No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Perkahwinan yang Sempurna Menurut Islam

Peraturan baru diperkenalkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), (Utusan Malaysia 17-10-96), untuk membantu lelaki Islam mempercepatkan proses permohonan berpoligami tanpa persetujuan isteri atau isteri-isteri yang  sedia ada, adalah sangat membimbangkan dan perlu diberi perhatian sewajarnya.

Dalam suasana di mana terdapat seruan yang lebih meluas untuk melindungi hak wanita Islam, keputusan JAIS ini nampaknya tidak wajar atau mungkin ianya merupakan keutamaan yang tidak kena pada tempatnya.

Apa yang amat menakutkan adalah rasional di sebalik peraturan tersebut. Peraturan tersebut berbangkit dari anggapan bahawa poligami merupakan satu hak lelaki dalam Islam, dan peraturan tersebut adalah untuk mempastikan bahawa hak tersebut dipermudahkan untuk kaum lelaki.

Jelas terdapat kekeliruan mengenai apakah poligami menurut Islam dan bagaimana undang-undang poligami patut dijalankan dan dilaksanakan di negara ini.

Pertama, Surah an-Nisa’ 4:3 dan 4:129 dalam al-Qur’an amat jelas menunjukan bahawa dalam Islam, poligami bukannya suatu hak tetapi sebaliknya suatu tanggungjawab untuk menentukan bahawa keadilan sosio-ekonomi terhadap anak-anak yatim dapat dilaksanakan. Surah an-Nisa’ 4:3 sebenarnya menghadkan poligami kepada empat orang isteri sahaja, di mana pada zaman tersebut lelaki dibenarkan berkahwin seramai yang mungkin mengikut kemahuan mereka.

Kedua, kerana poligami bukannya hak, Allah swt telah menetapkan syarat kepada amalan ini, dengan tekanan bahawa keadilan tercapai: “…sekiranya engkau tidak pasti engkau dapat melayani mereka secara adil, maka (kahwinilah) satu sahaja”. Ini seterusnya ditekankan lagi oleh  Surah 4:129 yang bermaksud, “Kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara wanita, walaupun kamu bersungguh-sungguh ingin berbuat demikian”.

Jelaslah bahawa al-Qur’an bertujuan menghadkan poligami; malahan ramai daripada para ulama sepanjang zaman yang mentafsirkan bahawa sebenarnya al-Qur’an mengajukan monogami sebagai sistem perkahwinan yang sempurna dalam Islam.

Malaysia di akhir 1970an dan di awal 1980an telah memulakan satu program pembaharuan Undang-undang Keluarga Islam yang menakjubkan dibawah doktrin siasah syariah (dalam pentadbiran negara, pihak berkuasa boleh memilih pendapat-pendapat mazhab-mazhab berlainan untuk menentukan supaya kepentingan masyarakat tercapai) yang memperkenalkan antara lain pembatasan terhadap poligami. Di negara ini, perlaksanaan undang-undang tersebut, memungkinkan keadilan dilaksanakan di mana keputusan untuk berkahwin lebih dari satu tidak lagi berada di tangan lelaki.  Pihak berkuasa yang memegang tanggungjawab dan diamanahkan dengan tugas tersebut, agar meneliti permohonan untuk berpoligami supaya ianya memenuhi kehendak keadilan seperti yang termaktub dalam al-Qur’an.

Undang-undang Keluarga Islam tersebut menentukan beberapa syarat supaya keadilan terlaksana. Kebenaran dari isteri yang sedia ada adalah satu faktor yang perlu diambilkira oleh Mahkamah Syariah.

Empat syarat juga perlu dipenuhi iaitu: perkahwinan yang dicadangkan adalah berdasarkan prinsip “patut dan perlu”, pemohon mempunyai kemampuan kewangan untuk menanggung keluarga yang sedia ada dan yang baru, mampu memberi layanan sama rata kepada semua isterinya, dan perkahwinan yang dicadangkan  tidak akan menyusahkan isteri yang sedia ada.

Undang-undang memerlukan mahkamah memerintah pemohon dan isterinya menghadiri perbicaraan bagi permohonan tersebut.  Jika dibawah peraturan baru ini persetujuan isteri yang sedia ada tidak lagi diperlukan, adakah ini bermakna mahkamah tidak akan berunding dengan isteri seperti dikehendaki oleh undang-undang?

Jelaslah bahawa undang-undang yang telah diperbaharui ini menyedari akan perlunya persetujuan daripada isteri yang sedia ada kerana dengan melakukan demikian, akan dapat membantu pihak mahkamah menilai samada lelaki tersebut mampu untuk memenuhi kehendak undang-undang sebelum kelulusan berpoligami diberikan.

Semangat pembaharuan undang-undang poligami ini telah mengambil langkah baru dalam menentukan bahawa keadilan dalam Islam tidak memihak pada mana-mana pihak. Tetapi dalam perlaksanaan undang-undang, sebahagian besar dari semangat dan hasrat pembaharuan ini diketepikan kerana sikap prejudis masyarakat patriarki.

