HAK SUAMI DAN ISTERI DALAM HARTA SEPENCARIAN

Soalan :

 Keputusan cerai antara saya dan bekas isteri telah di sahkan oleh Mahkamah Syariah di sini. Salah seorang Pegawai Sulh telah menyarankan bahawa saya dan bekas isteri untuk menjalani kaedah Sulh dalam menyelesaikan tuntutan bersama yang dipohon oleh kami. Antara tuntutan yang dituntut ialah harta sepencarian, nafkah dan hak penjagaan anak-anak kami. Namun begitu, bekas isteri menyatakan saya tidak ada hak langsung dalam menuntut harta sepencarian. Adakah perkara ini benar? Dan bukan niat saya untuk lepas tanggugjawab terhadap bekas isteri dan anak-anak. Saya hanya perlukan kepastian. Semoga jawapan yang diberi dapat dikongsi bersama dengan pembaca yang lain terutamanya para suami. Tolong beri penjelasan kepada saya.

Zulkamal
Seksyen 13, Shah Alam

Jawapan :

Perkahwinan boleh dianggap sebagai satu usahasama antara suami dan isteri. Namun, ada rumahtangga yang dibina bermasalah dan tidak berpanjangan. Masalah ini boleh timbul daripada pelbagai punca sama ada disebabkan faktor keadaan atau kesesuaian dalam menyempurnakan tanggungjawab dan peranan masing-masing.

Walaupun perkahwinan tersebut putus di tengah jalan, Islam sebagai agama yang adil telah menetapkan hak-hak yang wajib dituntut atau diterima bagi mengimbangi kehidupan hamba-hambanya. Hak-hak yang dimaksudkan khususnya selepas sesuatu penceraian adalah seperti harta sepencarian, nafkah iddah isteri, mutaah, nafkah anak-anak, hak penjagaan anak dan lain-lain.

Isu mengenai harta isteri dan harta suami masih lagi tidak jelas kedudukannya lebih-lebih lagi dalam hal pembahagian harta sepencarian. Secara amnya, harta sepencarian pada asalnya diambil daripada adat resam Melayu yang telah diterimapakai oleh masyarakat setempat. Penerimaan adat resam ini menurut perspektif Islam menyatakan bahawa apabila sesuatu adat atau uruf diakui kebaikannya dan telah diberi pengiktirafan undang-undang, kedudukannya tidak lagi sebagai adat, tetapi telah menjadi suatu peraturan atau perundangan yang mesti diikuti dan dikuatkuasakan.

Harta sepencarian berdasarkan Hukum Syarak ditafsirkan sebagai pemerolehan harta sepanjang tempoh perkahwinan sama ada membabitkan harta alih atau tak alih dan pihak yang memberi sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung. Maka, pembahagian harta sepencarian menunjukkan pengiktirafan Syarak terhadap hak, habuan dan pemilikan pihak berusaha mendapatkan harta itu sepanjang perkahwinan. Pembahagian itu dibuat bersandarkan kemaslahatan pihak atas prinsip keadilan dan hak.

Tuntutan terhadap harta sepencarian bukanlah dihadkan kepada isteri saja, malah suami juga berhak menuntut harta sepencarian daripada isteri. Jika diteliti tafsiran ini, ia menunjukkan bahawa harta yang sama-sama diperolehi oleh suami isteri, bukannya harta yang diperolehi oleh isteri sahaja ataupun harta yang diperolehi oleh suami sahaja.

Manakala dari perspektif undang-undang, seksyen 122(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 memperuntukan bahawa mahkamah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat suatu perintah perceraian untuk memerintah supaya aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama dibahagikan antara mereka atau supaya aset yang diperoleh pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan dibahagikan antara pihak-pihak itu. Manakala seksyen 122(2) merujuk kepada faktor-faktor yang diambilkira oleh mahkamah dalam permbahagian harta sepencarian tersebut. Antara perkara yang ambilkira oleh mahkamah adalah:
– Takat sumbangan yang dibuat tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi memperoleh aset itu;
– Apa-apa yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka;
– Keperluan anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu, jika ada.

Tertakluk kepada seksyen 122(2), mahkamah juga boleh memerintahkan supaya aset itu dijual dan hasil jualan dibahagikan sama rata antara kedua pihak sebagaimana dinyatakan dalam seksyen 122(3). Manakala seksyen 122(4), mahkamah dengan kuasa yang ada boleh membahagikan aset itu atau hasil jualan mengikut apa-apa kadar yang difikirkan munasabah, tetapi walau bagaimanapun, pihak yang memperoleh aset itu dengan usahanya hendaklah menerima suatu kadar yang lebih besar.

Oleh itu, walaupun harta itu atas nama isteri sahaja, tetapi jika saudara berjaya membuktikan kepada mahkamah bahawa saudara juga ada menyumbang terhadap harta tersebut, maka mahkamah akan memutuskan bahawa itu adalah harta sepencarian. Merujuk Kitab At-Turuq al-Hukmiyah karya Ibnu Qayyim al-Juziyyah mengatakan, dalam tuntutan suami isteri membabitkan harta sepencarian, tuntutan hendaklah berdasarkan keterangan pihak yang membuktikan tuntutan itu. Kenyataan mengenai hak terhadap harta sepencarian bukan hanya diambilkira berdasarkan nama harta itu didaftarkan semata-mata sedangkan pihak satu lagi mungkin menyumbang cuma namanya tiada dalam daftar hakmilik harta itu.

Namun begitu, Hukum Syarak menetapkan bahawa suami tidak ada hak ke atas harta mutlak isteri, contohnya harta isteri yang diperolehi melalui harta pusaka daripada keluarganya. Selain itu, harta-harta perseorangan yang dibeli sebelum perkahwinan dan harta-harta tersebut tidak diusahakan bersama sepanjang tempoh perkahwinan juga bukan harta sepencarian. Saudara juga perlu memastikan bahawa harta-harta itu adalah harta perolehan bersama dan bukan hadiah atau hibah yang dihadiahkan kepada bekas isteri. Oleh itu, saudara tidak boleh menuntut hadiah yang telah diberikannya kepada bekas isteri sebagai harta sepencarian.

Menurut satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan al-Hakim yang bermaksud:

Tidak halal bagi seseorang menuntut balik sesuatu pemberian atau barang yang telah dihibahkannya kepada orang lain kecuali dia adalah ayah yang mana ayah boleh menuntut balik ke atas pemberian yang diberikan kepada anaknya.

Diharap segala penjelasan dan informasi yang diberi dapat membantu saudara dalam memahami konsep hak dan pembahagian harta sepencarian. Perlu diberi perhatian bahawa Hukum Syarak dan undang-undang ini bertujuan untuk memelihara kedua-dua hak suami dan isteri. Selanjutnya, pihak kami mengalu-alukan sebarang pertanyaan atau kemusykilan mengenai perkara-perkara berkaitan.

HARTA SEPENCARIAN, LINDUNGI HARTANAH DENGAN KAVEAT

Soalan:

Saya dan suami telah bercerai melalui persetujuan bersama. Kami telah membeli sebidang tanah di Ulu Yam semasa masih berkahwin. Saya kini dalam proses memfailkan tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Tinggi Syariah. Kemusykilan saya ialah mengenai pembahagian sebidang tanah tersebut. Tanah itu didaftarkan di atas nama bekas suami, tetapi saya yang membayar wang pendahuluan semasa kami membeli tanah tersebut. Saya mendengar ura-ura bahawa bekas suami ingin menjual tanah tersebut tapi dia memang tak ada beritahu saya. Saya takut dia akan jual tanpa memaklumkan pada saya. Saya ni ada hak jugakan? Adakah patut tanah itu dikira sebagai sebahagian harta sepencarian walaupun didaftarkan di atas nama bekas suami? Jika, tanah tersebut adalah harta sepencarian, bagaimanakah saya boleh melindungi hak saya ke atas tanah tersebut?

Pn. Kalsom Omar
Shah Alam

Jawapan:

Harta sepencarian adalah suatu harta sama ada harta alih atau harta tidak alih yang diperoleh bersama oleh suami isteri hasil daripada usaha dan sumbangan bersama ketika perkahwinan mereka masih berjalan dan berlangsung.

Harta itu juga termasuklah harta yang diperoleh sebelum mereka berkahwin tetapi telah dimajukan atau ditingkatkan nilai semasa perkahwinan hasil usaha bersama atau sumbangan bersama suami isteri. Tuntutan biasanya difailkan apabila membabitkan sumbangan salah satu pihak sama ada secara langsung atau tak langsung.

Dari segi undang-undang syariah berkenaan harta sepencarian, seksyen 122 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 memperuntukkan bahawa Mahkamah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talak, atau apabila membuat suatu perintah perceraian, untuk memerintah supaya aset hasil usaha bersama dibahagikan antara suami isteri, atau aset itu dijual dan  hasilnya dibahagikan antara suami isteri.

Seksyen 122 (2) menyatakan bahawa mahkamah hendaklah mengambil perhatian mengenai:
a) Takat sumbangan yang dibuat setiap pihak dalam bentuk wang, harta,        atau kerja untuk memperoleh aset itu,
b)  Hutang oleh salah satu pihak yang telah diambil bagi manfaat          bersama,
c) Keperluan anak yang belum dewasa.

Puan ada menyatakan bahawa puan telah membayar wang pendahuluan semasa urusan jual beli tanah tersebut. Maka, tanah itu dianggap sebagai harta sepencarian dan Puan mempunyai hak ke atas hartanah tersebut walaupun didaftarkan di atas nama bekas suami.

Mengenai cara untuk melindungi hak puan ke atas hartanah tersebut; walaupun bekas suami merupakan pemilik berdaftar, namun puan masih boleh melindungi hak puan ke atas tanah dengan memasukkan kaveat ke geran tanah.

Permohonan memasukkan kaveat boleh dilakukan walaupun proses perceraian masih berjalan dan mahkamah syariah belum memberi perintah mengenai status tanah yang dituntut itu. Puan boleh memasukkan kaveat dengan alasan tanah tersebut dituntut melalui kes perceraian.

Sebaliknya, sekiranya proses perceraian telah selesai dan mahkamah memerintahkan bahawa hartanah tersebut hendaklah dipindah milik kepada puan, maka puan boleh memasukkan kaveat berdasarkan perintah mahkamah. Satu salinan perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah harus dilampirkan.

Kaveat adalah pendaftaran hak, di mana hak tersebut akan tertera di atas geran tanah. Ia satu cara yang telah diperuntukkan bagi melindungi hak individu dan berperanan sebagai memberi amaran kepada sesiapa yang mahu memiliki hartanah tersebut, bahawa terdapat hak yang perlu diambil kira. Apabila satu kaveat telah didaftarkan, pemilik berdaftar hartanah tidak boleh membuat sebarang jual beli atau mengadai hartanah kepada sesiapa sehingga kaveat tersebut dimansuhkan.

Seksyen 322 Kanun Tanah Negara memperuntukkan bahawa sesiapa yang mempunyai kepentingan yang boleh memasukkan suatu kaveat persendirian ke atas hartanah tersebut untuk melindungi kepentingan mereka.

Borang yang perlu diisi ialah Borang 19B dan borang tersebut harus dilampirkan bersama Akuan Bersumpah untuk didaftarkan di Pejabat Tanah yang berkenaan. Bagi memastikan puan ke Pejabat Tanah yang betul, sila rujuk geran tanah tersebut. Permohonan mesti disokong dengan alasan yang kukuh iaitu puan mesti membuktikan bahawa puan mempunyai kepentingan untuk memasukkan kaveat (caveatable interest).

Lazimnya, dalam sesuatu perjanjian jual beli hartanah, satu carian akan dilakukan oleh pembeli ke atas geran hartanah bagi memastikan kesahihan pemilikan hartanah, dilakukan di Pejabat Tanah. Urusan jual beli tidak akan berterusan sekiranya terdapat halangan bagi pemilik tanah untuk menjual tanah tersebut.
Oleh itu, bekas suami puan tidak akan dapat membuat apa-apa urusan jual beli sebelum penyelesaian kes harta sepencarian di Mahkamah. Setelah kaveat didaftarkan, sesiapa yang ingin membeli tanah tersebut akan dimaklumkan mengenai hak puan. Sesuatu jual beli atau apa-apa prosedur tidak boleh diteruskan sekiranya terdapat halangan menjual hartanah tersebut. Oleh itu, hak puan adalah terpelihara.

Perlu diambil perhatian bahawa kaveat yang didaftar hanya berkuatkuasa selama enam tahun dari tarikh pendaftaran. Setelah kaveat luput tempohnya, puan haruslah memohon kemasukan semula kaveat dengan membuat satu permohonan baru. Proses ini boleh dilakukan setiap enam tahun sekali tanpa had kecuali jika bekas suami puan sebagai pemilik berdaftar mengambil tindakan mahkamah untuk mengeluarkan kaveat. Oleh itu, selepas tempoh enam tahun sekiranya kaveat tersebut tidak dilanjutkan, maka kaveat tersebut akan luput secara automatik.

Manakala, mengenai tempoh masa untuk membuat tuntutan, mengikut hukum syarak, pada dasarnya tiada had waktu yang tertentu untuk seseorang membuat tuntutan kerana hak tetap hak dan ia tidak boleh dilupuskan oleh tempoh masa, tetapi seeloknya-eloknya tuntutan hendaklah dibuat dalam tempoh masa yang munasabah.

Bagi mendapatkan kepastian dan makluman lanjut mengenai prosedur pendaftaran, puan dinasihati agar menghubungi Pejabat Tanah berkaitan. Diharap informasi dan penjelasan yang diberikan dapat membantu puan.

ISTERI BERHAK TERHADAP HARTA SEPENCARIAN DAN FARAID

Soalan:

Baru-baru ini kami adik-beradik dipanggil berbincang tentang pembahagian harta jika sekiranya ayah kami meninggal dunia. Ayah menyatakan hasratnya untuk mewasiatkan harta peninggalannya kepada kami tiga beradik semua sama rata. Namun, abang-abang saya tidak bersetuju. Katanya, jika mengikut faraid dia seharusnya mendapat bahagian yang lebih daripada saya (anak perempuan). Tetapi ayah berkeras mahu meneruskan niatnya membahagikan harta sama rata dan memaksa abang-abang saya bersetuju. Saya ada terdengar yang wasiat seperti ini tidak sah jika waris-waris tidak setuju? Betulkah ini? (Adakah wasiat seperti ini tidak sah jika waris-waris tidak setuju?

Arissa Mubaraq,
Shah Alam.

Jawapan:
Kini, dokumen wasiat semakin diterima oleh masyarakat sebagai salah satu alternatif perancangan harta yang mampu menzahirkan hasrat pewasiat tentang agihan hartanya yang akan dilaksanakan selepas kematiannya.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah menyatakan betapa pentingnya wasiat ini. Ayat 180 yang bermaksud, “Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta, supaya membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa."

Namun begitu masyarakat perlulah tahu apakah fungsi dan kesan sesuatu wasiat itu supaya dapat memenuhi tujuan sebenar orang yang berwasiat.

Perkataan wasiat berasal daripada “wassa" yang bermaksud menjanjikan, memerintahkan atau memberi hak milik selepas kematian. Para fuqaha’ pula mentakrifkan wasiat sebagai satu pemberian oleh seseorang kepada pihak lain setelah kematian pewasiat.

Manakala Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999 pula mendefinisikan wasiat sebagai iqrar seseorang dibuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manafaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud yang dibenarkan menurut hukum syara’, selepas dia mati.

Menurut pendapat empat imam Sunni, wasiat tidak boleh diberikan kepada ahli waris, kecuali waris-waris yang lain bersetuju. Malah, jumlah wasiat juga dihadkan kepada satu pertiga sahaja. Jika pewasiat mahu mewasiatkan lebih daripada jumlah yang ditetapkan, dia perlulah mendapatkan persetujuan daripada kesemua warisnya.

Oleh itu, sememangnya wasiat itu akan dianggap tidak sah jika abang-abang saudari tidak bersetuju terhadap pembahagiannya.

Namun begitu, wasiat bukanlah satu-satunya cara membahagikan harta pusaka. Satu lagi cara yang boleh saudari cadangkan kepada ahli keluarga ialah al-Wisoyah yang mana merupakan satu konsep amanah yang diperakui perundangan Islam.

Konsep amanah ini sama sahaja dengan konsep amanah (trust) undang-undang sivil. Apabila sesuatu harta atau kepentingan terhadap harta ini diletakkan di bawah jagaan pemegang amanah, maka harta atau kepentingan terhadap harta ini bukan lagi dikira sebagai harta pusaka.

Sebaliknya, pemegang amanah itu berhak sepenuhnya melaksanakan terma-terma yang ditetapkan dalam suratcara amanah tersebut.

Lagi pula, tidak ada sesiapa yang boleh membantah kehendak pemberi amanah apabila dia ingin melaksanakannya. Bapa saudari, selaku pemilik harta, mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk membuat sebarang syarat bagi memastikan niatnya terlaksana. Kelebihannya pula, bapa saudari boleh mengubah syarat-syarat yang ditetapkan jika di aberubah fikiran kemudian hari.

Adalah elok sekiranya al-Wisoyah ini dibuat secara bertulis agar tidak menimbulkan kesulitan dan keraguan di kemudian hari. Silalah rujuk kepada badan-badan professional yang menyediakan perkhidmatan ini.

Nota:
Di Negara Lubnan dan Mesir yang menerima pakai mazhab Hanafi, Maliki, Shafie dan Hanbali dalam hal ehwal pembahagian wasiat, kini menerima pakai pendapat mazhab Jaafari yang membenarkan waris-waris mendapat bahagian dalam peninggalan wasiat, walaupun ahli waris yang lain tidak bersetuju. Tetapi mazhab Jaafari masih menetapkan had harta pusaka yang boleh diwasiatkan ialah satu pertiga sahaja .

Panel Peguam Sisters In Islam.

HARTA SEPENCARIAN BETULKAH DITOLAK DAHULU SEBELUM FARAID?

Soalan:

Abang ipar saya telah meninggal dunia dan ada meninggalkan beberapa harta. Suami saya telah diamanahkan untuk menguruskan segala peninggalannya. Masalahnya, apabila suami saya ingin menguruskan secara faraid, isteri arwah (kakak ipar) menyatakan bahawa segala jumlah harta peninggalan haruslah ditolak dahulu harta sepencarian.

Pertanyaan saya:

1. Adakah betul harta tersebut harus dibahagi dua dahulu kemudian baru di faraidkan? Kakak ipar tidak bekerja dan rasanya tiada antara harta di atas yang boleh dikira sebagai harta sepencarian.

2. Insurans takaful – adakah menjadi milik penama sepenuhnya (atas nama kakak ipar) dan tidak menjadi harta pusaka?

3. Adakah wang simpanan dalam akaun anak-anak (akaun bersama) merupakan harta pusaka juga?

4. Bagaimanakah cara terbaik untuk menguruskan kesemua harta peninggalan di atas?

Daliyah Abu,
Subang, Selangor.

Jawapan:
Pengurusan harta pusaka bertujuan untuk memberikan kepada yang berhak dan untuk membantu waris yang ditinggalkan. Lebih-lebih lagi bagi membantu isteri arwah untuk membesarkan anak-anaknya seorang diri.

Syarak telah menetapkan apabila seseorang itu meninggal, hartanya akan dibahagikan mengikut pembahagian faraid. Ayat-ayat 7, 11, 12 dan 176 dalam surah al-Nisaa’ menggariskan panduan berkenaan waris-waris yang berhak dan juga bahagian-bahagian yang harus diperoleh setiap waris.

Sebahagian daripada surah al-Nisaa’ ayat 12 yang bermaksud, “Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula seperempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah seperlapan dari harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang kamu."

Sebelum harta pusaka dibahagikan mengikut pembahagian faraid, kakak ipar puan berhak untuk menuntut harta sepencarian terlebih dahulu. Kitab Bughyatul Mustarsyidin oleh Sayyid Abdul Rahman bin Muhammad bin Hussain bin Umar, mukasurat 159, menyatakan bahawa:
“Telah bercampur harta suami isteri dan tidak diketahui harta siapa yang lebih banyak – tidak ada tanda-tanda yang dapat membezakan harta salah seorangnya – kemudian berlaku perpisahan antara kedua-duanya ataupun mati, maka tidak sah salah seorang daripada mereka (suami isteri) atau warisnya memerintah (mengguna) sesuatu daripada harta itu sebelum dapat dibezakan ataupun sebelum adanya persetujuan antara pihak-pihak (sulh), kecuali bersama-sama dengan pemiliknya oleh kerana tidak ada murajjih (tanda yang membezakan diantara harta-harta berkenaan)."

Oleh itu, walaupun tidak bekerja, setiap kerja rumah yang telah dicurahkan juga diambil kira sebagai sumbangan kepada harta sepencarian. Kakak ipar puan berhak ke atas harta sepencarian sebelum dibahagikan mengikut pembahagian faraid. Malah dia juga masih berhak terhadap satu perlapan daripada harta pusaka arwah suaminya.

Berkenaan dengan insurans takaful, secara amnya, penama dalam polisi itu akan mendapat faedah daripadanya. Tetapi, jika ada antara waris yang sah mempertikaikan hak penama ke atas polisi tersebut, maka pembahagian secara faraid akan dilakukan. Penama polisi akan menjadi pentadbir pembahagian tersebut.

