BAPA TANGGUNG PENDIDIKAN ANAK

Soalan:

Saya mendapat hak penjagaan atas anak perempuan saya semasa bercerai dahulu. Mahkamah juga memerintahkan bekas suami membayar nafkah sebanyak RM250 sebulan. Ketika itu anak saya berumur 12 tahun. Anak saya kini ditawarkan belajar ke universiti. Saya tidak mampu membiayai yuran pembelajarannya. Saya sudah cuba berbincang dengan bapanya, tetapi dia mengatakan bahawa dia hanya perlu membayar nafkah sehingga anak saya berumur 18 tahun. Selepas itu dia tidak perlu membayar lagi. Adakah ini benar dan apakah yang boleh saya lakukan? Saya tidak mahu anak saya terlepas peluang keemasan ini.

Ami Ahmad
Kuala Lumpur

Jawapan:

Kehidupan seorang anak merupakan haknya yang tidak boleh diganggu atau disekat. Hak ini ditanggung di bahu ibubapa. Sudah menjadi kewajipan ibubapanya untuk memelihara, menjaga dan membekalkan ilmu kepada anaknya sehingga dia boleh berdikari.

Dalam surah al-Baqarah, ayat 233 (2:233), Janganlah menjadikan seorang ibu itu menderita kerana anaknya dan (jangan juga menjadikan) seorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan tersebut.

Sebuah hadith yang dihuraikan oleh Aisyah r.a. menyatakan bahawa Rasulullah telah bersabda: Hindun pernah bertanya: Ya Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufian (suami Hindun) seorang yang sangat bakhil. Dia tidak pernah memberi belanja kepadaku yang mencukupi diriku dan anakku kecuali apa yang aku ambil dari hartanya itu dan dia tidak mengetahuinya. Jawab Rasullah saw, Ambillah apa yang sekiranya boleh mencukupi dirimu dan anakmu dengan cara yang makruf, Riwayat Al-Bukhari dan Muslim.

Dalil-dalil di atas menunjukkan bahawa bapa bertanggungjawab memberi nafkah kepada anaknya.

Menurut seksyen 72 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, menyatakan adalah menjadi kewajipan bapa untuk menanggung nafkah anaknya. Kewajipan ini masih sama jika anak tersebut berada dalam jagaannya atau dalam jagaan orang lain.

Nafkah yang dimaksudkan adalah tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, pelajaran dan sebagainya.

Untuk mengupas persoalan jangkamasa pemberian nafkah, seksyen 79 Akta menyatakan tempoh masa perintah bagi nafkah anak.

Seksyen tersebut manyatakan bahawa perintah nafkah adalah tamat apabila anak telah mencapai umur 18 tahun.

Walaubagaimanapun jika perintah dibuat bagi anak perempuan yang belum berkahwin, atau bagi anak yang tidak berupaya menanggung dirinya disebabkan oleh kecacatan otak atau jasmani, maka perintah itu tidak terhenti walaupun anak itu mencapai umur 18 tahun.

Perintah melanjutkan pemberian nafkah juga boleh dilakukan untuk membolehkan anak itu mengikuti pelajaran atau latihan yang lebih tinggi. Oleh itu, walaupun anak itu sudah mencapai 18 tahun, tetapi, seperti dalam kes puan ini, demi melanjutkan pelajaran, bapanya haruslah menanggung perbelanjaan pembelajarannya sehinggalah dia tamat belajar.

Malah, puan juga boleh memohon kepada mahkamah untuk menaikkan jumlah nafkah memandangkan keperluan sudah bertambah.

Menurut seksyen 75 Akta, Mahkamah boleh mengubah perintah nafkah anak jika berpuas hati bahawa sesuatu perubahan penting telah berlaku. Dalam kes puan ini, perubahan penting tentunya keperluan anak yang memasuki universiti lebih banyak berbanding dengan keperluannya semasa di sekolah menengah. 

Ibubapa seharusnya bertanggungjawab memberi pendidikan yang sempurna kepada anak. Apa yang menjadi perkara pokok di sini adalah kepentingan dan kebajikan anak itu. Ingatlah, mendapat pendidikan yang sempurna adalah hak anak. 

Panel peguam

Sisters in Islam

BAPA WAJAR TANGGUNG NAFKAH ANAK SEHINGGA KE PERINGKAT UNIVERSITI

Soalan:

Saya telah bercerai dengan isteri pada bulan Jun yang lalu. Saya mempunyai tiga orang anak; yang sulung adalah perempuan berumur 18 tahun, bakal melanjutkan pelajaran di Universiti, yang kedua adalah lelaki berumur 15 tahun, belajar dan anak yang bongsu adalah perempuan berumur 4 tahun. Hak penjagaan anak-anak saya diberikan kepada bekas isteri dengan perintah mahkamah. Saya tahu menjadi kewajipan saya sebagai bapa mereka untuk memberi nafkah anak walaupun saya telah bercerai dengan isteri saya. Soalan saya ialah, sampai bila saya perlu memberi nafkah kepada anak-anak saya? Adakah saya perlu memberi nafkah kepada anak sulung walaupun dia sudah baligh? Bagaimana Mahkamah menentukan jumlah nafkah terhadap anak-anak?

Abah Abooya
Melaka

Jawapan:

Hukum Syarak mewajibkan nafkah anak disediakan oleh bapa. Kewajipan membayar nafkah anak berdasarkan firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat 233 yang menyatakan dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya.

Untuk makluman saudara, undang-undang keluarga termaktub di bawah undang-undang negeri. Oleh itu, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002 terpakai memandangkan saudara menetap di Melaka.

Seksyen 73 Enakmen tersebut memperuntukkan bahawa bapa berkewajipan untuk menanggung nafkah anak dalam apa jua keadaan walaupun hak penjagaan diberikan kepada bekas isteri. Nafkah yang dimaksudkan adalah merangkumi tempat tinggal, pakaian, makanan, dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.

Merujuk kepada soalan yang diajukan iaitu mengenai tempoh pemberian nafkah kepada anak-anak saudara. Jumhur Fuqaha berdasarkan dalil-dalil Al-Quran dan Hadith sependapat menyatakan bahawa seorang bapa wajib memberi nafkah untuk anak-anaknya dengan syarat:

1. Bahawa anak itu belum boleh berdikari. Bagi anak perempuan sehingga ia berkahwin atau sehingga ia ada pekerjaan.
2. Bahawa anak itu miskin tidak mempunyai harta sendiri untuk menafkahkannya.
3. Bapa itu mampu memberi nafkah.

Berdasarkan pendapat Fuqaha dan proviso tersebut, maka bapa wajib memberi nafkah untuk keperluan perbelanjaan seharian dan pembelajaran dan lain-lain keperluan mereka.

Manakala seksyen 80 Enakmen tersebut memperuntukkan bahawa hak anak-anak terhadap nafkah akan terhenti apabila anak itu mencapai umur 18 tahun. Tetapi seksyen ini juga membenarkan Mahkamah, atas permohonan anak, atau seseorang lain, untuk melanjutkan tempoh perintah nafkah tersebut bagi membolehkan anak menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi atau untuk mengikuti latihan lanjut.

Seperti yang dinyatakan di atas, bapa sememangnya berkewajipan dalam memberi nafkah terhadap anak-anaknya sehingga anak tersebut belum berkahwin bagi anak perempuan. Bagi nafkah anak sulung saudara, adalah wajar bagi saudara memberi hak nafkah terhadapnya walaupun telah baligh. Ini adalah selari dengan keperluannya dan keadaannya yang masih lagi belajar di Universiti.

Merujuk kepada kadar nafkah yang telah diperintahkan oleh Mahkamah, dapat dinyatakan di sini bahawa sesuatu kadar nafkah yang telah diperintahkan oleh Mahkamah tidaklah kekal dan boleh diubah. Perubahan kadar nafkah tersebut adalah berdasarkan kepada kemampuan bapa, keperluan anak-anak tersebut dan taraf ekononomi semasa. Perkara ini terdapat di bawah peruntukan seksyen 67 Enakmen tersebut. Contoh kes yang berkaitan dengan perubahan nafkah ini, kes Fatimah v Shaikh Mohamed (1977) 1 JH(1) 39,  Mahkamah telah mempertimbangan taraf hidup di Kuala Lumpur dan berpendapat bahawa kadar lama sebanyak RM90 tidak mencukupi untuk menampung kehidupan anak itu dan telah menaikkan kadar nafkah kepada RM110 sebulan.

Permohonan untuk mengubah perintah ini boleh dibuat oleh orang yang memberi nafkah, orang yang menerima nafkah, dan bagi anak yang belum baligh, penjaganya.

Sebarang maklumat lanjut, saudara boleh menghubungi pihak kami. Sekiranya saudara masih tidak jelas berkenaan prosedur perceraian ini, dinasihatkan agar mendapatkan khidmat guaman sama ada daripada Biro Bantuan Guaman atau Pusat Bantuan Guaman atau mana-mana peguam syarie bagi mendapatkan nasihat berhubung dengan prosedur tersebut.

Panel Peguam

Sisters in Islam

EX-HUSBAND NEGLECTED TO PAY CHILD MAINTENANCE FOR FIVE YEARS

Question:

I divorced five years ago. After a year, I filed a claim for maintenance in the Syariah Court. My husband promised me RM250 a month for our two children and that he would pay a weekly visit to the children. In the beginning, he complied with the Court Order. After a while, he neither saw nor paid child maintenance. It has been five years since he last paid child maintenance.

