Hak Isteri

NAFKAH TANGGUNGJAWAB SUAMI

Soalan :

Assalamualaikum SIS,

Sudah 4 bulan saya dan suami melayari bahtera perkahwinan setelah lama bercinta. Sebelum berkahwin, dia mempunyai bisnes kecil-kecilan yang diusahakan bersama adik beradiknya tetapi ianya kini telah terhenti. Kini, dia seorang penganggur dan tiada pendapatan. Sejak hari pertama berkahwin sehingga sekarang sayalah yang menguruskan segala perbelanjaan rumahtangga. Kadang-kadang saya merasakan bahawa dia sengaja tidak mahu berkerja. Kami sering bergaduh kerana kelalaiannya menjalankan tangggungjawab sebagai suami dan dia sering pulang ke rumah ibunya. Apabila saya beritahu mengenai ketidakpuasan hati saya, dia sering berkata jika sudah berkahwin jangan berkira dengan suami dan tidak mencium bau syurga. Dia juga mengugut tidak mahu mengampunkan dosa saya. Saya berasa sangat tertekan dengan perkahwinan ini. Apa yang patut saya lakukan ini?

Nurani,
Pantai Dalam, Kuala Lumpur 

Jawapan :

Perkahwinan merupakan ikatan yang suci antara pasangan Adam dan Hawa. Puan, jika kita mengimbas kembali kejadian manusia yang bernama Hawa adalah diciptakan untuk menjadi pasangan kepada Adam. Ianya bertujuan supaya manusia berkasih-sayang antara satu sama lain berdasarkan syariat Islam. Oleh sebab itulah wujud ikatan perkahwinan antara lelaki dan wanita. Perkahwinan adalah satu kontrak perkongsian hidup antara lelaki dan wanita dengan berdasarkan syarat-syarat yang dipersetujui oleh mereka.

Dan apabila wujudnya ikatan perkahwinan maka wujudlah amanah dan tanggungjawab antara suami dan isteri. Isteri merupakan satu tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah saw. Dia berhak mendapat perlindungan serta keperluan hidup dan nafkah yang mencukupi daripada suaminya. Ini dapat dilihat dengan jelas melalui hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Ashaba Al-Sunan yang bermaksud:

Hindun, isteri Abu Sufian telah mengadu kepada Rasulullah bahawa suaminya tidak memberi nafkah yang cukup kepadanya dan anak-anaknya. Lalu Rasulullah memerintahkan Hindun mengambil dari harta Abu Sufian bahagian untuk nafkahnya dan anak-anaknya dengan sebaiknya.â

Berdasarkan hadis ini jelaslah bahawa suami wajib menyediakan nafkah terhadap isteri dan jika suami enggan dengan sengaja, cuai ataupun nafkah yang diberi tidak mencukupi maka seorang isteri berhak mengambil harta suaminya sebagai nafkah buat isteri dan anak-anaknya.

Kini kebanyakan wanita mempunyai kerjaya atau mempunyai gaji yang lebih tinggi daripada suami. Walaubagaimanapun ini tidak bermakna seorang suami itu akan hilang tanggungjawabnya. Seperti yang kami jelaskan di atas nafkah merupakan pemberian wajib daripada suami kepada isterinya. Keperluan nafkah merangkumi makanan, pakaian, pelajaran, ibadat, tempat tinggal, kesihatan dan sebagainya. Sebagai seorang suami, dia wajib mengeluarkan belanja atau sara hidup kepada tanggungannya.

Apabila seorang isteri membantu di dalam perbelanjaan seharian ia tidak bermakna seorang suami boleh bersikap lepas tangan apabila perbelanjaan harian dibantu oleh isterinya. Selain dari itu ingin kami jelaskan bahawa, kebanyakkan orang berpendapat bahawa nafkah hanya boleh dituntut apabila berlakunya perceraian antara suami dan isteri. Pendapat ini ternyata sekali tidak benar. Suami wajib menyediakan nafkah yang sewajarnya untuk isteri dan jika suami tersebut telah dengan sengaja dan cuai dalam menyediakan nafkah yang secukupnya maka seorang isteri itu boleh membuat tuntutan di Mahkamah syariah.

Ianya selaras dengan Seksyen 59 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, Mahkamah Syariah mempunyai kuasa untuk memerintahkan seorang suami membayar nafkah kepada isterinya menurut apa yang ditentukan oleh Hukum Syarak.

Seperti yang dinyatakan di atas, sekiranya suami puan masih lagi mengabaikan tanggungjawabnya di dalam menyediakan nafkah terhadap puan, puan boleh memfailkan tuntutan tersebut di Mahkamah Rendah Syariah atau puan juga boleh mendapatkan khidmat guaman untuk melaksanakan prosiding tuntutan tersebut di mana-mana firma guaman serta Biro Bantuan Guaman yang terdekat atau menghubungi kami.