Wang simpanan dalam akaun anak-anak arwah merupakan akaun amanah. Kami percaya bahawa tujuan arwah membuka akaun untuk anak-anaknya adalah supaya masa depan mereka terjamin. Oleh itu, wang simpanan tersebut merupakan hak mutlak anak-anak arwah.

Kakak ipar puan boleh meminta supaya pihak bank menukar nama arwah kepada namanya supaya senang dia menguruskan akaun anak-anaknya kelak. Prosedur penukaran nama ini bergantung kepada bank yang berkenaan.

Cara yang terbaik untuk menguruskan harta pusaka peninggalan arwah tentulah dengan mencapai satu kata sepakat. Malah, untuk mengelakkan sebarang salah faham, dua orang boleh dilantik sebagai pentadbir harta pusaka arwah. Oleh itu, selain suami puan, kakak ipar juga sebenarnya lebih berhak untuk menjadi pentadbir harta pusaka arwah suaminya. Sekurang-kurangnya, harta peninggalan arwah dapat membantunya sedikit sebanyak untuk memulakan hidup baru yang lebih mencabar, dan juga demi anak-anaknya.

Panel Peguam Sisters In Islam.

BOLEHKAH SUAMI TUNTUT HARTA YANG ISTERI KUMPUL?

Soalan:

Saya seorang isteri yang bekerja. Oleh sebab saya mempunyai pendapatan sendiri, suami mengambil lewa dalam menanggung nafkah saya. Sayalah yang membeli rumah, kereta dan perabot, malah baju anak-anak pun saya yang beli. Dia hanya menanggung dirinya sendiri.

Saya juga ada melaburkan duit saya untuk masa depan saya dan anak-anak kerana saya rasa saya memang tidak boleh harapkan langsung suami saya. Namun, apa yang membimbangkan saya ialah baru-baru ini saya ada terbaca dalam suratk habar bahawa suami juga boleh membekukan harta isteri untuk tuntutan harta sepencarian apabila berlaku perceraian.

Kalau ini betul, apakah perlindungan yang saya ada? Sudahlah saya menanggung diri saya sendiri dan anak-anak kami, suami saya boleh pula menuntut harta yang saya kumpul selama ini. Apakah yang boleh saya buat untuk memastikan bahawa harta saya itu tidak akan jatuh ke tangan suami yang tidak bertanggungjawab itu?

Edwina Roslan,
Kuala Lumpur.

Jawapan:

Suami isteri bekerja adalah satu lumrah dalam masyarakat masa kini. Ini tentunya untuk memenuhi tuntutan keperluan hidup yang semakin hari semakin meningkat. Adalah satu kebiasaan seorang isteri yang bekerja akan menghulurkan bantuan dalam meringankan bebanan kewangan suami. Lagipun itulah tujuan seorang isteri keluar bekerja sekarang.

Namun begitu, seorang suami tidak seharusnya melepaskan tanggungjawabnya dalam memberi nafkah kepada keluarga. Nafkah kepada isteri dan anak-anak masih merupakan satu tanggungjawab wajib yang mesti disediakan oleh suami.
Persoalan harta isteri harta suami masih lagi tidak jelas kedudukannya lebih-lebih lagi dalam hal harta sepencarian.
Harta sepencarian pada asalnya diambil daripada adat Melayu yang telah diterima dan mendatangkan kebaikan kepada kaum wanita khususnya.

Dalam Islam, apabila sesuatu adat atau uruf diakui kebaikannya dan telah diberi pengiktirafan undang-undang, kedudukannya tidak lagi sebagai adat, tetapi telah menjadi suatu peraturan atau perundangan yang mesti diikuti dan dikuatkuasakan.
Maka, kita mendapati bahawa dalam perundangan kita kini ada peruntukan tentang harta sepencarian. Di sini, saya akan merujuk kepada akta asal Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 kerana Pindaan 2005 masih belum berkuat kuasa.

Seksyen 2 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memberi maksud harta sepencarian sebagai harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh hukum syarak.

Kemudian, seksyen 58 Akta pula menambah bahawa aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan termasuklah aset-aset yang dipunyai oleh satu pihak sebelum perkahwinan dan telah dimajukan pada sebahagian besarnya dalam masa perkahwinan itu oleh pihak yang satu lagi atau dengan usaha bersama.

Intipati seksyen 58 ini adalah sumbangan suami isteri. Oleh itu, pihak yang menuntut harta sepencarian ini haruslah membuktikan kepada mahkamah bahawa dia ada memberi sumbangan terhadap harta tersebut.

Tuntutan
Suami puan haruslah mempunyai bukti yang kukuh bahawa dia ada memberi sumbangan terhadap harta-harta yang dituntut sebagai harta sepencarian. Mengikut hukum syarak, suami tidak mempunyai hak ke atas harta isterinya. Harta isteri adalah hartanya sendiri, manakala isteri berhak mendapat saraan nafkah daripada suaminya.

Hak dan kewajipan yang berbeza mengenai harta dan nafkah ada kaitan dengan pembahagian pusaka yang memberi bahagian yang lebih kepada lelaki daripada perempuan. Bahagian harta pusaka yang lebih kepada lelaki sebenarnya berhubung kait dengan kewajipan kewangan yang dikenakan atas kaum lelaki. Ia juga boleh dikatakan berkaitan dengan soal harta sepencarian.

Sumbangan kewangan pihak suami bagi belanja harian tidaklah boleh dianggap sebagai sumbangan kewangan terhadap harta yang diperoleh isterinya, kerana memanglah kewajipan suami menyara nafkah isteri dan anak-anaknya. Tetapi sumbangan kewangan pihak isteri bagi belanja harian rumah tangga patutlah dianggap sebagai sumbangan kewangan terhadap harta yang diperoleh suaminya, kerana bukanlah kewajipan isteri untuk menyara nafkah suami dan anak-anaknya.

Kitab Tanah al-Talibin, jilid 4, muka surat 76, menyatakan yang maksudnya, Adapun perkara-perkara yang tidak khusus kepada isteri melakukannya seperti memasak makanan suami dan mencuci pakaian suami, maka tidaklah menjadi kewajipan ke atas isteri mahupun orang gaji bagi isteri, tetapi kewajipan tersebut menjadi tugas suami membayar upah dan sebagainya.

Hukum syarak
Walaupun hukum syarak menyatakan bahawa suami tidak boleh usik harta isteri kerana ia milik mutlak isteri tetapi ia adalah berbeza dari segi peruntukan undang-undang. Oleh itu, pihak kerajaan telah pun mengambil langkah tidak mewartakan Pindaan 2005.

Malah langkah susulan yang diambil ialah pihak Peguam Negara seterusnya menjalankan proses rundingan dengan pelbagai pihak termasuk NGO-NGO wanita dalam usaha mengkaji semula Pindaan 2005 ini. Setakat ini, sebanyak tiga rundingan telah dilakukan dan pandangan daripada pelbagai pihak telah pun dibincang dan dipertimbangkan.

Kesaksamaan dan keadilan dalam institusi keluarga dan budaya masyarakat memerlukan perseimbangan hak dan kewajipan kaum lelaki dan wanita dalam keluarga dan masyarakat supaya pelepasan sesuatu hak dan kewajipan tradisional satu pihak disertai dengan imbangan hak dan kewajipan yang sewajarnya.

Adalah tidak adil jika hak tradisional bagi lelaki Islam dikekalkan serta ditambah lagi hak baru, dan kewajipan tradisional dikurangkan. Tetapi sebaliknya pula bagi wanita Islam. Hak tradisional mereka dikurangkan, kewajipan tradisional dikekalkan serta ditambah lagi dengan kewajipan baru.

Jika undang-undang mahu mencerminkan keadaan masyarakat masa kini, maka perlulah melihat kepada keseluruhan undang-undang itu. Bukannya hanya meminda beberapa peruntukan atas justifikasi kesamarataan gender.

Panel Peguam Sisters In Islam.

JOINTLY-OWNED MATRIMONIAL PROPERTY DEDUCTED BEFORE ESTATE DIVIDED VIA FARAID?

Question:

My brother-in-law passed away and left behind some properties. My husband was named as administrator of his estate. A problem arose when my husband was going to have the properties divided via faraid: the deceased’s wife (my sister-in-law) claimed that an amount representing jointly-owned matrimonial property has to be deducted from the entire estate before it is distributed. My questions are as follows:

Is it true that the estate of my brother-in-law has to be halved before it is to be divided via faraid? My sister-in-law is unemployed and I do not think any of the properties my brother-in-law left behind can be deemed as jointly-owned matrimonial property.

With regard to Takaful Insurance, will this be distributed fully to the policy’s nominee (under my sister-in-laws name) and is not calculated as part of the deceased’s estate?

Are the savings within their children’s accounts (joint account) considered as part of the deceased’s estate?

What would be the best way in which to administer all of the above properties?

Daliyah Abu,
Subang, Selangor.

Answer:

The aim of administrating a deceased’s estate is to pass to those who are entitled to it and help the beneficiaries left behind, especially in order to relieve the burden of the deceased’s wife in raising her children all by herself.

According to Hukum Syarak, the estate of a deceased person is to be divided via faraid after the payment of debts and legacies. Verses 7, 11, 12 and 176 of Surah an-Nisaa’ provide guidelines as to the persons who may be the beneficiaries to the deceased’s estate as well as the portion to which each of them are entitled.

Part of verse 12 of Surah An-Nisaa’ which means, “In what ye leave, their (your widows) share is a fourth, if ye leave no child; but if ye leave a child, they (your widows) get an eighth; after payment of legacies and debts.”

Before the estate of a deceased can be divided via faraid, your sister-in-law is entitled to claim her share of jointly-owned matrimonial property. Kitab Bughyatul Mustarsyidin by Sayyid Abdul Rahman bin Muhammad bin Hussain bin Umar, at page 159, states that:

“The properties of the husband and wife have been mixed up and it is not known who owns the larger proportion, there is no method that can be used to determine which property belongs to who and then where occurs separation between the two or death, therefore it is not valid for either of them (spouse) or the beneficiary to administer (use) something of the estate before the property can be differentiated or before there has been an agreement between the parties (sulh), unless it is done together with its owner because there is no murajjih (signs to differentiate the ownership of the same)."

Therefore, even though your sister-in-law is unemployed, every bit of housework she had put in during the duration of the marriage is deemed to be her contribution towards joint-matrimonial property. Your sister-in-law is entitled to joint-matrimonial property before the estate is divided via faraid. Moreover, she is also entitled to one-eighth of the estate being her share under faraid after there has been division of the estate for joint-matrimonial property.

On the issue of Takaful Insurance, generally, the nominee of the policy will be the only beneficiary entitled to the insurance monies. However, if there are legitimate beneficiaries that contest the rights of the nominee named under the policy, then the insurance will be divided via faraid.

The saving in the accounts of the deceased’s children are considered to be part of a trust account. We believe that it was the deceased’s intention to open an account for his children in order to ensure they would not face financial difficulties in their future. Hence, those monies belong solely to the deceased’s children.

Your sister-in-law can require the bank to change her husband’s name on the account to hers on all the relevant documents to facilitate the management of her children’s accounts. The procedure to make the said change depends on the bank itself.

The best way to manage the deceased’s estate is of course to attain a collective agreement among all parties involved. In fact, in order to avoid misunderstandings and disagreements, two persons can be appointed as administrator of the estate. Therefore, aside from your husband, your sister-in-law is even more entitled to administer the estate of her late husband. At the very least, the property her husband left behind could be used to help her start a new life that is even more challenging, and for the sake of her children.

Panel lawyers, Sisters In Islam.

SUAMI MOHON BEKU AKAUN

Soalan:

Saya sedang dalam proses perceraian. Mula-mula kes itu difailkan di Shah Alam, tetapi atas permohonan suami, kes saya didengar di Johor Bahru pula. Boleh ke dia buat macam ni? Dia bukannya tinggal di Johor, cuma ibubapanya saja yang tinggal di sana. Kemudian, dia telah memohon perintah Mahkamah untuk membekukan akaun saya kerana katanya untuk tuntutan harta sepencarian. Tapi itu hadiah daripadanya, kenapa dia kata harta sepencarian pula? Lagi pun, akaun itu bukannya akaun bersama, akaun itu atas nama saya sahaja. Saya tidak bekerja, duit dari akaun itulah punca pendapatan saya dahulu dan hadiah perkahwinan daripadanya dan keluarga. Sanggup dia buat saya macam ni.

Zabedah Mustar,
Subang

Jawapan:

Untuk menentukan di mana sepatutnya sesuatu tindakan Mahkamah dimulakan, Mahkamah akan melihat kepada alamat tempat tinggal kedua-kedua pihak yang terlibat. Ini adalah kerana bidang kuasa Mahkamah Syariah adalah berdasarkan tempat puan tinggal. Di Malaysia setiap negeri mempunyai Mahkamah Syariah yang terhad bidang kuasanya menurut setiap negeri dan mempunyai undang-undang syariah tersendiri.

Ini juga dapat menyenangkan pihak-pihak terbabit kerana proses tindakan di Mahkamah memerlukan mereka turun-naik Mahkamah beberapa kali juga, bergantung kepada kerumitan satu-satu kes.

Suami puan mungkin menggunakan alasan bahawa beliau kini menetap di Johor Bahru bersama dengan ibu bapanya dan menggunakan alamat tersebut sebagai alamatnya. Oleh itu beliau kini adalah tertakluk di bawah undang-undang syariah dan Mahkamah Syariah negeri Johor.

Tetapi Mahkamah harus mengambil kira keadaan puan juga. Puan berhak untuk membantah perpindahan kes ini atas alasan bahawa adalah sukar untuk puan berulang-alik ke Johor Bahru. Puan boleh menggunakan alasan bahawa ia akan menelan belanja yang banyak, tambahan lagi puan tidak bekerja. Puan haruslah menunjukkan kepada Mahkamah bahawa adalah lebih adil jika kes ini didengar di Shah Alam.

Malah puan juga mestilah menunjukkan kepada Mahkamah bahawa suami puan sebenarnya tidak tinggal di Johor Bahru tetapi hanyalah menggunakan alamat ibu bapanya sahaja. Puan hendaklah mengemukakan kepada Mahkamah bukti yang menunjukkan suami masih menetap di alamat tempat tinggalnya. Puan boleh membawa saksi yang menyatakan bahawa suami tidak tinggal di Johor Bahru dan apa-apa dokumen yang dapat menyokong fakta ini.

Bagi bahagian kedua persoalan puan itu pula, berkenaan harta sepencarian, kita perlu melihat kepada tafsiran perundangan apa itu harta sepencarian. Menurut seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003, “harta sepencarian" ertinya harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak.

Oleh itu, walaupun harta itu atas nama puan sahaja, tetapi jika suami berjaya membuktikan kepada Mahkamah bahawa dia ada menyumbang terhadap harta tersebut, maka Mahkamah akan memutuskan bahawa itu adalah harta sepencarian.
Tindakan suami puan yang mendakwa bahawa hadiah yang diberikannya kepada puan dahulu adalah harta sepencarian merupakan satu perkara yang sangat mengaibkan.

Dalam perbicaraan permohonan suami untuk membekukan akaun puan, puan hendaklah membawa bukti kepada Mahkamah bahawa harta tersebut bukanlah harta sepencarian dan ia adalah hadiah daripada suami.

Menurut hukum syarak, sesuatu hadiah atau hibah adalah lengkap apabila rukun-rukun hibah ini dipenuhi iaitu pihak-pihak yang melakukan aqad hibah iaitu pemberi hibah dan penerima hibah, aqad hibah melalui ijab dan qabul dan barang yang hendak dihibahkan itu.

Tindakan suami yang memasukkan wang ke dalam akaun atas nama puan boleh dilihat sebagai tindakannya menawarkan (ijab) hadiah kepada puan, dan juga tindakan puan menggunakan wang yang telah dimasukkan ke dalam akaun puan itu adalah tanda puan telah menerima (qabul) tawaran itu tadi.

Panel Peguam Sisters In Islam.

TUNTUT HARTA SEPENCARIAN

Soalan :

Assalammualaikum,

Saya telah bercerai dengan bekas suami lebih kurang 3 tahun. Sejak bercerai, suami langsung tidak pernah memberi nafkah anak termasuk nafkah edah saya. Bekas suami saya seorang yang panas baran dan sering memukul saya semasa kami masih menjadi suami isteri. Semasa perkahwinan, suami ada membeli sebuah rumah tetapi nama saya tidak dimasukkan sebagai pembeli bersama namun, saya ada mengeluarkan wang saya bagi pembelian rumah itu juga mengambil pinjaman peribadi bagi pengubahsuaian rumah tersebut dan masih menanggung hutang pinjaman peribadi itu. Bolehkah saya mendapatkan hak saya dan anak-anak dan menuntut rumah tersebut sebagai harta sepencarian? Harap pihak puan dapat memberikan jalan dan panduan yang saya boleh gunakan bagi mendapatkan semula hak saya dan anak-anak yang selama ini tidak terbela.

Najihah Nasir
Taman Seputeh 

Jawapan :

Calaran fizikal boleh diubati namun calaran emosi akibat keganasan rumahtangga memerlukan masa untuk pulih. Sesebuah bahtera perkahwinan tidak terlepas dari hayunan ombak dan badai. Walaubagaimanapun, di dalam apa jua keadaan, Islam tidak menghalalkan penganiayaan suami ke atas isteri. Bagi rumahtangga yang tidak boleh diselamatkan, penceraian adalah jalan terbaik. Puan telah mengambil jalan yang sewajarnya dengan melangkah keluar dari penderaan.

Segelintir kaum Adam beranggapan bahawa mereka bebas daripada tanggungjawab sebagai suami dan bapa selepas terlerai ikatan perkahwinan dengan isteri. Realitinya, tanggungjawab mereka tidak berakhir di saat talaq dilafazkan. Isteri yang diceraikan dan anak-anak masih mempunyai hak-hak yang perlu disempurnakan oleh seorang lelaki dalam kapasitinya sebagai bekas suami dan bapa.

Antara hak yang boleh dituntut seorang bekas isteri adalah nafkah iddah. Ini bersandarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud hanya nafkah dan tempat kediaman untuk perempuan yang boleh dirujuk oleh suaminya. Secara ringkasnya, hadis ini menggariskan bahawa seorang suami wajib membayar nafkah iddah dan menyediakan tempat tinggal ketika bekas isteri di dalam tempoh iddah. Dalam kata lain, hak-hak ini adalah tertakluk kepada had masa iddah mengikut ketetapan SyaraK.

Berdasarkan Surah Al-Baqarah, ayat 228 yang bermaksud wanita-wanita yang ditalaq hendaklah menahan diri (menunggu) tiga kali quru, had masa iddah yang ditetapkan oleh Islam adalah selama 3 Quru atau 3 kali suci daripada kitaran haid. Puan ada menyatakan bahawa Puan telah bercerai dengan bekas suami selama lebih kurang 3 tahun. Walaupun Puan tidak menuntut nafkah ketika dalam tempoh idah, hak ini tidak luput dan masih boleh dituntut lagi kerana ia dianggap sebagai hutang dan selagi ia tidak berbayar maka ia dianggap tertunggak dan terhutang. Ini juga menurut, seksyen 65(1) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) dengan jelasnya menyatakan Hak bagi seseorang isteri yang telah bercerai untuk menerima nafkah daripada suaminya yang dahulu di bawah sesuatu perintah Mahkamah hendaklah terhenti apabila tamat tempoh ‘Iddah atau apabila isteri itu menjadi nusyuz.

Bekas suami Puan juga masih berkewajipan memberi nafkah kepada anak-anaknya. Putusnya ikatan perkahwinan tidak bermaksud putusnya pertalian seorang bapa dengan anak-anaknya. Surah Al-Baqarah, ayat 223 menyebut " . . dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada (ibu dan anaknya itu) menurut cara yang adil". 

Initipati ayat ini dimaktubkan di dalam S.72 yang mewajibkan bapa untuk memberi nafkah kepada anak-anak, tidak kira sama ada anak-anak itu di bawah jagaannya atau orang lain. Seksyen ini turut menetapkan bapa perlu menyediakan tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran atau sebagai membayar kos kepada perkara-perkara tersebut.

Seksyen 59(1) mendefinisikan nafkah sebagai ˜. . . tempat tinggal, pakaian, makanan dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya". 

Sebagai seorang yang berpendapatan tetap, mahkamah akan mempertimbangkan beberapa faktor seperti gaji bekas suami serta jumlah kewangan yang diperlukan anak-anak setiap bulan. Di samping itu, seksyen 62 turut memperuntukkan Mahkamah kuasa untuk meminda Perintah nafkah dan jika dia tidak mampu atau tidak dapat dikesan, Mahkamah boleh memerintahkan keluarga bekas suami untuk memberi sumbangan nafkah di bawah seksyen 73(2).

Puan turut menyatakan bahawa Puan menghadapi kesulitan dalan isu harta sepencarian. Tuntutan harta sepencarian adalah suatu perkara yang lazim berlaku selepas penceraian. Harta sepencarian boleh diertikan sebagai harta alih atau tidak alih yang diperolehi secara bersama oleh suami dan isteri ketika di dalam ikatan perkahwinan berlandaskan hukum syaraK. Walaupun tiada dalil khusus yang memperihalkan harta sepencarian di dalam Islam, Surah An-Nisaa, ayat 32 menerangkan bahawa setiap lelaki dan wanita mempunyai bahagian dalam apa yang mereka usahakan (sebagai suami isteri dalam perkahwinan)

Rumah kelamin walaupun tanpa ada nama puan adalah merupakan harta sepencarian. Menerusi seksyen 58, mahkamah berkuasa memerintah aset-aset yang diperolehi oleh pihak-pihak dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu. Antara faktor-faktor yang akan dipertimbangkan oleh mahkamah adalah takat sumbangan pihak-pihak. Sumbangan ini boleh berbentuk wang seperti belanja pengubahsuaian, harta, atau kerja seperti menjaga rumah tersebut agar berterusan dalam keadaan baik. Seterusnya, mahkamah juga akan melihat pada hutang salah satu pihak yang telah diambil bagi manfaat bersama.