It has been very difficult for me to raise the children, especially since I no longer work. My children are still in school; one is in standard one while the other is still in kindergarten. My mother and older brother are currently supporting my children and I.

I have gone to Pulau Pinang’s Legal Aid Bureau for help and have been instructed to institute a new proceeding against my ex-husband. How long am I supposed to wait and do I have to initiate a new proceeding against him every time he does not pay up? I have reported this matter to the Bureau since a year ago but the response has always been that they are in the midst of sending letters. What am I supposed to do now?

Maznah Laili,
Pulau Pinang.

Answer:

Your husband’s action of not paying for child maintenance even though there is a Court Order is against the law. It is a serious offence under the Malaysian Syariah law as well as that of Hukum Syara’.

Pursuant to Malaysian Islamic laws, it is clear that it is the responsibility of the father to support the children. Section 72 (1) of the Pulau Pinang Family Law Enactment 1985 states that Unless there has been an agreement or if there is an Order of Court that provides otherwise, then it is the responsibility of a man to provide for his children’s maintenance whether the children are in his care or under the care of someone else, by providing for them shelter, clothing, food, medicine, and education as is reasonable depending on his abilities and standard of living or by providing for the expenses of shelter, clothing, food, medicine and education.

Based on this, the Court has given the Order for payment of your children’s maintenance. However, your husband’s act of disobeying the said Court Order means he has committed contempt of Court. Section 132 of the same Enactment provides that if a person who was given an Order of Court deliberately neglects to comply with the Court Order, the Court that made the Order can have him fined or imprisoned. For this purpose, you have to file an application in the same Court that had made the Order for maintenance.

Aside from that, you can also apply from the Court for an Order to enforce the Order for payment of maintenance. This Enforcement Order is to ensure that the Maintenance Order that was made by the Court is complied with by your husband.

In order to obtain this Enforcement Order, we can refer to the Pulau Pinang Syariah Civil Procedure Enactment 1999. Pursuant to Order 159 of the said Enactment, it is stated that judicial enforcement and the types of enforcement can be made via one or more of the following methods:-

1. Seizure and Sale Order
Whereby the Court can order for the movable properties of the judgment debtor (your husband) to be seized and sold and the proceeds to be passed to your children as maintenance.

2. Garnishment proceeding
Whereby the Court will hold the movable properties of the judgment debtor (your husband) which is under the ownership or control of a third party, or any debt owed by any third party to the judgment debtor (your husband), and the proceeds from the sale of the movable properties or the payment of said debts to be given to your children as maintenance.

3. Committal Order
Whereby the Court will seize and pass to the judgment creditor (you) any property of the judgment debtor (your husband) as ordered by said Court to be used as maintenance for your children.

4. Order to withhold payment of salary
Whereby the Court may order the employer of the judgment debtor (your husband) to withhold the payment of his salary until an amount is deducted therefrom to pay for your children’s maintenance.

Therefore, you have several choices in applying for a Court Order that best suits you and is most effective against your husband. The types of enforcement as listed above are some of the actions that the Court can take in order to ensure compliance on the part of your husband of the Maintenance Order.

For your information, pursuant to Order 147 of the Pulau Pinang Syariah Civil Procedure Enactment 1999, it is compulsory for your ex-husband to comply with any judgments made by the Court.

The above proceedings can help you and is very effective if you know his salary, financial situation as well as properties owned by your husband. You should discuss with the lawyer from the Legal Aid Bureau appointed to represent you in this case. Ask the said lawyer for the latest development in your case. If the lawyer informs you that he or she has already sent letters, ask him or her for the details of the letter; to whom the letter was addressed; the contents of the letter; when was the letter delivered, and what were the follow-up actions your lawyer had taken in regards to the said letter.

It is very important for you to obtain the above information so that you can decide on what to do next. Always communicate with your lawyer as he or she is the one responsible to ensure that your rights and interests are taken care of.

Panel Lawyers,

Sisters in Islam

LIMA TAHUN SUAMI ABAI NAFKAH ANAK

Soalan:

Saya sudah bercerai 5 tahun yang lalu. Selepas satu tahun saya membuat tuntutan nafkah di Mahkamah Syariah. Suami berjanji untuk memberikan RM250 untuk dua orang anak dan dia akan menziarahi anak seminggu sekali. Mula-mula, dia ikutlah perintah Mahkamah, tapi lama kelamaan, anak-anak pun tak pernah dia jenguk apatah lagi memberi nafkah. Sekarang dah masuk lima tahun dia tak beri nafkah anak-anak.

Amat sukar untuk saya membesarkan anak-anak, lebih-lebih lagi saya tidak bekerja sekarang. Anak-anak dah bersekolah, seorang darjah satu dan seorang tadika. Ibu dan abang sayalah yang menanggung perbelanjaan kami anak beranak.

Saya telah ke Biro Bantuan Pulau Pinang untuk mendapatkan bantuan. Biro tersebut menyuruh saya membuka kes baru. Masalahnya, berapa lama perlu saya tunggu dan adakah setiap kali bekas suami membuat masalah, saya perlu buka kes baru? Sudah setahun saya melaporkan hal ini kepada Biro tetapi balasan yang saya terima adalah mereka sedang menghantar surat. Apa yang perlu saya lakukan sekarang?

Maznah Laili, Pulau Pinang.

Jawapan:

Tindakan bekas suami puan yang sengaja tidak membayar nafkah anak-anak walaupun ada perintah dari Mahkamah merupakan satu tindakan yang menyalahi undang-undang dan merupakan satu kesalahan yang serius dari segi perundangan Islam di Malaysia dan juga dari segi hukum syarak.

Menurut perundangan Islam di Malaysia, telah dinyatakan dengan jelas dan terang bahawa adalah merupakan kewajipan bapa untuk menanggung anak-anak. Seksyen 72(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Pulau Pinang)1985 mengatakan bahawa Kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah Mahkamah memperuntukkan selainnya, maka adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.

Atas dasar inilah Mahkamah telah mengeluarkan perintah pembayaran nafkah kepada anak-anak puan. Namun, jika bekas suami mengingkari perintah tersebut, tindakannya merupakan satu penghinaan kepada Mahkamah. Seksyen 132 Enakmen memperuntukkan jika seseorang yang telah diberikan perintah oleh Mahkamah kemudian dengan sengaja cuai mematuhi perintah, Mahkamah yang membuat perintah itu boleh, mengarahkan supaya orang itu dikenakan denda atau boleh menjatuhkan hukuman penjara kepadanya. Tetapi puan hendaklah membuat permohonan kepada Mahkamah Syariah yang mengeluarkan perintah nafkah tersebut bagi tujuan ini.

Selain daripada itu, puan juga boleh membuat permohonan kepada Mahkamah untuk satu pelaksanaan perintah bagi mendapatkan hak anak-anak puan. Perintah pelaksanaan ini adalah untuk memastikan bahawa perintah nafkah yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah sebelum ini dilaksanakan oleh bekas suami puan yang akan dikuatkuasakan oleh Mahkamah.

Bagi mendapatkan perintah ini, seharusnya Enakmen Tatacara Mal Pulau Pinang 1999 dirujuk. Di bawah Aturan 159 Enakmen Tatacara Mal Pulau Pinang 1999 tersebut dinyatakan bahawa tindakan penguatkuasaan penghakiman dan jenis perlaksanaan boleh dibuat melalui satu atau lebih daripada cara-cara berikut:-

1. Perintah penyitaan dan penjualan
Di mana Mahkamah boleh merampas dan menjual harta alih penghutang penghakiman (suami) itu, dan memberikan hasil jualan harta tersebut kepada anak-anak puan sebagai bayaran nafkah.

2. Prosiding garnismen
Di mana Mahkamah akan menahan harta alih kepunyaan penghutang penghakiman (suami) yang berada dalam pemilikan atau kawalan pihak ketiga, atau hutang yang perlu dibayar oleh pihak ketiga tersebut kepada penghutang penghakiman (suami); dan hasilnya akan diberikan sebagai bayaran nafkah anak-anak.

3. Perintah pengkomitan
Di mana Mahkamah akan merampas dan menyerah kepada pemiutang penghakiman (isteri) mana-mana barang yang diperintahkan supaya diserahkan oleh penghutang penghakiman (suami) kepada pemiutang penghakiman (isteri) sebagai bayaran nafkah anak-anak.

4. Perintah penahanan pendapatan
Di mana Mahkamah akan menahan pendapatan penghutang penghakiman (suami). Ini membolehkan anak-anak puan mendapat nafkah terus dari pemotongan gaji bekas suami puan.

Oleh yang demikian, puan mempunyai pilihan untuk membuat permohonan yang difikirkan sesuai dan efektif terhadap suami puan. Jenis-jenis perlaksanaan ini adalah antara tindakan yang akan diambil oleh Mahkamah agar perintah dipatuhi oleh bekas suami.

Untuk makluman puan, di bawah Aturan 147 Enakmen Tatacara Mal Pulau Pinang 1999 ini, bekas suami puan wajib untuk mematuhi mana-mana penghakiman yang telah dikeluarkan.

Prosiding-prosiding di atas boleh membantu puan dan sangat efektif sekiranya puan mengetahui kedudukan harta yang dimiliki oleh bekas suami atau jumlah pendapatannya.