PROSEDUR TUNTUT NAFKAH

Soalan :

SIS, setelah gagal mencapai persetujuan di antara saya dan bekas suami mengenai nafkah dalam proses sulh, saya bertekad untuk memfailkan tuntutan nafkah iddah, harta sepencarian dan mutaah. Bagaimanakah prosedur untuk saya memfailkan tuntutan-tuntutan tersebut kerana saya tidak mampu untuk melantik peguam untuk mewakili saya dan juga tidak layak untuk mendapatkan khidmat peguam di Biro Bantuan Guaman. Bolehkah saya membuat tuntutan ini tanpa diwakili peguam? Di harap pihak SIS dapat membantu.

Siti Sarah
Kuantan, Pahang

Jawapan :

Sememangnya terdapat ramai wanita yang walaupun tidak mampu untuk membayar peguam tetapi tidak pula layak untuk mendapat bantuan guaman kerana terperangkap dengan ujian kelayakan kewangan. Ujian yang dilakukan oleh Biro Bantuan Guaman ini perlu diteliti semula kerana tahap kelayakan kini adalah amat rendah dan tidak mencerminkan realiti keadaan semasa.

Oleh kerana tiada persepakatan semasa menjalani proses sulh, antara puan dan bekas suami maka, tiada larangan bagi puan untuk memulakan permohonan tuntutan nafkah di Mahkamah Syariah sekiranya Puan tidak diwakili oleh peguam syarie. Berikut adalah cara-cara untuk memfailkan tuntutan nafkah di Mahkamah Syariah menurut ENAKMEN TATACARA MAL MAHKAMAH SYARIAH (Negeri Pahang) 2002.
Menurut Seksyen 7, tiap-tiap prosiding mal di Mahkamah hendaklah dimulakan melalui saman. Setiap saman hendaklah seperti ditunjukkan dalam Borang MS 2; dan hendaklah disertakan dengan suatu pernyataan tuntutan yang hendaklah mematuhi kehendak seksyen 63.

Menurut Seksyen 63, Tiap-tiap pernyataan tuntutan hendaklah ditandatangani oleh plaintif atau Peguam Syarienya dan hendaklah mengandungi:-

(a) suatu pernyataan yang ringkas lagi padat, dalam perenggan-perenggan yang bernombor, tentang fakta-fakta yang dijadikan sandaran oleh plaintif dan menunjukkan kausa tindakannya, termasuk butir-butir mengenai apa-apa sifat khas yang atasnya plaintif mendakwa, jika ada;

(b) butir-butir tuntutan yang mencukupi;

(c) suatu pernyataan tentang relief yang dituntut; dan

(d) butir-butir mengenai apa-apa permohonan lain.

(2) Jika lebih daripada satu kausa tindakan dijadikan sandaran, alasan bagi setiap satu tindakan dan relief yang dituntut berdasarkan kausa itu hendaklah dinyatakan secara berasingan.

Tiap-tiap saman terhadap seorang defendan hendaklah dikemukakan untuk difailkan dalam tiga salinan dan satu salinan tambahan hendaklah dikemukakan bagi tiap-tiap defendan tambahan.

Seterusnya, Pendaftar hendaklah memeriksa saman dan:-
(a)  jika saman itu didapati sempurna bentuknya; dan
(b)  jika plaintif telah membayar fi yang ditetapkan, termasuk fi bagi penyampaian jika penyampaian oleh Mahkamah diperlukan,

Pendaftar hendaklah memberikan suatu nombor bersiri padanya, memeteraikan, menandatangani dan mengeluarkannya.

(2) Jika Pendaftar berpendapat bahawa saman itu tidak sempurna bentuknya, dia boleh menolaknya atau mengarahkan supaya saman itu dipinda.
Masa penyampaian adalah sah selama dua belas bulan bermula dari tarikh pengeluarannya.

Cara penyampaian sesuatu saman atau dokumen lain hendaklah disampaikan ke diri, dan hendaklah dilaksanakan dengan menyerahkan saman atau dokumen lain itu, atau dengan mengemukakannya untuk diperiksa dan menyerahkan satu salinan saman atau dokumen lain itu, kepada orang yang kepadanya saman atau dokumen itu hendak disampaikan.

Bukti penyampaian haruslah dibuktikan melalui afidavit orang yang melaksanakan penyampaian itu dan, jika penyampaian itu adalah ke diri dan orang yang kepadanya saman atau dokumen lain itu hendak disampaikan tidak dikenalinya sendiri, melalui afidavit orang yang mengecamkan orang yang kepadanya saman atau dokumen itu hendak disampaikan.

Orang yang kepadanya saman atau dokumen itu disampaikan hendaklah menandatangani suatu pengakuterimaan penyampaian, tetapi keengganan atau ketakupayaannya menandatangani sedemikian tidaklah akan menjejaskan keesahan penyampaian itu.

