No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

SIS: FEMINISME ISLAM WARISAN SUNAH RASULULLAH

SIS: FEMINISME ISLAM WARISAN SUNAH RASULULLAH
23 July 2003
Utusan Malaysia

Saudara Pengarang, SISTERS in Islam (SIS) ingin mengucapkan syabas kepada akhbar Utusan Malaysia kerana menyiarkan rencana tulisan Mohd. Shauki Abdul Majid di dalam ruangan Wacana Islam pada 18 Julai, 2003, yang memberi gambaran menyeluruh mengenai pergerakan feminisme Islam.

Di dalam artikelnya, Mohd. Shauki membincangkan kesan positif perjuangan feminis Islam dalam mengubah struktur masyarakat ke arah yang lebih adil dengan menolak amalan-amalan tradisi yang menindas dan mendiskriminasikan wanita.

Memang tidak dapat dinafikan lagi, wanita adalah sama pentingnya dengan lelaki bagi meneruskan kehidupan manusia dan pembangunan masyarakat.

Dalam mendukung kesetaraan harkat antara wanita dan lelaki, pergerakan feminisme Islam berpegang teguh kepada prinsip-prinsip keislaman, khususnya prinsip keadilan (al-adala), kesetaraan (al-musawah), kebebasan (al-hurriya), kemartabatan (al-karama) dan kasih sayang antara insan (mu’asyarah bil’ruf).

Di dalam masyarakat, lelaki dan wanita mempunyai tanggungjawab yang sama dan saling bertanggungjawab. Kitab suci al-Qur’an memberi penekanan kepada peranan dan silaturrahim antara lelaki dan wanita, sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah al-Taubah: 71.

“Dan orang-orang yang beriman: Lelaki dan perempuan adalah saling bantu-membantu (atau penjaga) di antara satu sama yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Feminisme Islam bukanlah satu ideologi baru yang dicedok bulat-bulat dari nilai kebudayaan Barat, seperti tanggapan sesetengah pihak.

Jika diteliti buku-buku sejarah Islam yang dicatat oleh ahli sejarah terkemuka seperti Ibn Hisham, Ibn Hajar, Ibn Sa’ad dan Tabari, ia jelas menunjukkan bahawa perjuangan ke arah meninggikan martabat dan hak kesetaraan bagi wanita adalah sebahagian daripada tradisi orang Islam.

Bagi SIS, tokoh feminis lelaki Islam yang terawal ialah tidak lain dan tidak bukan Nabi Muhammad s.a.w sendiri, yang mana baginda telah mengangkat hak-hak wanita sejak dari abad ke-7 lagi, apabila Islam mula bertapak di bumi Arab.

SIS memperoleh ilham daripada penglibatan aktif wanita dalam kehidupan awam semasa zaman Nabi Muhammad s.a.w.

Koleksi riwayat hidup para sahabat Nabi memuatkan lebih daripada 1,200 riwayat tentang kaum wanita. Antara mereka adalah para penyampai hadis, para wali dan sufi, para syahid, pembebas abdi, dan wira peperangan.

Orang Islam boleh berbangga kerana dalam bahasa pertuturan sejarah awal Islam, perkataan sahabi (sahabat Nabi) mempunyai pasangannya, yakni sahabiyat. Para sahabiyat adalah wanita yang mempunyai hak bersuara.

Mereka bebas berbincang bersama Rasulullah s.a.w, berdebat dengan para sahabat lelaki dan sama-sama berjuang di arena peperangan dan mengambil bahagian di dalam pentadbiran.

Pemikiran progresif cendekiawan era klasik Islam turut mendukung sunah Nabi dalam memartabatkan status wanita, antaranya pengulas al-Qur’an, ahli sejarah dan ahli hukum terkenal, al-Tabari (meninggal 923), serta juga ahli hukum terkemuka al-Andalus Ibn-Hazm (meninggal 1064).

Mereka menyatakan bahawa seorang wanita itu boleh menjadi kadi jika mempunyai kelulusan sesuai, dan sejarah Islam telah menyaksikan ramai wanita yang berpengaruh juga yang menduduki tempat yang tinggi.

Di kalangan generasi semasa yang mendukung kesetaraan harkat, terdapat beberapa lagi nama yang boleh dimasukkan ke dalam senarai nama tokoh-tokoh feminis lelaki yang di catatkan oleh Mohd. Shauki.

Contoh yang baik ialah Dr. Fathi Osman, seorang ulama yang pernah mengajar di beberapa universiti termasuk Universiti Al-Azhar.

Beliau yang juga menulis buku-buku yang memperjuangkan hak-hak wanita Islam, contohnya buku beliau bertajuk Wanita Islam Dalam Keluarga dan Masyarakat, terbitan SIS Forum (M) Bhd.

Dr. Fathi juga pernah menjadi Profesor Pelawat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Baru-baru ini beliau mengambil bahagian dalam sidang Multaqa di Putrajaya.

Indonesia juga tidak kurang dengan tokoh-tokoh yang menggulir wacana fikh perempuan, seperti Kiyai Haji Hussein Muhammad dari Cirebon (yang juga digelar Kiyai Gender); Syafiq Hashim, yang menulis Hal-Hal Yang Tak Terpikirkan Tentang Isu-isu Keperempuanan Dalam Islam (Mizan, 2001); dan Dr H. Nasaruddin Umar, penulis buku Bias Jender Dalam Penafsiran Kitab Suci (Fikahati Aneska, 2000).

Tokoh-tokoh tersebut percaya bahawa Islam menolak penindasan wanita dan penafian hak-hak asasi mereka – fahaman yang juga di pegang oleh SIS.

Kami berasa amat khuatir dengan aliran yang memperalatkan agama untuk membenarkan amalan dan nilai-nilai budaya yang menganggap kedudukan wanita lebih rendah daripada lelaki.

Kami percaya ini berlaku kerana kaum lelaki sahaja yang telah menguasai secara eksklusif hak mentafsir al-Quran dan bahan-bahan ilmuwan Islam yang lain.

Penyertaan wanita sebagai rakan kongsi yang setaraf dalam erti kata sepenuhnya adalah satu keperluan masa kini demi pertumbuhan dan pengembangan ummah.

Pihak SIS merumuskan bahawa adalah penting pengalaman, fikiran dan suara wanita dimasukkan ke dalam tafsiran al-Qur’an dan pentadbiran agama dalam dunia Islam.

Sejak SIS ditubuhkan pada tahun 1988, kami telah memulakan aktiviti dalam bidang penyelidikan dan tafsiran sumber-sumber teks Islam, advokasi untuk pembaharuan dasar dan undang-undang, peningkatan kesedaran orang ramai; pendidikan awam dan perancangan strategik dalam pembentukan dasar.

Ini adalah selaras dengan objektif kami untuk menegak dan membangunkan satu kerangka hak-hak wanita dalam Islam yang mengambil kira pengalaman dan realiti wanita, dan berjuang ke arah pembentukan masyarakat yang mendokong prinsip-prinsip Islam seperti kesaksamaan, keadilan, kebebasan dan bermartabat dalam negara demokrasi.

Sisters in Islam Kuala Lumpur

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email