Puan hendaklah duduk berbincang dengan peguam daripada Biro Bantuan Guaman yang telah dilantik untuk mengendalikan kes puan ini. Minta daripada peguam tersebut maklumat terkini tentang kes puan. Jika peguam memberitahu bahawa beliau telah pun menghantar surat, tanya kepada peguam itu butir-butir lanjut tentang surat itu seperti, surat itu ditujukan kepada siapa, isi kandungan surat itu, bilakah surat itu dihantar dan apakah tindakan susulan yang telah diambil oleh peguam puan.

Sangatlah penting bagi puan mendapatkan maklumat-maklumat ini agar puan dapat membuat keputusan tentang langkah-langkah yang boleh diambil seterusnya. Sentiasalah berkomunikasi dengan peguam puan kerana dia bertanggungjawab untuk menjaga kepentingan puan dalam kes ini.

Panel Peguam

Sisters in Islam

NAFKAH ANAK TANGGUNGJAWAB BAPA (2)

Soalan:

SIS, ibu bapa saya telah berpisah sejak setahun lalu. Sejak berpisah bapa tidak pernah mempedulikan tentang anak-anaknya. Ibu terpaksa bekerja untuk menampung perbelanjaan rumah dan persekolahan kami adik beradik. Setahu saya walaupun ibu dan ayah telah bercerai tetapi tanggungjawab ayah untuk memberi nafkah kepada kami adik beradik tidak terhenti. Bolehkah SIS jelaskan dengan lebih lanjut?

Anak terbiar
Kg. Baru KL

Jawapan:

Pertalian darah antara anak dan bapa tidak terputus meskipun sesuatu perkahwinan itu telah berakhir. Bapa tetap perlu menjalankan tanggungjawabnya untuk memberi nafkah kepada anak-anak sehingga tamat pengajian peringkat tertinggi dan mampu berdikari.

Sesungguhnya kewajipan bapa untuk memberi nafkah kepada anak-anak merupakan perkara yang jelas dan dinyatakan dalam perundangan Islam di Malaysia dan juga hukum syarak.

Kita boleh lihat kewajipan bapa memberi nafkah dengan merujuk kepada surah al-Baqarah ayat 223 yang bermaksud, dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada (ibu dan anaknya itu) menurut cara yang adil.

Berdasarkan ayat inilah maka Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan seksyen 72 yang menyatakan bahawa adalah kewajipan bapa untuk memberi nafkah kepada anak-anak, tidak kira sama ada anak-anak itu di bawah jagaannya atau orang lain. Seksyen ini juga menyatakan bapa perlu menyediakan tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran atau sebagai gantinya, kos kepada perkara-perkara tersebut.

Manakala Seksyen 59(1) mentafsirkan nafkah sebagai tempat tinggal, pakaian, makanan, dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya. Dalam menentukan kemampuan bapa pula, antara faktor-faktor yang akan dipertimbangkan oleh Mahkamah ialah pendapatan dan tanggungan lain bapa dan sebagainya.

Kita boleh merujuk kepada kes Mohamed v Selamah (1980) 2 JH 95, di mana ibu telah memohon nafkah anak-anak yang berusia 13 dan 9 tahun sebanyak RM90 sebulan bagi kedua-dua anaknya. Bapa menyatakan bahawa pendapatan beliau ialah RM120 sebulan. Mahkamah juga telah mendapati bahawa bapa tidak mempunyai tanggungan lain dan tinggal bersama ibubapanya yang menjaga makan minum bapa ini. Mahkamah telah memutuskan bahawa bapa membayar RM70 sebulan sebagai nafkah anak-anaknya. Ini merupakan 58% daripada pendapatan bulanan bapa.

Alasan bahawa bapa tidak bekerja tidak boleh digunakan bagi mengelak pembayaran nafkah. Nafkah merupakan hak seorang anak dan ia mestilah ditunaikan. Anak tidak boleh dihukum dengan mengurangkan nafkahnya apabila terjadi perceraian. Ini tidak adil bagi anak tersebut. Bapa haruslah berusaha untuk memberi yang terbaik kepada anaknya termasuklah jumlah nafkah yang adil.

Sesuatu kadar nafkah yang telah diperintahkan oleh Mahkamah tidaklah kekal dan boleh diubah. Ia boleh diubah mengikut kemampuan bapa dan anak-anak. Nafkah anak yang masih kecil tentunya tidak sama jika anak tersebut telah bersekolah. Justeru itu Seksyen 62 Enakmen menyatakan bahawa Mahkamah berkuasa untuk mengubah sesuatu perintah pembayaran nafkah jika sesuatu perubahan telah berlaku.

Oleh itu jelaslah di sini bahawa bapa wajib memberi nafkah kepada anak-anaknya walaupun telah berlaku perceraian.

Panel Peguam

Sisters in Islam

SUAMI WAJIB BERTANGGUNGJAWAB

Soalan:

Suami saya sudah hampir setengah tahun tidak bekerja. Kami mempunyai empat orang anak, masing-masing berumur lima, empat, dua tahun dan yang bongsu baru berumur enam bulan.

Saya hantar anak-anak ke rumah ibubapa saya di Kedah kerana kami menghadapi masalah. Saya dan suami dalam proses kaunseling di Pejabat Agama kini. Minggu depan adalah sessi kedua.

Masalah kami; sejak berkahwin, suami tidak pernah beri nafkah secara tetap. Malah, seringkali dia tidak beri nafkah. Suami saya juga banyak berhutang dan sayalah yang terpaksa menanggung hutang piutangnya. Untuk mengelak daripada pengutip hutang, dia pernah melarikan diri selama dua minggu tanpa memberitahu apa-apa pun kepada saya.

Saya mahukan perceraian sebab tak tahan dengan sikapnya yang tidak mengambil berat soal anak-anak. Jika suami tidak pernah memberi nafkah, bolehkah saya meminta cerai?

Setiakaseh
Kuala Lumpur

Jawapan:
Perkahwinan merupakan satu tanggungjawab, bukan sahaja dari segi agama, malah merupakan tanggungjawab sosial juga. Menjaga kebajikan keluarga dan melindungi mereka daripada perkara-perkara buruk adalah antara tanggungjawab yang perlu dipenuhi.

Kewajipan memberi nafkah terletak di bahu suami. Seksyen 59 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memberi kuasa kepada mahkamah untuk mengeluarkan perintah pembayaran nafkah terhadap seseorang lelaki kepada isterinya, atau pun kepada bekas isterinya.

Seksyen 72 Akta juga mewajibkan seorang ayah memberi nafkah kepada anak-anaknya. Tambahan lagi, seksyen ini memberi kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan bukan sahaja seorang ayah membayar nafkah kepada anak-anaknya, malah kepada saudara-mara lelaki kepada anak-anak itu untuk memberi nafkah. Contohnya, datuk sebelah bapa anak-anak itu, ayah saudara sebelah bapa anak-anak itu.

Sebab mengapa saudara-mara lelaki sebelah bapa anak-anak itu dipertanggungjawabkan menjaga kebajikan mereka adalah kerana penetapan oleh hukum syara’. Ini juga sebab mengapa pembahagian harta pusaka melalui faraid memberi bahagian yang lebih kepada lelaki berbanding perempuan, iaitu 2:1. Kelebihan bahagian yang diberikan bermaksud tanggungjawab yang dipikul juga lebih. 

Oleh itu, kesan kedua-dua seksyen ini ialah, walaupun belum bercerai, puan boleh membawa tuntutan nafkah ini ke mahkamah dan mahkamah boleh memerintahkan suatu pembayaran nafkah.

Menjawab persoalan perceraian, menurut Akta, jika suami tidak memberi nafkah selama tiga bulan, maka isteri boleh menuntut perceraian melalui fasakh. Malah, ta’liq juga menyatakan bahawa jika suami mengabaikan isteri dan gagal memberi nafkah kepadanya selama empat bulan berturut-turut, maka, isteri berhak menuntut cerai.

Puan haruslah bersedia dengan bukti-bukti dan saksi-saksi yang boleh mengukuhkan dakwaan puan tentang suami tidak memberi nafkah dalam perbicaraan perceraian nanti.

Kami juga nasihatkan agar puan juga membuat tuntutan hak penjagaan anak-anak. Jika tiada perintah tentang hak penjagaan dibuat, maka isu ini tidak selesai dan mungkin akan menimbulkan kerumitan di kemudian hari. 

Berkenaan hutang suami, seeloknya puan membuat laporan polis tentang perkara ini. Ini untuk mengelakkan puan dan anak-anak di apa-apakan oleh pengutip hutang apabila suami menghilangkan diri sekali lagi.

Panel peguam

Sisters in Islam

SUAMI TIDAK MAMPU BAYAR NAFKAH ANAK

Soalan:

Suami saya mempunyai dua orang anak dengan bekas isterinya, masing-masing berusia 10 tahun (perempuan) dan empat tahun (lelaki). Bekas isterinya mendapat hak penjagaan kedua-dua anak tersebut.

Nafkah anak ditetapkan oleh hakim sebanyak RM300 sebulan. Suami saya membayar setiap bulan, tetapi dengan memberikan wang tunai melalui bekas bapa mertuanya. Bekas isterinya telah mengambil satu tindakan mahkamah menuntut tunggakan nafkah anak.