Keterangan melalui afidavit
Mahkamah boleh, pada masa atau sebelum perbicaraan apa-apa prosiding, memerintahkan supaya afidavit mana-mana saksi dibacakan pada perbicaraan itu jika dalam hal keadaan kes itu adalah difikirkannya munasabah untuk memerintahkan demikian.

Membuat afidavit
Sesuatu afidavit yang hendak digunakan dalam mana-mana prosiding di Mahkamah hendaklah dibuat dengan sumpah:-
(a) di Negeri Pahang, di hadapan mana-mana Hakim Syarie atau Pendaftar;

(b) di Negeri lain di Malaysia, di hadapan Hakim Syarie atau Pendaftar mengikut kehendak kes;

(c) di mana-mana tempat di luar Malaysia, di hadapan mana-mana pegawai Islam Kedutaan Malaysia atau Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia atau Konsulat atau Misi Tetap di tempat itu yang di beri kuasa untuk mengendalikan sumpah.

Bentuk affidavit.

(1) Sesuatu afidavit hendaklah dalam Borang MS 26.
Seterusnya, salinan dokumen hendaklah dilampirkan pada affidavit itu sebagai ekshibit. Sesuatu ekshibit bagi sesuatu afidavit hendaklah dikenal pasti melalui perakuan orang yang di hadapannya afidavit itu diangkat sumpah, dan perakuan itu hendaklah mengikut bentuk dalam Borang MS 27.

Peringkat seterusnya adalah Pendengaran di dalam Mahkamah
Semua prosiding yang dimulakan dengan saman hendaklah didengar dan diputuskan di dalam Mahkamah terbuka dan semua prosiding yang dimulakan dengan permohonan hendaklah didengar dan diputuskan di dalam Kamar.

Seksyen 130. Penghakiman / Keputusan Mahkamah
Tiap-tiap Hakim perbicaraan hendaklah menyampaikan penghakiman bertulis Kecuali dalam hal prosiding di dalam Kamar, Hakim perbicaraan hendaklah, tertakluk kepada subseksyen (3), mengumumkan penghakimannya di Mahkamah terbuka.
Apabila seseorang Hakim yang telah membicarakan mana-mana prosiding tidak dapat kerana apa-apa sebab mengumumkan penghakiman, penghakiman yang ditulis olehnya bolehlah dibacakan di Mahkamah terbuka oleh mana-mana Hakim lain atau oleh Pendaftar.

Semua penghakiman yang diumumkan di bawah seksyen ini hendaklah menjadi sebahagian daripada rekod kes.

TUNTUT HARTA SEPENCARIAN

Soalan :

Assalammualaikum,

Saya telah bercerai dengan bekas suami lebih kurang 3 tahun. Sejak bercerai, suami langsung tidak pernah memberi nafkah anak termasuk nafkah edah saya. Bekas suami saya seorang yang panas baran dan sering memukul saya semasa kami masih menjadi suami isteri. Semasa perkahwinan, suami ada membeli sebuah rumah tetapi nama saya tidak dimasukkan sebagai pembeli bersama namun, saya ada mengeluarkan wang saya bagi pembelian rumah itu juga mengambil pinjaman peribadi bagi pengubahsuaian rumah tersebut dan masih menanggung hutang pinjaman peribadi itu. Bolehkah saya mendapatkan hak saya dan anak-anak dan menuntut rumah tersebut sebagai harta sepencarian? Harap pihak puan dapat memberikan jalan dan panduan yang saya boleh gunakan bagi mendapatkan semula hak saya dan anak-anak yang selama ini tidak terbela.

Najihah Nasir
Taman Seputeh 

Jawapan :

Calaran fizikal boleh diubati namun calaran emosi akibat keganasan rumahtangga memerlukan masa untuk pulih. Sesebuah bahtera perkahwinan tidak terlepas dari hayunan ombak dan badai. Walaubagaimanapun, di dalam apa jua keadaan, Islam tidak menghalalkan penganiayaan suami ke atas isteri. Bagi rumahtangga yang tidak boleh diselamatkan, penceraian adalah jalan terbaik. Puan telah mengambil jalan yang sewajarnya dengan melangkah keluar dari penderaan.

Segelintir kaum Adam beranggapan bahawa mereka bebas daripada tanggungjawab sebagai suami dan bapa selepas terlerai ikatan perkahwinan dengan isteri. Realitinya, tanggungjawab mereka tidak berakhir di saat talaq dilafazkan. Isteri yang diceraikan dan anak-anak masih mempunyai hak-hak yang perlu disempurnakan oleh seorang lelaki dalam kapasitinya sebagai bekas suami dan bapa.

