Hadhanah

AYAH MAHU BUKTIKAN DIA LEBIH BERHAK

Soalan:

Selalunya apabila berlaku perceraian, hak penjagaan akan diberikan kepada ibu. Bagaimanapun, bagaimanakah seorang ayah boleh membuktikan bahawa dia lebih berhak untuk menjaga anak-anaknya berbanding dengan ibu mereka?

Apakah bukti-bukti yang boleh diterima di Mahkamah untuk membuktikan bahawa ayah lebih berhak daripada ibu dalam menjaga anak? Adakah anak-anak boleh diberi pilihan sama ada untuk tinggal bersama ayah atau ibu? Buat masa ini walaupun anak-anak tinggal bersama ayah dan ibu tetapi hampir semua tanggungjawab menjaga anak dan menguruskan rumahtangga termasuk membuat kerja rumah dilakukan oleh ayah. Adakah itu boleh membuktikan seorang ayah itu lebih berhak terhadap anaknya jika berlaku perceraian?

Antoe Hashim,
Kuala Lumpur

Jawapan:

Untuk membentuk keperibadian dan sahsiah anak-anak, adalah penting agar anak-anak mendapat perhatian daripada kedua-dua ibu dan bapa, walaupun mereka telah berpisah.

Hadhanah dilihat sebagai hak ibu bapa terhadap jagaan anak atau hak anak terhadap asuhan dan didikan yang baik. Ahli fuqaha bersetuju bahawa untuk menentukan hak ini, kebajikan anak itu merupakan perkara utama dan penting yang harus dipertimbangkan.

Para fuqaha sebenarnya lebih memberatkan seorang perempuan seperti ibu atau nenek diberikan hak hadhanah daripada lelaki. Ini berdasarkan kepada hadith Rasulullah yang diriwayatkan dalam Sunan Abu Dawud di mana Baginda bersabda kepada seorang perempuan yang diceraikan bahawa dialah yang lebih berhak kepada anaknya selama dia belum berkahwin lagi.

Malah, jika kita merujuk kepada seksyen 81(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 yang menyatakan bahawa ibu adalah orang yang paling berhak bagi menjaga anak kecilnya, tidak kira sama ada ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan.

Hak seorang ibu ke atas anaknya adalah melebihi hak bapa dalam hadhanah. Oleh sebab itulah dalam seksyen 86(3) Akta menyatakan bahawa adalah untuk kebaikan seorang kanak-kanak dalam masa dia kecil supaya berada bersama ibunya dan anggapan ini memberikan perhatian kepada tidak baiknya mengacau kehidupan seseorang kanak-kanak dengan bertukar-tukar jagaan.

Bagaimanapun, keputusan Mahkamah bergantung kepada fakta sesuatu kes dan boleh berubah melihat kepada keadaan yang menjurus kepada kebajikan dan kepentingan anak.
Apabila mencapai umur yang tertentu, anak-anak boleh membuat pilihannya sendiri sama ada untuk tinggal bersama ibu atau bapa. Seksyen 84 Akta menyatakan apabila kanak-kanak itu sudah mencapai umur kecerdikan (mumayiz), Mahkamah akan mengambil kira pandangan anak itu dalam membuat pilihannya.

Sikap saudara yang mengambil berat dan menjalankan hampir kesemua kerja-kerja rumahtangga mungkin boleh dilihat sebagai faktor menyumbang kepada sikap keprihatinan saudara terhadap kebajikan dan kepentingan anak.

Namun harus diingat, seperti yang telah dinyatakan, anak-anak juga berhak menyuarakan pendapat mereka jika Hakim berpendapat bahawa anak-anak sudah bijak dan cerdik memikirkan apa yang baik dan buruk untuk diri mereka.

Walaupun perpisahan terjadi, namun anak-anak masih berhak dan memerlukan kasih-sayang daripada kedua-dua orang tua mereka.

Panel Peguam

Sisters in Islam

BEKAS SUAMI LARANG KAHWIN BARU

Soalan:

Saya sudah bercerai dua tahun lepas. Saya dan bekas suami ada seorang anak perempuan berumur lima tahun. Mahkamah Syariah beri hak penjagaan anak kepada saya. Kini, saya bercadang untuk mendirikan rumahtangga sekali lagi. Malangnya bekas suami menunjukkan rasa tidak suka terhadap niat saya itu. Malah dia mengugut akan memohon hak penjagaan anak jika saya berkahwin lagi. Adakah hak penjagaan saya akan luput jika saya berkahwin lagi?