Semasa perbicaraan, dua kali suami saya gagal hadir atas sebab-sebab yang tertentu. Mahkamah kemudiannya memerintahkan suami saya membayar tunggakan nafkah sebanyak RM400 sebulan. Mana suami saya ada duit dengan gaji kecilnya. Apa yang boleh kami buat untuk mengurangkan jumlah bayaran nafkah ini kerana dia masih ada satu lagi keluarga untuk ditanggung. Suami saya juga ingin mengambil anak perempuannya yang kini sudah berusia 10 tahun kerana dia sering mengatakan mahu tinggal bersama suami saya. Bantulah kami.

Hamidah Salim,
Negeri Sembilan

Jawapan:

Berkenaan dengan masalah bayaran nafkah anak, puan dan suami boleh membuat permohonan kepada mahkamah untuk mengubah perintah nafkah yang telah diberi sebelumnya. Suami puan hendaklah menunjukkan kepada mahkamah bahawa permohonan itu adalah berasas dan terdapat perubahan yang amat penting selepas perintah diberi.

Suami puan hendaklah menunjukkan bukti-bukti bahawa dia ada memberi nafkah kepada bekas isteri dan anak-anak serta surat dari majikan yang menyatakan pendapatan bulanan yang sebenar kepada mahkamah. Lazimnya, mahkamah yang akan menentukan jumlah apa-apa nafkah yang hendak dibayar berdasarkan kemampuan dan pendapatan suami, dan juga diseimbangkan dengan keperluan anak-anak.

Mahkamah mempunyai kuasa untuk memutuskan kes berdasarkan bukti-bukti yang telah dibentangkan kepadanya. Oleh sebab suami puan gagal untuk menunjukkan bahawa dia ada membayar nafkah seperti yang telah diperintahkan, maka mahkamah telah memutuskan supaya suami puan membayar tunggakan nafkah anak-anak seperti yang telah dipohon oleh bekas isterinya.

Bagi tuntutan hak penjagaan, menurut seksyen 82 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003, ibu adalah yang paling berhak berbanding segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan.
Seksyen 84 enakmen tersebut juga menggariskan situasi di mana hak seorang ibu terhadap hak penjagaan anaknya atau hadhanah boleh hilang sekiranya;

(a) Jika ibu itu berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu yang orang itu dilarang berkahwin dengan kanak-kanak itu. Jika penjagaannya dalam hal sedemikian akan menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu tetapi haknya untuk penjagaan akan kembali semula jika perkahwinan itu dibubarkan;

(b) Jika ibu itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka;

(c) Jika ibu itu menukar pemastautinnya dengan tujuan untuk mencegah bapa kanak-kanak itu daripada menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak itu, kecuali bahawa seseorang isteri yang bercerai boleh mengambil anaknya sendiri ke tempat lahir isteri itu;

(d) Jika ibu murtad;

(e) Jika ibu mencuaikan atau menganiaya kanak-kanak itu.

Sekiranya puan dan suami ingin menggunakan mana-mana alasan yang telah dinyatakan, puan dan suami perlu mempunyai bukti yang kukuh untuk dibawa ke mahkamah.

Dalam menentukan hak penjagaan dan kehilangan hak yang telah diberikan, mahkamah akan mengutamakan kesejahteraan dan kebajikan anak tersebut. Ini adalah alasan utama di dalam penghakiman yang menyatakan bahawa keutamaan akan diberikan kepada kesejahteraan anak tersebut.

Umur anak juga penting kerana menurut seksyen 85(1) Enakmen, hak penjagaan ibu terhadap anak itu akan tamat apabila anak itu mencapai umur tujuh tahun (bagi anak lelaki) dan sembilan tahun (bagi anak perempuan). Namun, mahkamah masih boleh membenarkan hak penjagaan itu diberikan kepada ibunya sehingga anak itu mencapai umur sembilan tahun (bagi anak lelaki) dan 11 tahun (bagi anak perempuan).

Seksyen 85(2) Enakmen menyatakan bahawa setelah hak penjagaan ibu tamat, maka hak tersebut akan jatuh kepada bapa. Jika anak itu telah mencapai umur mumaiyiz (umur kecerdikan), maka anak itu berhak untuk memilih sama ada mahu tinggal dengan ibu atau bapanya.

Oleh sebab anak perempuan suami puan menyatakan kemahuannya untuk tinggal bersama suami puan, mahkamah terlebih dahulu akan menimbangkan kebajikan kanak-kanak tersebut selain melihat kepada kemahuan anak itu. Jika berpuas hati, mahkamah akan memerintahkan supaya suami mendapat hak penjagaan.

Panel Peguam

Sisters in Islam

SUAMI TANGGUNG NAFKAH ANAK TIRI

Soalan:

Saya telah bercerai dan berkahwin lain. Mahkamah ada mengeluarkan perintah mengarahkan bekas suami saya membayar nafkah untuk anak-anak, tetapi dia langsung tidak pernah bayar. Sebaliknya, suami baru saya yang membiayai semua keperluan anak-anak daripada perkahwinan pertama saya. Perlukah dia memberi nafkah kepada anak-anak saya sedangkan bapa kandung mereka masih hidup? Bagaimana boleh saya tuntut nafkah daripada bekas suami saya?

Noor Sinar Suria,
Kuala Lumpur.

Jawapan:

Nafkah anak-anak merupakan hak mereka yang diperuntukkan di bawah ajaran Islam dan juga undang-undang syariah. Adalah amat aib bagi seorang bapa yang mampu memberi nafkah untuk anak-anak kandungnya, tetapi dengan sengaja tidak berbuat demikian.

Meskipun puan sudah bercerai dengan bekas suami dan berkahwin lain, tidak bermakna dia boleh lari daripada tanggungjawabnya terhadap anak-anak di bawah jagaan puan. Tanggungjawab bapa membayar nafkah anak tidak terhapus hanya kerana ada orang lain yang boleh menyara anak-anaknya.

Kepentingan nafkah bukan sekadar untuk memastikan anak-anak hidup dalam keadaan cukup serba-serbi. Nafkah turut berfungsi sebagai pengerat hubungan antara bapa dengan anak-anak kerana ia menunjukkan bahawa dia masih sayang dan mengambil berat akan kebajikan anak-anaknya, walaupun hubungan suami-isteri telah putus.

Kewajipan bapa membayar nafkah anak termaktub di bawah Seksyen 72 (1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984. Seksyen ini menyatakan bahawa, melainkan terdapatnya perjanjian antara ibu bapa atau ada perintah mahkamah yang memperuntukkan sebaliknya, bapa wajib memberi nafkah kepada anak-anaknya sama ada mereka berada dalam jagaannya atau orang lain.

Untuk makluman puan, puan boleh memohon perintah pelaksanaan di mahkamah supaya bekas suami puan membayar nafkah anak-anak demi mengatasi masalah yang puan hadapi. Perintah ini bertujuan memastikan perintah nafkah yang telah dikeluarkan oleh mahkamah sebelum ini dipatuhi oleh bekas suami puan.

Merujuk kepada Seksyen 159 Akta Tatacara Mal (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998, terdapat beberapa cara pelaksanaan perintah yang boleh dibuat:

(a) Perintah penyitaan dan penjualan di mana mahkamah boleh merampas dan menjual harta alih bekas suami puan, dan menyerahkan hasilnya kepada puan sebagai bayaran nafkah;

(b) Prosiding garnismen di mana mahkamah akan menahan dan menjual harta alih kepunyaan bekas suami puan yang berada dalam milikan atau kawalan pihak ketiga, atau menahan hutang yang perlu dibayar oleh pihak ketiga kepada bekas suami puan, dan hasilnya akan diberikan sebagai bayaran nafkah anak-anak;

(c) Perintah pengkomitan di mana mahkamah akan merampas mana-mana barang yang diperintahkan untuk diserahkan oleh bekas suami puan kepada puan dan menyerahkan barang tersebut sebagai bayaran nafkah anak-anak; dan

(d) Perintah penahanan pendapatan di mana mahkamah akan menahan dan memotong sebahagian daripada wang pendapatan bekas suami puan untuk diberikan kepada anak-anak puan sebagai nafkah.

Jenis pelaksanaan yang disenaraikan di atas adalah tindakan-tindakan yang akan diambil oleh mahkamah agar perintah bayaran nafkah dipatuhi oleh bekas suami puan. Puan boleh memilih kaedah pelaksanaan perintah yang difikirkan sesuai dan efektif terhadap bekas suami puan.

Seperkara lagi, menurut Seksyen 147 Akta yang sama, bekas suami puan sebenarnya wajib mematuhi perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah.

Perbuatan mengingkari perintah mahkamah merupakan satu penghinaan kepada mahkamah. Seksyen 132 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan bahawa seseorang yang telah diberikan perintah oleh mahkamah, tetapi dengan sengaja cuai mematuhi perintah tersebut, mahkamah yang membuat perintah itu boleh mengarahkan orang itu didenda atau dipenjarakan.

Memandangkan bekas suami puan telah mengingkari perintah mahkamah dengan tidak membayar nafkah, dia boleh dihukum menurut Seksyen 132 seperti yang disebut di atas. Tetapi, puan perlu membuat aduan ke mahkamah yang mengeluarkan perintah nafkah tersebut bagi tujuan ini.

Untuk pengetahuan puan juga, seksyen 78 (3) Akta yang sama membenarkan suami baru puan menuntut sejumlah wang yang telah dia gunakan untuk menyara anak-anak puan daripada bekas suami puan.