Antara hak yang boleh dituntut seorang bekas isteri adalah nafkah iddah. Ini bersandarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud hanya nafkah dan tempat kediaman untuk perempuan yang boleh dirujuk oleh suaminya. Secara ringkasnya, hadis ini menggariskan bahawa seorang suami wajib membayar nafkah iddah dan menyediakan tempat tinggal ketika bekas isteri di dalam tempoh iddah. Dalam kata lain, hak-hak ini adalah tertakluk kepada had masa iddah mengikut ketetapan SyaraK.

Berdasarkan Surah Al-Baqarah, ayat 228 yang bermaksud wanita-wanita yang ditalaq hendaklah menahan diri (menunggu) tiga kali quru, had masa iddah yang ditetapkan oleh Islam adalah selama 3 Quru atau 3 kali suci daripada kitaran haid. Puan ada menyatakan bahawa Puan telah bercerai dengan bekas suami selama lebih kurang 3 tahun. Walaupun Puan tidak menuntut nafkah ketika dalam tempoh idah, hak ini tidak luput dan masih boleh dituntut lagi kerana ia dianggap sebagai hutang dan selagi ia tidak berbayar maka ia dianggap tertunggak dan terhutang. Ini juga menurut, seksyen 65(1) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) dengan jelasnya menyatakan Hak bagi seseorang isteri yang telah bercerai untuk menerima nafkah daripada suaminya yang dahulu di bawah sesuatu perintah Mahkamah hendaklah terhenti apabila tamat tempoh ‘Iddah atau apabila isteri itu menjadi nusyuz.

Bekas suami Puan juga masih berkewajipan memberi nafkah kepada anak-anaknya. Putusnya ikatan perkahwinan tidak bermaksud putusnya pertalian seorang bapa dengan anak-anaknya. Surah Al-Baqarah, ayat 223 menyebut " . . dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada (ibu dan anaknya itu) menurut cara yang adil". 

Initipati ayat ini dimaktubkan di dalam S.72 yang mewajibkan bapa untuk memberi nafkah kepada anak-anak, tidak kira sama ada anak-anak itu di bawah jagaannya atau orang lain. Seksyen ini turut menetapkan bapa perlu menyediakan tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran atau sebagai membayar kos kepada perkara-perkara tersebut.

Seksyen 59(1) mendefinisikan nafkah sebagai ˜. . . tempat tinggal, pakaian, makanan dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya". 

Sebagai seorang yang berpendapatan tetap, mahkamah akan mempertimbangkan beberapa faktor seperti gaji bekas suami serta jumlah kewangan yang diperlukan anak-anak setiap bulan. Di samping itu, seksyen 62 turut memperuntukkan Mahkamah kuasa untuk meminda Perintah nafkah dan jika dia tidak mampu atau tidak dapat dikesan, Mahkamah boleh memerintahkan keluarga bekas suami untuk memberi sumbangan nafkah di bawah seksyen 73(2).

Puan turut menyatakan bahawa Puan menghadapi kesulitan dalan isu harta sepencarian. Tuntutan harta sepencarian adalah suatu perkara yang lazim berlaku selepas penceraian. Harta sepencarian boleh diertikan sebagai harta alih atau tidak alih yang diperolehi secara bersama oleh suami dan isteri ketika di dalam ikatan perkahwinan berlandaskan hukum syaraK. Walaupun tiada dalil khusus yang memperihalkan harta sepencarian di dalam Islam, Surah An-Nisaa, ayat 32 menerangkan bahawa setiap lelaki dan wanita mempunyai bahagian dalam apa yang mereka usahakan (sebagai suami isteri dalam perkahwinan)

Rumah kelamin walaupun tanpa ada nama puan adalah merupakan harta sepencarian. Menerusi seksyen 58, mahkamah berkuasa memerintah aset-aset yang diperolehi oleh pihak-pihak dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu. Antara faktor-faktor yang akan dipertimbangkan oleh mahkamah adalah takat sumbangan pihak-pihak. Sumbangan ini boleh berbentuk wang seperti belanja pengubahsuaian, harta, atau kerja seperti menjaga rumah tersebut agar berterusan dalam keadaan baik. Seterusnya, mahkamah juga akan melihat pada hutang salah satu pihak yang telah diambil bagi manfaat bersama.

Untuk melihat perlaksanaan seksyen 58, kes Anita Abdullah lwn Zainuddin Ariffin (1982) 4 JH 73 boleh dirujuk. Hakim di dalam kes rayuan ini menetapkan di antara lain, bahawa jika ada bukti yang cukup siapa yang mengusahakan harta itu, maka harta tersebut akan diberi kepadanya. Sebaliknya, jika tiada bukti yang cukup mengenai takat usaha masing-masing, mereka dikehendaki bersumpah dan harta akan dibahagikan sama banyak. Jika semuanya enggan bersumpah ia dibahagikan sama banyak juga. Tetapi jika salah seorang enggan bersumpah, maka harta itu diberi kepada yang bersumpah.