Ava Mikhail
Kuala Lumpur.

Jawapan:

Hak penjagaan anak tidak ada kaitan dengan perkahwinan baru ibu atau ayah. Kepentingan dan kebajikan anaklah yang akan dititikberatkan oleh mahkamah apabila menentukan hak penjagaan ini.

Salah faham berkenaan perkahwinan baru ini timbul kerana seksyen 83 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 ada menyatakan tentang perkahwinan baru yang akan memberi kesan kepada hak penjagaan.

Seksyen tersebut sebenarnya menyatakan bahawa sekiranya ibu berkahwin dengan orang lain dan menyebabkan kebajikan anaknya terjejas, maka hak penjagaan akan hilang.

Oleh itu, yang menjadi perkara utama ialah kepentingan dan kebajikan anak itu. Alasan perkahwinan baru semata-mata tidak boleh digunakan untuk menarik balik hak penjagaan.

Bekas suami haruslah membuktikan bahawa puan:

(a) menjejaskan kebajikan anak;
(b) berkelakuan buruk;
(c) berpindah kerana ingin menghalang bekas suami menjaga anak;
(d) telah keluar daripada Islam;
(e) menganiaya anak;

barulah bekas suami akan berjaya mendapat hak penjagaan anak.

Dalam kes Kamaruddin lawan Rosnah (1987), mahkamah syariah berkeputusan bahawa keutamaan akan diberikan kepada kesejahteraan anak tersebut.

Ini juga bersamaan dengan pandangan Ibnu Syed Sabiq dalam kitabnya Fiqh As-Sunnah Juz 8 halaman 219 yang menyatakan bahawa Sesungguhnya setiap penjaga dan anak jagaan masing-masing mempunyai hak. Akan tetapi hak anak dan kemaslahan anak lebih penting dari hak penjaganya.
Puan boleh berkahwin semula dan niat baik itu tidak seharusnya dihalang. Puan boleh membuktikan kepada mahkamah bahawa perkahwinan tersebut tidak akan menjejaskan kehidupan anak puan.

Panel peguam

Sisters in Islam

BENARKAH IBU HANYA DAPAT HAK JAGA ANAK PEREMPUAN

Soalan:
Suami mengatakan hak penjagaan anak lelaki tunggal yang berusia 3 tahun akan diberi kepadanya sekiranya kami bercerai kerana ibu hanya akan mendapat hak penjagaan untuk anak perempuan. Adakah saya tetap tidak boleh mendapat hak penjagaan anak biarpun pendapatan saya lebih daripada cukup untuk menyara kami dua beranak?

Inas Ahmad Khidir,
Ujong Pasir, Melaka.

Jawapan:

Hak terhadap penjagaan anak sering kali menjadi persoalan apabila perceraian timbul. Perlulah diingat bahawa dalam memberikan hak penjagaan ini, perkara yang paling penting ialah kepentingan dan kebajikan anak itu. Ini merupakan hak anak, bukannya hak ibubapa.

Kami dapat rasakan bahawa puan keliru dengan apa yang diperkatakan oleh suami puan. Oleh itu, adalah penting di sini kita rujuk kepada apa yang diperkatakan dalam perundangan Islam.

Rasulullah SAW selalu menekankan bahawa ibu lebih berhak mendapat hak penjagaan ke atas anaknya. Pengorbanan ibu itu amat mulia apabila dia mempertaruhkan nyawanya sendiri bagi meneruskan zuriat kaumnya.

Ini dapat dilihat melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar yang berbunyi seperti berikut:

“Bahawasanya seseorang perempuan telah datang menemui Rasulullah SAW, bahawa anakku ini, perutkulah kandungannya, susukulah minumannya dan ribaankulah rumahnya tetapi bapanya telah menceraikan aku dan hendak merampas anak itu daripada aku". Selepas mendengar aduan itu Rasulullah SAW bersabda, “Engkaulah yang lebih berhak menjaga anak itu selagi engkau belum berkahwin lain." (Riwayat Abu Dawud)

Berhubung soalan puan, selagi mana anak itu masih kecil dan belum mencapai umur mumayyiz, puan sebagai ibu lebih berhak memelihara dan membesarkannya. Ini termaktub dalam Seksyen 82 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002 yang menyebut:

“ibu adalah yang paling berhak daripada segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan."