Panel peguam

Sisters in Islam

PROSEDUR MOHON NAFKAH ANAK

Soalan:

Saya dan bekas suami bercerai 3 tahun yang lepas. Kedua-dua orang anak kami yang berumur 2 dan 3 tahun ditinggalkan di bawah penjagaan saya. Oleh kerana suami sering abai membayar nafkah anak-anak, saya membuat tuntutan di Mahkamah Syariah. Mahkamah keluarkan perintah supaya dia membayar RM500 seorang setiap bulan untuk anak-anak kami. Pada mulanya dia ikutlah perintah mahkamah tapi lama kelamaan, anak-anak pun tak pernah dia jenguk apatah lagi memberi nafkah. Sekarang sudah hampir 2 tahun dia tak beri nafkah kepada anak-anak. Apa lagi yang saya boleh lakukan sekarang?

Salmah Hassan
Melaka.

Jawapan:

Melalui pengalaman kami di Sisters in Islam, masalah yang dihadapi oleh puan ini merupakan salah satu cabaran utama yang sentiasa dihadapi oleh ibu tunggal di Malaysia dalam membesarkan anak-anak selepas perceraian.

Tindakan bekas suami puan yang sengaja tidak membayar nafkah anak-anak walaupun ada perintah dari Mahkamah bukan sahaja satu tindakan yang tidak bermoral, ia juga menyalahi undang-undang dan merupakan satu kesalahan yang serius dari segi undang-undang dan juga hukum syarak. 

Di dalam surah al-Baqarah ayat 223, Allah saw berfirman bahawa dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada (ibu dan anaknya itu) menurut cara yang adil.

Menurut perundangan Islam di Malaysia, telah dinyatakan dengan jelas dan terang bahawa adalah merupakan kewajipan bapa untuk menanggung anak-anak. Seksyen 73(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Melaka 2004 memperuntukkan bahawa kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah Mahkamah memperuntukkan selainnya, maka adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.

Atas dasar inilah Mahkamah telah mengeluarkan perintah pembayaran nafkah kepada anak-anak puan. Namun, jika bekas suami mengingkari perintah tersebut, tindakannya merupakan satu penghinaan kepada Mahkamah. Seksyen 133 memperuntukkan jika seseorang yang telah dengan sengaja cuai mematuhi perintah,  Mahkamah boleh, mengarahkan supaya dia dikenakan denda atau boleh dipenjara. Tetapi puan hendaklah membuat permohonan kepada Mahkamah Syariah yang mengeluarkan perintah nafkah tersebut bagi tujuan ini.

Selain daripada itu, puan juga boleh membuat permohonan kepada Mahkamah untuk satu pelaksanaan perintah bagi mendapatkan hak anak-anak puan. Perintah pelaksanaan ini adalah untuk memastikan bahawa perintah nafkah yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah sebelum ini dilaksanakan oleh bekas suami puan yang akan dikuatkuasakan oleh Mahkamah.

Bagi mendapatkan perintah ini, Enakmen Tatacara Mal Negeri Melaka 2002 perlulah dirujuk. Di bawah Aturan 159 Enakmen Tatacara Mal Negeri Melaka 2002 tersebut dinyatakan bahawa tindakan penguatkuasaan penghakiman dan jenis perlaksanaan boleh dibuat melalui satu atau lebih daripada cara-cara berikut:-

1. Perintah penyitaan dan penjualan
Di mana Mahkamah boleh memerintahkan harta-harta alih milik suami disita dan dijual secara lelong. Hasil jualan harta tersebut diberi kepada anak-anak puan sebagai bayaran nafkah.

2. Prosiding garnismen
Di mana Mahkamah memerintahkan supaya harta alih kepunyaan suami yang dimiliki atau dikawal oleh pihak ketiga ditahan dan dijual. Sekiranya tiada harta, maka apa-apa hutang yang perlu dibayar oleh pihak ketiga kepada suami. Hasil jualan atau hutang akan diberikan sebagai bayaran nafkah anak-anak.

3. Perintah pengkomitan
Di mana Mahkamah akan merampas dan menyerah kepada isteri mana-mana barang yang telah diperintahkan untuk diserah kepada isteri. Barang-barang ini boleh dijual oleh isteri bagi mendapatkan bayaran nafkah anak-anak.

4. Perintah penahanan pendapatan
Dimana Mahkamah akan menahan pendapatan suami. Ini membolehkan anak-anak puan mendapat nafkah terus dari pemotongan gaji bekas suami puan.

Oleh yang demikian, puan mempunyai pilihan untuk membuat permohonan yang difikirkan paling sesuai dan efektif terhadap suami puan. Jenis-jenis perlaksanaan ini adalah antara tindakan yang boleh diambil oleh Mahkamah agar perintah dipatuhi oleh bekas suami.

Bekas suami puan wajib untuk mematuhi mana-mana penghakiman yang telah dikeluarkan. 

Prosiding-prosiding di atas boleh membantu puan dan sekiranya puan mengetahui kedudukan harta yang dimiliki oleh bekas suami atau jumlah pendapatannya.

Panel Peguam

Sisters in Islam

POTONG GAJI BAYAR NAFKAH ANAK

Soalan:

Saya dan suami bercerai secara baik pada 2002 yang lalu. Semasa perintah perceraian dikeluarkan, bekas suami bersetuju untuk membayar nafkah dua orang anak sebanyak RM200 sebulan. Tetapi dia tidak pernah membayar dengan tetap.Jika saya minta baru dia beri, jika tidak, senyap saja. Tetapi kini perbelanjaan anak-anak semakin meningkat kerana keperluan persekolahan mereka. Apabila saya berbincang dengan bekas suami, dia bersetuju dan berjanji akan memberi RM1,000 sebulan untuk nafkah anak. Tetapi, macam biasa, hanya cakap-cakap kosong. Bagaimanakah caranya saya nak pastikan anak-anak saya mendapat hak mereka?

MAHIMA MOKHTAR,
Shah Alam, Selangor.

Jawapan:

Kami di Sisters in Islam sentiasa menekankan bahawa nafkah anak merupakan hak anak-anak. Ibu bapa seharusnya peka terhadap kepentingan dan kebajikan anak-anak. Walaupun telah bercerai, tanggungjawab terhadap anak-anak berterusan.

Semakin membesar anak itu, semakin meningkat dan bertambah keperluan mereka. Mengambil kira kepentingan dan kebajikan anak-anak, undang-undang menyediakan peruntukan yang membolehkan ibu atau bapa mengubah perintah jumlah nafkah yang telah diberikan oleh mahkamah.

Apa yang penting dibuktikan di sini ialah keperluan anak-anak itu. Puan haruslah menunjukkan kepada mahkamah perbelanjaan keperluan anak-anak. Tujuannya supaya mahkamah mendapat gambaran sebenar tentang keperluan hidup anak-anak puan kini. Jika dulu anak-anak tidak bersekolah, perbelanjaannya kurang berbanding dengan anak-anak yang bersekolah.

Contohnya, puan bolehlah menunjukkan kepada mahkamah pembelian buku-buku sekolah, bayaran pengangkutan ke sekolah, yuran-yuran berkaitan dengan persekolahan anak-anak, wang saku harian, dan sebagainya.

Tetapi, mahkamah juga akan melihat kepada kemampuan bekas suami. Puan juga harus bersedia menunjukkan kepada mahkamah bahawa bekas suami mampu untuk memberi nafkah sebanyak RM1,000 sebulan kepada anak-anak. Jika mahkamah mendapati bahawa bekas suami bergaji kecil, maka, mahkamah akan memutuskan satu jumlah yang mahkamah rasa adil bagi bekas suami dan juga anak-anak puan.

Bagi menjamin anak-anak mendapat nafkah daripada bekas suami secara tetap, undang-undang membolehkan puan memohon perintah potongan gaji. Puan boleh membuat permohonan ini serentak dengan permohonan ubah perintah kepada nafkah anak-anak.

Bagi perintah seperti ini, mahkamah akan mengeluarkan perintah tersebut kepada majikan bekas suami puan. Apabila perintah tersebut dikeluarkan, puan haruslah menghantar salinan perintah tersebut kepada majikan bekas suami. Dengan cara ini, pihak majikan bekas suami akan membayar nafkah anak-anak puan sebelum mengeluarkan gaji kepada bekas suami.

Majikan wajib mematuhi perintah mahkamah tersebut. Jika mereka ingkar, tindakan menghina mahkamah boleh diambil terhadap majikan itu.

Panel peguam

Sisters in Islam

NAFKAH - SUAMI WAJIB BAYAR

Soalan:

Saya telah bercerai dengan suami saya lapan tahun lalu di Shah Alam. Kami mempunyai dua anak lelaki berusia 15 dan 10 tahun serta seorang anak perempuan berusia 7 tahun. Hak penjagaan anak telah diberi kepada saya, dan suami sepatutnya membayar nafkah anak. Tetapi sehingga kini dia tidak pernah membayar sebarang wang nafkah kepada saya.

Bolehkan saya menuntut nafkah yang telah tertunggak dan apa-apa perintah bagi memastikan bayaran nafkah dihantar kepada saya setiap bulan? Suami sering mengugut untuk mengambil hak penjagaan anak setiap bulan?

Suami juga sering mengugut untuk mengambil hak penjagaan anak sekiranya saya berkahwin lagi. Bolehkan dia berbuat demikian?

Sheila Dali

Jawapan:

Berhubung permasalahan ini, rujukan akan dibuat berdasarkan Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan.

