor awam;
  • 58.7 peratus daripada penuntut dalam bidang sains dan perubatan serta bidang kesihatan adalah perempuan;
  • 61.2 peratus daripada penuntut dalam bidang undang-undang, ekonomi, pengurusan dan perakaunan adalah perempuan;
  • Dalam tahun 1990, penyertaan tenaga kerja wanita adalah 45.8 peratus dan ia meningkat kepada 47.1 peratus dalam tahun 1995.

Statistik tersebut mencabar kepercayaan ramai dalam masyarakat kita yang masih mengutamakan lelaki, bahawa kaum lelaki, itu pada fitrahnya lebih berkebolehan daripada kaum wanita dan bahawa wanita paling sesuai membuat kerja rumah. Kaum wanita sebenarnya tinggi pencapaiannya dan mampu memberi berbagai sumbangan kepada masyarakat dan perkembangan ummah. Oleh itu, adakah munasabah untuk menafikan wanita-wanita muda yang berbakat daripada memilih untuk mempunyai kerjaya serta perkahwinan yang berdasarkan perkongsian yang saksama pada masa yang sama? Sekiranya kaum wanita tidak dibenarkan memainkan peranan yang sepenuhnya dalam masyarakat, maka bangsa dan negara akan kerugian kerana tidak dapat menikmati sumbangan yang bermakna daripada 50 peratus warganya, dan dengan demikian menjadikan masyarakat mundur dari segi sosial dan ekonomi.

Penyelesaian dalam mengendalikan konflik di antara bekerja di luar dan di dalam rumah bukanlah dengan menafikan kaum wanita daripada haknya untuk bekerja di luar rumah atau menghadkan pilihannya kepada profesion seperti perguruan sebagaimana dicadangkan oleh Datuk Nik Aziz. Penyelesaian sebenarnya ialah dengan mengadakan sistem sokongan dan bantuan yang diperlukan untuk membolehkan mereka menjalankan sepenuhnya pilihan atau keperluan ekonomi untuk bekerja. Sokongan dan bantuan tersebut termasuklah menyediakan kemudahan pusat-pusat asuhan untuk anak-anak dijaga di kawasan perjiranan atau di tempat kerja, kelonggaran waktu kerja, membuat kerja pejabat dari rumah, dan membenarkan tempoh-tempoh lanjut cuti tak bergaji (tanpa kehilangan kekananan jawatan) bagi ibu-ibu yang sedang menyusu anak atau ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang masih kecil. Ini merupakan langkah-langkah yang patut diutarakan dengan segera oleh pihak kerajaan sekiranya negara ini ingin memperolehi faedah sepenuhnya daripada bakat dan keupayaan warga-warga wanita.

Mustahak juga ditekankan betapa perlunya kaum lelaki diberi kesedaran dan kefahaman supaya lebih bertanggungjawab dalam peranan mereka sebagai suami dan bapa dengan berkongsi tenaga memikul beban membesarkan anak dan membuat kerja rumah. Golongan ulama seperti Datuk Nik Aziz boleh memainkan peranan penting dalam menggunakan pengaruh mereka untuk menggalakkan idea mengenai kerjasama ibu bapa dalam membesarkan anak dan menegaskan supaya para lelaki melayani para wanita sebagai sesama insan yang setaraf denganya. Jikalau wanita sahaja dipersalahkan atas masalah sosial anak-anak mereka, ini seperti membenarkan pihak lelaki mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai bapa, pendidek anak dan teman pasangan dalam perkahwinan.

Dalam pengalaman kami sebagai aktivis yang berurusan dengan wanita pada peringkat akar umbinya, kami sentiasa berhadapan dengan hakikat sebenarnya bahawa ramai lelaki tidak bertanggungjawab terhadap wanita dan anak-anak. Orang beragama Islam mencatatkan kadar perceraian yang paling tinggi berbanding dengan kaum-kaum lain di Malaysia. Beribu-ribu wanita diceraikan setiap tahun tanpa mendapat hak mereka bagi bahagian harta sepencarian, nafkah atau mut’ah (bayaran saguhati untuk isteri yang diceraikan), hak-hak yang telah diberikan kepada mereka di bawah Undang-undang Keluarga Islam. Beribu-ribu lagi anak-anak diabaikan oleh pihak bapa yang secara senganja enggan membayar nafkah anak.

Statistik tahun 1997 daripada Mahkamah Syariah Selangor mendedahkan bahawa daripada 2,165 kes perceraian yang didaftarkan di mahkamah, hanya terdapat

  • 29 kes mut’ah, (1.3%),
  • 58 kes pembahagian harta sepencarian (2.6%),
  • 55 kes nafkah isteri (2.5%),
  • 63 kes nafkah anak (2.9%) dan
  • 10 kes nafkah iddah(0.4%).

Rekod yang begitu ketara ini, daripada salah sebuah negeri yang paling maju di Malaysia, adalah suatu gambaran yang amat menyedihkan tentang bagaimana jauhnya jurang di antara apa yang sebenarnya berlaku dengan ajaran yang ideal  dalam al-Qur’an mengenai tanggungjawab orang lelaki Islam. Pengalaman ibu-ibu tunggal menunjukkan bahawa mereka mengalami kejatuhan taraf kehidupan dengan serta-merta atau jatuh ke dalam belunggu kemiskinan selepas diceraikan atau ditinggal lansung, manakala bekas suami pula terus menikmati taraf ekonomi dan sosial yang sama seperti dahulu.

Kami dalam pergerakan wanita menyeru pihak kerajaan dan semua parti politik semasa mereka bersiap sedia untuk menghadapi pilihanraya umum yang akan datang supaya secara serius mangambil berat dan segera memenuhi tuntutan-tuntutan kumpulan-kumpulan wanita dengan mengiktiraf hakikat sebenar dan hal keadaan kehidupan wanita pada masa kini. Kami menyeru supaya parti-parti politik memasukkan dalam manifesto parti mereka program-program spesifik yang memajukan hak kaum wanita untuk bekerja dan berdikari dari segi kewangannya, tanggungjawab kaum lelaki untuk sama-sama berkongsi memikul beban membesarkan anak dan membuat kerja rumah, dan suatu sistem sokongan awam yang akan membantu kedua-dua kaum lelaki dan wanita supaya boleh menjadi pencari rezeki dan pendidik keluarga dengan jayanya pada masa yang sama.

Sisters in Islam
All Women’s Action Society
Pusat Khidmat Wanita Pertiwi
Women’s Aid Organisation
Women’s Crisis Centre
Women’s Development Collective

Kuala Lumpur
17 Mac 1999

Surat ini telah diterbitkan dalam Utusan Malaysia, The New Straits Times dan The Sun.

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email