Untuk melihat perlaksanaan seksyen 58, kes Anita Abdullah lwn Zainuddin Ariffin (1982) 4 JH 73 boleh dirujuk. Hakim di dalam kes rayuan ini menetapkan di antara lain, bahawa jika ada bukti yang cukup siapa yang mengusahakan harta itu, maka harta tersebut akan diberi kepadanya. Sebaliknya, jika tiada bukti yang cukup mengenai takat usaha masing-masing, mereka dikehendaki bersumpah dan harta akan dibahagikan sama banyak. Jika semuanya enggan bersumpah ia dibahagikan sama banyak juga. Tetapi jika salah seorang enggan bersumpah, maka harta itu diberi kepada yang bersumpah.

Oleh itu, jelas bahawa harta sepencarian memerlukan pembuktian yang kukuh.  Adalah perlu bagi Puan mengemukakan bukti-bukti pembayaran yang dibuat ke atas rumah tersebut. Ini termasuklah bayaran hutang dan juga pembayaran bagi pengubahsuaian yang telah dengan jelasnya menaikkan taraf rumah tersebut. Pengemukaan bukti-bukti akan membantu dalam memperkasakan lagi tuntutan Puan.

Bekas suami Puan tidak boleh menafikan hak-hak Puan dan anak-anak. Diharapkan agar penjelasan yang diberikan dapat membantu Puan dalam menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi. Kami menyarankan agar Puan menuntut hak-hak di mahkamah Syariah demi menjamin masa depan Puan dan anak-anak.

MADU MUNCUL TUNTUT HARTA

Soalan:

Selepas suami saya meninggal baru-baru ini saya mendapat tahu bahawa dia mempunyai isteri kedua. Bayangkanlah betapa hancurnya hati saya. Isteri keduanya datang untuk membuat tuntutan harta pusaka pula tu. Dia menyatakan bahawa menurut faraid, anak lelakinya akan mendapat bahagian yang besar. Mentang-mentanglah anak saya dua-dua perempuan. Tetapi suami saya ada meninggalkan wasiat. Dalam wasiatnya, tiada pun tertulis nama perempuan itu dan anaknya. Satu lagi masalah ialah perempuan itu menyatakan bahawa hanya nama dia diletakkan sebagai waris KWSP arwah. Bila saya tanya KWSP, memang diletakkan nama perempuan itu dan anak lelakinya sebagai waris. Jadi, macam mana dengan pembahagian harta pusaka ini?

Saripah Adawiyyah,
Kluang

Jawapan:

Suami yang menyembunyikan tentang perkahwinan kedua mereka sebenarnya hanya mengundang masalah. Walaupun mereka memberikan alasan tidak mahu melukakan hati isteri pertama, namun akhirnya kebenaran akan terbongkar.

Adalah menyedihkan bagi seorang isteri untuk mengetahui perkara sebenar dengan cara ini. Sudahlah sedih kehilangan suami belum hilang, terpaksa pula berhadapan dengan perebutan harta dengan madu yang tiba-tiba muncul.

Terdapat dua persoalan yang dikemukakan oleh puan di sini. Pertama tentang kedudukan wasiat arwah suami dan kedua tentang hak puan dan anak-anak kepada wang KWSP arwah.

Kedudukan wasiat dari hukum syarak boleh kita lihat dalam ayat 11 surah al-Nisaa yang bermaksud,

“Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah seperdua (separuh) dari harta itu.

Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: seperenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibubapanya, maka bahagian ibunya ialah sepertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah seperenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayarkan hutangnya."

Pada dasarnya perundangan di Malaysia mengguna pakai sepenuhnya hukum faraid dalam pembahagian harta pusaka orang muslim. Oleh itu, menurut ayat di atas, syarak mengenal pasti wasiat sebagai salah satu cara pembahagian harta.

Walaupun dalam ayat al-Quran di atas dengan jelas tidak menghadkan jumlah wasiat yang harus diberikan oleh orang muslim, namun sistem perundangan Islam di Malaysia memperuntukkan had ke atas wasiat ini. Muslimin di Malaysia hanya dibenarkan mewasiatkan satu pertiga daripada hartanya untuk wasiat dan penerima wasiat itu juga hendaklah bukan daripada kalangan waris.

Ini adalah berdasarkan pendapat ulama Sunni yang mendasarkan kesimpulan mereka daripada hadith Rasulullah s.a.w (diriwayatkan oleh Sunan Abu Dawud) yang telah menghadkan wasiat kepada satu pertiga. Hadith ini mengenai sahabat Baginda yang hanya mempunyai seorang anak perempuan dan ingin mewasiatkan seluruh hartanya bagi tujuan khairat kebajikan am.

Rasulullah s.a.w kemudiannya telah bersabda bahawa bahagian yang boleh diwasiatkan itu adalah satu pertiga supaya anak perempuannya tidak dibiarkan tanpa harta.

Oleh itu, wasiat yang ditinggalkan oleh arwah suami puan boleh dicabar oleh waris-waris lain yang berhak. Malah mereka boleh menuntut supaya harta itu dibahagikan secara faraid.

Hukum faraid
Manakala bagi wang KWSP arwah, telah difatwakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia bahawa penama yang tercatat dalam borang KWSP merupakan wasi atau pentadbir harta sahaja. Majlis Fatwa juga telah memutuskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab penama untuk membahagikannya menurut hukum faraid.

Di KWSP, apabila satu kematian telah diadukan, maka atas permohonan penama yang bertindak sebagai pentadbir harta, wang tersebut akan dikeluarkan kepada penama. Adalah menjadi tanggungjawab penama kemudiannya untuk mengagih-agihkan harta tersebut mengikut hukum faraid.

Puan sebenarnya hanya boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap penama itu supaya mengagihkan harta tersebut mengikut hukum faraid. Puan tidak boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap KWSP untuk menghalangnya mengeluarkan wang tersebut kepada penama. Ini kerana KWSP tidak bertanggungjawab atas urusan pembahagian harta pusaka ahlinya.

Mengikut perundangan Malaysia, muslimin adalah tertakluk kepada hukum faraid dalam pembahagian harta pusaka. Walaupun adanya wasiat ataupun penama, hukum faraid tetap diguna pakai.

Harus diingat juga bahawa harta sepencarian hendaklah ditolak terlebih dahulu daripada harta pusaka arwah suami. Puan dan isteri kedua masing-masing berhak ke atas harta sepencarian yang telah diusahakan bersama-sama sepanjang tempoh perkahwinan.

Bahagian lebih yang diperuntukkan mengikut hukum faraid diberikan kepada anak lelaki adalah sangat berkait rapat dengan tanggungjawab seorang lelaki terhadap keluarganya. Oleh itu, menjadi tanggungjawab anak lelaki arwah suami puan untuk menjaga kebajikan kedua-dua keluarga. Adalah menjadi syariat Islam bahawa harta yang diberikan hendaklah digunakan ke atas balu dan anak-anak arwah.

Tanggungjawab ini amat diambil berat dan jika anak lelaki itu enggan untuk bertanggungjawab, undang-undang memperuntukkan bahawa tindakan boleh diambil di Mahkamah bagi satu tuntutan nafkah. Kita boleh rujuk kepada seksyen 60 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Johor) 1990 yang memberi kuasa kepada Mahkamah mengeluarkan perintah membayar nafkah.

Dalam keadaan ini, lebih elok sekiranya puan sekeluarga dapat mencapai satu kata sepakat untuk membahagikan harta peninggalan arwah dengan cara yang baik. Ini sebenarnya untuk kebaikan semua pihak lebih-lebih lagi untuk masa depan anak-anak.

Panel Peguam Sisters In Islam.

KWSP - HARTA PUSAKA ATAU HIBAH?

Suami saya baru sahaja meninggal dunia. Arwah suami mempunyai simpanan di Kumpulan Wang
Simpanan Pekerja (KWSP) kerana arwah pernah memberitahu saya bahawa dia telah meletakkan
saya sebagai penama akaun tersebut. Bagaimana saya hendak mengeluarkan simpanan akaun
tersebut?

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ialah sebuah institusi keselamatan sosial yang
menyediakan faedah persaraan melalui pengurusan simpanan. KWSP hanya dianggotai oleh pekerja
sektor swasta dan pekerja tidak berpencen sektor awam.
Setiap individu mempunyai Akaun 1 dan Akaun 2 di KWSP.
Akaun 1 adalah untuk kegunaan selepas persaraan dan simpanan tidak boleh dikeluarkan sebelum
mencecah 55 tahun. Namun, sebahagian duit di dalam Akaun 1 juga boleh digunakan untuk melabur.
Simpanan Akaun 2 pula boleh dikeluarkan tetapi dengan beberapa syarat. Antara syaratnya ialah:
1. Mencapai umur 50 tahun
2. Pembayaran pendahuluan pembelian rumah pertama
3. Menyelesaikan baki pinjaman pembelian rumah pertama
4. Pembiayaan pendidikan peribadi
5. Menampung kos perubatan
6. Menunaikan Haji
Selain itu, akaun ini boleh diletakkan penama/ penerima. Maka, jika pemilik akaun meninggal dunia
atau hilang upaya, penama/ penerima boleh mengeluarkan duit simpanan di KWSP.
Namun, masalah sering timbul apabila berlaku kematian.
Bagi pemegang akaun KWSP yang beragama Islam, penama/ penerima hanyalah berfungsi sebagai
Wasi atau pentadbir harta si mati. Si penama/ penerima adalah orang yang mengeluarkan sama ada
sebahagian atau keseluruhan wang simpanan tersebut dan bertanggungjawab untuk mengagihkan
wang simpanan KWSP kepada waris- waris si mati yang layak mengikut wasiat ataupun Undang-
undang Keluarga Islam.
Jika penama/ penerima tidak menjalankan tanggungjawab dengan jujur dan/ atau gagal
menjalankan tanggungjawab, waris- waris si mati boleh mengambil tindakan undang- undang
terhadap si penama/ penerima.
Harus diingatkan, wang simpanan KWSP ini termasuk dalam harta pusaka seseorang yang telah
meninggal dunia.

HIBAH, WASIAT BOLEH BERI KEPADA WARIS

Soalan

Saya mempunyai persoalan tentang harta peninggalan wanita bujang. Saya ditinggalkan oleh ayah sejak kecil tanpa nafkah. Emak sayalah yang membesarkan saya. Saya merupakan anak tunggal. Mengikut hukum faraid, sekiranya saya meninggal, sebahagian besar harta peninggalan saya akan diwarisi oleh ayah dan adik-beradik tiri saya (berlainan emak). Saya merasakan ayah saya tidak berhak langsung mendapat harta saya kerana dia telah mengabaikan kami sekeluarga. Tidak adil rasanya jika dia yang selama ini tidak menghiraukan kami sekeluarga tiba-tiba mendapat bahagian daripada harta yang saya kumpulkan selama ini, tanpa bantuannya. Saya mahukan harta peninggalan saya digunakan untuk menjaga kebajikan ibu saya dan anak angkat saya. Bagaimana boleh saya tinggalkan harta saya kepada mereka setelah ketiadaan saya?

Jawapan:

Seperti yang saudari sedia maklum, Islam telah menetapkan prinsip-prinsip pengagihan harta si mati, yang secara lazimnya dikenali sebagai hukum faraid. Prinsip-prinsip am hukum faraid terkandung dalam al-Quran, Surah al-Nisa, ayat 11-14.

Namun, faraid bukanlah satu-satunya cara pembahagian harta dalam Islam. Kami di Sisters In Islam memahami kehendak saudari yang ingin memastikan kebajikan dan kepentingan orang-orang tersayang dilindungi apabila saudari tiada nanti.

Surah al-Nisa ayat 11 telah menyatakan bahawa pembahagian itu ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.

Seorang Islam boleh meninggalkan wasiat, tetapi wasiat tersebut mestilah mematuhi syarat-syarat berikut:

1.     tidak boleh mewasiatkan lebih daripada satu pertiga (1/3) daripada keseluruhan harta pemberi wasiat; 

2.     penerima wasiat mestilah seorang yang tidak disenaraikan sebagai waris dalam hukum faraid  syarat kedua ini adalah hukum mengikut mazhab Sunni.

Walaubagaimanapun, kebanyakan ulama Sunni juga berpendapat bahawa wasiat kepada salah seorang waris yang tersenarai dalam hukum faraid (misalannya, dalam kes saudari ini, ibu saudari) masih sah sekiranya waris-waris lain setuju dengan isi kandungan wasiat selepas kematian pemberi wasiat. 

Namun demikian, masalah mungkin timbul apabila salah seorang waris yang sah tidak bersetuju dengan wasiat tersebut. Apabila ini berlaku, mahkamah akan merujuk kepada hukum faraid.

Dalam kes saudari, anak angkat bukanlah seorang waris yang tersenarai dalam hukum faraid. Jadi, saudari bolehlah mewasiatkan kepadanya tidak melebihi satu pertiga (1/3) nilai jumlah keseluruhan harta saudari. Waris-waris yang sah tidak boleh mempertikaikan wasiat ini kerana cukup syarat-syaratnya.

Ibu saudari pula merupakan seorang waris yang tersenarai dalam hukum faraid. Sekiranya seseorang Islam itu meninggal dunia, maka ibu si mati hanya berhak menuntut hartabenda si mati mengikut perkiraan hukum faraid. Sekiranya si mati meninggalkan hanya ibu dan ayahnya dan tidak ada anak, maka, secara amnya, ibu akan berhak mendapat satu pertiga (1/3) and ayah akan berhak mendapat dua pertiga (2/3) daripada harta si mati.

Di negara kita ini, nisbah pembahagian harta pusaka menurut faraid secara lazimnya ditentukan oleh Mahkamah Syariah melalui suatu sijil faraid bagi setiap kes. Sekiranya si mati telah meninggalkan wasiat, maka pembahagian harta pusaka kepada ayah dan ibu akan dilakukan selepas wasiat disempurnakan.

Hukum faraid tidak akan terpakai sekiranya si mati, sebelum kematiannya, telah memindahkan harta kepada orang lain. Jadi, dalam keadaan sekarang ini, saudari bolehlah mempertimbangkan untuk memindahkan harta tertentu kepada ibu atau anak angkat semasa hayat saudari masih ada (sekiranya saudari tidak ingin memberi wasiat kepada anak angkat). Melalui proses ini, waris-waris yang lain tidak akan berhak kepada harta pusaka saudari kelak.

Konsep ini diberi nama hibah atau terjemahannya hadiah. Apa yang penting ialah saudari perlu memindahkan harta yang ingin diberi kepada ibu dan anak angkat semasa saudari masih hidup. Hibah itu juga mestilah diterima oleh penerima. Jika penerima tidak tahu bahawa ia telah dihibahkan sesuatu benda, maka hibah tersebut mungkin tidak sah.

Proses pemindahan harta ini bolehlah dilakukan dalam beberapa cara. Misalannya, jika saudari memiliki rumah atau tanah, saudari boleh memindahkan rumah atau tanah tersebut kepada nama ibu atau anak angkat menerusi prosedur pindahmilik di bawah Kanun Tanah Negara 1965.

ANAK TEGAH AYAH HADIAH RUMAH (VERSI ASAL)

Soalan:

Saya bernikah dengan seorang duda yang mempunyai sembilan orang anak. Sebelum bernikah, suami saya berjanji ingin menghadiahkan rumah yang kami diami sekarang kepada saya. Tetapi, malangnya, anak-anak suami saya semuanya tidak setuju. Bolehkah mereka membantah kehendak suami saya? (Adakah) Mereka ada hak kah? Saya bimbangkan masa tua saya nanti. Jika suami meninggal dunia nanti, ke mana saya yang tua dan uzur ini nak pergi?

Julianna Amran,
Selangor.

Jawapan:
Harta yang dikumpul bukanlah untuk direbut malah tujuannya supaya kita boleh mendapat manfaat daripadanya. Islam memberi kebebasan kepada pemilik harta bagaimana dia mahu menguruskan hartanya. Dalam kes puan ini, jika suami puan berniat untuk memberikan rumah tersebut sebagai hadiah, maka, dari segi undang-undangnya, ada cara untuk menjamin hak puan kelak.

Cara yang kami maksudkan ialah suami puan bolehlah berhibah, iaitu memberi sesuatu semasa hidupnya, kepada seseorang.

Islam menggalakkan umatnya berhibah kerana hibah ini sangat bersesuaian dengan konsep tolong-menolong sesama kaum keluarga yang lebih afdal kerana boleh mengeratkan tali silaturrahim, seperti firman Allah dalam surah al-Maidah, ayat 3 yang bermaksud, “Dan hendaklah kamu tolong menolong untuk membuat kebajikan dan bertaqwa."

Apabila sesuatu harta itu telah diisytiharkan sebagai hibah, secara otomatik harta tersebut akan terkeluar daripada harta pusakanya sekiranya pemberi meninggal dunia. Harta tersebut akan menjadi hak milik orang yang menerima hibah dan tidak lagi akan difaraidkan kepada waris-waris yang lain.

Di sini, jika suami telah menghibahkan rumah tersebut kepada puan, anak-anaknya tidak lagi boleh menuntut rumah tersebut sebagai harta pusaka. Puan lah merupakan pemilik sah rumah tersebut.

Melihat kepada konteks pengurusan harta pusaka hari ini, hibah akan menjadi lebih berkesan jika dibuat secara bertulis. Menyerahkan hibah melalui satu dokumen atau membuat pindahmilik harta di pejabat tanah akan memudahkan puan kemudian hari.

Suami puan dinasihati supaya memilih dua orang saksi bagi menandatangani dokumen hibah yang akan memudahkan proses penyaksian di mahkamah, jika keadaan memerlukan.

Dokumentasi dan penyaksian ini akan membantu puan sekiranya ada pertikaian antara waris-waris. Apabila mahkamah mengesahkan bahawa harta tersebut telah dihibahkan, maka waris-waris tidak boleh lagi menuntut bahagian daripada harta tersebut.

Soal pengurusan dan perancangan harta pusaka seharusnya dipandang serius oleh Muslim (orang Islam) keseluruhannya. Ini dapat mengelakkan kesulitan yang terpaksa dilalui oleh waris yang ditinggalkan. Oleh yang demikian, kami sarankan supaya orang-orang Muslim (Islam) mendapatkan khidmat nasihat daripada badan professional yang mempunyai kelayakan dalam bidang pengurusan harta pusaka.

Panel Peguam Sisters In Islam.

HIBAH PERLU DISEMPURNAKAN SEMASA HAYAT

Soalan:

Betulkah harta tak alih (sebuah rumah di Kuala Lumpur) yang dihibahkan hendaklah didaftarkan di atas nama penerima hibah (saya) semasa pemberi hibah (ibu saya) masih hidup?

Apa yang akan berlaku jika hibah tersebut tidak disempurnakan semasa hayatnya? Bagaimana jika hibah itu dibuat ke atas harta yang bercagar dan perlaksanaan tidak dapat dilakukan kerana ianya berkaveat?

Wan Faizul,
Kuala Lumpur.

Jawapan:

Terima kasih atas pertanyaan saudara. Terdapat pelbagai cara membahagi dan memindahmilik harta menurut hukum syarak. Antaranya ialah pembahagian melalui faraid, wasiat, sedekah, hadiah dan juga hibah.

Menurut kitab I’aanatul Taalibin, konsep hibah ditakrifkan seperti berikut:

Hibah bererti memberi milik sesuatu barang yang mana mengikut kebiasaannya barang itu sah untuk dijual atau diberi hutang kepada seseorang oleh ahli tabarru’ (orang yang suka membuat kebajikan) dengan tidak ada barang tukaran."

Terdapat tiga rukun yang mesti dipenuhi untuk menjadikan perjanjian hibah itu sah menurut hukum syarak. Rukun-rukun tersebut adalah pihak-pihak di bawah perjanjian hibah yakni pemberi hibah (wahib) dan penerima hibah (mawhub lahu), akad nikah melalui ijab dan kabul, dan barang atau harta yang dihibahkan itu (mawhab).

Selain daripada rukun-rukun di atas, hibah juga mesti disempurnakan semasa tuan punya harta masih hidup. Dengan yang demikian, perjanjian hibah antara saudara dengan ibu saudara mesti dilaksanakan semasa hayatnya, barulah ianya berkesan.

Ibu saudara sebagai pemberi hibah juga mestilah bebas menguruskan harta tersebut tanpa sebarang sekatan. Pindah milik rumah melalui perjanjian hibah tidak boleh dilakukan sekiranya rumah terbabit dijadikan cagaran dan dikaveatkan melainkan cagaran itu ditamatkan dan kaveat ke atas rumah itu ditarik balik.

Proses pemindahan harta hibah dilakukan berdasarkan prosedur di bawah Seksyen 215 Kanun Tanah Negara 1965. Untuk menukarkan nama ibu saudara sebagai pemilik rumah yang dihibahkan kepada nama saudara, Borang 14A perlu dilengkapkan.