Dalam kes Zawiyah lwn Ruslan (1980 JLD 1, 2 J.H) Yang Arif Khadi Besar Pulau Pinang Haji Harussani bin Haji Zakaria memutuskan anak-anak yang belum mumayyiz diserah kepada ibunya berdasarkan hujah Kitab Kifayah Al-Akhyar Juzu’ 2 halaman 93 yang berbunyi seperti berikut:

“Apabila mencerai seorang lelaki akan isterinya dan ia mempunyai anak dengan isteri itu maka si isteri berhak memelihara anak itu sehingga anak itu berumur 7 tahun (mumayyiz)."

Namun demikian, ada syarat-syarat yang ditetapkan oleh undang-undang untuk menentukan sama ada seseorang itu layak mendapat hak penjagaan. Syarat-syarat ini bertujuan supaya kebajikan dan kepentingan anak terjamin.

Syarat-syarat kelayakan tersebut disenaraikan dalam Seksyen 83 Enakmen yang sama, iaitu:

(a) dia seorang Islam;

(b) dia sempurna akal;

(c) dia berumur yang melayakkan dia memberikan kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang diperlukan oleh kanak-kanak itu;

(d) dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah; dan

(e) dia tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.

Seperti yang dapat kita lihat, undang-undang tidak menetapkan bahawa seorang ibu hanya boleh menjaga anak perempuannya sahaja. Apa yang dinyatakan oleh suami puan tidak benar sama sekali. Jelaslah di sini puan tidak perlu risau dengan kata-kata suami puan.

Sama ada puan bekerja atau tidak, itu tidak akan memberi kesan kepada hak puan untuk memohon hak hadhanah. Perlulah ditekankan di sini bahawa, walaupun hak hadhanah diberikan kepada ibu, bapa masih lagi bertanggungjawab memberi nafkah kepada anaknya.

Panel Peguam

Sisters in Islam

BEZA HAK PENJAGAAN DAN HADHANAH

Soalan:

Saya sedang dalam proses untuk mendapatkan hak penjagaan anak saya yang berumur lima tahun. Tuntutan saya ini tidak dipersetujui oleh bekas suami dan kami akan menghadapi perbicaraan tidak lama lagi. Saya telah diberitahu bahawa terdapat perbezaan di antara hak penjagaan dan hadhanah. Adakah ini benar? Apakah hak seorang penjaga dan hak seorang ibu yang menerima hak penjagaan. Adakah ini berbeza?

Maimunah Syuaib

Jawapan:

Perbezaan tentang hak penjagaan dan hadhanah ini berlaku kerana ahli fuqaha membahagikan hak dan tanggungjawab terhadap kebajikan anak-anak ini kepada hadhanah dan hak penjagaan.

Hadhanah dilihat sebagai hak ibu bapa terhadap jagaan anak atau hak anak terhadap asuhan dan didikan yang baik. Para fuqaha bersetuju bahawa untuk menentukan hak ini, kebajikan anak itu merupakan perkara utama dan penting yang harus dipertimbangkan.

Para fuqaha juga bersetuju bahawa hadhanah lebih sesuai diberikan kepada perempuan daripada lelaki, seperti ibu atau nenek. Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Sunan Abu Dawud di mana Baginda bersabda kepada seorang perempuan yang diceraikan bahawa dialah yang lebih berhak kepada anaknya selama dia belum berkahwin lagi.

Manakala hak penjagaan ini merujuk kepada hak untuk mewakili. Ia di ambil dari perkataan arab ‘waliya’. Ini memberikan hak kepada salah seorang ibu atau bapa untuk membuat keputusan bagi pihak atau mewakili anaknya sama ada dalam perkara berkaitan dengan anak itu sendiri ataupun hartanya.