Oleh itu, jelas bahawa harta sepencarian memerlukan pembuktian yang kukuh.  Adalah perlu bagi Puan mengemukakan bukti-bukti pembayaran yang dibuat ke atas rumah tersebut. Ini termasuklah bayaran hutang dan juga pembayaran bagi pengubahsuaian yang telah dengan jelasnya menaikkan taraf rumah tersebut. Pengemukaan bukti-bukti akan membantu dalam memperkasakan lagi tuntutan Puan.

Bekas suami Puan tidak boleh menafikan hak-hak Puan dan anak-anak. Diharapkan agar penjelasan yang diberikan dapat membantu Puan dalam menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi. Kami menyarankan agar Puan menuntut hak-hak di mahkamah Syariah demi menjamin masa depan Puan dan anak-anak.

ISTERI BERHAK TERHADAP HARTA SEPENCARIAN DAN FARAID

Soalan:

Baru-baru ini kami adik-beradik dipanggil berbincang tentang pembahagian harta jika sekiranya ayah kami meninggal dunia. Ayah menyatakan hasratnya untuk mewasiatkan harta peninggalannya kepada kami tiga beradik semua sama rata. Namun, abang-abang saya tidak bersetuju. Katanya, jika mengikut faraid dia seharusnya mendapat bahagian yang lebih daripada saya (anak perempuan). Tetapi ayah berkeras mahu meneruskan niatnya membahagikan harta sama rata dan memaksa abang-abang saya bersetuju. Saya ada terdengar yang wasiat seperti ini tidak sah jika waris-waris tidak setuju? Betulkah ini? (Adakah wasiat seperti ini tidak sah jika waris-waris tidak setuju?

Arissa Mubaraq,
Shah Alam.

Jawapan:
Kini, dokumen wasiat semakin diterima oleh masyarakat sebagai salah satu alternatif perancangan harta yang mampu menzahirkan hasrat pewasiat tentang agihan hartanya yang akan dilaksanakan selepas kematiannya.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah menyatakan betapa pentingnya wasiat ini. Ayat 180 yang bermaksud, “Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta, supaya membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa."

Namun begitu masyarakat perlulah tahu apakah fungsi dan kesan sesuatu wasiat itu supaya dapat memenuhi tujuan sebenar orang yang berwasiat.

Perkataan wasiat berasal daripada “wassa" yang bermaksud menjanjikan, memerintahkan atau memberi hak milik selepas kematian. Para fuqaha’ pula mentakrifkan wasiat sebagai satu pemberian oleh seseorang kepada pihak lain setelah kematian pewasiat.

Manakala Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999 pula mendefinisikan wasiat sebagai iqrar seseorang dibuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manafaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud yang dibenarkan menurut hukum syara’, selepas dia mati.

Menurut pendapat empat imam Sunni, wasiat tidak boleh diberikan kepada ahli waris, kecuali waris-waris yang lain bersetuju. Malah, jumlah wasiat juga dihadkan kepada satu pertiga sahaja. Jika pewasiat mahu mewasiatkan lebih daripada jumlah yang ditetapkan, dia perlulah mendapatkan persetujuan daripada kesemua warisnya.

Oleh itu, sememangnya wasiat itu akan dianggap tidak sah jika abang-abang saudari tidak bersetuju terhadap pembahagiannya.

Namun begitu, wasiat bukanlah satu-satunya cara membahagikan harta pusaka. Satu lagi cara yang boleh saudari cadangkan kepada ahli keluarga ialah al-Wisoyah yang mana merupakan satu konsep amanah yang diperakui perundangan Islam.

Konsep amanah ini sama sahaja dengan konsep amanah (trust) undang-undang sivil. Apabila sesuatu harta atau kepentingan terhadap harta ini diletakkan di bawah jagaan pemegang amanah, maka harta atau kepentingan terhadap harta ini bukan lagi dikira sebagai harta pusaka.

Sebaliknya, pemegang amanah itu berhak sepenuhnya melaksanakan terma-terma yang ditetapkan dalam suratcara amanah tersebut.

Lagi pula, tidak ada sesiapa yang boleh membantah kehendak pemberi amanah apabila dia ingin melaksanakannya. Bapa saudari, selaku pemilik harta, mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk membuat sebarang syarat bagi memastikan niatnya terlaksana. Kelebihannya pula, bapa saudari boleh mengubah syarat-syarat yang ditetapkan jika di aberubah fikiran kemudian hari.

Adalah elok sekiranya al-Wisoyah ini dibuat secara bertulis agar tidak menimbulkan kesulitan dan keraguan di kemudian hari. Silalah rujuk kepada badan-badan professional yang menyediakan perkhidmatan ini.