Sekiranya puan telah mendapat perintah Mahkamah Syariah bagi hak penjagaan dan nafkah anak, di mana bekas suami telah dan masih gagal mematuhi perintah tersebut, maka puan boleh membuat permohonan penguatkuasaan dan perlaksanaan atas kegagalan mematuhi perintah yang diperoleh sebelum ini.

Permohonan seperti ini hanya boleh dipohon selepas terdapat perintah sebelumnya dan pihak terbabit gagal mematuhi perintah tersebut. Permohonan hendaklah dibuat di mahkamah sama yang mengeluarkan perintah sebelumnya.

Permohonan puan itu berkisar mengenai perintah yang telah diperoleh dan pembuktian terhadap kegagalan bekas suami mematuhi perintah membayar nafkah anak.

Puan boleh memohon perintah perlaksanaan, iaitu tindakan yang boleh dibuat ke atas tunggakan nafkah anak tersebut. Jika tunggakan nafkah itu diperintahkan agar dibayar secara ansuran bulanan, puan boleh memohon agar ia dibuat secara perintah tahanan pendapatan tenaga.

Ini bermaksud Mahkamah Syariah boleh mengeluarkan perintah kepada majikan bekas suami puan agar memotong gaji setiap bulan dan diberikan terus kepada puan.

Selain itu, puan juga boleh memohon perintah penyitaan dan penjualan, iaitu Mahkamah Syariah memerintahkan harta-harta milik suami disita dan dijual secara lelong.

Hasil wang lelong tersebut, setelah ditolak kos, akan diberi kepada puan untuk membayar tunggakkan nafkah anak.

Jika bekas suami puan tidak mampu membayar penghakiman hutang tunggakan itu, dan tiada harta yang boleh disita atau dilelong, serta dalam masa yang sama puan tahu dan boleh membuktikan ada orang ketiga berhutang dengan bekas suami, puan boleh memohon perintah agar orang ketiga tersebut membayar terus hutangnya kepada puan di bawah prosiding hiwalah.

Puan juga boleh memohon perintah pengkomitan yang mengakibatkan bekas suami puan dipenjara atas kegagalannya dengan sengaja mematuhi perintah mahkamah.

Bagi memastikan bekas suami membayar nafkah pada waktu seterusnya, puan boleh memohon agar Mahkamah Syariah memerintahkan bekas suami mencagarkan hartanya kepada pemegang amanah supaya membayar nafkah tersebut.

Seterusnya ialah isu hak penjagaan anak atau hadhanah. Hak penjagaan anak lelaki akan tamat ketika anak itu mencapai umur tujuh tahun dan boleh dilanjutkan dengan kebenaran Mahkamah Syariah sehingga sembilan tahun.

Jika anak lelaki itu mencapai umur kecerdikan (mumaiyiz) maka anak puan itu berhak memilih untuk tinggal sama ada dengan ibu atau bapanya.

Pihak mahkamah akan menentukan umur mumaiyiz bagi kanak-kanak tersebut dan berbeza dari seorang kanak-kanak dengan kanak-kanak yang lain.

Oleh itu, bagi kedua-dua anak lelaki puan, keputusan untuk mereka tinggal dengan siapa adalah di tangan mereka kerana mereka telah mencapai umur mumaiyiz.

Manakala hak penjagaan bagi anak perempuan akan tamat ketika anak perempuan itu berumur sembilan tahun dan boleh dilanjutkan dengan kebenaran Mahkamah Syariah sehingga 11 tahun. Setelah umurnya mencapai umur mumaiyiz, dia juga berhak memilih untuk tinggal sama ada dengan ibu atau bapanya.

Oleh itu bekas suami puan boleh memohon kepada Mahkamah Syariah untuk mengubah perintah hadhanah kepadanya jika puan berkahwin dengan orang tiada pertalian dengan anak puan dalam tempoh anak perempuan puan belum mencapai umur mumaiyiz.

Akan tetapi jika Mahkamah Syariah mendapati anak perempuan puan telah mencapai umur mumaiyiz, walaupun usianya baru lapan tahun, maka dia boleh menggunakan haknya memilih untuk tinggal sama ada dengan puan atau bekas suami puan.

Tambahan pula jika puan boleh membuktikan kepada Mahkmah Syariah bahawa perkahwinan puan itu tidak akan menjejaskan kebajikan anak perempuan tersebut, malah sebaliknya akan berlaku jika dia bersama bekas suami puan. Maka hak hadhanah akan tetap diberi kepada puan.

Bagaimanapun, hak hadhanah anak perempuan akan hanya terlucut jika terdapat perintah merubahnya oleh Mahkamah Syariah.

Ini bermakna selagi bekas suami puan tidak membuat permohonan untuk mengubah perintah sedia ada, dan selagi perbicaraan mengenainya belum tamat dengan perintah yang baru dikeluarkan, puan masih berhak terhadap hadhanah anak perempuan puan.

Panel Peguam

Sisters in Islam

NAFKAH HAK ASASI ANAK

Soalan:

Saya dan suami telah mengambil keputusan untuk berpisah. Atas sebab-sebab tertentu, kami sudah tidak dapat hidup bersama. Perceraian kami ini akan dibuat secara baik iaitu suami akan melafazkan talaq ke atas saya di mahkamah syariah.

Kami kini sedang berbincang berkenaan hal pembayaran nafkah untuk dua orang anak saya, anak perempuan berumur 10 tahun dan anak lelaki 7 tahun. Suami saya telah bersetuju untuk membayar nafkah buat mereka tetapi kami tidak pasti berapa lama nafkah ini perlu dibayar menurut hukum syara’ dan juga undang-undang. Kami ingin mendapat sedikit penjelasan tentang hal ini.

Mahsuri Kencana & Hamzah Fansuri,
Pahang Darul Makmur

Jawapan:

Perkahwinan merupakan mahligai indah bagi pasangan suami isteri. Namun, ada keadaan yang memerlukan mereka berpisah demi kebaikan semua pihak.

Selaras dengan ajaran Islam, pasangan yang mahu bercerai seeloknya memutuskan ikatan perkahwinan dengan cara yang baik. Ini dapat kita lihat melalui ayat 229 surah al-Baqarah yang bermaksud, “…Berbaiklah dengan cara yang maaruf atau bercerailah dengan cara yang baik."

Kami di Sisters in Islam memuji keputusan anda berdua untuk menyelesaikan masalah dengan cara yang berhemah. Tambah membanggakan lagi apabila suami puan menyedari tanggungjawabnya dan bersetuju memberi nafkah kepada anak-anak walaupun selepas bercerai nanti.

Baik dari segi ajaran mahupun undang-undang Islam ada memperuntukkan bagi pembayaran nafkah oleh bapa untuk anak-anaknya walaupun selepas puan dan suami bercerai.

Selaras dengan seksyen 73(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Pahang) 2005, adalah wajib bagi bapa menyediakan nafkah yang merangkumi tempat tinggal, makanan, pakaian, perubatan dan pelajaran buat anak-anaknya.

Berkenaan jangkamasa pembayaran nafkah anak, ia bergantung kepada sama ada wujudnya persetujuan antara anda berdua. Jika puan dan suami bersetuju agar nafkah anak-anak dibayar bagi sesuatu tempoh masa, ini tidaklah melanggar apa-apa undang-undang. Begitu juga halnya menurut ajaran Islam yang menggalakkan muafakat.

Namun begitu, mahkamah boleh menetapkan jangkamasa tertentu untuk bayaran nafkah anak. Menurut Seksyen 80 Enakmen yang sama, tempoh jangkamasa untuk membayar nafkah anak yang boleh diperintahkan oleh mahkamah secara umumnya adalah sehingga anak itu mencapai usia 18 tahun. Namun begitu, jika anak itu masih belajar, bapanya masih wajib memberi nafkah demi menampung pembelajarannya di peringkat tinggi.

Seksyen tersebut juga memperuntukkan bahawa anak perempuan boleh mendapat nafkah daripada ayahnya sehinggalah dia berkahwin.

Tiada satu kaedah pengiraan yang tetap dalam menentukan nilai nafkah. Jumlah nafkah yang harus dibayar oleh suami puan akan ditentukan oleh mahkamah syariah selaras dengan seksyen 73(1) Enakmen yang sama. Seksyen ini menyatakan bahawa mahkamah syariah akan membuat pentaksirannya berasaskan nilai yang munasabah menurut kemampuan dan taraf hidup suami puan tetapi dengan mengambilkira keperluan anak-anak puan .

Puan dan suami bolehlah berbincang tentang tempoh masa pembayaran nafkah anak dan juga jumlah yang difikirkan patut. Nafkah anak merupakan hak asasinya. Oleh itu, kebajikan dan kepentingan anak haruslah diutamakan.

Suka kami nasihatkan agar persetujuan ini dapat dibuat secara bertulis dan boleh diajukan ke mahkamah semasa permohonan perintah persetujuan ini dibuat kelak. Perjanjian bertulis ini penting untuk mengelakkan kekeliruan dan kesulitan yang mungkin timbul kelak.

Diharap penjelasan di atas sedikit sebanyak membantu puan dan suami akan undang-undang berkenaan pembayaran nafkah anak.