Ahli fuqaha berpendapat bapa lebih sesuai diberikan hak penjagaan. Namun mereka juga menyatakan bahawa hak ini bukanlah hak yang mutlak. Oleh itu, walaupun bapa telah diberikan hak penjagaan, hak ini bukanlah hanya kepada bapa semata-mata.

Dari segi perundangan di Malaysia, bapa merupakan penjaga hakiki yang pertama dan utama bagi diri dan harta anaknya yang belum dewasa. Ini dapat dilihat dalam peruntukan seksyen 89(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003. Ini memberi maksud bahawa bapa mempunyai hak untuk membuat apa-apa keputusan yang melibatkan anak dan hartanya sebelum dia mencapai umur dewasa.

Antara hal-hal yang memerlukan kata putus daripada bapa ialah seperti hal pendaftaran kad pengenalan, pertukaran sekolah anak-anak, permohonan pasport. Hak penjaga ini adalah hak eksklusif seorang bapa. Ibu hanya boleh menjadi penjaga jika bapa telah melantiknya melalui wasiat ataupun terdapat perintah Mahkamah yang menyatakan bahawa ibu adalah penjaga anak itu.

Hak seorang ibu ke atas anaknya adalah melebihi hak bapa dalam hadhanah. Ini dinyatakan dengan jelas di bawah Seksyen 82(1) Enakmen, yang antara lain menyebut bahawa ibu adalah orang yang paling berhak dari segala orang bagi menjaga anaknya dalam masa ibunya masih dalam perkahwinan (belum bercerai) dan juga selepas perkahwinan dibubarkan (setelah bercerai). Dalam menentukan hak penjagaan ini, apa yang akan dilihat oleh Mahkamah ialah umur anak, karektor ibubapa dan yang paling penting ialah kebajikan anak itu. Seksyen 87(2) Enakmen menekankan tentang kebajikan anak.

Oleh sebab itu dalam seksyen 87(3) menyatakan bahawa adalah untuk kebaikan seorang kanak-kanak dalam masa dia kecil supaya berada bersama ibunya. Namun bagi anak yang telah mencapai umur mummayyiz, apabila Mahkamah merasakan bahawa dia bijak untuk memutuskan apa yang terbaik untuk dirinya, Mahkamah akan mengambil kira pandangannya.

Puan boleh memohon satu permohonan interim di Mahkamah Syariah. Ia bermaksud perintah hak penjagaan sementara dan akan berkuat kuasa sebelum perintah penjagaan diberi sepenuhnya. Permohonan ini adalah menurut seksyen 197 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Selangor) 2003.

Oleh itu, anak akan bersama dengan puan sehinggalah keputusan muktamad diberikan oleh Mahkamah.

Panel Peguam

Sisters in Islam

HAK PENJAGAAN INTERIM

Soalan:

Saya telah bercerai dengan suami saya. Kami mempunyai tiga orang anak, dua lelaki (dua belas dan lima belas tahun) dan seorang perempuan (tujuh tahun). Saya kini menunggu tarikh perbicaraan untuk menuntut hak penjagaan anak-anak. Sekarang ini mereka tinggal bersama saya dan ibu saya. Masalahnya sekarang, bekas suami selalu membawa anak-anak dari rumah saya tanpa mengira waktu dan tempat. Kadang-kala dia mengambil mereka dari sekolah tanpa memberitahu saya terlebih dahulu sehinggakan saya menjadi terlalu runsing. Bagaimana saya nak atasi masalah ini? Bukannya saya tak mahu beri anak-anak berjumpa ayah mereka, tetapi saya mengharapkan bekas suami saya memahami keadaan saya.

Adeen Malik
Perak

Jawapan:

Memanglah sepatutnya jika salah seorang ibu atau ayah ingin mengambil anak-anak keluar untuk seketika waktu, perlu memberitahu pihak yang satu lagi. Ini untuk mengelakkan perselisihan faham dan juga atas alasan keselamatan. Ibu atau ayah yang tidak diberitahu ke mana dan di mana anaknya berada tentu berasa risau, lebih-lebih lagi dengan kes-kes penculikan kanak-kanak yang kerap berlaku.

Puan sebagai ibu sepatutnya dimaklumkan mengenai tindakan bekas suami. Tujuannya bukanlah untuk menghalang hak ayah melawat anak-anaknya tetapi sebagai menghormati hak ibu yang perlu diberitahu ke mana dan di mana anak-anaknya.

