No. 4 Lorong 11/8E, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.​

Kontroversi mengenai Poligami

Dalam perdebatan yang berbangkit mengenai cadangan untuk membenarkan semula poligami di kalangan orang bukan Islam, tidaklah menghairankan bahawa kebanyakan kumpulan wanita, dan juga orang lelaki yang berfikiran progresif, telah membantah dan mengecam cadangan tersebut

Adalah diakui bahawa poligami pernah dibenarkan bagi lelaki bukan Islam di Malaysia sebelum penguatkuasaan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 pada tahun 1982. Sebelum penguatkuasaan tersebut, poligami tanpa had dan tanpa syarat pernah diiktiraf di bawah undang-undang adat masing-masing. Akta Membaharui Undang-Undang adalah hasil daripada perjuangan berbagai kumpulan wanita di negara ini bagi menamatkan penindasan dan ketakadilan yang dialami oleh kaum wanita di bawah amalan-amalan adat yang tidak adil dan sudah ketinggalan zaman. Kumpulan-kumpulan wanita yang merangkumi kaum wanita dari berbagai bangsa dan agama, termasuk juga wanita Islam, telah berganding bahu dan bekerjasama dalam perjuangan menentang penyalahgunaan poligami dan diskriminasi terhadap wanita. Tekanan daripada berbagai kumpulan wanita telah membawa kepada larangan berpoligami bagi bukan Islam, dan beberapa pecubaan (tidak begitu berkesan) yang bertujuan untuk mengawal poligami di kalangan orang Islam. Malangnya, apa-apa langkan berkesan untuk menentang penyalahgunaan poligami di kalangan orang Islam sering dikecam sebagai kononnya “menentang agama Islam”. Ini berpunca kepada sikap salah faham yang menganggap seolah-olah poligami itu suatu hak lelaki yang begitu disanjung dan dijamin oleh Islam..

Sisters in Islam (SIS) ingin menegaskan bahawa Islam bukanlah mewujudkan atau menggalakkan polygami. Poligami tanpa had pernah menjadi amalan sedia ada di zaman sebelum al-Qur’an diwahyukan. Ayat-ayat al-Qur’an berhubung dengan poligami dengan jelas bersifat menyekat dan bukannya menggalakkan. Sejak abad ke sembilan belas, beberapa tokoh terkemuka ulama’ Islam, misalnya Sheikh Muhammad Abduh, Mufti Besar di Mesir sehingga kematiannya pada tahun 1905, telah menjelaskan bahawa poligami hanyalah dibenarkan secara keberatan oleh ajaran Islam kerana keadaan yang sedia wujud pada zaman penurunan wahyu al-Quran. Begitu juga, perhambaan dibenarkan secara keberatan oleh ajaran Islam, dengan garispanduan yang menghala ke arah penghapusannya pada masa hadapan, melalui perintah supaya layanan baik diberi kepada hamba, dan menggalakkan pembebasan hamba abdi. Garispanduan dalam al-Qur’an mengenai poligami disarankan melalui pada mulanya, menghadkan bilangan maksimum kepada empat isteri, kemudiannya dengan memerintahkan layanan yang adil dan saksama, dan kemudiannya pula dengan menyatakan akan mustahilnya diberi layanan yang adil dan saksama itu..

Suatu hujah yang digunakan bagi menyokong membenarkan semula poligami di kalangan orang bukan Islam ialah bahawa ia akan membantu mengurangkan masalah social seperti hubungan luar nikah, pelacuran dan kelahiran anak tak sah taraf. Tetapi, walaupun poligami dibenarkan, terdapat juga banyak masalah sosial sedemikian di kalangan masyarakat Melayu.. Malah, dalam sesetengah kes, amalan poligami mungkin telah menambah lagi masalah social di kalangan para remaja iaitu mereka yang dibesarkan dalam keluarga yang terbiar kerana bapa berpoligami. Oleh yang demikian, persoalan yang wajar dipertimbangkan dalam masyarakat kita pada hari ini bukanlah sama ada poligami patut dibenarkan semula bagi bukan Islam, tetapi sama ada poligami patut terus dibenarkan di bawah undang-unang keluarga Islam, apabila difikirkan secara mendalam akan tujuan sebenar ayat al-Qur’an mengenai poligami: “jika takut tidak dapat berlaku adil (terhadap isteri-isteri), maka kahwinilah seorang sahaja”. Sebenarnya, Kitab Suci al-Qur’an adalah satu-satunya kitab suci yang mengandungi rangkaikata “kahwinilah seorang sahaja”. Malah, masyarakat orang Islamlah yang sepatutnya telah memimpin masyarakat lain dalam perjuangan menentang poligami dan penyalahgunaannya.

Share:
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email