Panel Peguam

Sisters in Islam

NAFKAH ANAK - TERHENTI SETELAH SUAMI BERPINDAH

Soalan:

Saya telah bercerai pada tahun 1999. Saya mempunyai tiga orang anak. Mahkamah telah memberi saya hak penjagaan dan memerintahkan suami membayar nafkah secara potongan gaji. Pada tahun 2001, bekas suami telah berkahwin dan berpindah ke Sabah. Sejak dari itu nafkah anak telah terhenti.

1. Dan kini saya ingin membuat tuntutan nafkah tetapi malangnya saya tidak tahu siapa majikan sekarang.

2. Saya telah bertanya dengan saudara-mara bekas suami, malangnya mereka tidak tahu atau mungkin enggan bekerjasama.

* Saya pernah mengajukan soalan ini kepada bekas suami, tetapi dia berkata dia tidak ada duit dan tolong faham situasi dia sekarang.

3. Saya ada membuat aduan kepada Mahkamah syariah, tetapi mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana tiada alamat.

4. Malah saya telah dapat perintah Mahkamah untuk mendapatkan alamat majikan bekas suami melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sekali lagi saya kecewa kerana pegawai berkenaan mengatakan mereka tertakluk kepada etika kerja dan segala maklumat adalah rahsia rasmi.

5. Dan kini saya akan membuka kes ini di Biro Bantuan Guaman tetapi peguam di sana mengatakan susah untuk berurusan sebab tiada alamat.

6. Oleh itu saya perlukan pandangan dan nasihat dari pihak tuan/puan mengenai masalah ini dan kepada siapa lagi perkara ini boleh dirujuk. Dan sekiranya bekas suami tidak bekerja, hidup atas ehsan isteri sekarang adakah dia terlepas dari tanggungjawab ini. Yang musykilnya, saya tengok dia sihat dan sesekali pulang ke Semenanjung dengan kapal terbang, kenapa dia kata dia tidak bekerja.

Maria Suffian,
Kuala Lumpur

Jawapan:

Nafkah seorang anak adalah merupakan hak anak tersebut. Adalah amat aib apabila seorang bapa yang mampu memberi nafkah, dengan sengaja tidak memberi nafkah. Walaupun anak kini di bawah jagaan ibu, tidak bermakna bapa boleh lari dari tanggungjawabnya. Nafkah tersebut adalah bagi anak dan sememangnya ia amat diperlukan. Malah ia juga boleh dianggap sebagai pengerat hubungan bapak-anak kerana ia menunjukkan bahawa bapa masih bertanggungjawab ke atas anak walaupun hubungan suami-isteri telah terputus.

Puan telah memberi kami Perintah Mahkamah yang puan terima, tetapi dokumen tersebut bukanlah suatu perintah yang perlu dipatuhi oleh KWSP. Dokumen tersebut hanyalah satu surat permohonan daripada Mahkamah meminta maklumat majikan bekas suami puan yang terkini. Oleh itu, seperti yang telah dinyatakan oleh pegawai KWSP kepada puan, pihak KWSP tidak perlu untuk mematuhi permohonan dan memberi maklumat yang dipinta.

Apa yang boleh puan lakukan sekarang (dengan anggapan bahawa bekas suami bekerja) ialah puan boleh memohon ke Mahkamah suatu Perintah terhadap KWSP untuk memberi alamat majikan yang terkini bekas suami puan. Ini adalah satu permohonan yang baru dan tidak berkaitan dengan perintah nafkah yang puan telah terima. Perintah ini boleh dipohon dengan merujuk kepada Aturan Aturan 244, Akta tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998, yang mana memperuntukkan bahawa Mahkamah mempunyai kuasa sedia ada untuk membuat apa-apa perintah bagi menegakkan keadilan.

Apabila perintah tersebut diperoleh, langkah berikutnya, puan perlu memohon kepada Mahkamah untuk mengubah perintah yang terdahulu supaya potongan gaji boleh dikuatkuasakan ke atas majikan terkini bekas suami puan. Ini adalah kerana jika puan merujuk kepada perintah yang telah puan peroleh, ia adalah kepada majikan dahulu. Oleh itu nama dan alamat majikan haruslah diubah. Permohonan ini boleh dilakukan di bawah seksyen 75 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 yang memberi Mahkamah kuasa untuk mengubah perintah nafkah anak-anak puan.

Sekiranya suami puan tidak bekerja (Seperti yang telah beliau maklumkan kepada puan) atau pun puan tidak dapat menghubunginya tidak bermakna tiada waris lain yang boleh membantu. Seksyen 73(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 boleh digunakan. Seksyen ini memberi Mahkamah kuasa untuk memerintahkan seseorang yang bertanggungjawab di bawah Hukum Syarak, membayar nafkah anak-anak puan.

Mereka adalah bapa saudara atau datuk dari keluarga bapa. Ini adalah kerana menurut Hukum Syarak, sememangnya terdapat seorang yang bertanggungjawab ke atas nafkah anak-anak. Ini juga adalah berkaitan dengan pemberian bahagian yang lebih besar kepada kaum lelaki dalam pembahagian harta. Oleh itu puan boleh memohon dengan alasan bahawa bapa kini tidak mampu untuk menyara anak dan oleh itu waris adalah bertanggungjawab.

Permohonan ini tidak bermakna bahawa puan tidak mampu untuk menjaga anak puan. Perkara ini adalah merupakan satu tanggungjawab yang harus dipikul oleh bapa dan jika dia enggan, waris harus menjalankan tanggungjawab tersebut. Sememangnya melecehkan dan mungkin mengambil masa untuk menuntut hak bagi pihak anak tetapi jika ia tidak dituntut anak hak anak tidak akan terlaksana.

Demi memastikan hak anak-anak puan terpelihara, dinasihatkan supaya puan membuat permohonan ini di Mahkamah dengan segera.

Panel Peguam

Sisters in Islam

BEKAS SUAMI LEPAS TANGAN

Soalan:

Saya telah bercerai pada tahun 2000 melalui cerai taklik setelah bekas suami tidak pernah hadir ke mahkamah sepanjang perbicaraan. Kemudian, beliau telah berpindah ke Australia sebelum selesai proses perceraian lagi.

Mahkamah telah memutuskan bahawa beliau perlu membayar nafkah anak sebanyak RM200 sebulan, mut’ah RM500 dan nafkah edah RM900. Namun, sehinggalah sekarang ini, saya tak pernah menerima apa jua pemberian daripada beliau. Saya pernah membuat pertanyaan tentang hal ini kepada Mahkamah Syariah melalui e-mel namun jawapan yang diberikan ialah kes sebegini di luar bidang kuasa Mahkamah kerana Mahkamah kita tiada perundangan untuk menuntut nafkah dari pihak yang berada di luar Negara. Jadi, dengan ini, bekas suami saya bebas sepenuhnya daripada tanggungan.

Terus-terang saya katakan memang saya tak perlukan bantuan dia, namun saya cuma mahu dia bertanggungjawab ke atas anak kami. Malah, perintah telah pun dikeluarkan oleh Mahkamah. Takkanlah dia senang-senang terlepas begitu sahaja?

Nur Atiqah,
Kuala Lumpur

Jawapan:

Undang-undang sememangnya telah memperuntukkan bahawa seorang bapa itu bertanggungjawab untuk menyara anaknya. Perintah Mahkamah yang dikeluarkan terhadap suami puan adalah bukti bahawa tanggungjawab ini tidak boleh dipandang ringan.

Tindakan suami puan yang melarikan diri ke luar negara menunjukkan bahawa dia tidak mahu bertanggungjawab sebagai seorang bapa dan juga dia memandang rendah dengan perintah yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah.

Tidak ada peruntukan dalam Akta Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 bagi melaksanakan perintah pembayaran nafkah edah dan nafkah anak bagi bekas suami yang berada di luar negara. Ini bermakna, Mahkamah Syariah sememangnya tidak mempunyai bidang kuasa terhadap bekas suami puan yang kini berada di Australia.

Namun begitu, ini tidak bermakna perintah pembayaran nafkah edah dan nafkah anak tersebut tidak dapat dilaksanakan terhadap suami puan di Australia mengikut prosedur guaman sivil.

Perintah pembayaran tersebut boleh dilaksanakan mengikut Akta Perintah Nafkah (Kemudahan bagi Penguatkuasaan) 1949 dibaca bersama dengan Akta Perempuan Bersuami dan Anak-Anak (Menguatkuasakan Nafkah) 1968.

Seksyen 4 Akta Perintah Nafkah (Kemudahan bagi Penguatkuasaan) 1949 memperuntukkan bahawa: “Bila mana Mahkamah tempatan telah memutuskan perintah nafkah terhadap seseorang, dan ianya dibuktikan bahawa dianya tinggal di negara-negara salingan, Mahkamah akan menghantar satu perintah tersebut yang disahkan kepada Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal-ehwal luar negeri untuk dihantar kepada pihak berkuasa berkenaan di negara-negara salingan."

Mengikut Akta tersebut, Australia adalah salah satu Negara salingan. Namun, Akta tersebut mendefinisikan Mahkamah tempatan sebagai Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Majistret yang mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan guaman berkenaan nafkah isteri atau anak. Dalam kes puan, Mahkamah yang memutuskan perintah nafkah tersebut adalah Mahkamah Syariah dan bukannya Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Majistret.

Oleh itu, puan haruslah terlebih dahulu mendapatkan perintah daripada Mahkamah Majistret sebelum membuat permohonan bagi penguatkuasaan perintah nafkah di Australia.