Untuk mengelakkan perselisihan faham daripada berlanjutan, sementara menunggu perintah hak penjagaan yang kekal, puan boleh suatu membuat permohonan hak penjagaan interim di Mahkamah Syariah yang berdekatan dengan tempat tinggal puan. Perintah interim bermaksud perintah sementara dan akan berkuatkuasa sebelum perintah hak penjagaan di beri sepenuhnya.

Antara sebab yang puan boleh kemukakan untuk permohonan interim ini adalah seperti keengganan bekas suami puan memberitahu bila dan di mana dia membawa anak-anak dan juga dikhuatiri bekas suami membawa lari anak-anak buat selama-lamanya.

Puan boleh juga memberikan hak lawatan kepada ayah anak-anak puan. Ini menunjukkan bahawa puan tidak berniat untuk menghalang anak-anak berjumpa ayah mereka. Sikap puan mengakui kepentingan kehadiran ayah mereka dalam hidup anak-anak seharusnya dipuji. Sememangnya anak-anak yang sihat tumbesarannya memerlukan kehadiran ibu dan ayah dalam kehidupan mereka.

Apabila menentukan hak penjagaan anak-anak, mahkamah tentunya melihat kepada kepentingan dan kebajikan anak-anak itu. Malah, dalam kes-kes tertentu, mahkamah mengambil kira pendapat anak-anak tentang hak penjagaan. Oleh itu, bolehlah dikatakan bahawa hak penjagaan ini sebenarnya merupakan hak anak itu sendiri, bukannya hak ibu dan ayah.

Bagi anak-anak yang sudah mencapai umur kecerdikan (mumaiyiz), undang-undang memberikannya hak untuk memilih sama ada mahu tinggal bersama ibu atau ayahnya. Dalam kes puan ini, kami berpendapat bahawa anak-anak lelaki puan akan diminta oleh mahkamah memberi pandangan mereka dalam perbicaraan hak penjagaan nanti.

Bagi anak perempuan pula, mahkamah selalunya berpendapat bahawa ibu lebih sesuai menjaga anak yang masih kecil. Oleh itu, jika puan dapat membuktikan kepada mahkamah bahawa puan boleh menjaga kepentingan dan kebajikan anak perempuan dengan baik, kemungkinan besar puan akan mendapat hak penjagaan.

Anak-anak pada zaman kini lebih matang daripada umur mereka. Ibubapa yang bercerai seharusnya menghormati pendapat mereka, lebih-lebih lagi dalam hal yang berkaitan dengan hak mereka.

Panel peguam

Sisters in Islam

IBU LAYAK DAPAT HAK PENJAGAAN

Soalan:

SIS, suami saya baru meninggal dunia dan kini, keluarga sebelah suami ingin mendapatkan hak penjagaan anak dengan alasan pendapatan bulanan saya tidak cukup untuk menampung perbelanjaan anak saya apatah lagi dia merupakan cucu tunggal. Apakah yang boleh menyebabkan seorang ibu hilang hak penjagaan anaknya? Saya tidak sanggup berpisah dengan anak saya yang kini berusia 2 tahun.

Zara Sofea,
Damansara Perdana

Jawapan:

Kasih sayang ibu terhadap anaknya memang tidak dapat dinafikan. Seorang ibu sanggup melakukan apa sahaja demi kebahagiaan anaknya. Perundangan keluarga Islam telah menetapkan bahawa ibu adalah yang paling berhak berbanding segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan. Ini terkandung dalam seksyen 81 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984. 

Kita boleh merujuk kepada Surah Al-Baqarah pada ayat 233. Ayat tersebut menyatakan bahawa ..dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya.

Walaupun ibu dianggap sebagai yang paling berkelayakan, namun seksyen 82 menyatakan bahawa seorang ibu itu haruslah:
(a) seorang Islam;
(b) sempurna akal;
(c) dia berkelayakan untuk memberi kanak-kanak tersebut kasih sayang yang diperlukan oleh kanak-kanak tersebut;
(d) berkelakuan baik; dan
(e) mempunyai kediaman yang tidak akan membahayakan kanak-kanak tersebut.