Nota:
Di Negara Lubnan dan Mesir yang menerima pakai mazhab Hanafi, Maliki, Shafie dan Hanbali dalam hal ehwal pembahagian wasiat, kini menerima pakai pendapat mazhab Jaafari yang membenarkan waris-waris mendapat bahagian dalam peninggalan wasiat, walaupun ahli waris yang lain tidak bersetuju. Tetapi mazhab Jaafari masih menetapkan had harta pusaka yang boleh diwasiatkan ialah satu pertiga sahaja .

Panel Peguam Sisters In Islam.

SUAMI MOHON BEKU AKAUN

Soalan:

Saya sedang dalam proses perceraian. Mula-mula kes itu difailkan di Shah Alam, tetapi atas permohonan suami, kes saya didengar di Johor Bahru pula. Boleh ke dia buat macam ni? Dia bukannya tinggal di Johor, cuma ibubapanya saja yang tinggal di sana. Kemudian, dia telah memohon perintah Mahkamah untuk membekukan akaun saya kerana katanya untuk tuntutan harta sepencarian. Tapi itu hadiah daripadanya, kenapa dia kata harta sepencarian pula? Lagi pun, akaun itu bukannya akaun bersama, akaun itu atas nama saya sahaja. Saya tidak bekerja, duit dari akaun itulah punca pendapatan saya dahulu dan hadiah perkahwinan daripadanya dan keluarga. Sanggup dia buat saya macam ni.

Zabedah Mustar,
Subang

Jawapan:

Untuk menentukan di mana sepatutnya sesuatu tindakan Mahkamah dimulakan, Mahkamah akan melihat kepada alamat tempat tinggal kedua-kedua pihak yang terlibat. Ini adalah kerana bidang kuasa Mahkamah Syariah adalah berdasarkan tempat puan tinggal. Di Malaysia setiap negeri mempunyai Mahkamah Syariah yang terhad bidang kuasanya menurut setiap negeri dan mempunyai undang-undang syariah tersendiri.

Ini juga dapat menyenangkan pihak-pihak terbabit kerana proses tindakan di Mahkamah memerlukan mereka turun-naik Mahkamah beberapa kali juga, bergantung kepada kerumitan satu-satu kes.

Suami puan mungkin menggunakan alasan bahawa beliau kini menetap di Johor Bahru bersama dengan ibu bapanya dan menggunakan alamat tersebut sebagai alamatnya. Oleh itu beliau kini adalah tertakluk di bawah undang-undang syariah dan Mahkamah Syariah negeri Johor.

Tetapi Mahkamah harus mengambil kira keadaan puan juga. Puan berhak untuk membantah perpindahan kes ini atas alasan bahawa adalah sukar untuk puan berulang-alik ke Johor Bahru. Puan boleh menggunakan alasan bahawa ia akan menelan belanja yang banyak, tambahan lagi puan tidak bekerja. Puan haruslah menunjukkan kepada Mahkamah bahawa adalah lebih adil jika kes ini didengar di Shah Alam.

Malah puan juga mestilah menunjukkan kepada Mahkamah bahawa suami puan sebenarnya tidak tinggal di Johor Bahru tetapi hanyalah menggunakan alamat ibu bapanya sahaja. Puan hendaklah mengemukakan kepada Mahkamah bukti yang menunjukkan suami masih menetap di alamat tempat tinggalnya. Puan boleh membawa saksi yang menyatakan bahawa suami tidak tinggal di Johor Bahru dan apa-apa dokumen yang dapat menyokong fakta ini.

Bagi bahagian kedua persoalan puan itu pula, berkenaan harta sepencarian, kita perlu melihat kepada tafsiran perundangan apa itu harta sepencarian. Menurut seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003, “harta sepencarian" ertinya harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak.

Oleh itu, walaupun harta itu atas nama puan sahaja, tetapi jika suami berjaya membuktikan kepada Mahkamah bahawa dia ada menyumbang terhadap harta tersebut, maka Mahkamah akan memutuskan bahawa itu adalah harta sepencarian.
Tindakan suami puan yang mendakwa bahawa hadiah yang diberikannya kepada puan dahulu adalah harta sepencarian merupakan satu perkara yang sangat mengaibkan.

Dalam perbicaraan permohonan suami untuk membekukan akaun puan, puan hendaklah membawa bukti kepada Mahkamah bahawa harta tersebut bukanlah harta sepencarian dan ia adalah hadiah daripada suami.

Menurut hukum syarak, sesuatu hadiah atau hibah adalah lengkap apabila rukun-rukun hibah ini dipenuhi iaitu pihak-pihak yang melakukan aqad hibah iaitu pemberi hibah dan penerima hibah, aqad hibah melalui ijab dan qabul dan barang yang hendak dihibahkan itu.

Tindakan suami yang memasukkan wang ke dalam akaun atas nama puan boleh dilihat sebagai tindakannya menawarkan (ijab) hadiah kepada puan, dan juga tindakan puan menggunakan wang yang telah dimasukkan ke dalam akaun puan itu adalah tanda puan telah menerima (qabul) tawaran itu tadi.