Borang ini boleh didapati di Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur yang terletak di Tingkat 0 – 4, Rumah Persekutuan, Jalan Sultan Hishamuddin, 50678, Kuala Lumpur. FI untuk memindah milik rumah yang dihibahkan oleh ibu saudara kepada saudara adalah RM100.00. Untuk maklumat lanjut mengenai proses pindah milik, saudara boleh menghubungi Pejabat tersebut di talian 03 26932003 atau faks ke 03 26933970.

Jika hibah telah dilaksanakan dengan sempurna, waris-waris ibu saudara yang lain tidak boleh menuntut harta yang telah dihibahkan kelak.

Isu yang paling penting di sini adalah ibu saudara mesti memindahkan rumah tersebut kepada saudara semasa hayatnya lagi. Sekiranya terdapat syarat bahawa rumah tersebut akan dipindahkan kepada saudara hanya selepas kematian ibu saudara sekalipun, ia dianggap tidak sah daripada segi hukum syariah. Akibatnya, rumah yang dihibahkan itu akan dibahagikan menurut hukum faraid.

Diharap jawapan yang kami berikan di sini sedikit sebanyak dapat membantu menyelesaikan masalah saudara.

Panel Peguam Sisters In Islam.

TANAH BERSYARAT – TIDAK BOLEH PINDAH MILIK

Soalan:

Ibu saudara saya ingin menghibahkan sekeping tanah miliknya kepada anak angkatnya sebagai tanda kasihnya kerana anak itulah yang telah menjaganya sejak 30 tahun lalu. Persoalannya sekarang ialah tanah itu bersyarat, “Tidak dibenarkan pindah milik atas Suratcara 14A KTN melainkan dengan izin Menteri Besar." Dikhuatiri kebenaran akan diperoleh selepas ibu saudara saya meninggal dan tidak sempat untuk menghibahkan tanah tersebut. Dia mempunyai seorang waris iaitu suaminya. Apa yang boleh dilakukannya agar dapat memberi tanah tersebut kepada anak angkatnya?

Malam Deman,
Selangor.

Jawapan:

Dalam Islam selain daripada pembahagian secara faraid, hukum syarak ada menyediakan cara-cara lain dalam tatacara pembahagian harta. Antaranya ialah pembahagian melalui wasiat, hibah, sedekah dan hadiah.

Masalah yang dirujuk oleh tuan adalah berkaitan dengan persoalan pembahagian harta secara hibah. Apakah yang dimaksudkan dengan hibah menurut hukum syarak?

Menurut kitab I’aanatul Taalibin, hibah ditakrifkan seperti berikut;

“Hibah bererti memberi milik sesuatu barang yang mana mengikut kebiasaannya barang itu sah untuk dijual atau diberi hutang kepada seseorang oleh ahli tabarru’ (orang yang suka membuat kebajikan) dengan tidak ada barang tukaran."

Huraian seterusnya di dalam kitab Mughnil Muhtaj oleh As-Syarbini ini disebut hibah disyaratkan adanya lafaz ijab daripada pemberi hibah dan qabul daripada penerima hibah.

Hibah disempurnakan semasa tuan punya harta masih hidup, berbeza dengan wasiat yang hanya sempurna apabila pemberi wasiat meninggal dunia.

Rukun hibah yang mesti dipenuhi oleh ibu saudara tuan untuk menjadikannya sah di bawah hukum syarak seprti yang disebut di dalam kitab Mughnil Muhtaj oleh As-Syarbini iaitu;

“Rukun hibah itu ada tiga iaitu pihak-pihak yang melakukan akad hibah terdiri daripada pemberi hibah (wahib) dan penerima (mawhub lahu), akad nikah melalui ijab dan qabul dan adanya barang yang dihibahkan itu (mawhab)."

Dengan memenuhi rukun-rukun seperti yang dinyatakan di atas, hibah dapat dijalankan oleh ibu saudara tuan bagi memberikan tanah tersebut kepada anak angkatnya.

Syarat ke atas pemberi hibah juga mestilah dia bebas menguruskan harta tersebut yang mana ibu saudara tuan mempunyai kebebasan untuk menguruskan harta tersebut walaupun kebenaran daripada kerajaan negeri (menteri besar) perlu diperoleh dalam memindah milik tanah tersebut.

Oleh yang demikian hibah boleh dilakukan terhadap tanah tersebut walaupun kebenaran belum diperoleh daripada pihak kerajaan negeri oleh kerana kebenaran tersebut adalah bagi mengesahkan tanah tersebut boleh dipindah milik.

Disebabkan ibu saudara mempunyai niat ingin menghibahkan tanah tersebut dan juga anak angkatnya sudah mengetahui dan menerima hibah ini maka hibah dapati dijalankan.

Proses pemindahan harta benda ini boleh dilakukan dalam beberapa cara. Di sini ibu saudara tuan memiliki sekeping tanah, dia boleh memindahkan rumah tersebut kepada nama anak angkatnya menerusi prosedur di bawah Kanun Tanah Negara 1965.

Kebenaran daripada pihak kerajaan negeri adalah daripada segi formaliti yang mana ini diperlukan dalam melaksanakan Borang 14A KTN bagi proses pindah milik dan menukarkan nama kepada penerima tanah tersebut.

Dengan itu hibah boleh dijalankan semasa ibu saudara tuan masih hidup dan kebenaran tersebut hanya untuk proses pindah milik hartanah di Pejabat Tanah yang berkaitan.

Walaupun ibu saudara tuan mempunyai waris iaitu suaminya namun jika hibah telah dilakukan beliau tidak boleh mengambil tanah tersebut oleh kerana tanah itu telah dipindahkan semasa hayat ibu saudara tuan.

Apa yang boleh suami ibu saudara tuan peroleh adalah pembahagian harta dari segi faraid dan wasiat yang ditinggalkan oleh ibu saudara tuan (jika ada).

Melalui hibah ini, waris-waris ibu saudara yang lain tidak akan berhak langsung kepada harta bendanya kelak.

Isu paling penting di sini adalah ibu saudara tuan mesti memindahkan harta benda yang ingin dipindahkan semasa hayatnya lagi. Sekiranya terdapat syarat bahawa pemindahan harta benda akan berlaku hanya selepas kematian, maka ia tidak sah dari segi syariah dan hukum faraid akan menentukan pembahagian harta.

Panel Peguam Sisters In Islam.

ELAK HARTA PUSAKA JATUH KE TANGAN SALAH

Soalan:

Saya seorang wanita berkerjaya berumur 47 tahun. Saya tidak berkahwin dan tinggal bersama ibu dan seorang anak angkat perempuan berumur 8 tahun. Tiga bulan yang lepas, saya telah didiagnos dan telah disahkan mengidap penyakit kanser. Doktor memberi saya anggaran tempoh hayat selama enam bulan ke satu tahun. Persoalan saya adalah mengenai isu pembahagian harta selepas saya meninggal dunia kelak. Untuk pengetahuan Sisters, bapa saya masih hidup dan saya merupakan anak tunggal. Namun, kami tidak mempunyai perhubungan yang baik. Bapa telah meninggalkan ibu semasa saya masih kecil. Saya tidak mahu harta saya dibahagikan kepada bapa yang tidak bertanggungjawab atau adik-beradik tiri yang langsung tidak pernah mengambil peduli tentang saya atau ibu selama ini. Bagaimanakah saya boleh memastikan ibu dan anak angkat saya akan menerima harta peninggalan saya sepenuhnya.

Ummi Kalsom
Perlis Indra Kayangan

Jawapan:

Pembahagian harta pusaka bertujuan untuk memberikan kepada yang berhak dan untuk membantu waris yang ditinggalkan. Syarak telah menetapkan apabila seseorang itu meninggal, hartanya akan dibahagikan mengikut pembahagian faraid. Pembahagian harta secara faraid adalah salah satu cara pembahagian harta di dalam Islam. Ayat-ayat 7, 11, 12 dan 176 dalam surah al-Nisa menggariskan panduan berkenaan waris-waris yang berhak dan juga bahagian-bahagian yang harus diperoleh setiap waris.

Merujuk kepada kitab Mughil Muhtaj tulisan As-Sheikh Muhammad Al-Khatib As-Syarbini yang telah menyatakan bahawa antara perkara yang perlu diselesaikan ke atas harta si mati adalah zakat yang belum ditunaikan, barang-barang gadaian yang belum ditebus, hutang si mati ke atas harta yang ditinggalkan, harta sepencarian, wakaf, nazar, hibah yang telah sempurna rukunnya tetapi belum dipindah milik, perbelanjaan pengebumiannya, hutang dan wasiat.

Setelah diselesaikan perkara-perkara tersebut barulah baki harta itu dibahagikan menurut hukum faraid.
“Di dalam kitab tersebut wasiat telah ditafsirkan sebagai pemberian disandarkan atau dikaitkan sesudah mati iaitu pemberian tersebut diserahkan setelah pemberiannya sudah mati."

Pemberian wasiat orang Islam boleh diberikan dengan kadar tidak melebihi 1/3 bahagian sahaja. Wasiat yang melebihi kadar 1/3 adalah tidak berkuatkuasa kecuali mendapat persetujuan ahli waris yang lain atau kadar tersebut mesti dikurangkan sehingga sekadar 1/3 sahaja. Hukum Syarak juga telah menetapkan bahawa penerima harta pusaka melalui wasiat ini adalah seseorang yang tidak disenaraikan sebagai ahli waris.

Legaliti dan legitimasi wasiat adalah berpandukan firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah, ayat 180 yang bermaksud diwajibkan ke atas kamu, apabila seseorang di atas kamu kedatangan tanda-tanda kematian, jika dia meninggalkan harta yang banyak, berwasiat lah untuk ibu dan bapa dan karib kerabatnya secara maaruf. Ini adalah kewajipan atas orang yang bertakwaa

Merujuk kepada soalan saudari iaitu mengenai pembahagian harta kepada anak angkat. Anak angkat saudari bukanlah seorang waris yang tersenarai dalam hukum faraid. Oleh itu, saudari bolehlah mewasiatkan harta-harta saudari yang nilainya tidak melebihi satu pertiga (1/3) nilai jumlah keseluruhan kepada anak angkat tersebut.

Manakala, bahagian untuk  ibu saudari ditetapkan melalui pembahagian harta secara faraid.  Secara amnya, nisbah pembahagian harta pusaka menurut hukum faraid secara lazimnya ditentukan oleh Mahkamah Syariah melalui suatu sijil faraid dalam setiap kes.

Manakala kaedah kedua adalah melalui pemberian harta tersebut secara hibah. Hukum Syarak menetapkan tiga rukun yang mesti dipatuhi dalam pemberian harta secara hibah. Rukun-rukun tersebut adalah seperti berikut:-
1. pihak-pihak di bawah perjanjian hibah yakni pemberi hibah (wahib) dan penerima hibah (mawhub lahu),
2. lafaz terhadap hibah tersebut (merangkumi perjanjian atau pengakuan)
3. barang atau harta yang dihibahkan itu (mawhab).

Saudari boleh memperuntukan harta tersebut kepada ibu dan anak angkat saudari melalui kaedah hibah tersebut. Hibah boleh disempurnakan semasa saudari masih hidup, berbeza dengan wasiat di mana ia sempurna dari segi perlaksanaannya apabila pemberi wasiat meninggal dunia. Oleh itu, saudari bolehlah memindahkan harta-harta tersebut kepada ibu atau anak angkat semasa hayat saudari masih ada secara hibah seperti yang telah dinyatakan di atas.

Proses pindahmilik harta-harta tersebut ini boleh dilakukan dalam beberapa cara. Contohnya, jika saudari memiliki harta seperti tanah, saudari boleh memindahkan rumah tersebut kepada nama ibu menerusi prosedur di bawah Kanun Tanah Negara 1965. Melalui proses ini, waris-waris saudari yang lain tidak akan berhak langsung kepada harta benda saudari kelak.

Sebarang maklumat lanjut, saudari boleh menghubungi pihak kami. Sekiranya saudari masih tidak jelas berkenaan prosedur perceraian ini, dinasihatkan agar mendapatkan khidmat guaman sama ada Biro Bantuan Guaman atau Pusat Bantuan Guaman atau mana-mana peguam syarie bagi mendapatkan nasihat berhubung dengan prosedur tersebut.

ISTERI BOLEH TUNTUT HUTANG ATAS HARTA PUSAKA BEKAS SUAMI

Soalan:

Bekas suami saya meninggal dunia pada bulan lepas dan ada meninggalkan harta seperti tanah kebun, rumah sewa, duit simpanan dan lain-lain. Tetapi arwah telah berkahwin lain dan mempunyai dua orang anak perempuan. Manakala bersama saya, kami dikurniakan seorang anak lelaki dan dua orang anak perempuan. Arwah ada berhutang dengan saya semasa dia masih hidup. Dia juga ada membuat pinjaman peribadi dan saya adalah penjaminnya. Saya tidak mahu dipertanggungjawabkan atas hutangnya, tambahan pula saya tidak berkemampuan untuk membayar pinjaman tersebut. Bolehkah saya menuntut harta pusakanya untuk membayar hutang-hutangnya? Selain itu, arwah bekas suami saya masih berhutang duit mas kahwin. Masih bolehkah saya tuntut mas kahwin tersebut?

Marina Marjan
Perak. 

Jawapan:

Pihak kami mengucapkan takziah kepada puan sekeluarga. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah S.W.T.Secara lazimnya apabila ada ahli keluarga yang meninggal dunia, sudah tentu kita dihadapi dengan persoalan pembahagian harta pusaka. Daripada segi perundangan Islam, Malaysia secara amnya mengambil pendapat Mazhab Shafii.Menurut Mazhab Shafie harta peninggalan si mati ialah segala apa yang menjadi kepunyaan si mati di masa hidupnya kemudian ditinggalkan untuk waris-warisnya, sama ada berupa harta benda, hak kepunyaan. Begitu juga dengan apa yang dikerjakannya semasa hidup tetapi hasilnya diperolehi setelah ia mati. Pembahagian harta pusaka melalui sistem faraid merupakan cara biasa yang dipakai oleh umat Islam di Malaysia. Tetapi, sebelum harta si mati difaraidkan, ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Pertamanya, harta pusaka itu akan diguna untuk perbelanjaan urusan jenazah dan pengkebumian arwah. Kemudian, harta pusaka digunakan untuk melangsaikan segala hutang-piutang yang masih belum dibayar oleh arwah. Contohnya, jika masih ada hutang di bank, hutang sesama manusia, perlulah dibayar. Hutang arwah dengan puan dan pinjaman peribadinya wajib dilangsaikan. Puan haruslah menunjukkan dokumen-dokumen yang berkenaan supaya boleh dilampirkan dalam permohonan pembahagian harta nanti. Begitu juga dengan mas kahwin yang masih belum dijelaskan. Setelah itu, waris-waris arwah haruslah memastikan jika ada wasiat yang ditinggalkan. Wasiat ini perlulah dipenuhi terlebih dahulu sebelum harta pusakanya dibahagikan mengikut faraid. Akhir sekali, harta pusaka yang masih tinggal akan dibahagikan mengikut faraid.Pembahagian harta pusaka secara faraid adalah pembahagian di mana waris-waris yang berhak akan mendapat bahagian yang tertentu. Ini berdasarkan ayat 7 Surah An-Nisa yang bermaksud: “Bagi lelaki ada hak bahagian daripada harta peninggalan ibu bapa dan kerabatnya dan bagi wanita ada hak bahagian daripada harta peninggalan ibu bapa dan kerabatnya”.

 Anak-anak hasil daripada perkahwinan puan dan arwah merupakan waris yang sah. Bahagian mereka ialah pada kadar dua bahagian untuk anak lelaki dan satu bahagian anak perempuan. Permohonan mengenai harta pusaka adalah di bawah dua bidang kuasa perundangan iaitu di Mahkamah Syariah bagi memperolehi Sijil Faraid dan kemudiannya mendapatkan perintah pembahagian dari Mahkamah Tinggi atau Pejabat Pembahagian Pusaka Kecil. Untuk maklumat lanjut, puan boleh merujuk kepada:-

Biro Bantuan Guaman,
Tingkat 4, Blok A,
Bangunan Persekutuan  Ipoh,
Jalan Dato Ahmad Sahid,
(Greentown)
30450 Ipoh,
PerakTel: 05-2544027/2552240
Faks: 05-2556007

Kesimpulannya, keluarga arwah haruslah mengambil kira akan hutang-hutang si mati sebelum membahagikan harta pusakanya. Sesungguhnya memberikan kepada yang hak adalah perlakuan seorang yang mukmin.

AL-WISOYAH

Soalan:

Saya mempunyai persoalan tentang harta pusaka. Saya baru memeluk Islam lima bulan lalu tetapi keluarga saya masih menganut agama asal mereka. Hubungan saya dengan keluarga masih baik dan sebagai seorang yang suka merancang masa hadapan, saya ingin tahu tentang pembahagian harta pusaka bagi seorang Muslim kepada saudaranya yang bukan Islam. Bolehkah saya meninggalkan harta kepada ibubapa saya walaupun berlainan agama?

Sean Murad Abdullah
Klang

Jawapan:

Walaupun berbeda agama, talian darah tetap utuh. Tiada ada yang dapat memisahkan hubungan kekeluargaan saudara dan ibubapa.

Sememangnya jika mengikut sistem pembahagian faraid, saudara mara yang berlainan agama tidak tersenarai sebagai waris yang sah. Namun, harus diingat bahawa pembahagian secara faraid bukanlah satu-satunya cara pembahagian harta pusaka dalam Islam.

Melihat kepada persoalan saudara, kami ingin mencadangkan saudara merujuk kepada wasiat dan juga penyediaan suratcara amanah.

Surah al-Nisa ayat 11 menyatakan pembahagian itu ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.

Maka, jika ada wasiat, haruslah ditunaikan dahulu sebelum harta pusaka difaraidkan. Dalam isu pemberian wasiat, menurut pandangan ulama-ulama Sunni, dua syarat yang perlu diikuti ialah:

(i) harta yang diwasiatkan tidak boleh melebihi 1/3 daripada jumlah harta si mati; dan

(ii) tidak boleh diwariskan kepada waris yang tersenarai mengikut faraid. 

Oleh itu, saudara boleh meninggalkan wasiat kepada ibubapa saudara sebanyak 1/3 daripada jumlah keseluruhan harta.

Manakala jika saudara mahu meninggalkan jumlah harta yang melebihi 1/3 kepada ibubapa, ataupun saudara mahu mencari alternatif lain, penyediaan al-Wisoyah atau surat cara ikatan amanah merupakan jalan penyelesaiannya.

Konsep amanah ini sama dengan konsep amanah (trust) undang-undang sivil. Apabila harta atau kepentingan terhadap harta ini diletakkan di bawah jagaan pemegang amanah, maka harta atau kepentingan terhadap harta ini bukan lagi dikira sebagai harta pusaka. Pemegang amanah berhak melaksanakan sepenuhnya terma-terma yang ditetapkan dalam suratcara amanah tersebut.

Tidak ada sesiapa yang boleh membantah kehendak pemberi amanah apabila dia ingin melaksanakannya. Selaku pemilik harta dan pemberi amanah, saudara mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk membuat sebarang syarat bagi memastikan niat saudara terlaksana. Contohnya, jika saudara ingin meletakkan sebuah rumah sebagai amanah atas nama ibubapa saudara. Saudara boleh melantik seseorang atau pun satu institusi pemegang amanah seperti bank sebagai pemegang amanah. Saudara boleh juga menetapkan bahawa selama saudara masih hidup, saudara masih lagi boleh mendapat faedah daripada rumah tersebut. Faedah daripada rumah tersebut akan hanya dinikmati oleh ibubapa setelah saudara meninggal.

Jika ada perubahan yang berlaku di masa hadapan, syarat-syarat dalam al-Wisoyah boleh saudara ubah.

Adalah penting wasiat dan al-Wisoyah dibuat secara bertulis untuk menangkis kesulitan dan keraguan. Saudara bolehlah merujuk kepada badan-badan professional dalam menyediakan dokumen-dokumen ini.

ISTERI BERHAK TERHADAP HARTA SEPENCARIAN DAN FARAID

Soalan:

Baru-baru ini kami adik-beradik dipanggil berbincang tentang pembahagian harta jika sekiranya ayah kami meninggal dunia. Ayah menyatakan hasratnya untuk mewasiatkan harta peninggalannya kepada kami tiga beradik semua sama rata. Namun, abang-abang saya tidak bersetuju. Katanya, jika mengikut faraid dia seharusnya mendapat bahagian yang lebih daripada saya (anak perempuan). Tetapi ayah berkeras mahu meneruskan niatnya membahagikan harta sama rata dan memaksa abang-abang saya bersetuju. Saya ada terdengar yang wasiat seperti ini tidak sah jika waris-waris tidak setuju? Betulkah ini? (Adakah wasiat seperti ini tidak sah jika waris-waris tidak setuju?

Arissa Mubaraq,
Shah Alam.

Jawapan:
Kini, dokumen wasiat semakin diterima oleh masyarakat sebagai salah satu alternatif perancangan harta yang mampu menzahirkan hasrat pewasiat tentang agihan hartanya yang akan dilaksanakan selepas kematiannya.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah menyatakan betapa pentingnya wasiat ini. Ayat 180 yang bermaksud, “Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta, supaya membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa."

Namun begitu masyarakat perlulah tahu apakah fungsi dan kesan sesuatu wasiat itu supaya dapat memenuhi tujuan sebenar orang yang berwasiat.