Satu pengecualian penting adalah kes Aishah Abdul Rauf lwn Wan Mohd Yusof Wan Othman pada 1990. Mahkamah Rayuan Syariah Selangor, yang telah sebulat suara mengubah keputusan mahkamah rendah yang membenarkan Wan Yusof berkahwin kali kedua, telah menyatakan bahawa semua syarat berpoligami adalah “sama pentingnya dan perlu dibuktikan satu persatu”. Kegagalan untuk memenuhi satu syarat sekalipun membolehkan hakim menolak permohonan si suami, katanya. Pertubuhan-pertubuhan wanita menyokong keputusan ini kerana dasar penghakiman ini mencerminkan maksud dan semangat al-Qur’an dan peruntukan Akta Undang-undang Keluarga Islam 1984.

Kami faham yang prinsip “terikat dengan keputusan” (binding precedent) bukan menjadi sebahagian dari sistem Syariah; ataupun amalan penghakiman bertulis merupakan satu keadaan biasa di mahkamah Syariah. Walaubagaimanapun, pihak berkuasa agama Islam mempunyai kemampuan untuk memperbaiki pentadbiran undang-undang Islam bagi memastikan keadilan tercapai dan dilaksanakan, usaha-usaha untuk mempraktikkan hasrat penghakiman ini sepatutnya telah dilaksanakan. Sebaliknya, apa yang kita lihat adalah pindaan dan peraturan yang menggugat akar umbi keadilan Islam sedang diperkenalkan.

Beberapa tahun yang lalu, Negeri Selangor telah mengenepikan syarat kelima untuk berpoligami, yakni: perkahwinan yang dicadangkan itu tidak boleh secara terus-menerus ataupun tidak, merendahkan taraf hidup isteri dan keluarga yang sedia ada. Dua tahun yang lalu Wilayah Persekutuan juga berbuat demikian. Sekarang, keadaan ini pula yang terjadi.  Adakah niat JAIS dan pihak berkuasa Agama Islam di seluruh negara untuk mengenepikan semua syarat-syarat berpoligami yang ditetapkan oleh Akta Undang-Undang Keluarga Islam? Adakah maksud mereka untuk terus menghakis niat dan semangat asal pembaharuan-pembaharuan tersebut?

Tindakan JAIS dalam memilih jalan yang memundurkan ini amat dikesali.  Apa yang lebih mendukacitakan adalah bahawa JAIS telah memberi keutamaan poligami untuk lelaki Islam dalam masa wanita Islam terus menghadapi berbagai masalah untuk mendapatkan keadilan di Mahkamah Syariah dan di Jabatan Agama di peringkat daerah dan negeri.  Selain dari sokongan dan sikap prihatin Perdana Menteri dan Timbalannya, nampaknya mereka yang berkuasa telah memilih untuk tidak menghiraukan tuntutan kaum wanita supaya keadilan dilaksanakan.

Bukankah sepatutnya JAIS mengutamakan apa yang harus dilakukan untuk memperbaiki perkhidmatan yang dipertanggungjawabkan ke atasnya, yang mana lebih ramai daripada mereka terdiri dari kaum wanita?  Apakah yang telah dilakukan oleh JAIS untuk wanita-wanita yang tidak diberi nafkah oleh suami yang curang, wanita-wanita dan kanak-kanak yang telah ditinggalkan suami dan bapa, keluarga diterajui oleh wanita yang semakin bertambah akibat tindakan lelaki Islam yang tidak bertanggungjawab?

Adalah satu hakikat bahawa mahkamah-mahkamah Syariah selalunya membenarkan lelaki mengurangkan pembayaran nafkah kerana mereka mempunyai lebih dari satu keluarga.

Sikap JAIS yang tidak mengambil berat tentang kebajikan wanita dan kanak-kanak amat mengecewakan.  Jika ini berterusan, bagaimanakah kerajaan dapat memupuk kepercayaan di kalangan warganegaranya bahawa dasar Islamisasi dapat membawa kepada masyarakat yang lebih adil? Bagaimanakah mereka yang berkuasa sanggup bercakap tentang pengukuhan institusi keluarga, menggalakkan nilai-nilai kekeluargaan, memperkuatkan akhlak kita, sementara tindakan mereka membawa kepada perpecahan keluarga dan menyebabkan kesusahan dan kesengsaraan kepada wanita dan kanak-kanak.

Jika kita mempercayai bahawa Islam adalah satu agama yang adil dan saksama, sudah tiba masanya untuk kita menyusun semula keutamaan kita supaya keadilan terlaksana. Keadilan untuk semua!

Sisters in Islam
Kuala Lumpur
20 Oktober 1996

Surat ini telah diterbitkan dalam Utusan Malaysia dan The Star.

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email