Sekiranya ibu gagal memenuhi syarat tersebut, maka hak penjagaan berkemungkinan beralih kepada orang lain. Seksyen 83 Akta pula telah menggariskan situasi di mana hak seorang ibu terhadap hak penjagaan anaknya boleh hilang. Menurut seksyen tersebut, hak seseorang perempuan terhadap hadanah hilang sekiranya:

(a) perempuan itu berkahwin dengan seorang lelaki yang menjadi bukan muhrim kepada kanak-kanak itu
(b) perempuan itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka
(c) perempuan itu berpindah dengan tujuan untuk mencegah bapa kanak-kanak itu dari menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak itu, kecuali bahawa seseorang isteri yang bercerai boleh mengambil anaknya sendiri ke tempat lahir isteri itu
(d) perempuan itu murtad
(e) perempuan itu mencuaikan atau menganiaya kanak-kanak itu

Perlu dinyatakan bahawa walaupun (a) berlaku, situasi di mana ibu telah berkahwin lain tidak boleh dijadikan alasan semata-mata. Ia haruslah dibuktikan bahwa perkahwinan tersebut akan mengganggu anak tersebut.

Berkenaan dengan perebutan hak penjagaan anak antara puan dan keluarga mertua, Seksyen 81(2) menyatakan bahawa apabila ibu telah hilang kelayakannya atau tidak mampu untuk menjaga anak itu, maka hak hadhanah akan berpindah kepada salah seorang yang berikut, mengikut susunan keutamaan yang berikut, iaitu:-

(a) nenek sebelah ibu hingga ke atas peringkatnya;
(b) bapa;
(c) nenek sebelah bapa hingga ke atas peringkatnya;
(d) kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
(e) kakak atau adik perempuan seibu;
(f) kakak atau adik perempuan sebapa;
(g) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
(h) anak perempuan dari kakak atau adik seibu;
(i) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan sebapa;
(j) emak saudara sebelah ibu;
(k) emak saudara sebelah bapa;
(l) waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai asabah atau residuari.

Di sini jelas menunjukkan bahawa hak puan dan ibu puan terhadap cucunya adalah lebih kuat berbanding dengan keluarga sebelah arwah suami puan. Memandangkan anak puan adalah cucu tunggal dalam keluarga arwah suami, perbincangan antara kedua belah pihak adalah jalan yang terbaik untuk menyelesaikan perkara ini. Hak penjagaan tetap jatuh kepada puan tetapi keluarga mertua boleh datang melawat cucu mereka pada bila-bila masa.

Manakala dari segi pembayaran nafkah anak pula, seksyen 72 (2) menyatakan adalah menjadi kewajipan seseorang yang bertanggungan di bawah hukum syarak, supaya menangung nafkah atau memberi sumbangan kepada nafkah kanak-kanak jika bapa kanak-kanak itu telah mati. Ini bermaksud keluarga sebelah arwah suami puan mempunyai tanggungjawab untuk memberi nafkah kepada anak dan membantu meringankan beban setelah kematian suami. Jadi puan boleh menuntut hak-hak anak puan dari keluarga arwah suami seperti perbelanjaan harian dan perbelanjaan persekolahan sehingga anak tersebut boleh menanggung dirinya sendiri.

Panel Peguam

Sisters in Islam

IBU MAHU HAK HADHANAH

Soalan:

Assalamualaikum,

Saya ingin meminta bantuan bagi mendapatkan hak penjagaan terhadap anak saya. Saya telah bercerai pada tahun 2006. Anak saya, lelaki, sekarang berumur 10 tahun. Saya masih menjaganya sehingga sekarang. Bapanya akan berjumpa dengan anak saya sekali-sekala dan tiada apa-apa masalah di situ. Malangnya, baru-baru ini bekas suami saya mahu anak saya tinggal dengan neneknya (ibu bekas suami saya) dan bersekolah di sana sehingga dia mengambil UPSR.