Panel Peguam Sisters In Islam.

JANGAN PANDAN REMEH TERHADAP TUNTUTAN MUTAAH ISTERI

Soalan :

Salam SIS, saya adalah seorang ibu kepada tiga orang anak hasil perkahwinan saya dengan bekas suami. Saya bekerja sebagai pembantu am di sebuah pejabat di ibu kota. Keputusan penceraian saya telahpun disahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya. Namun, apa yang membuntukan adalah mengenai tuntutan mutaah kepada bekas suami. Bekas suami seolah-olah melambat-lambatkan persetujuan tuntutan mutaah dengan alasan tidak mampu. Untuk pengetahuan SIS, tuntutan yang dipohon oleh saya adalah amat wajar dan tidak keterlaluan. Jumlah yang dituntut berdasarkan kemampuan bekas suami. Bantulah saya untuk menghilangkan kebuntuan ini. Terima kasih SIS.

Isteri menuntut hak dan keadilan,
Petaling Jaya, Selangor

Jawapan :

Mutaah berasal daripada bahasa Arab al-mata’a iaitu benda, ia merujuk kepada suatu yang boleh dimanfaatkan dan digunakan seperti makanan serta perkakas rumah. Manakala dari segi istilah, mutaah bermaksud pemberian daripada bekas suami kepada isteri yang diceraikan sama ada berupa wang, pakaian atau nafkah untuk menghilangkan perasaan sedih bekas isteri serta menyenangkan hatinya.

Pendalilan hukum mutaah ialah firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 241 bermaksud:
Dan isteri-isteri yang dicertaikan berhak mendapat mutaah dengan cara yang patut sebagai satu tanggungan yang wajib bagi orang-orang bertakwa.

Pendalilan seterusnya termaktub dalam Surah al-Baqarah ayat 236 yang bermaksud: Walaupun demikian hendaklah kamu memberi mutaah (pemberian sagu hati) kepada mereka yang diceraikan itu, iaitu suami yang senang (hendaklah memberi sagu hati itu) menurut ukuran kemampuannya dan suami yang susah menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian sagu hati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang (yang mahu) berbuat kebaikan.

Manakala, pendapat Mazhab Shafie pula mentakrifkan mutaah sebagai harta wajib ke atas suami membayar isteri yang diceraikan pada masa hidup, sama ada perceraian itu berlaku sebelum bersatu dengan suami atau selepasnya.

Menurut perspektif undang-undang, seksyen 2 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 menyatakan, mutaah sebagai bayaran sagu hati yang diberi dari segi hukum syarak kepada isteri yang diceraikan. Mankala, seksyen 58 Enakmen tersebut memperuntukkan, pemberian mutaah yang boleh dituntut oleh pihak isteri diceraikan iaitu “selain daripada haknya untuk memohon nafkah seseorang perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mutaah atau pemberian sagu hati kepada mahkamah.

Merujuk kes Noor Bee lwn Ahmad Sanusi (1978) 1 JH (2) 63, penghakiman oleh hakim Harussani Zakaria memutuskan bahawa pemberian mutaah bukan sahaja wajib kerana kehilangan kasih, tetapi bertujuan menutup rasa malu dialami isteri, menghindarkan fitnah dan sebagai asas memulakan hidup bersendirian. Seorang isteri yang telah diceraikan akan berasa malu dan mungkin menerima prasangka buruk masyarakat sekeliling. Untuk menghilangkan prasangka buruk bahawa seorang itu diceraikan bukanlah kerana keaiban yang ada pada dirinya, maka mutaah diwajibkan ke atas suami. Manakala mengenai kadar jumlah mutaah, Hakim tersebut menyatakan bahawa keredaan kedua belah pihak memberi dan menerima jumlah mutaah. Jika tiada persetujuan, ia akan ditentukan Hakim mengikut hukum syarak berdasarkan status suami sama ada kaya atau miskin melihat kepada pekerjaan dan pendapatannya.

Oleh yang demikian, segala pengorbanan seperti menjaga anak hingga rumah tangga teratur, mendidik anak-anak sehingga berjaya dan kesan tindakan suami menceraikan puan adalah faktor-faktor yang akan diambilkira oleh mahkamah dalam menentukan jumlah mutaah. Selain itu, kemampuan kewangan bekas suami juga penting bagi pihak mahkamah memutuskan jumlah mutaah yang bersesuaian.

Kesimpulannya, bekas suami wajib memberi nafkah mutaah kepada bekas isterinya berdasarkan dalil dan peruntukan undang-undang yang dinyatakan di atas. Walaubagaimanapun, mahkamah boleh menentukan kadar mutaah berdasarkan kesesuaian kedudukan atau taraf suami isteri jika terdapat pertikaian dalam menentukan kadar jumlah bayaran mutaah. Puan juga disarankan agar mendapat khidmat peguam syarie bagi perjalanan proses mahkamah yang lancar.