Perkataan wasiat berasal daripada “wassa" yang bermaksud menjanjikan, memerintahkan atau memberi hak milik selepas kematian. Para fuqaha’ pula mentakrifkan wasiat sebagai satu pemberian oleh seseorang kepada pihak lain setelah kematian pewasiat.

Manakala Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999 pula mendefinisikan wasiat sebagai iqrar seseorang dibuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manafaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud yang dibenarkan menurut hukum syara’, selepas dia mati.

Menurut pendapat empat imam Sunni, wasiat tidak boleh diberikan kepada ahli waris, kecuali waris-waris yang lain bersetuju. Malah, jumlah wasiat juga dihadkan kepada satu pertiga sahaja. Jika pewasiat mahu mewasiatkan lebih daripada jumlah yang ditetapkan, dia perlulah mendapatkan persetujuan daripada kesemua warisnya.

Oleh itu, sememangnya wasiat itu akan dianggap tidak sah jika abang-abang saudari tidak bersetuju terhadap pembahagiannya.

Namun begitu, wasiat bukanlah satu-satunya cara membahagikan harta pusaka. Satu lagi cara yang boleh saudari cadangkan kepada ahli keluarga ialah al-Wisoyah yang mana merupakan satu konsep amanah yang diperakui perundangan Islam.

Konsep amanah ini sama sahaja dengan konsep amanah (trust) undang-undang sivil. Apabila sesuatu harta atau kepentingan terhadap harta ini diletakkan di bawah jagaan pemegang amanah, maka harta atau kepentingan terhadap harta ini bukan lagi dikira sebagai harta pusaka.

Sebaliknya, pemegang amanah itu berhak sepenuhnya melaksanakan terma-terma yang ditetapkan dalam suratcara amanah tersebut.

Lagi pula, tidak ada sesiapa yang boleh membantah kehendak pemberi amanah apabila dia ingin melaksanakannya. Bapa saudari, selaku pemilik harta, mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk membuat sebarang syarat bagi memastikan niatnya terlaksana. Kelebihannya pula, bapa saudari boleh mengubah syarat-syarat yang ditetapkan jika di aberubah fikiran kemudian hari.

Adalah elok sekiranya al-Wisoyah ini dibuat secara bertulis agar tidak menimbulkan kesulitan dan keraguan di kemudian hari. Silalah rujuk kepada badan-badan professional yang menyediakan perkhidmatan ini.

Nota:
Di Negara Lubnan dan Mesir yang menerima pakai mazhab Hanafi, Maliki, Shafie dan Hanbali dalam hal ehwal pembahagian wasiat, kini menerima pakai pendapat mazhab Jaafari yang membenarkan waris-waris mendapat bahagian dalam peninggalan wasiat, walaupun ahli waris yang lain tidak bersetuju. Tetapi mazhab Jaafari masih menetapkan had harta pusaka yang boleh diwasiatkan ialah satu pertiga sahaja .

Panel Peguam Sisters In Islam.

HARTA PUSAKA SUAMI DIBAHAGI IKUT FARAID

Soalan:

Suami saya telah meninggal dunia dua bulan lepas dan dia ada meninggalkan harta pusaka. Adakah ibu mertua saya mempunyai hak ke atas harta pusaka tersebut? Berapa pula bahagian yang tinggal untuk saya dan dua orang anak perempuan saya?

Selain itu, suami saya masih berhutang duit mas kahwin. Masih bolehkah saya tuntut mas kahwin tersebut?

Emma Syafawati Wahab,
Ipoh, Perak.

Jawapan:
Kami di Sisters In Islam mengucapkan takziah kepada puan sekeluarga. Semoga roh suami puan dicucuri rahmat Allah S.W.T.

Apabila ada ahli keluarga yang meninggal dunia, sudah tentu kita dihadapi dengan persoalan pembahagian harta pusaka. Seperti yang kita ketahui, Malaysia secara amnya mengambil pendapat Mazhab Shafii dalam hal perundangan Islam.

Maka, menurut Mazhab Shafii, terdapat beberapa peringkat dalam menguruskan pembahagian harta pusaka, sebelum boleh dibahagikan mengikut sistem faraid, kepada ahli-ahli waris.

Peringkat pertama, hendaklah diselesaikan hutang yang masih ada ke atas harta peninggalannya. Contohnya, jika arwah suami puan ada meninggalkan rumah, atau tanah, atau pun kereta, manakala pinjaman bank terhadap harta-harta tersebut masih belum selesai, hutang ini harus diselesaikan terlebih dahulu.

Peringkat keduanya pula, harta pusaka tersebut akan diguna untuk perbelanjaan pengurusan jenazah dan pengkebumian arwah suami.

Bagi peringkat ketiga, segala hutang piutang arwah hendaklah diselesaikan. Jika masih ada hutang di bank, hutang sesama manusia, perlulah dibayar.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa harta sepencarian merupakan antara hutang piutang yang perlu dilunaskan kepada isteri arwah, sebelum harta pusakanya dibahagikan mengikut sistem faraid. Bahagian yang puan akan dapat bergantung kepada sumbangan kewangan atau tenagausaha yang puan telah berikan dalam memperolehi harta tersebut.

Jika puan ada mengeluarkan wang untuk mendapatkan harta tersebut, maka, puan berhak mendapat separuh daripada harta sepencarian itu. Namun, jika puan tiada memberi sumbangan kewangan, tetapi mengeluarkan tenagausaha dalam menjaga dan memelihara harta tersebut, sebagai contoh, puan mengurus dan mengusahakan sebidang tanah sehingga nilai tanah itu meningkat berbanding nilai asalnya, maka puan berhak mendapat 1/3 nilai tanah tersebut, sebagai harta sepencarian.

Mas kahwin yang masih terhutang merupakan hutang juga. Puan boleh menuntut nilai mas kahwin yang masih belum dibayar daripada harta pusakanya untuk melangsaikan hutangnya terhadap puan. Bukan setakat itu sahaja, puan juga boleh menuntut pembayaran balik apa-apa hutang lain yang arwah suami masih belum bayar kepada puan, sebagai contohnya, jika arwah suami tidak membayar nafkah kepada puan, jika dia meminjam wang puan untuk membeli harta dan sebagainya.

Pada peringkat keempatnya, harta peninggalan arwah suami puan akan dibahagikan menurut wasiatnya jika ada. Tetapi jumlah harta yang boleh diwasiatkan hanya sebanyak 1/3 daripada harta peninggalannya.

Akhir sekali, harta pusaka yang masih berbaki akan dibahagikan mengikut sistem faraid.

Pembahagian harta pusaka secara faraid adalah pembahagian harta pusaka di mana waris-waris arwah suami puan yang berhak akan mendapat bahagian tertentu. Ini berdasarkan ayat 7 Surah An-Nisa yang bermaksud: “Bagi lelaki ada hak bahagian daripada harta peninggalan ibu bapa dan kerabatnya dan bagi wanita ada hak bahagian daripada harta peninggalan ibu bapa dan kerabatnya"

Berhubung dengan soalan puan, ibu arwah suami puan ada hak terhadap sebahagian harta peninggalannya yang akan difaraidkan. Ini berlandaskan ayat 11 Surah An-Nisa yang bermaksud: ”…dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: seperenam daripada harta yang ditinggalkan oleh si mati." Berdasarkan ayat ini, ibu mertua puan mempunyai hak sebanyak 1/6 daripada harta pusaka suami puan.

Sementara itu, bahagian yang berhak diwarisi oleh puan pula digariskan di dalam ayat 12 Surah An-Nisa yang bermaksud: “Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula seperempat dari harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak, tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian kamu ialah seperlapan dari harta yang ditinggalkan".

Memandangkan puan mempunyai anak, bahagian yang akan difaraidkan kepada puan adalah 1/8. Tentang bahagian harta pusaka yang bakal diwarisi anak-anak perempuan puan pula, mereka akan dapat sebanyak 1/2 kerana puan tiada anak lelaki.

Sebagai kesimpulannya, puan berhak mendapat tiga bahagian daripada pembahagian harta pusaka arwah suami, yakni sebahagian daripada harta sepencarian, hutang mas kahwin dan bahagian yang puan berhak dapat di bawah sistem faraid.

Panel Peguam Sisters In Islam.

AMANAH AYAH TENTANG HARTA PUSAKA

Soalan:

Saya merupakan anak bongsu daripada lapan beradik. Ayah saya telah meninggal dunia baru-baru ini. Sebelum meninggal dunia, dia telah memindahkan pemilikan semua harta atas nama saya.

Harta tersebut adalah lapan ekar tanah ladang getah (Felda), satu perempat ekar tapak rumah termasuk rumah dan dua ekar tanah ladang kelapa sawit (Felda).

Bagaimanapun, dia telah berpesan kepada saya, selagi dia dan ibu masih hidup, hasil ladang tidak akan diagihkan kepada sesiapa pun dan sekiranya dia meninggal dunia terlebih dahulu, hasil ladang tersebut diberikan kepada ibu sepenuhnya. Tidak ada sesiapa yang berhak mempertikaikan amanah ayah ini kerana, menurutnya, sayalah orang yang bertanggungjawab melaksanakannya.

Sekiranya ibu pula meninggal dunia, saya sebagai anak yang telah diamanahkan haruslah membahagikan harta seperti berikut:

1. Hasil tanah ladang getah (lapan ekar) hendaklah dibahagi sama rata kepada tujuh orang adik beradik (nisbah satu ekar seorang) setelah ditolak perbelanjaan bagi pengurusan ladang, upah pekerja dan lain-lain.

2. Hasil untuk satu ekar yang lebih pula hendaklah dibuat sedekah atau amal jariah yang lain bagi pihak arwah ayah dan ibu.

3. Tanah tersebut tidak dibenarkan dijual kepada sesiapa pun kecuali atas arahan pihak Felda.

Persoalan saya ialah:

1. Perlukah ibu saya membahagikan hasil ladang kepada anak-anak buat masa ini?

2. Adakah pembahagian secara faraid perlu dijalankan dalam masalah ini dan adakah saya perlu memanggil adik-beradik bagi menerangkan perkara sebenar dan amanah yang telah ditinggalkan oleh arwah ayah?

3. Adakah harta tersebut menjadi harta pusaka?

Siti Muslimah,
Pahang.

Jawapan:
Pembahagian harta pusaka dalam keluarga bertujuan untuk memastikan supaya kebajikan mereka terjaga, lebih-lebih lagi jika yang meninggal itu ketua keluarga. Kami berpendapat bahawa ayah saudari mengamanahkan hartanya kepada saudari kerana dia percaya bahawa saudari seorang yang jujur dan ikhlas. Kami juga percaya bahawa niat ayah saudari adalah demi kepentingan dan kebajikan keluarganya.

Menurut undang-undang tanah negara, begitu juga dengan undang-undang Islam tentang harta pewarisan, harta yang menjadi pusaka adalah harta yang masih dimiliki oleh si mati pada masa dia meninggal dunia. Memandangkan harta-harta yang menjadi persoalan sudah pun dipindah milik kepada saudari semasa arwah masih hidup, ia bukanlah harta peninggalan. Oleh itu, harta tersebut tidak tertakluk kepada faraid. Namun, seiring dengan pindah milik itu ada amanah yang perlu dilaksanakan oleh saudari.

Amanah, menurut istilah undang-undang merupakan satu instrument yang memindahkan hak milik hartanya kepada individu atau institusi tertentu dengan arahan spesifik bagaimana harta itu perlu diuruskan dan berapa lama ia harus diuruskan sebegitu.

Melihat kepada kes saudari ini, walaupun tiada dokumen bertulis berkenaan dengan pengamanahan itu, saudari bolehlah memanggil semua adik-beradik untuk berbincang tentang amanah yang ditinggalkan dan saudari telah diberi tanggungjawab untuk melaksanakannya.

Melihat kepada amanah itu, saudari bertanggungjawab memastikan hasil ladang daripada harta yang ditinggalkan oleh arwah ayah diberikan kepada ibu.

Berbincanglah dengan adik-beradik dan nyatakan tujuan sebenar arwah ayah meninggalkan amanah sebegini adalah untuk menjaga kepentingan dan kebajikan ibu. Malah, amanah yang ditinggalkan juga supaya ibu mempunyai tempat bergantung hidup tanpa mengharapkan bantuan daripada anak-anak dan orang lain.

Panel Peguam Sisters In Islam.

HARTA SEPENCARIAN BETULKAH DITOLAK DAHULU SEBELUM FARAID?

Soalan:

Abang ipar saya telah meninggal dunia dan ada meninggalkan beberapa harta. Suami saya telah diamanahkan untuk menguruskan segala peninggalannya. Masalahnya, apabila suami saya ingin menguruskan secara faraid, isteri arwah (kakak ipar) menyatakan bahawa segala jumlah harta peninggalan haruslah ditolak dahulu harta sepencarian.

Pertanyaan saya:

1. Adakah betul harta tersebut harus dibahagi dua dahulu kemudian baru di faraidkan? Kakak ipar tidak bekerja dan rasanya tiada antara harta di atas yang boleh dikira sebagai harta sepencarian.

2. Insurans takaful – adakah menjadi milik penama sepenuhnya (atas nama kakak ipar) dan tidak menjadi harta pusaka?

3. Adakah wang simpanan dalam akaun anak-anak (akaun bersama) merupakan harta pusaka juga?

4. Bagaimanakah cara terbaik untuk menguruskan kesemua harta peninggalan di atas?

Daliyah Abu,
Subang, Selangor.

Jawapan:
Pengurusan harta pusaka bertujuan untuk memberikan kepada yang berhak dan untuk membantu waris yang ditinggalkan. Lebih-lebih lagi bagi membantu isteri arwah untuk membesarkan anak-anaknya seorang diri.

Syarak telah menetapkan apabila seseorang itu meninggal, hartanya akan dibahagikan mengikut pembahagian faraid. Ayat-ayat 7, 11, 12 dan 176 dalam surah al-Nisaa’ menggariskan panduan berkenaan waris-waris yang berhak dan juga bahagian-bahagian yang harus diperoleh setiap waris.

Sebahagian daripada surah al-Nisaa’ ayat 12 yang bermaksud, “Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula seperempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah seperlapan dari harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang kamu."

Sebelum harta pusaka dibahagikan mengikut pembahagian faraid, kakak ipar puan berhak untuk menuntut harta sepencarian terlebih dahulu. Kitab Bughyatul Mustarsyidin oleh Sayyid Abdul Rahman bin Muhammad bin Hussain bin Umar, mukasurat 159, menyatakan bahawa:
“Telah bercampur harta suami isteri dan tidak diketahui harta siapa yang lebih banyak – tidak ada tanda-tanda yang dapat membezakan harta salah seorangnya – kemudian berlaku perpisahan antara kedua-duanya ataupun mati, maka tidak sah salah seorang daripada mereka (suami isteri) atau warisnya memerintah (mengguna) sesuatu daripada harta itu sebelum dapat dibezakan ataupun sebelum adanya persetujuan antara pihak-pihak (sulh), kecuali bersama-sama dengan pemiliknya oleh kerana tidak ada murajjih (tanda yang membezakan diantara harta-harta berkenaan)."

Oleh itu, walaupun tidak bekerja, setiap kerja rumah yang telah dicurahkan juga diambil kira sebagai sumbangan kepada harta sepencarian. Kakak ipar puan berhak ke atas harta sepencarian sebelum dibahagikan mengikut pembahagian faraid. Malah dia juga masih berhak terhadap satu perlapan daripada harta pusaka arwah suaminya.

Berkenaan dengan insurans takaful, secara amnya, penama dalam polisi itu akan mendapat faedah daripadanya. Tetapi, jika ada antara waris yang sah mempertikaikan hak penama ke atas polisi tersebut, maka pembahagian secara faraid akan dilakukan. Penama polisi akan menjadi pentadbir pembahagian tersebut.

Wang simpanan dalam akaun anak-anak arwah merupakan akaun amanah. Kami percaya bahawa tujuan arwah membuka akaun untuk anak-anaknya adalah supaya masa depan mereka terjamin. Oleh itu, wang simpanan tersebut merupakan hak mutlak anak-anak arwah.

Kakak ipar puan boleh meminta supaya pihak bank menukar nama arwah kepada namanya supaya senang dia menguruskan akaun anak-anaknya kelak. Prosedur penukaran nama ini bergantung kepada bank yang berkenaan.

Cara yang terbaik untuk menguruskan harta pusaka peninggalan arwah tentulah dengan mencapai satu kata sepakat. Malah, untuk mengelakkan sebarang salah faham, dua orang boleh dilantik sebagai pentadbir harta pusaka arwah. Oleh itu, selain suami puan, kakak ipar juga sebenarnya lebih berhak untuk menjadi pentadbir harta pusaka arwah suaminya. Sekurang-kurangnya, harta peninggalan arwah dapat membantunya sedikit sebanyak untuk memulakan hidup baru yang lebih mencabar, dan juga demi anak-anaknya.

Panel Peguam Sisters In Islam.

BOLEHKAH KAEDAH MUAFAKAT DIGUNAKAN?

Soalan:

Arwah nenek saya mempunyai harta peninggalan iaitu dua bidang tanah RM54,000 setelah dinilai oleh Pejabat Tanah Rembau baru-baru ini. Semasa perbicaraan, Pegawai Pembahagi Harta Pusaka Kecil telah menyerahkan kepada keluarga untuk berunding sama ada hendak membahagikan harta mengikut sistem faraid (waris terdiri daripada tiga lelaki dan empat perempuan) atau cara pembahagian lain yang dipersetujui oleh semua waris.

Kami sekeluarga telah bersetuju untuk meletakkan satu nama pewaris kerana penama itu telah bersetuju untuk membeli tanah tersebut dan wang itu akan dibahagikan kepada keluarga yang lain. Soalan saya bagaimana cara yang betul pembahagian wang akan dibayar oleh penama tadi pada ahli keluarga yang lain. Adakah perlu menggunakan kaedah hukum syarak sedangkan pada fahaman saya, semua ahli keluarga telah menggunakan kaedah muafakat dengan persetujuan bersama ahli keluarga membenarkan satu penama. Mohon penjelasan daripada SIS. Terima kasih.

Arman Saad,
Negeri Sembilan.

Jawapan:

Ayat-ayat perwarisan yang diturunkan dan terdapat dalam surah al-Nisa dijadikan pedoman oleh umat Islam pada masa kini dalam pembahagian harta pusaka. Intipati ayat-ayat 11, 12 dan 176 ini merupakan asas ilmu faraid, iaitu sistem pembahagian harta pusaka. Ayat-ayat ini berisi aturan dan tatacara berkenaan dengan hak dan pembahagian warisan.

Namun begitu, ini hanyalah panduan. Jika terdapat persetujuan antara semua waris tentang pembahagian harta, eloklah dilaksanakan mengikut persetujuan itu.

Oleh itu, adalah tepat apabila Pentadbir Tanah Bahagian Harta Pusaka Kecil itu menasihatkan keluarga saudara sama ada untuk membuat pembahagian harta pusaka mengikut pembahagian sistem faraid ataupun membahagikannya sama rata, tertakluk kepada persetujuan semua waris yang terlibat. Ini kerana Islam amat menggalakkan muafakat antara umatnya.

Malah, berdasarkan iman mereka, orang Muslim sentiasa digalakkan memberi lebih daripada apa yang telah ditentukan oleh hukum syarak sebagai satu hak secara sukarela. Dalam surah al-Baqarah ayat 237, firman Allah yang bermaksud, “Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal-menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa. Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri: Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan."

Persetujuan saudara dan keluarga untuk melantik seorang sebagai penama ini diistilahkan dalam perundangan sebagai melantik seorang pentadbir harta pusaka. Ini bermakna pentadbir ini diberi kuasa untuk membahagikan kesemua harta pusaka yang ditinggalkan oleh nenek saudara kepada waris yang berhak, sama ada hendak mengikut sistem pembahagian faraid, ataupun mana-mana cara yang telah dipersetujui oleh semua waris.

Nampaknya saudara sekeluarga telah pun mencapai kata sepakat bagaimana mahu membahagikan harta pusaka tersebut. Berbincang secara baik dan mencapai satu kata putus adalah sebaik-baiknya untuk mengelakkan pertelingkahan sesama saudara. Tidak ada masalah jika harta pusaka tersebut dibahagikan menurut persetujuan yang telah dicapai.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab pentadbir yang telah dilantik itu untuk membahagikan harta mengikut apa yang telah dipersetujui. Sama ada ingin membahagikan tanah mengikut bahagian-bahagian yang dipersetujui ataupun membahagikan wang mengikut nilai bahagian yang telah dipersetujui.

Jika ingin membahagikan tanah mengikut bahagian-bahagian yang telah dipersetujui, maka tanah tersebut hendaklah ditukarkan hak miliknya kepada nama-nama yang berhak. Geran tanah hendaklah dikemukakan kepada Pejabat Tanah Rembau untuk proses pendaftaran.

Jika ingin membahagikan wang mengikut nilai bahagian tanah yang telah dipersetujui, dan bersetuju menjualkan tanah tersebut kepada pentadbir harta, maka hak milik tanah itu dipunyai oleh pentadbir itu seorang sahaja. Waris-waris lain, setelah harga bahagian tanah itu dibayar, tidak mempunyai hak ke atas tanah tersebut.

Memandangkan saudara menetap di Negeri Sembilan, Akta Harta Pesaka Kecil (Pembahagian) 1955 memperuntukkan satu bahagian khas bagi Negeri Sembilan, iaitu Bahagian Tiga, yang menekankan tentang undang-undang adat. Akta ini menerima pakai pembahagian harta pusaka mengikut adat pepatih.