Dia telah memaksa anak saya membuat pilihan, dan anak saya sekarang sungguh tertekan. Untuk pengetahuan, saya bekerja sebagai akauntan di syarikat swasta. Saya mampu menanggung anak saya, memberikan rumah, pakaian, pelajaran dll. Bekas suami saya hanya memberikan RM300 sebulan dan sejak 3 bulan lepas hanya RM 150 sebulan, tetapi saya tidak menuntut apa-apa dari dia. Dia juga duduk menyewa dengan rakan-rakannya dan telah beberapa kali bertukar kerja.

Sekiranya pihak bekas suami mendesak untuk mengambil anak saya, saya mahu menuntut hak penjagaan rasmi. Apakah yang harus saya buat?

Terima kasih.

Puan Su
Bukit Cerakah

Jawapan:

Terima kasih kerana sudi merujuk masalah puan kepada kami di SIS. Di sini, kami berharap agar penerangan kami akan dapat membantu puan dalam membuat sebarang keputusan. Isu utama yang puan utarakan ialah hak penjagaan dan nafkah anak.

Hak Penjagaan anak atau hadhanah adalah menjaga, mengasuh, mendidik anak-anak yang masih kecil sama lelaki atau perempuan yang belum mumaiyiz. Skop penjagaan anak ini adalah termasuk menyediakan sesuatu yang menjadi kebaikannya, menjaganya dari sesuatu yang menyakiti dan merosakkannya, mendidik jasmani, rohani dan akalnya.

Ibu kanak-kanak itu berhak menjaga sama ada dalam masa masih suami isteri atau selepas penceraian. Merujuk kepada amalan Akta atau Enakmen Undang-undang Keluarga Islam di negara ini, secara amnya hak penjagaan anak yang belum mumaiyyiz diserahkan kepada ibunya.

Sehubungan dengan ini, seksyen 82 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Selangor), 2003  memperuntukan bahawa, tertakluk kepada Seksyen 83, ibu adalah yang paling berhak dari segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan. Peruntukan ini sama juga telah diperuntukan dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam bagi Negeri-negeri di Malaysia.

Dalam situasi puan pada masa sekarang, tidak dinafikan bahawa puan telah memenuhi syarat-syarat kelayakan untuk menjalankan hak terhadap hadhanah berbanding dengan bekas suami puan yang masih belum mempunyai kedudukan yang stabil dari segi kewangan.

Perkara seperti keadaan emosi anak iaitu sama ada akan terganggu jika tinggal berasingan dengan ibu atau bapa, persekolahan dan faktor umur akan dipertimbangkan oleh Mahkamah. Ini kerana, sudah menjadi lumrah bahawa anak yang masih kecil memerlukan perhatian daripada ibunya lebih daripada bapanya. Jadi, sedikit sebanyak faktor ini juga akan mempengaruhi keputusan Mahkamah.

Dalam menentukan hak penjagaan anak ini, ada beberapa perkara yang akan diteliti oleh Mahkamah. Ia akan meneliti karektor ibu dan bapa, sama ada akan memberi pengaruh yang buruk ataupun tidak kepada pembentukan peribadi anak. Tetapi perkara utama yang akan diteliti oleh Mahkamah ialah kebajikan anak itu sendiri. Ini ditekankan dalam seksyen 87 Enakmen tersebut yang menyatakan bahawa dalam membuat perintah tentang hak penjagaan anak, pertimbangan yang utama adalah kebajikan anak itu.

Puan boleh membuat permohonan hadhanah di Mahkamah Tinggi Syariah melalui Notis Permohonan dan Affidavit Sokongan merujuk kepada Enakmen Tatacara MAL (Negeri Selangor) 2003.

Permohonan puan haruslah didaftarkan di mahkamah tersebut untuk tindakan selanjutnya. Adalah dinasihati agar melantik seorang peguam syarie untuk membantu puan agar permohonan akan berjalan dengan lancar.

Sebarang pertanyaan lanjut, puan boleh menghubungi pihak kami atau Pusat Bantuan Guaman yang beralamat di:
Pusat Bantuan Guaman Negeri Selangor
Tingkat 6, Plaza Perangsang Persiaran Perbandaran
40000 Shah Alam Selangor.
T: 03-55106192/55106298
F: 03-55190846

Panel peguam

Sisters in Islam

ISTERI DIUGUT LEPASKAN HAK ANAK

Soalan:

Saya pernah bekerja sebagai Pegawai Perhubungan Pelanggan (GRO) kerana kesempitan wang. Masa itu, saya baru diceraikan dan bekas suami tidak mahu memberi nafkah. Mahkamah juga enggan membantu saya mendapat nafkah daripada bekas suami. Saya berhenti menjadi GRO apabila berkahwin lagi.

