No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Rogol isteri adalah penganiayaan melampau

Sisters In Islam amat menyokong saranan SUHAKAM untuk memansuhkan pengecualian yang terdapat di dalam Kanun Keseksaan yang membenarkan suami untuk merogol isterinya.

Rogol isteri adalah penganiayaan melampau yang dilakukan oleh seorang suami terhadap isteri dan merupakan salah-satu unsur keganasan rumahtangga. Melalui Klinik Bantuan Guaman SIS dan fail persatuan wanita, kami telah mendapati bahawa terdapat banyak kes di mana suami telah merogol isteri sebagai satu cara untuk mengaibkannya. Contoh kes:

  1. a. Seorang isteri yang baru menjalani pembedahan bersalin telah dirogol oleh suami dan menyebabkan jahitan pembedahannya pecah.
  2. b. Isteri sering dipukul dan diseksa, dan kemudiannya dirogol suami. Semasa melakukan hubungan seksual suami akan menggunakan kata-kata lucah. Suami juga menunjukkan perlakuan lucah di hadapan anak-anak.
  3. c. Suami sering mengoyakkan pakaian luar dan pakaian dalam isteri, dan merogol isteri. Isteri juga akan dipukul.
  4. d. Suami sering mabuk dan merogol isteri. Suami juga menyuruh isteri memberinya seks oral di hadapan anak-anak.

Tidak terdapat di dalam Islam yang membenarkan suami untuk merogol isteri. Perhubungan suami-isteri adalah harus dimulakan dengan kasih-sayang dan perlu dengan persetujuan isteri. Imam Ghazali telah meriwayatkan bahawa: Rasulullah saw telah bersabda “Janganlah kamu melontar dirimu kepada isteri seperti binatang. Haruslah ada, sebelum (kamu) bersama, penghantaran pesanan diantara kamu dan dia (isteri)”. Mereka bertanya “Pesanan apakah itu Rasulullah?”. Jawab Rasulullah “Ciuman dan rayuan”.

Jelas di sini bahawa seorang isteri perlu dilayan dengan lembut, manja dan kasih-sayang. Ini adalah berlainan dengan definasi rogol. Rogol tidak menghiraukan perasaan isteri dan memaksa isteri melayan nafsu buas suami tanpa perasaan belas-kasihan. Ia adalah perlakuan hina dan dipenuhi dengan keganasan. Adalah tidak adil dan tidak patut apabila seorang isteri dipaksa untuk melakukan hubungan dalam keganasan dan bertujuan untuk menjatuhkan martabatnya.

Al-Quran mengajar kaum lelaki dan wanita agar saling “menyayangi dan mengasihani” (30:21), “lengkap-melengkapi” (3:195) dan bahawa “lelaki dan wanita adalah pelindung, antara satu dengan yang lainnya” (9:71). Adalah tidak wajar untuk menggunakan agama sebagai satu alasan dimana keganasan dibenarkan. Islam sememangnya tidak pernah membenarkan keaiban terhadap kaum isteri, malah telah menaikkan martabat wanita khasnya isteri. Kita juga harus kini melakukan perkara yang sama.

Nora Murat
Pegawai Undang-Undang

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email