Maka bukan sahaja saudara sekeluarga boleh mengikut pembahagian menurut sistem faraid ataupun apa yang telah dipersetujui, malah saudara boleh juga mengikut adat pepatih. Adalah lebih baik jika persetujuan ini direkodkan di hadapan Pentadbir Tanah Bahagian Harta Pusaka Kecil agar tiada masalah timbul kelak.

Panel Peguam Sisters In Islam.

JOINTLY-OWNED MATRIMONIAL PROPERTY DEDUCTED BEFORE ESTATE DIVIDED VIA FARAID?

Question:

My brother-in-law passed away and left behind some properties. My husband was named as administrator of his estate. A problem arose when my husband was going to have the properties divided via faraid: the deceased’s wife (my sister-in-law) claimed that an amount representing jointly-owned matrimonial property has to be deducted from the entire estate before it is distributed. My questions are as follows:

Is it true that the estate of my brother-in-law has to be halved before it is to be divided via faraid? My sister-in-law is unemployed and I do not think any of the properties my brother-in-law left behind can be deemed as jointly-owned matrimonial property.

With regard to Takaful Insurance, will this be distributed fully to the policy’s nominee (under my sister-in-laws name) and is not calculated as part of the deceased’s estate?

Are the savings within their children’s accounts (joint account) considered as part of the deceased’s estate?

What would be the best way in which to administer all of the above properties?

Daliyah Abu,
Subang, Selangor.

Answer:

The aim of administrating a deceased’s estate is to pass to those who are entitled to it and help the beneficiaries left behind, especially in order to relieve the burden of the deceased’s wife in raising her children all by herself.

According to Hukum Syarak, the estate of a deceased person is to be divided via faraid after the payment of debts and legacies. Verses 7, 11, 12 and 176 of Surah an-Nisaa’ provide guidelines as to the persons who may be the beneficiaries to the deceased’s estate as well as the portion to which each of them are entitled.

Part of verse 12 of Surah An-Nisaa’ which means, “In what ye leave, their (your widows) share is a fourth, if ye leave no child; but if ye leave a child, they (your widows) get an eighth; after payment of legacies and debts.”

Before the estate of a deceased can be divided via faraid, your sister-in-law is entitled to claim her share of jointly-owned matrimonial property. Kitab Bughyatul Mustarsyidin by Sayyid Abdul Rahman bin Muhammad bin Hussain bin Umar, at page 159, states that:

“The properties of the husband and wife have been mixed up and it is not known who owns the larger proportion, there is no method that can be used to determine which property belongs to who and then where occurs separation between the two or death, therefore it is not valid for either of them (spouse) or the beneficiary to administer (use) something of the estate before the property can be differentiated or before there has been an agreement between the parties (sulh), unless it is done together with its owner because there is no murajjih (signs to differentiate the ownership of the same)."

Therefore, even though your sister-in-law is unemployed, every bit of housework she had put in during the duration of the marriage is deemed to be her contribution towards joint-matrimonial property. Your sister-in-law is entitled to joint-matrimonial property before the estate is divided via faraid. Moreover, she is also entitled to one-eighth of the estate being her share under faraid after there has been division of the estate for joint-matrimonial property.

On the issue of Takaful Insurance, generally, the nominee of the policy will be the only beneficiary entitled to the insurance monies. However, if there are legitimate beneficiaries that contest the rights of the nominee named under the policy, then the insurance will be divided via faraid.

The saving in the accounts of the deceased’s children are considered to be part of a trust account. We believe that it was the deceased’s intention to open an account for his children in order to ensure they would not face financial difficulties in their future. Hence, those monies belong solely to the deceased’s children.

Your sister-in-law can require the bank to change her husband’s name on the account to hers on all the relevant documents to facilitate the management of her children’s accounts. The procedure to make the said change depends on the bank itself.

The best way to manage the deceased’s estate is of course to attain a collective agreement among all parties involved. In fact, in order to avoid misunderstandings and disagreements, two persons can be appointed as administrator of the estate. Therefore, aside from your husband, your sister-in-law is even more entitled to administer the estate of her late husband. At the very least, the property her husband left behind could be used to help her start a new life that is even more challenging, and for the sake of her children.

Panel lawyers, Sisters In Islam.

MADU MUNCUL TUNTUT HARTA

Soalan:

Selepas suami saya meninggal baru-baru ini saya mendapat tahu bahawa dia mempunyai isteri kedua. Bayangkanlah betapa hancurnya hati saya. Isteri keduanya datang untuk membuat tuntutan harta pusaka pula tu. Dia menyatakan bahawa menurut faraid, anak lelakinya akan mendapat bahagian yang besar. Mentang-mentanglah anak saya dua-dua perempuan. Tetapi suami saya ada meninggalkan wasiat. Dalam wasiatnya, tiada pun tertulis nama perempuan itu dan anaknya. Satu lagi masalah ialah perempuan itu menyatakan bahawa hanya nama dia diletakkan sebagai waris KWSP arwah. Bila saya tanya KWSP, memang diletakkan nama perempuan itu dan anak lelakinya sebagai waris. Jadi, macam mana dengan pembahagian harta pusaka ini?

Saripah Adawiyyah,
Kluang

Jawapan:

Suami yang menyembunyikan tentang perkahwinan kedua mereka sebenarnya hanya mengundang masalah. Walaupun mereka memberikan alasan tidak mahu melukakan hati isteri pertama, namun akhirnya kebenaran akan terbongkar.

Adalah menyedihkan bagi seorang isteri untuk mengetahui perkara sebenar dengan cara ini. Sudahlah sedih kehilangan suami belum hilang, terpaksa pula berhadapan dengan perebutan harta dengan madu yang tiba-tiba muncul.

Terdapat dua persoalan yang dikemukakan oleh puan di sini. Pertama tentang kedudukan wasiat arwah suami dan kedua tentang hak puan dan anak-anak kepada wang KWSP arwah.

Kedudukan wasiat dari hukum syarak boleh kita lihat dalam ayat 11 surah al-Nisaa yang bermaksud,

“Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah seperdua (separuh) dari harta itu.

Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: seperenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibubapanya, maka bahagian ibunya ialah sepertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah seperenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayarkan hutangnya."

Pada dasarnya perundangan di Malaysia mengguna pakai sepenuhnya hukum faraid dalam pembahagian harta pusaka orang muslim. Oleh itu, menurut ayat di atas, syarak mengenal pasti wasiat sebagai salah satu cara pembahagian harta.

Walaupun dalam ayat al-Quran di atas dengan jelas tidak menghadkan jumlah wasiat yang harus diberikan oleh orang muslim, namun sistem perundangan Islam di Malaysia memperuntukkan had ke atas wasiat ini. Muslimin di Malaysia hanya dibenarkan mewasiatkan satu pertiga daripada hartanya untuk wasiat dan penerima wasiat itu juga hendaklah bukan daripada kalangan waris.

Ini adalah berdasarkan pendapat ulama Sunni yang mendasarkan kesimpulan mereka daripada hadith Rasulullah s.a.w (diriwayatkan oleh Sunan Abu Dawud) yang telah menghadkan wasiat kepada satu pertiga. Hadith ini mengenai sahabat Baginda yang hanya mempunyai seorang anak perempuan dan ingin mewasiatkan seluruh hartanya bagi tujuan khairat kebajikan am.

Rasulullah s.a.w kemudiannya telah bersabda bahawa bahagian yang boleh diwasiatkan itu adalah satu pertiga supaya anak perempuannya tidak dibiarkan tanpa harta.

Oleh itu, wasiat yang ditinggalkan oleh arwah suami puan boleh dicabar oleh waris-waris lain yang berhak. Malah mereka boleh menuntut supaya harta itu dibahagikan secara faraid.

Hukum faraid
Manakala bagi wang KWSP arwah, telah difatwakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia bahawa penama yang tercatat dalam borang KWSP merupakan wasi atau pentadbir harta sahaja. Majlis Fatwa juga telah memutuskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab penama untuk membahagikannya menurut hukum faraid.

Di KWSP, apabila satu kematian telah diadukan, maka atas permohonan penama yang bertindak sebagai pentadbir harta, wang tersebut akan dikeluarkan kepada penama. Adalah menjadi tanggungjawab penama kemudiannya untuk mengagih-agihkan harta tersebut mengikut hukum faraid.

Puan sebenarnya hanya boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap penama itu supaya mengagihkan harta tersebut mengikut hukum faraid. Puan tidak boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap KWSP untuk menghalangnya mengeluarkan wang tersebut kepada penama. Ini kerana KWSP tidak bertanggungjawab atas urusan pembahagian harta pusaka ahlinya.

Mengikut perundangan Malaysia, muslimin adalah tertakluk kepada hukum faraid dalam pembahagian harta pusaka. Walaupun adanya wasiat ataupun penama, hukum faraid tetap diguna pakai.

Harus diingat juga bahawa harta sepencarian hendaklah ditolak terlebih dahulu daripada harta pusaka arwah suami. Puan dan isteri kedua masing-masing berhak ke atas harta sepencarian yang telah diusahakan bersama-sama sepanjang tempoh perkahwinan.

Bahagian lebih yang diperuntukkan mengikut hukum faraid diberikan kepada anak lelaki adalah sangat berkait rapat dengan tanggungjawab seorang lelaki terhadap keluarganya. Oleh itu, menjadi tanggungjawab anak lelaki arwah suami puan untuk menjaga kebajikan kedua-dua keluarga. Adalah menjadi syariat Islam bahawa harta yang diberikan hendaklah digunakan ke atas balu dan anak-anak arwah.

Tanggungjawab ini amat diambil berat dan jika anak lelaki itu enggan untuk bertanggungjawab, undang-undang memperuntukkan bahawa tindakan boleh diambil di Mahkamah bagi satu tuntutan nafkah. Kita boleh rujuk kepada seksyen 60 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Johor) 1990 yang memberi kuasa kepada Mahkamah mengeluarkan perintah membayar nafkah.

Dalam keadaan ini, lebih elok sekiranya puan sekeluarga dapat mencapai satu kata sepakat untuk membahagikan harta peninggalan arwah dengan cara yang baik. Ini sebenarnya untuk kebaikan semua pihak lebih-lebih lagi untuk masa depan anak-anak.

Panel Peguam Sisters In Islam.

TUNTUT HARTA – WAJARKAH AMBIL TINDAKAN?

Soalan:

Pada 1/5/05, ibu kandung saya telah meninggal dunia, meninggalkan duda berusia 78 tahun, 2 anak lelaki dan 4 anak perempuan termasuk saya.

Arwah ibu telah membeli apartment atas namanya seorang, secara tunai tetapi hanya membayar RM500 (deposit) sebelum ditimpa sakit jantung. Baki tersebut telah dijelaskan dan didahulukan oleh saya dan anak saya bagi mengelakkan arwah ibu daripada dibebankan dengan bayaran faedah yang tinggi.

Wang ini bukan hadiah tetapi hutang kepada ibu. Malangnya anak-anak yang lain, walaupun tahu akan pendahuluan wang pembelian tersebut, sekarang mahu menuntutnya sebagai harta pusaka melalui faraid. Soalannya:

(1) Bolehkah bapa saya menuntut sebahagian daripada harta? Adakah akan memberi kesan kepada tuntutan faraid?

(2) Bagaimana dengan hutang ke atas pembelian rumah oleh arwah? Segala bukti pembelian dan perbelanjaan ke atas harta berkenaan memang di tangan saya termasuk dokumen perjanjian jual-beli. Wajarkah saya berbuat demikian?

(3) Bolehkah anak lelaki masing-masing menerima 2/3 sedangkan mereka tidak memikul tanggungjawab membela bapa atas alasan bapa tidak waras? Bapa mengidap epilepsi dan darah tinggi tetapi doktor mengesahkan bapa saya masih waras dan sihat.

(4) Bolehkah saya mengambil tindakan undang-undang terhadap adik beradik saya yang lain kerana menafikan hak saya dan bapa sebagai waris yang sah?

Sofea Amirul,
Setiawangsa, Kuala Lumpur

Jawapan:
Pembahagian harta secara faraid adalah salah satu cara pembahagian harta di dalam Islam. Namun, ramai yang kurang faham bahawa pembahagian secara faraid ini hanya boleh dilakukan setelah selesai segala hutang piutang dan wasiat.

Begitu juga dengan hutang piutang yang ditinggalkan oleh si mati. Ia mestilah dilangsaikan terlebih dahulu sebelum harta pusaka boleh dibahagikan mengikut hukum faraid.

Maka, tidak salah untuk puan menuntut supaya hutang rumah arwah terhadap puan dilunaskan terlebih dahulu.

Oleh itu, wang yang didahulukan oleh puan dan anak puan dalam pembelian apartment arwah boleh dikira sebagai hutang. Dengan bukti-bukti yang ada, sudah tentu akan menguatkan kes puan.

Bapa puan boleh mengenal pasti harta-harta yang dianggap harta sepencarian dan membuat permohonan tuntutan harta sepencarian di mahkamah syariah.

Apa yang bapa puan perlu buktikan di sini adalah, bapa puan ada membuat sumbangan terhadap perolehan harta tersebut dan sebanyak mana sumbangan bapa puan ke atas harta itu.

Jika bapa puan ada membuat apa-apa bayaran terhadap harta sepencarian tersebut, maka bukti-bukti seperti resit-resit pembayaran, arahan potongan gaji, perjanjian pinjaman perlulah disertakan untuk menyokong kes bapa puan. Selain itu, sumbangan selain daripada wang ringgit seperti tenaga juga akan diambil kira oleh mahkamah untuk menentukan kadar sumbangan. Adalah lebih elok jika bapa puan dapat membawa saksi untuk menyokong kes bapa puan ini.

Prosedur yang betul, apabila satu permohonan pembahagian harta pusaka kecil dimajukan, Pentadbir Tanah akan memastikan sama ada waris ingin membuat tuntutan harta sepencarian. Kemudian kes ini akan dimajukan pula ke mahkamah syariah untuk diputuskan tentang harta sepencarian. Oleh itu, tuntutan harta sepencarian dilakukan di mahkamah syariah manakala selepas keputusan diperoleh, perintah dari mahkamah syariah itu perlulah diajukan kepada Bahagian Pembahagian Harta Pusaka Kecil supaya harta yang berkaitan sahaja dibahagikan mengikut faraid.
Puan sebenarnya tidak perlu untuk memfailkan satu petisyen yang berbeza untuk pembahagian harta pusaka ini.

Menurut seksyen 29 Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955, puan berhak untuk membuat rayuan ke mahkamah tinggi atas keputusan yang telah diberikan oleh Pentadbir Tanah. Puan boleh menyatakan bahawa keputusan pembahagian harta pusaka yang telah dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah berdasarkan maklumat yang tidak tepat kerana puan sebagai waris yang berhak tidak disenaraikan sebagai salah seorang waris. Tambahan pula, pembahagian harta pusaka telah dilakukan tanpa mengambil kira tuntutan harta sepencarian yang sedang berjalan di mahkamah syariah dan juga tidak ditolak segala hutang yang berkaitan ke atas harta pusaka tersebut.

Puan boleh memohon kepada mahkamah tinggi supaya membatalkan perintah Pentadbir Tanah dan memohon supaya kes itu dibicarakan semula di bahagian Pembahagian Harta Pusaka Kecil, Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Menurut seksyen 16(1) Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955, apabila menerima notis rayuan di bawah seksyen 29, hendaklah menunggu sehingga rayuan itu diputuskan.

Puan haruslah bertindak segera sebelum pindah milik harta tersebut sempurna. Ini akan menyulitkan lagi keadaan kerana kemungkinan harta tersebut akan berpindah tangan pula apabila pindah milik telah sempurna.

Selain itu, menurut seksyen 30 Akta Kesalahan Jenayah Shariah (Wilayah Persekutuan) 1997, adalah menjadi satu kesalahan apabila memberi keterangan, maklumat atau pernyataan palsu dalam apa-apa peringkat dalam sesuatu prosiding kehakiman di Mahkamah.

Oleh itu puan bolehlah membuat pengaduan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan tentang perkara ini supaya Jabatan Perundangan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya. Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM3000 atau dipenjarakan selama tidak lebih dari dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Panel Peguam Sisters In Islam.

HAK HARTA – UNTUK ORANG BUKAN ISLAM

Soalan:

Saya mempunyai dua orang anak daripada perkahwinan dahulu yang tinggal bersama bekas isteri saya dan mereka bukan penganut agama Islam. Namun hubungan kami masih baik. Saya masih mengambil berat tentang kebajikan anak-anak dan memberi nafkah kepada mereka kerana tanggungjawab. Saya kini telah berkahwin dengan seorang wanita muslim. Masalah timbul apabila saya berbincang dengan isteri saya sekarang untuk meninggalkan harta pusaka kepada anak-anak saya.

Isteri tidak bersetuju dan menyatakan bahawa orang bukan Islam tidak berhak ke atas harta orang Islam. Malah dia juga mengungkit tentang nafkah bulanan yang saya beri kepada anak-anak saya. Adakah betul anak-anak saya tidak berhak ke atas harta pusaka saya? Apa yang boleh saya lakukan supaya saya dapat melindungi masa depan mereka? Bukankah sebagai bapa saya berkewajipan terhadap kebajikan anak-anak saya?

Ahmad Shah,
Klang

Jawapan:

Isu pembahagian harta pusaka seringkali menjadi perbahasan di kalangan umat Islam lebih-lebih lagi jika waris yang terbabit ialah orang bukan Islam. Persoalan ini timbul kerana di Malaysia terdapat penganut agama Islam yang masih mempunyai ahli keluarga yang menganut agama lain. Kebanyakan daripada mualaf ini masih berhubung baik dengan ahli keluarga mereka dan atas dasar kasih sayang dan tanggungjawab terhadap keluarga, mereka ingin memberi sebahagian harta pusaka kepada anak-anak atau ibu bapa.

Pembahagian harta pusaka dalam Islam adalah berdasarkan kepada surah al-Nisaa’ ayat 7, 11, 12 dan 176 yang memberi garis panduan tentang waris-waris yang berhak dan juga kadar pembahagian harta.

Dalam ayat 7, Allah berfirman, “Orang-orang lelaki ada bahagian pesaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pesaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah)."

Ayat 11, “(pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh simati, dan sesudah dibayarkan hutangnya" dan 12, “sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya" telah dinyatakan bahawa pembahagian harta ini hendaklah dilakukan selepas wasiat dan hutang si mati telah diselesaikan. Ini menunjukkan bahawa tanggungjawab si mati yang belum selesai hendaklah disempurnakan terlebih dahulu agar tidak membebankan waris-waris kelak”.

Pemberian
Wasiat mengikut hukum syarak seperti yang ditakrifkan dalam kitab Mughnil Muhtaj oleh Muhammad al-Khatib al-Syarbini ialah “pemberian disandarkan atau dikaitkan sesudah mati iaitu pemberian tersebut diserahkan setelah pemberinya sudah mati."

Kitab ini seterusnya menerangkan tentang rukun wasiat iaitu pertama, orang yang berwasiat, kedua, orang yang diwasiatkan, ketiga, barang yang diwasiatkan dan keempat, ijab dan qabul.

Yang penting di sini ialah harta atau barang yang diwasiatkan itu diberikan kepada penerima wasiat setelah orang yang berwasiat itu meninggal.

Walaupun sudah jelas bahawa seorang Islam boleh meninggalkan wasiat, namun persoalan masih timbul tentang berapa banyakkah daripada harta itu boleh diwasiatkan dan kepada siapa wasiat boleh diberikan.

Dalam ayat 11 yang menyebut, “sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati" dan ayat 12, “sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan" tidak menyatakan berapa banyakkah jumlah yang boleh diwasiatkan daripada harta pusaka si mati dan juga tidak menghadkan jumlah harta yang boleh diwasiatkan. Namun ulama’ Sunni berpendapat bahawa harta wasiat yang hanya boleh diberikan adalah satu pertiga daripada harta peninggalan si mati.

Pendapat ini adalah berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w (diriwayatkan oleh Sunan Abu Dawud dan kebanyakan kumpulan hadith yang lain) di mana seorang sahabat Baginda ingin mewasiatkan seluruh harta bagi tujuan khairat kebajikan am. Ini akan menyebabkan warisnya (seorang anak perempuan) dibiarkan tanpa harta. Jadi demi menjaga kepentingan warisnya, Rasulullah s.a.w memerintahkan tidak lebih daripada satu pertiga boleh diwasiatkan untuk tujuan khairat tersebut.

Ulama’ Sunni juga bersependapat bahawa orang Islam boleh meninggalkan wasiat kepada orang bukan Islam. Pendapat ini adalah berdasarkan kepada surah al-Mumtahanah ayat 8 yang bermaksud, “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama kamu, dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil."

Kenyataan bahawa orang bukan Islam tidak berhak ke atas harta orang Islam adalah tidak berasas sama sekali. Lebih-lebih lagi jika mereka itu adalah daripada darah daging sendiri. Islam mengajar umatnya untuk bertanggungjawab dan menjaga kepentingan keluarga. Surah al-Nisaa’ ayat 233 menjelaskan bahawa, “dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada (ibu dan anaknya itu) menurut cara yang adil"

Oleh itu adalah wajar bagi saudara untuk meninggalkan sebahagian harta kepada anak-anak bagi menjaga kepentingan mereka. Perkara ini juga dapat memastikan bahawa kehidupan mereka tidak akan terbiar apabila saudara tiada kelak dan tidak membebankan waris-waris yang kini akan mengambil alih tanggungjawab saudara.