Diharap segala penjelasan dan informasi yang diberikan dapat membantu puan dalam menuntut hak dan keadilan. Pemberian atau pembayaran mutaah kepada bekas isteri tidak boleh dipandang remeh oleh bekas suami.

Pihak kami amat mengalu-alukan sebarang pertanyaan lanjut mengenai perkara-perkara berkaitan. Semoga kemusykilan yang telah dihuraikan dapat memberi manfaat kepada semua.

ISTERI MAHU TUNTUT MUTAAH

Soalan :

Perceraian saya dan bekas suami (A) telah disahkan di mahkamah. Perkahwinan kami telah bertahan selama 15 tahun dan ada 3 orang cahayamata. Saya kini sedang dalam proses untuk menuntut mutaah. A telah memberitahu saya bahawa dia hanya akan membayar RM500 sebagai mutaah. Menurutnya mutaah ini hanya adat melayu, bukan menurut hukum Syarak. Di negara Islam lain, tiada bekas isteri yang dapat mutaah dan ia hanya ada di Malaysia. Dia juga berkata bahawa bayaran RM500 lebih dari cukup. Saya kini menjadi ragu-ragu, adakah apa yang A katakan itu benar? Bolehkah saya menuntut mutaah?

Azizah Harun,
Pantai Dalam 

Jawapan :

Selain daripada hak menuntut nafkah, seorang isteri yang diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mutaah atau pemberian saguhati. Hak itu bersandar kepada surah al-Baqarah, ayat 241 yang bermaksud, “Dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat mutaah dengan cara yang patut sebagai satu tanggungan yang wajib bagi orang-orang yang bertaqwa".

Juga dalam ayat 236 yang bermaksud, “Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi mutaah (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu)".

Daripada dua ayat ini, jelas menunjukkan mutaah yang menjadi hak isteri adalah bersandarkan kepada hukum Syarak.

Seksyen 56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan bahawa seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mutaah atau pemberian saguhati kepada Mahkamah. Selepas mendengar keterangan daripada kedua pihak dan berpuas hati bahawa isteri diceraikan tanpa sebab yang patut, Mahkamah boleh memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut hukum Syarak.

Dalam kes di Pulau Pinang, Noor Bee lwn Ahmad Shanusi (1978) 1 JH (2) 63, Mahkamah berpendapat bahawa mutaah bertujuan menutup rasa malu yang dialami oleh isteri, menghindarkan fitnah dan sebagai asas untuk memulakan hidup baru tanpa suami.

Selanjutnya, ayat 236 menerangkan bahawa kadar mutaah yang berpatutan hendaklah ditentukan menurut kemampuan suami.

Tentang kemampuan suami ini, kita boleh merujuk kepada kes Tengku Anun Zaharah lwn Dato Dr Hussein (1980) 3 JH 125 yang mana peguam pihak isteri telah merujuk kepada Kitab al-Ehwal Shaksiah fi Ahkam zaujat watalaq yang ada menerangkan bahawa apabila Sayidinna Hassan bin Abi Talib menceraikan isterinya, beliau telah menghantar 10,000 dinar kepada bekas isterinya sebagai bayaran mutaah. Jika pada zaman itu jumlah sedemikian boleh dibayar sebagai mutaah, maka jumlah $25,200 yang diminta sekarang tidaklah begitu tinggi memandangkan kemampuan dan keupayaan pihak suami. Dalam kes ini, Mahkamah Kadi Besar Selangor telah membenarkan tuntutan itu.

Dalam kes Noor Bee di atas, Mahkamah juga telah mengambil kira pengorbanan oleh isteri sepanjang perkahwinannya selain daripada kemampuan suami dalam memutuskan kadar mutaah yang patut diberikan kepada isteri.

Dalam permohonan mutaah kepada Mahkamah, puan boleh mengambil kira perkara-perkara seperti jumlah pendapatan, taraf hidup, umur, kesihatan dan hal ehwal kewangan puan dan bekas suami, tempoh perkahwinan dan keadaan perceraian tersebut berlaku untuk dipertimbangkan oleh Mahkamah dalam menentukan jumlah yang wajar dan patut diberikan kepada puan. 

Memandangkan mutaah ini bersandarkan kepada hukum Syarak, maka peruntukan tentang mutaah bukan sahaja terdapat di Malaysia. Terdapat juga negara-negara Islam lain yang memberi hak mutaah kepada isteri yang diceraikan. Di Indonesia misalnya, ada diperuntukkan tentang mutaah wajib dan mutaah sunat. Juga di negara Timur Tengah, undang-undang di Jordan, Syiria dan Mesir bersependapat bahawa pihak isteri berhak untuk mendapat bayaran pampasan iaitu mutaah apabila diceraikan oleh suami tanpa sebab yang patut atau munasabah.

X