Puan bolehlah memohon kepada Mahkamah Majistret untuk mendapatkan perintah-perintah yang diperuntukkan di dalam Akta Perempuan Bersuami dan Anak-Anak (Menguatkuasakan Nafkah) 1968.

Panel Peguam

Sisters in Islam

KELIRU NAFKAH ANAK ANGKAT

Soalan:

Saya memelihara seorang anak lelaki yang kini berumur tiga tahun sejak dia masih bayi. Dia adalah anak sepupu saya yang tidak dapat menjaga bayi tersebut sebab masalah tertentu. Anak itu telah menjadi sebahagian daripada keluarga saya walaupun saya masih belum mengambilnya sebagai anak angkat yang sah. Siapa yang bertanggungjawab ke atas nafkah anak ini? Memanglah selama ini saya yang menanggungnya tetapi saya cuma ingin pastikan tanggungjawab bapa sebenar anak ini. 

Bahari Barto
Kuala Lumpur

Jawapan:

Seorang anak itu lahir ke dunia dengan hak dan tanggungjawab. Salah satu hak penting yang diperuntukkan adalah hak untuk menerima nafkah.

Menurut hukum syarak tanggungjawab memberi nafkah kepada anak ini terbeban ke atas ayah. Sekiranya tiada ayah, maka adalah menjadi tanggungjawab waris memberi nafkah anak ini.

Ini jelas dinyatakan dalam surah al-Baqarah ayat 223: Janganlah menjadikan seorang ibu itu menderita kerana anaknya dan (jangan juga) menjadikan seorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan tersebut.

Seksyen 72(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan kewajipan menanggung nafkah anaknya. Manakala seksyen 72(2) mempertanggungjawabkan mereka yang bertanggungan di bawah hukum syarak menanggung nafkah anak yang kematian ayah atau ayah menghilangkan diri.

Walaupun begitu terdapat beberapa kes yang mana beban menanggung nafkah dipertanggungjawabkan kepada orang lain, selain daripada ayahnya atau saudara-maranya.

Seksyen 78(1) Akta menyatakan:
jika seseorang lelaki telah menerima seseorang kanak-kanak yang bukan anaknya sebagai seorang ahli keluarganya, maka adalah menjadi kewajipannya menanggung nafkah kanak-kanak itu semasa dia masih seorang kanak-kanak, setakat mana bapa dan ibu kanak-kanak itu tidak berbuat demikian.

Oleh yang demikian, jelas di sini bahawa saudara, sebagai penjaga, yang telahpun menganggap anak itu sebagai sebahagian ahli keluarga adalah bertanggungjawab atas nafkahnya.

Namu begitu, saudara tidak lagi bertanggungjawab memberi nafkah sekiranya anak itu di bawa pergi oleh ayah atau ibu kandungnya.

Perlu diingatkan bahawa tanggungjawab seorang ayah tidak lupus hanya kerana ada orang lain yang dipertanggungjawabkan ke atas nafkah anaknya.

Seksyen 78(3) memberi hak kepada saudara untuk menuntut kembali jumlah wang yang dibelanjakan untuk nafkah anak tersebut. Nafkah tersebut boleh dianggap sebagai hutang dan saudara boleh menuntutnya kemudian hari.

Panel peguam

Sisters in Islam

ANAK PEREMPUAN BERHAK MEWARISI KESEMUA HARTA

Soalan:

Salam SIS, saya dan suami ada kemusykilan mengenai waris kepada harta-harta kami. Kami dianugerahkan tiga orang anak perempuan dan tidak mempunyai anak lelaki. Persoalannya, bolehkah kami mewariskan atau mewasiatkan kesemua harta kami kepada anak-anak perempuan kami tanpa mewariskan kepada mana-mana waris lelaki keluarga kami? Kami juga ingin memastikan bahawa tiada pencanggahan dalam Hukum Faraid terhadap pembahagian yang bakal dilaksanakan. Kami berharap SIS dapat membantu.

Ibubapa Prihatin
Melaka

Jawapan:

Perundangan Islam kaya dalam tatacara pembahagian harta. Pembahagian harta bergantung kepada cara dan peraturan pembahagiaannya dan berlandaskan Hukum Syara’ dan undang-undang. Antara cara yang boleh dilakukan adalah hibah atau hadiah, sedekah, wasiat dan pembahagian secara faraid.

Terdapat perbezaan pembahagian harta ketika puan dan suami masih hidup dan setelah meninggal dunia. Pembahagian harta ketika puan dan suami masih hidup boleh dilakukan melalui pemberian hibah (pemindahan hakmilikan) dan mewasiatkan harta tersebut.

Manakala pembahagian harta selepas meninggal dunia atau pembahagian harta pusaka dilakukan secara faraid apabila tuan punya harta tidak membahagikan harta semasa hayatnya. Perlu dinyatakan bahawa faraid tidak akan terpakai sekiranya si mati, sebelum kematiannya, telah memindahkan harta bendanya kepada orang lain.

Jika puan dan suami ingin melaksanakan pemberian harta secara hibah, terdapat rukun yang harus dipenuhi. Rukun-rukun ini adalah lafaz ijab daripada pemberi hibah dan qabul daripada penerima hibah. Perlu juga ada ketentuan mengenai harta yang mahu dihibahkan. Untuk makluman puan dan suami, hibah perlu dilakukan semasa puan dan suami masih hidup.

Pemberian harta secara hibah dinyatakan di dalam kitab Jannatul Taalbin, juzuk ketiga pada muka surat 168 telah diberi pengertian hibah seperti berikut:

Hibah bererti memberi milik sesuatu barang yang mana mengikut kebiasaannya barang itu sah untuk dijual, atau diberi hutang kepada seseorang oleh ahli tabarru’ (orang yang suka membuat kebajikan) dengan tidak ada barang tukaran.

Maka, puan dan suami boleh membahagikan harta-harta secara hibah dengan melakukan pemindahan hakmilikan harta-harta tersebut. Pemindahan hakmilikan adalah berdasarkan syarat dan prosedur yang telah ditetapkan oleh undang-undang di Malaysia. Contohnya, jika puan dan suami ingin memindah milik tanah kepada anak, pemindahan tersebut mestilah berdasarkan Kanun Tanah Negara.

Manakala pemberian harta secara wasiat adalah berlandaslan kepada empat rukun wasiat iaitu al musi (orang yang berwasiat), al-muso lahu (orang yang diwasiatkan), al-muso bihi (barang yang diwasiatkan) dan sighah iaitu ijab dan qabul. Wasiat adalah suatu peluang yang diberikan oleh Allah SWT kepada umat Islam untuk meluaskan pembahagian harta pusaka yang mereka tinggalkan kepada orang-orang yang selain daripada orang yang ditentukan oleh Al-Quran dan Sunnah sebagai ahli waris atau kepada pihak-pihak tertentu yang pada pendapat mereka baik diberikan sebahagian harta mereka.

Di dalam isu pemberian wasiat, menurut pandangan ulama-ulama Sunni, terdapat 2 syarat yang perlu diikuti iaitu, syarat pertama ialah  harta yang diwasiatkan tidak boleh melebihi 1/3 dari jumlah harta si mati. Ini adalah berdasarkan pendapat ulama Sunni yang mendasarkan kesimpulan mereka daripada hadith Rasulullah s.a.w (diriwayatkan oleh Sunan Abu Dawud) yang telah menghadkan wasiat kepada satu pertiga.

Manakala syarat kedua adalah merujuk kepada wasiat harta tidak boleh diwariskan kepada waris yang telah tersenarai di dalam hukum faraid. Peraturan asas wasiat, ia hanya boleh diberikan kepada bukan waris. Anak adalah ahli waris, oleh itu merujuk nas, tidak boleh membuat wasiat kepada anak berkenaan. Riwayat Abu Daud, Rasulullah SAW bersabda bermaksud, Sesungguhnya Allah mengurniakan hak kepada setiap yang berhak. Tidak harus wasiat untuk pewaris.

Merujuk kepada soalan yang diajukan, puan dan suami ingin mewasiatkan semua harta kepada anak-anak perempuan kerana tiada anak lelaki. Merujuk kepada nas dan pendapat utama mazhab Syafie, wasiat sebegini hukumnya harus, tetapi tidak boleh dilaksanakan kecuali selepas mendapat persetujuan waris lain.

Hanya dengan persetujuan waris lain barulah wasiat itu boleh dilaksanakan. Perlu dinyatakan bahawa waris lain merujuk kepada ibu bapa, abang atau adik lelaki di mana mereka berhak melalui hukum faraid mendapat bahagian melalui pusaka puan dan suami. Maka, sama ada puan dan suami membuat wasiat semua harta atau 1/3 saja kepada anak perempuan saja, hukum asalnya sama seperti pendapat utama mazhab Syafie iaitu mendapat pesetujuan ahli waris lain seperti yang dinyatakan di atas.

Kesimpulannya, puan dan suami boleh mewariskan kesemua harta tersebut kepada anak-anak perempuan melalui hibah dengan pemindahan hakmilik harta-harta tersebut semasa puan dan suami masih hidup. Manakala, pemberian harta secara wasiat kepada anak-anak perempuan boleh dilakukan jika mendapat persetujuan daripada ahli waris yang lain.

Di harap penjelasan dan informasi yang diberikan dapat membantu puan dan suami. Untuk makluman lanjut puan dan suami boleh menghubungi secara terus melalui alamat dan website yang dinyatakan di bawah.

Panel Peguam

Sisters in Islam

X