Sistem perundangan di Malaysia juga tidak menyekat seorang muslim daripada memberi wasiat kepada orang bukan Islam. Dalam Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999, seksyen 7 menyatakan syarat benefisiari adalah:

Seseorang benefisiari wasiat itu hendaklah seseorang yang –

(a) diketahui;

(b) mempunyai kelayakan untuk memiliki harta yang diwasiatkan; dan

(c) jika ditentukan, dia hendaklah wujud ketika wasiat dibuat dan jika tidak ditentukan, benefisiari tidak disyaratkan wujud sama ada ketika wasiat itu dibuat atau ketika pewasiat itu mati.

Tetapi Mahkamah Syariah amat menitikberatkan tentang bahagian yang boleh diwasiatkan itu. Ia tidak boleh melebihi satu pertiga daripada harta si mati.

Di Malaysia, wasiat ke atas hadiah yang melebihi satu pertiga adalah tidak sah walaupun waris yang lain bersetuju. Pembahagian wasiat hanya akan diberikan sebanyak satu pertiga sahaja dan jika waris lain ingin menyempurnakan juga wasiat ini, dia hendaklah melepaskan bahagiannya sendiri. Ini bermakna, waris yang bersetuju tadi akan menghibahkan harta yang diwarisinya kepada penerima wasiat, sekadar untuk memenuhi wasiat yang ditinggalkan oleh si mati.

Mungkin kekeliruan mengenai orang bukan Islam tidak dapat mewarisi daripada orang Islam ialah kerana waris bukan Islam tidak diberi secara automatik bahagian harta pusaka di bawah sistem faraid. Sistem faraid dan pemberian harta secara wasiat adalah dua perkara yang berasingan. Oleh kerana anak bukan Islam tidak diberi bahagian di bawah sistem faraid maka perlulah wasiat dibuat untuk memberikan mereka harta pusaka melalui wasiat.

Oleh itu saudara bolehlah mewasiatkan sebahagian dari harta saudara kepada anak-anak dan dengan berpandukan penerimaan undang-undang Malaysia, bahagian tersebut haruslah tidak lebih dari satu pertiga dari jumlah harta.

Selain dari meninggalkan harta secara wasiat kepada anak-anak, saudara juga boleh memindahkan harta saudara semasa masih hidup melalui hadiah, hibah atau wakaf.

Panel Peguam Sisters In Islam.

HUKUM FARAID ANAK PEREMPUAN BELUM BALIGH

Soalan:

Saya ingin bertanya berkenaan hukum faraid bagi harta arwah yang meninggalkan isteri dan tiga orang anak-anak perempuan yang belum baligh (8, 6 dan 8 bulan). Kedua-dua ibu bapa arwah tiada lagi (telah meninggal dunia). Mempunyai saudara kandung lelaki lima orang dan perempuan lima orang juga.

Bagaimana cara pengiraan (nisbah) mengikut faraid bagi kesemua yang berhak menurut hukum faraid tersebut.
Apakah hikmah di sebalik Allah menurunkan hukum ini di mana adanya hak adik-beradik kandung arwah yang mendapat bahagian dari harta peninggalan adik mereka?
Apakah juga hak-hak anak-anak perempuan yang masih kecil terhadap bapa saudara mereka (adik-beradik kandung arwah ayah mereka) menurut hukum syarak?

Terima kasih di atas kesudian SIS menjawab persoalan saya.

Seri Pagi,
Puchong

Jawapan:

Harta pusaka akan dibahagikan kepada orang-orang yang berhak dalam hukum syarak, seperti yang telah disebut dalam al-Quran. Ia hanya boleh dibahagikan apabila semua urusan dan hutang si mati selesai atau dilangsaikan. Perlu diterangkan di sini bahawa antara perkara yang perlu diselesaikan sebelum pembahagian harta pusaka dilaksanakan ialah harta sepencarian. Ia adalah harta yang telah dikumpul bersama oleh suami isteri sepanjang perkahwinan.

Harta sepencarian perlulah dikenal pasti terlebih dahulu dan bahagiannya perlu diberikan kepada balu arwah.

Pembahagian harta secara faraid adalah salah satu cara pembahagian harta dalam Islam. Allah telah menurunkan panduan kaedah-kaedah pembahagian ini dalam surah al-Nisaa, ayat 11,12 dan 176. Dalam ayat 11 Allah telah berfirman yang bermaksud:

“Dan jika anak itu semuanya perempuan dua atau lebih, maka bagi mereka dua pertiga daripada harta yang ditinggalkan."

Kemudian, dalam ayat 12, Allah mensyariatkan bahawa, Para isteri memperoleh seperlapan daripada harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang kamu buat atau (dan) sesudah dibayar hutang-hutangmu.
Dalam kes saudari, antara waris yang sah adalah balu, tiga orang anak perempuannya, lima orang bapa saudara dan lima orang emak saudara.

Pembahagian harta pusaka arwah adalah seperti berikut:
Bahagian isteri adalah 1/8 bahagian atau bersamaan dengan 3/24 daripada harta pusaka.

Bahagian kepada anak-anak perempuan adalah 2/3 dari harta pusaka bapa (atau bersamaan dengan 16/24). Ini bermakna bahawa setiap seorang anak perempuan berhak mendapat sebanyak 2/9 (setelah 16/24 dibahagikan kepada tiga orang).

Manakala bagi bapa dan emak saudara, menurut ayat 176 surah Al-Nisa, Allah telah berfirman, Dan jika mereka (ahli waris itu terdiri daripada) saudara lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang saudara lelaki sebanyak bahagian dua orang saudara perempuan.

Bahagian kepada adik-beradik kandung arwah (lima lelaki dan lima perempuan) adalah 5/24 sahaja daripada baki harta. Pembahagian harta pusaka kepada adik-beradik adalah dua bahagian kepada adik-beradik lelaki dan satu bahagian kepada adik-beradik perempuan. Bahagian kepada adik-beradik kandung akan dibahagikan selepas bahagian kepada ahli waris yang telah ditentukan jumlah bahagiannya iaitu seperti dalam kes ini, isteri dan tiga anak perempuannya telah selesai pembahagiannya.

Banyak riwayat yang mengisahkan sebab turunnya ayat 11 surah al-Nisa yang disebut di atas. Antaranya yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim. Suatu ketika isteri Saad bin ar-Rabi datang kepada Rasulullah s.a.w. dengan membawa kedua-dua orang puterinya. Dia berkata, Wahai Rasullullah, kedua-dua puteri ini adalah anak Saad bin ar-Rabi yang telah meninggal sebagai syuhada ketika Perang Uhud. Tetapi pak cik kedua-dua puteri Saad ini telah mengambil seluruh harta peninggalan Saad, tanpa meninggalkan barang sedikit pun bagi kedua-duanya. Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda, Semoga Allah segera memutuskan perkara ini. Maka turunlah ayat 11 surah al-Nisa itu.

Rasulullah s.a.w kemudian mengutus seseorang kepada pak cik kedua-dua puteri Saad dan memerintahkannya memberikan dua pertiga harta peninggalan Saad kepada kedua-dua puterinya, manakala balu Saad mendapat satu perlapan dan bakinya menjadi bahagian saudara kandung Saad.

Tujuan pemberian harta pusaka kepada bapa saudara adalah kerana mereka kini bertanggungjawab ke atas keadaan dan nafkah keluarga si mati. Pemberian harta ini adalah terikat dengan tanggungjawab kerana Syariah memperuntukkan supaya sentiasa adanya seorang lelaki yang dipertanggungjawabkan daripada segi undang-undang untuk memelihara wanita, tidak kira sama ada lelaki itu bapanya, abang atau adik lelakinya, suaminya atau anak lelakinya. Ini dapat dilihat dalam surah al-Nisa ayat 34 yang bermaksud, Kaum lelaki adalah bertanggungjawab terhadap kaum perempuan dengan kelebihan yang Allah telah beri kepada mereka dan dengan sebahagian harta mereka yang mereka telah membelanjakan (memberi nafkah).

Oleh sebab itu, bahagian ke atas bapa saudara melebihi bahagian emak saudara. Ia adalah berkaitan dengan tanggungjawab tersebut dan bapa saudara tidak boleh tidak mempedulikan keluarga arwah. Sekiranya dia mahu menolak tanggungjawab itu maka dia boleh juga menolak bahagiannya. Islam mengkehendaki harta yang diberikan, dibelanjakan untuk menjaga kebajikan balu dan anak-anak arwah.

Berikutan dengan tanggungjawab ini, maka timbul pula isu pemberian nafkah anak-anak terhadap waris-waris mereka. Waris yang menerima harta adalah wajib untuk memberi nafkah kepada anak-anak dan balu arwah lebih lagi dalam kes saudari, bapa saudara berkewajipan mengeluarkan nafkah kepada anak-anak yatim yang di bawah umur, terutamanya perempuan. Sekiranya mereka enggan maka suatu permohonan boleh dibuat kepada Mahkamah Syariah untuk suatu perintah nafkah seperti yang telah diperuntukkan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, Seksyen 61.

Panel Peguam Sisters In Islam.

AL-WISOYAH

Soalan:

Saya mempunyai persoalan tentang harta pusaka. Saya baru memeluk Islam lima bulan lalu tetapi keluarga saya masih menganut agama asal mereka. Hubungan saya dengan keluarga masih baik dan sebagai seorang yang suka merancang masa hadapan, saya ingin tahu tentang pembahagian harta pusaka bagi seorang Muslim kepada saudaranya yang bukan Islam. Bolehkah saya meninggalkan harta kepada ibubapa saya walaupun berlainan agama?

Sean Murad Abdullah
Klang

Jawapan:

Walaupun berbeda agama, talian darah tetap utuh. Tiada ada yang dapat memisahkan hubungan kekeluargaan saudara dan ibubapa.

Sememangnya jika mengikut sistem pembahagian faraid, saudara mara yang berlainan agama tidak tersenarai sebagai waris yang sah. Namun, harus diingat bahawa pembahagian secara faraid bukanlah satu-satunya cara pembahagian harta pusaka dalam Islam.

Melihat kepada persoalan saudara, kami ingin mencadangkan saudara merujuk kepada wasiat dan juga penyediaan suratcara amanah.

Surah al-Nisa ayat 11 menyatakan pembahagian itu ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.

Maka, jika ada wasiat, haruslah ditunaikan dahulu sebelum harta pusaka difaraidkan. Dalam isu pemberian wasiat, menurut pandangan ulama-ulama Sunni, dua syarat yang perlu diikuti ialah:

(i) harta yang diwasiatkan tidak boleh melebihi 1/3 daripada jumlah harta si mati; dan

(ii) tidak boleh diwariskan kepada waris yang tersenarai mengikut faraid. 

Oleh itu, saudara boleh meninggalkan wasiat kepada ibubapa saudara sebanyak 1/3 daripada jumlah keseluruhan harta.

Manakala jika saudara mahu meninggalkan jumlah harta yang melebihi 1/3 kepada ibubapa, ataupun saudara mahu mencari alternatif lain, penyediaan al-Wisoyah atau surat cara ikatan amanah merupakan jalan penyelesaiannya.

Konsep amanah ini sama dengan konsep amanah (trust) undang-undang sivil. Apabila harta atau kepentingan terhadap harta ini diletakkan di bawah jagaan pemegang amanah, maka harta atau kepentingan terhadap harta ini bukan lagi dikira sebagai harta pusaka. Pemegang amanah berhak melaksanakan sepenuhnya terma-terma yang ditetapkan dalam suratcara amanah tersebut.

Tidak ada sesiapa yang boleh membantah kehendak pemberi amanah apabila dia ingin melaksanakannya. Selaku pemilik harta dan pemberi amanah, saudara mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk membuat sebarang syarat bagi memastikan niat saudara terlaksana. Contohnya, jika saudara ingin meletakkan sebuah rumah sebagai amanah atas nama ibubapa saudara. Saudara boleh melantik seseorang atau pun satu institusi pemegang amanah seperti bank sebagai pemegang amanah. Saudara boleh juga menetapkan bahawa selama saudara masih hidup, saudara masih lagi boleh mendapat faedah daripada rumah tersebut. Faedah daripada rumah tersebut akan hanya dinikmati oleh ibubapa setelah saudara meninggal.

Jika ada perubahan yang berlaku di masa hadapan, syarat-syarat dalam al-Wisoyah boleh saudara ubah.

Adalah penting wasiat dan al-Wisoyah dibuat secara bertulis untuk menangkis kesulitan dan keraguan. Saudara bolehlah merujuk kepada badan-badan professional dalam menyediakan dokumen-dokumen ini.

AMANAH AYAH TENTANG HARTA PUSAKA

Soalan:

Saya merupakan anak bongsu daripada lapan beradik. Ayah saya telah meninggal dunia baru-baru ini. Sebelum meninggal dunia, dia telah memindahkan pemilikan semua harta atas nama saya.

Harta tersebut adalah lapan ekar tanah ladang getah (Felda), satu perempat ekar tapak rumah termasuk rumah dan dua ekar tanah ladang kelapa sawit (Felda).

Bagaimanapun, dia telah berpesan kepada saya, selagi dia dan ibu masih hidup, hasil ladang tidak akan diagihkan kepada sesiapa pun dan sekiranya dia meninggal dunia terlebih dahulu, hasil ladang tersebut diberikan kepada ibu sepenuhnya. Tidak ada sesiapa yang berhak mempertikaikan amanah ayah ini kerana, menurutnya, sayalah orang yang bertanggungjawab melaksanakannya.

Sekiranya ibu pula meninggal dunia, saya sebagai anak yang telah diamanahkan haruslah membahagikan harta seperti berikut:

1. Hasil tanah ladang getah (lapan ekar) hendaklah dibahagi sama rata kepada tujuh orang adik beradik (nisbah satu ekar seorang) setelah ditolak perbelanjaan bagi pengurusan ladang, upah pekerja dan lain-lain.

2. Hasil untuk satu ekar yang lebih pula hendaklah dibuat sedekah atau amal jariah yang lain bagi pihak arwah ayah dan ibu.

3. Tanah tersebut tidak dibenarkan dijual kepada sesiapa pun kecuali atas arahan pihak Felda.

Persoalan saya ialah:

1. Perlukah ibu saya membahagikan hasil ladang kepada anak-anak buat masa ini?

2. Adakah pembahagian secara faraid perlu dijalankan dalam masalah ini dan adakah saya perlu memanggil adik-beradik bagi menerangkan perkara sebenar dan amanah yang telah ditinggalkan oleh arwah ayah?

3. Adakah harta tersebut menjadi harta pusaka?

Siti Muslimah,
Pahang.

Jawapan:
Pembahagian harta pusaka dalam keluarga bertujuan untuk memastikan supaya kebajikan mereka terjaga, lebih-lebih lagi jika yang meninggal itu ketua keluarga. Kami berpendapat bahawa ayah saudari mengamanahkan hartanya kepada saudari kerana dia percaya bahawa saudari seorang yang jujur dan ikhlas. Kami juga percaya bahawa niat ayah saudari adalah demi kepentingan dan kebajikan keluarganya.

Menurut undang-undang tanah negara, begitu juga dengan undang-undang Islam tentang harta pewarisan, harta yang menjadi pusaka adalah harta yang masih dimiliki oleh si mati pada masa dia meninggal dunia. Memandangkan harta-harta yang menjadi persoalan sudah pun dipindah milik kepada saudari semasa arwah masih hidup, ia bukanlah harta peninggalan. Oleh itu, harta tersebut tidak tertakluk kepada faraid. Namun, seiring dengan pindah milik itu ada amanah yang perlu dilaksanakan oleh saudari.

Amanah, menurut istilah undang-undang merupakan satu instrument yang memindahkan hak milik hartanya kepada individu atau institusi tertentu dengan arahan spesifik bagaimana harta itu perlu diuruskan dan berapa lama ia harus diuruskan sebegitu.

Melihat kepada kes saudari ini, walaupun tiada dokumen bertulis berkenaan dengan pengamanahan itu, saudari bolehlah memanggil semua adik-beradik untuk berbincang tentang amanah yang ditinggalkan dan saudari telah diberi tanggungjawab untuk melaksanakannya.

Melihat kepada amanah itu, saudari bertanggungjawab memastikan hasil ladang daripada harta yang ditinggalkan oleh arwah ayah diberikan kepada ibu.

Berbincanglah dengan adik-beradik dan nyatakan tujuan sebenar arwah ayah meninggalkan amanah sebegini adalah untuk menjaga kepentingan dan kebajikan ibu. Malah, amanah yang ditinggalkan juga supaya ibu mempunyai tempat bergantung hidup tanpa mengharapkan bantuan daripada anak-anak dan orang lain.

Panel Peguam Sisters In Islam.

HAK HARTA – UNTUK ORANG BUKAN ISLAM

Soalan:

Saya mempunyai dua orang anak daripada perkahwinan dahulu yang tinggal bersama bekas isteri saya dan mereka bukan penganut agama Islam. Namun hubungan kami masih baik. Saya masih mengambil berat tentang kebajikan anak-anak dan memberi nafkah kepada mereka kerana tanggungjawab. Saya kini telah berkahwin dengan seorang wanita muslim. Masalah timbul apabila saya berbincang dengan isteri saya sekarang untuk meninggalkan harta pusaka kepada anak-anak saya.

Isteri tidak bersetuju dan menyatakan bahawa orang bukan Islam tidak berhak ke atas harta orang Islam. Malah dia juga mengungkit tentang nafkah bulanan yang saya beri kepada anak-anak saya. Adakah betul anak-anak saya tidak berhak ke atas harta pusaka saya? Apa yang boleh saya lakukan supaya saya dapat melindungi masa depan mereka? Bukankah sebagai bapa saya berkewajipan terhadap kebajikan anak-anak saya?

Ahmad Shah,
Klang

Jawapan:

Isu pembahagian harta pusaka seringkali menjadi perbahasan di kalangan umat Islam lebih-lebih lagi jika waris yang terbabit ialah orang bukan Islam. Persoalan ini timbul kerana di Malaysia terdapat penganut agama Islam yang masih mempunyai ahli keluarga yang menganut agama lain. Kebanyakan daripada mualaf ini masih berhubung baik dengan ahli keluarga mereka dan atas dasar kasih sayang dan tanggungjawab terhadap keluarga, mereka ingin memberi sebahagian harta pusaka kepada anak-anak atau ibu bapa.

Pembahagian harta pusaka dalam Islam adalah berdasarkan kepada surah al-Nisaa’ ayat 7, 11, 12 dan 176 yang memberi garis panduan tentang waris-waris yang berhak dan juga kadar pembahagian harta.

Dalam ayat 7, Allah berfirman, “Orang-orang lelaki ada bahagian pesaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pesaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah)."

Ayat 11, “(pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh simati, dan sesudah dibayarkan hutangnya" dan 12, “sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya" telah dinyatakan bahawa pembahagian harta ini hendaklah dilakukan selepas wasiat dan hutang si mati telah diselesaikan. Ini menunjukkan bahawa tanggungjawab si mati yang belum selesai hendaklah disempurnakan terlebih dahulu agar tidak membebankan waris-waris kelak”.

Pemberian
Wasiat mengikut hukum syarak seperti yang ditakrifkan dalam kitab Mughnil Muhtaj oleh Muhammad al-Khatib al-Syarbini ialah “pemberian disandarkan atau dikaitkan sesudah mati iaitu pemberian tersebut diserahkan setelah pemberinya sudah mati."

Kitab ini seterusnya menerangkan tentang rukun wasiat iaitu pertama, orang yang berwasiat, kedua, orang yang diwasiatkan, ketiga, barang yang diwasiatkan dan keempat, ijab dan qabul.

Yang penting di sini ialah harta atau barang yang diwasiatkan itu diberikan kepada penerima wasiat setelah orang yang berwasiat itu meninggal.

Walaupun sudah jelas bahawa seorang Islam boleh meninggalkan wasiat, namun persoalan masih timbul tentang berapa banyakkah daripada harta itu boleh diwasiatkan dan kepada siapa wasiat boleh diberikan.

Dalam ayat 11 yang menyebut, “sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati" dan ayat 12, “sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan" tidak menyatakan berapa banyakkah jumlah yang boleh diwasiatkan daripada harta pusaka si mati dan juga tidak menghadkan jumlah harta yang boleh diwasiatkan. Namun ulama’ Sunni berpendapat bahawa harta wasiat yang hanya boleh diberikan adalah satu pertiga daripada harta peninggalan si mati.

Pendapat ini adalah berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w (diriwayatkan oleh Sunan Abu Dawud dan kebanyakan kumpulan hadith yang lain) di mana seorang sahabat Baginda ingin mewasiatkan seluruh harta bagi tujuan khairat kebajikan am. Ini akan menyebabkan warisnya (seorang anak perempuan) dibiarkan tanpa harta. Jadi demi menjaga kepentingan warisnya, Rasulullah s.a.w memerintahkan tidak lebih daripada satu pertiga boleh diwasiatkan untuk tujuan khairat tersebut.

Ulama’ Sunni juga bersependapat bahawa orang Islam boleh meninggalkan wasiat kepada orang bukan Islam. Pendapat ini adalah berdasarkan kepada surah al-Mumtahanah ayat 8 yang bermaksud, “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama kamu, dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil."

Kenyataan bahawa orang bukan Islam tidak berhak ke atas harta orang Islam adalah tidak berasas sama sekali. Lebih-lebih lagi jika mereka itu adalah daripada darah daging sendiri. Islam mengajar umatnya untuk bertanggungjawab dan menjaga kepentingan keluarga. Surah al-Nisaa’ ayat 233 menjelaskan bahawa, “dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada (ibu dan anaknya itu) menurut cara yang adil"

Oleh itu adalah wajar bagi saudara untuk meninggalkan sebahagian harta kepada anak-anak bagi menjaga kepentingan mereka. Perkara ini juga dapat memastikan bahawa kehidupan mereka tidak akan terbiar apabila saudara tiada kelak dan tidak membebankan waris-waris yang kini akan mengambil alih tanggungjawab saudara.

Sistem perundangan di Malaysia juga tidak menyekat seorang muslim daripada memberi wasiat kepada orang bukan Islam. Dalam Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999, seksyen 7 menyatakan syarat benefisiari adalah:

Seseorang benefisiari wasiat itu hendaklah seseorang yang –

(a) diketahui;

(b) mempunyai kelayakan untuk memiliki harta yang diwasiatkan; dan

(c) jika ditentukan, dia hendaklah wujud ketika wasiat dibuat dan jika tidak ditentukan, benefisiari tidak disyaratkan wujud sama ada ketika wasiat itu dibuat atau ketika pewasiat itu mati.

Tetapi Mahkamah Syariah amat menitikberatkan tentang bahagian yang boleh diwasiatkan itu. Ia tidak boleh melebihi satu pertiga daripada harta si mati.

Di Malaysia, wasiat ke atas hadiah yang melebihi satu pertiga adalah tidak sah walaupun waris yang lain bersetuju. Pembahagian wasiat hanya akan diberikan sebanyak satu pertiga sahaja dan jika waris lain ingin menyempurnakan juga wasiat ini, dia hendaklah melepaskan bahagiannya sendiri. Ini bermakna, waris yang bersetuju tadi akan menghibahkan harta yang diwarisinya kepada penerima wasiat, sekadar untuk memenuhi wasiat yang ditinggalkan oleh si mati.

Mungkin kekeliruan mengenai orang bukan Islam tidak dapat mewarisi daripada orang Islam ialah kerana waris bukan Islam tidak diberi secara automatik bahagian harta pusaka di bawah sistem faraid. Sistem faraid dan pemberian harta secara wasiat adalah dua perkara yang berasingan. Oleh kerana anak bukan Islam tidak diberi bahagian di bawah sistem faraid maka perlulah wasiat dibuat untuk memberikan mereka harta pusaka melalui wasiat.

Oleh itu saudara bolehlah mewasiatkan sebahagian dari harta saudara kepada anak-anak dan dengan berpandukan penerimaan undang-undang Malaysia, bahagian tersebut haruslah tidak lebih dari satu pertiga dari jumlah harta.

Selain dari meninggalkan harta secara wasiat kepada anak-anak, saudara juga boleh memindahkan harta saudara semasa masih hidup melalui hadiah, hibah atau wakaf.

Panel Peguam Sisters In Islam.

HIBAH, WASIAT BOLEH BERI KEPADA WARIS

Soalan

Saya mempunyai persoalan tentang harta peninggalan wanita bujang. Saya ditinggalkan oleh ayah sejak kecil tanpa nafkah. Emak sayalah yang membesarkan saya. Saya merupakan anak tunggal. Mengikut hukum faraid, sekiranya saya meninggal, sebahagian besar harta peninggalan saya akan diwarisi oleh ayah dan adik-beradik tiri saya (berlainan emak). Saya merasakan ayah saya tidak berhak langsung mendapat harta saya kerana dia telah mengabaikan kami sekeluarga. Tidak adil rasanya jika dia yang selama ini tidak menghiraukan kami sekeluarga tiba-tiba mendapat bahagian daripada harta yang saya kumpulkan selama ini, tanpa bantuannya. Saya mahukan harta peninggalan saya digunakan untuk menjaga kebajikan ibu saya dan anak angkat saya. Bagaimana boleh saya tinggalkan harta saya kepada mereka setelah ketiadaan saya?

Jawapan:

Seperti yang saudari sedia maklum, Islam telah menetapkan prinsip-prinsip pengagihan harta si mati, yang secara lazimnya dikenali sebagai hukum faraid. Prinsip-prinsip am hukum faraid terkandung dalam al-Quran, Surah al-Nisa, ayat 11-14.

Namun, faraid bukanlah satu-satunya cara pembahagian harta dalam Islam. Kami di Sisters In Islam memahami kehendak saudari yang ingin memastikan kebajikan dan kepentingan orang-orang tersayang dilindungi apabila saudari tiada nanti.

Surah al-Nisa ayat 11 telah menyatakan bahawa pembahagian itu ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.

Seorang Islam boleh meninggalkan wasiat, tetapi wasiat tersebut mestilah mematuhi syarat-syarat berikut:

1.     tidak boleh mewasiatkan lebih daripada satu pertiga (1/3) daripada keseluruhan harta pemberi wasiat; 

2.     penerima wasiat mestilah seorang yang tidak disenaraikan sebagai waris dalam hukum faraid  syarat kedua ini adalah hukum mengikut mazhab Sunni.

Walaubagaimanapun, kebanyakan ulama Sunni juga berpendapat bahawa wasiat kepada salah seorang waris yang tersenarai dalam hukum faraid (misalannya, dalam kes saudari ini, ibu saudari) masih sah sekiranya waris-waris lain setuju dengan isi kandungan wasiat selepas kematian pemberi wasiat. 

Namun demikian, masalah mungkin timbul apabila salah seorang waris yang sah tidak bersetuju dengan wasiat tersebut. Apabila ini berlaku, mahkamah akan merujuk kepada hukum faraid.

Dalam kes saudari, anak angkat bukanlah seorang waris yang tersenarai dalam hukum faraid. Jadi, saudari bolehlah mewasiatkan kepadanya tidak melebihi satu pertiga (1/3) nilai jumlah keseluruhan harta saudari. Waris-waris yang sah tidak boleh mempertikaikan wasiat ini kerana cukup syarat-syaratnya.

Ibu saudari pula merupakan seorang waris yang tersenarai dalam hukum faraid. Sekiranya seseorang Islam itu meninggal dunia, maka ibu si mati hanya berhak menuntut hartabenda si mati mengikut perkiraan hukum faraid. Sekiranya si mati meninggalkan hanya ibu dan ayahnya dan tidak ada anak, maka, secara amnya, ibu akan berhak mendapat satu pertiga (1/3) and ayah akan berhak mendapat dua pertiga (2/3) daripada harta si mati.

Di negara kita ini, nisbah pembahagian harta pusaka menurut faraid secara lazimnya ditentukan oleh Mahkamah Syariah melalui suatu sijil faraid bagi setiap kes. Sekiranya si mati telah meninggalkan wasiat, maka pembahagian harta pusaka kepada ayah dan ibu akan dilakukan selepas wasiat disempurnakan.

Hukum faraid tidak akan terpakai sekiranya si mati, sebelum kematiannya, telah memindahkan harta kepada orang lain. Jadi, dalam keadaan sekarang ini, saudari bolehlah mempertimbangkan untuk memindahkan harta tertentu kepada ibu atau anak angkat semasa hayat saudari masih ada (sekiranya saudari tidak ingin memberi wasiat kepada anak angkat). Melalui proses ini, waris-waris yang lain tidak akan berhak kepada harta pusaka saudari kelak.

Konsep ini diberi nama hibah atau terjemahannya hadiah. Apa yang penting ialah saudari perlu memindahkan harta yang ingin diberi kepada ibu dan anak angkat semasa saudari masih hidup. Hibah itu juga mestilah diterima oleh penerima. Jika penerima tidak tahu bahawa ia telah dihibahkan sesuatu benda, maka hibah tersebut mungkin tidak sah.

Proses pemindahan harta ini bolehlah dilakukan dalam beberapa cara. Misalannya, jika saudari memiliki rumah atau tanah, saudari boleh memindahkan rumah atau tanah tersebut kepada nama ibu atau anak angkat menerusi prosedur pindahmilik di bawah Kanun Tanah Negara 1965.

WASIAT ELAK PEREBUTAN HARTA

Soalan:

Saya terbaca Ruangan Keluarga & Undang-Undang bertarikh 1.6.2007 dan juga 30.11.2007. Kedua-dua artikel ini menyebut tentang pembahagian harta pusaka bagi orang Islam.

Apa yang menarik minat saya adalah bahagian berkenaan harta pusaka yang dibahagikan menurut wasiat. Di sini saya ingin mendapatkan penerangan tentang cara dan di mana saya boleh menulis surat wasiat.

Ahmad Mursyidi Yusof,
Kuala Lumpur.

Jawapan:

Wasiat sememangnya boleh disediakan oleh orang Islam yang mahu meninggalkan hartanya kepada orang tertentu selepas kematiannya. Dengan menulis wasiat, harta pusaka boleh diagihkan kepada pewaris mengikut keinginan arwah dan melalui cara yang betul. Arwah juga dapat menamakan pihak yang boleh dipercayai untuk menjaga kebajikan warisnya dalam wasiat tersebut.

Menurut kitab Mughnil Muhtaj tulisan As-Sheikh Muhammad Al-Khatib As-Syarbini, wasiat bermaksud pemberian disandarkan atau dikaitkan sesudah mati iaitu pemberian tersebut diserahkan setelah pemberinya sudah mati.

Empat rukun wasiat turut digariskan di dalam kitab berkenaan. Rukun-rukun tersebut adalah:

* Orang yang berwasiat;

* Orang yang diwasiatkan;

* Barang yang diwasiatkan; dan

* Sighah iaitu ijab dan kabul.

Menurut pandangan ulama-ulama Sunni, terdapat dua syarat yang perlu diikuti dalam menulis wasiat. Syarat pertama, harta yang diwasiatkan tidak boleh melebihi satu pertiga daripada jumlah keseluruhan harta arwah.

Mewasiatkan harta melebihi satu pertiga daripada jumlah keseluruhan harta pusaka hanya boleh dibuat jika waris-waris lain menyetujui kandungan wasiat tersebut.

Syarat kedua yang perlu dipenuhi dalam menulis wasiat pula adalah waris yang telah tersenarai sebagai penerima harta di bawah pembahagian faraid tidak boleh dinamakan sebagai penerima harta dalam wasiat.

Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Tarmidzi yang berbunyi: Sesungguhnya Allah memberikan hak kepada masing-masing orang yang berhak menerimanya, oleh sebab itu tidak ada wasiat bagi ahli waris.

Berkenaan cara membuat wasiat, saudara boleh mendapatkan khidmat nasihat Peguam Syarie yang boleh menulis wasiat untuk saudara berdasarkan terma-terma yang ditetapkan. Saudara juga boleh menamakan Peguam Syarie itu sebagai Pelaksana Wasiat untuk memastikan terma-terma wasiat saudara dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

Selain itu, saudara juga boleh ke Amanah Raya Berhad (ARB). Mereka ada menyediakan perkhidmatan nasihat serta bantuan untuk menulis wasiat berdasarkan prinsip syariah. Pihak ARB juga boleh dilantik sebagai Pelaksana Wasiat.

Perkhidmatan yang sama juga ada disediakan oleh Bank Muamalat dengan kerjasama ARB. Anda boleh ke Jabatan Pembangunan Konsumer, Tingkat 26, Menara Bumiputra, Jalan Melaka, 50100 Kuala Lumpur atau telefon kepada 03-26157096 untuk maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan yang mereka sediakan untuk membuat wasiat.

Semoga panduan dan maklumat yang diberikan di atas dapat membantu saudara dan juga pembaca sekalian dalam hal berkenaan penulisan wasiat.

NOTA: Negara Mesir menerima pandangan Mazhab Jaafari yang membenarkan ahli waris menerima wasiat lebih daripada satu pertiga apabila semua waris bersetuju. Persetujuan ini tidak boleh ditarik balik, berbeza dengan pandangan mazhab Shafie, yang membenarkan persetujuan ini ditarik balik apabila pemberi wasiat meninggal dunia.

Panel Peguam Sisters In Islam.

AMANAH AYAH TENTANG HARTA PUSAKA

Soalan:

Saya merupakan anak bongsu daripada lapan beradik. Ayah saya telah meninggal dunia baru-baru ini. Sebelum meninggal dunia, dia telah memindahkan pemilikan semua harta atas nama saya.

Harta tersebut adalah lapan ekar tanah ladang getah (Felda), satu perempat ekar tapak rumah termasuk rumah dan dua ekar tanah ladang kelapa sawit (Felda).

Bagaimanapun, dia telah berpesan kepada saya, selagi dia dan ibu masih hidup, hasil ladang tidak akan diagihkan kepada sesiapa pun dan sekiranya dia meninggal dunia terlebih dahulu, hasil ladang tersebut diberikan kepada ibu sepenuhnya. Tidak ada sesiapa yang berhak mempertikaikan amanah ayah ini kerana, menurutnya, sayalah orang yang bertanggungjawab melaksanakannya.

Sekiranya ibu pula meninggal dunia, saya sebagai anak yang telah diamanahkan haruslah membahagikan harta seperti berikut:

1. Hasil tanah ladang getah (lapan ekar) hendaklah dibahagi sama rata kepada tujuh orang adik beradik (nisbah satu ekar seorang) setelah ditolak perbelanjaan bagi pengurusan ladang, upah pekerja dan lain-lain.

2. Hasil untuk satu ekar yang lebih pula hendaklah dibuat sedekah atau amal jariah yang lain bagi pihak arwah ayah dan ibu.

3. Tanah tersebut tidak dibenarkan dijual kepada sesiapa pun kecuali atas arahan pihak Felda.

Persoalan saya ialah:

1. Perlukah ibu saya membahagikan hasil ladang kepada anak-anak buat masa ini?

2. Adakah pembahagian secara faraid perlu dijalankan dalam masalah ini dan adakah saya perlu memanggil adik-beradik bagi menerangkan perkara sebenar dan amanah yang telah ditinggalkan oleh arwah ayah?

3. Adakah harta tersebut menjadi harta pusaka?

Siti Muslimah,
Pahang.

Jawapan:
Pembahagian harta pusaka dalam keluarga bertujuan untuk memastikan supaya kebajikan mereka terjaga, lebih-lebih lagi jika yang meninggal itu ketua keluarga. Kami berpendapat bahawa ayah saudari mengamanahkan hartanya kepada saudari kerana dia percaya bahawa saudari seorang yang jujur dan ikhlas. Kami juga percaya bahawa niat ayah saudari adalah demi kepentingan dan kebajikan keluarganya.

Menurut undang-undang tanah negara, begitu juga dengan undang-undang Islam tentang harta pewarisan, harta yang menjadi pusaka adalah harta yang masih dimiliki oleh si mati pada masa dia meninggal dunia. Memandangkan harta-harta yang menjadi persoalan sudah pun dipindah milik kepada saudari semasa arwah masih hidup, ia bukanlah harta peninggalan. Oleh itu, harta tersebut tidak tertakluk kepada faraid. Namun, seiring dengan pindah milik itu ada amanah yang perlu dilaksanakan oleh saudari.

Amanah, menurut istilah undang-undang merupakan satu instrument yang memindahkan hak milik hartanya kepada individu atau institusi tertentu dengan arahan spesifik bagaimana harta itu perlu diuruskan dan berapa lama ia harus diuruskan sebegitu.

Melihat kepada kes saudari ini, walaupun tiada dokumen bertulis berkenaan dengan pengamanahan itu, saudari bolehlah memanggil semua adik-beradik untuk berbincang tentang amanah yang ditinggalkan dan saudari telah diberi tanggungjawab untuk melaksanakannya.

Melihat kepada amanah itu, saudari bertanggungjawab memastikan hasil ladang daripada harta yang ditinggalkan oleh arwah ayah diberikan kepada ibu.

Berbincanglah dengan adik-beradik dan nyatakan tujuan sebenar arwah ayah meninggalkan amanah sebegini adalah untuk menjaga kepentingan dan kebajikan ibu. Malah, amanah yang ditinggalkan juga supaya ibu mempunyai tempat bergantung hidup tanpa mengharapkan bantuan daripada anak-anak dan orang lain.

Panel Peguam Sisters In Islam.

WASIAT IBU MENJADI MASALAH

Soalan:

Ibu saya meninggal dunia dua bulan lalu. Sebelum meninggal dia sakit terlantar dan sayalah yang menjaganya sehingga dia meninggal. Tetapi sebelum dia meninggal dia membisikkan kepada saya bahawa dia ingin mewasiatkan rumah yang dia tinggal sekarang kepada saya kerana penat lelah saya menjaganya.

Tetapi apabila saya menceritakan kepada dua orang abang saya, mereka tidak percaya dan berkeras bahawa semua harta arwah ibu perlu dibahagikan mengikut faraid. Abang-abang mahu menjual rumah itu. Macam mana dengan wasiat yang arwah ibu perlu dibahagikan mengikut faraid. Macam mana dengan wasiat yang arwah ibu tinggalkan? Tidakkah saya berhak ke atas rumah itu?

Juli,
Kuala Lumpur

Jawapan:

Surah An-Nisa boleh dirujuk mengenai cara pembahagian harta pusaka si mati. Ayat 4:11 telah menyatakan bahawa pembahagian itu ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayarkan hutangnya…’

Ternyata di sini bahawa dua perkara perlu diselesaikan dahulu sebelum harta pusaka si mati dibahagikan di antara waris-warisnya iaitu pembahagian wasiat dan penyelesaian hutang.

Kita boleh merujuk kepada kitab Mughil Muhtaj tulisan As-Sheikh Muhammad Al-Khatib As-Syarbini yang telah menyatakan bahawa antara perkara yang perlu diselesaikan ke atas harta si mati adalah zakat yang belum ditunaikan, barang-barang gadaian yang belum ditebus, hutang si mati ke atas harta yang ditinggalkan, harta sepencarian, wakaf, nazar, hibah yang telah sempurna rukunnya tetapi belum dipindah milik, perbelanjaan pengebumiannya, hutang dan wasiat.
Setelah diselesaikan perkara-perkara tersebut barulah baki harta itu dibahagikan menurut hukum faraid.

“Di dalam kitab tersebut wasiat telah ditafsirkan sebagai pemberian disandarkan atau dikaitkan sesudah mati iaitu pemberian tersebut diserahkan setelah pemberiannya sudah mati."

Ia telah menggariskan empat rukun wasiat iaitu al-musi (orang yang berwasiat), al-muso lahu (orang diwasiatkan), al-muso bihi (barang yang diwasiatkan) dan sighah iaitu ijab dan qabul.

Tidak ada perkataan yang khusus untuk membuat satu-satu wasiat. Maka sebarang kenyataan yang berniat untuk memberi harta tanpa apa-apa balasan selepas kematian orang yang berwasiat adalah sah.

Di dalam isu pemberian wasiat, menurut pandangan ulama-ulama Sunni, terdapat dua syarat yang perlu diikuti iaitu harta yang diwasiatkan tidak boleh melebihi 1/3 daripada jumlah harta si mati dan ia tidak boleh diwariskan kepada waris yang telah tersenarai di dalam hukum faraid.Puan adalah termasuk dalam senarai waris sedia ada iaitu sebagai anak perempuan.

Undang-undang di Malaysia adalah cenderung mengikut pendapat ulama Sunni, namun pandangan lain mengenai wasiat mungkin patut diharuskan untuk membuat penyesuaian supaya pembahagian harta lebih adil mengikut keadaan waris-waris dalam suatu keluarga perlu dipertimbangkan.

Ini terutama sekali sekiranya tidak terdapat bantahan daripada waris lain mengenai pembahagian harta.

Kita boleh melihat daripada Hadis Rasulullah s.a.w (diriwayatkan oleh Sunan Abu Dawud) yang telah mengehadkan wasiat kepada satu pertiga. Ia adalah mengenai sahabat Baginda yang hanya mempunyai seorang anak pe-rempuan dan ingin mewasiatkan seluruh hartanya bagi tujuan khairat kebajikan am.

Rasulullah s.a.w kemudiannya telah memperuntukkan bahagian yang boleh diwasiatkan itu kepada satu pertiga supaya anak perempuannya tidak dibiarkan tanpa harta. Ternyata perintah Rasulullah s.a.w adalah untuk keadilan kepada anak perempuan tersebut.

Terdapat kemungkinan bahawa puan tidak dapat memperoleh harta tersebut sekiranya ia adalah termasuk di dalam harta pusaka apalagi apabila abang puan enggan memberikan persetujuan mereka dalam hal ini.

Namun dalam kes puan, penelitian juga harus dilakukan kepada lafaz ibu. Sama ada ibu menyatakan bahawa rumah tersebut sebagai wasiat atau sebagai hadiah yang efektif sebelum kematiannya. Sekiranya ibu melafazkan pemberian tersebut sebagai wasiat, maka puan akan terikat kepada garis panduan yang ternyata di atas.

Sekiranya pemberian tersebut adalah sebagai hadiah yang patut ambil sebelum kematian ibu, maka harta tersebut adalah tidak terikat kepad garis panduan yang dinyatakan dan puan adalah berhak ke atas harta ini. Ini adalah kerana harta tersebut bukanlah harta pusaka dan pemberian telah sempurna semasa hayat ibu.

Oleh kerana ibu puan akan mempertikaikan perkara ini maka puan perlu merujuk kepada mahkamah syariah. Sijil Faraid hanya akan dikeluarkan mahkamah syariah apabila segala tuntutan ke atas harta selesai dibahagikan dan ini membolehkan puan membuat tuntutan ke atas harta tersebut.

X