Setelah melahirkan anak, suami kedua pula ceraikan saya. Dia juga mengugut agar saya tidak menuntut apa-apa daripadanya, walau nafkah anak sekalipun. Jika tidak, dia akan menuntut hak penjagaan ke atas kedua-dua anak saya. Katanya, mahkamah tidak akan memberi hak penjagaan kepada saya kerana saya pernah bekerja sebagai GRO. Adakah saya akan hilang hak penjagaan anak atas sebab ini?

Khairul Bariyah,
Pulau Pinang.

Jawapan:

Perkara yang paling menyedihkan bagi seorang ibu pastinya jika dia terpaksa berpisah dengan anaknya. Biarpun hubungan dengan suami terlerai, pertalian darah dengan anak tetap kekal utuh.

Perundangan keluarga Islam menetapkan ibu sebagai orang yang paling berhak menjaga anak kecilnya, baik semasa perkahwinan mahupun selepas bercerai. Ini termaktub dalam seksyen 82(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004.

Namun, seksyen 83 Enakmen yang sama ada menggariskan syarat yang perlu dipenuhi sebelum seseorang boleh mendapat hak penjagaan anak, iaitu:

*Dia seorang Islam;

*Dia sempurna akal;

*Dia boleh memberi kasih sayang yang diperlukan oleh kanak-kanak itu;

*Dia berkelakuan baik dari segi akhlak; dan

*Dia tinggal di kawasan yang tidak akan membahayakan kanak-kanak itu dari segi akhlak atau jasmani.

Melihat kepada soalan puan, perenggan (d) perlu diambil perhatian. Mahkamah akan mengambil kira sama ada orang yang akan mendapat hak penjagaan berkelakuan baik atau tidak kerana ini amat penting dalam menjamin perkembangan peribadi anak itu.

Sekiranya bekas suami cuba mengungkit pekerjaan lama puan sebagai sebab tidak layak menjaga anak-anak, puan boleh mengemukakan bukti yang puan telah berubah serta tidak akan mengulangi melakukan pekerjaan tersebut. Mahkamah akan menimbangkan dengan seadil-adilnya jika puan menghuraikan dengan jujur dan terperinci alasan puan bekerja sebagai GRO dulu.

Jika bekas suami berjaya membuktikan bahawa puan tidak memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan, hak penjagaan anak akan berpindah kepada orang lain menurut susunan keutamaan yang disenaraikan dalam seksyen 82(2) Enakmen.

Menurut peruntukan undang-undang ini, nenek sebelah ibu kanak-kanak itu adalah orang yang akan mendapat hak penjagaan sekiranya ibu tidak layak. Hanya setelah nenek sebelah ibu juga tidak memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan, barulah sampai giliran bekas suami puan mendapat hak penjagaan anak.

Bekas suami puan sebenarnya tidak boleh menggunakan alasan sebegini untuk menidakkan hak puan sebagai isteri yang diceraikan. Sisters In Islam menyarankan agar puan tetap menuntut hak di mahkamah syariah.

Panel Peguam

Sisters in Islam

WANITA MUALAF LAYAK TUNTUT HAK PENJAGAAN ANAK

Soalan:

Saya seorang gadis berdarah Portugis yang telah memeluk agama Islam yang mulia ini semasa menuntut di universiti. Beberapa tahun kemudiannya, Allah SWT menemukan saya dengan seorang lelaki Muslim. Perasaan kasih yang luhur telah terjalin di antara kami berdua dan berakhir di jinjang pelamin. Kebahagiaan kami memuncak dengan kelahiran cahayamata lelaki yang kini berusia 6 tahun. Sayang sekali, harapkan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengahari. Setelah sekian lama mendirikan rumahtangga, saya berkeputusan untuk bercerai dengan suami kerana tidak dapat menerima kehadiran ‘orang ketiga’. Masalahnya, saya bimbang tentang apa yang akan terjadi kepada anak lelaki saya. Adakah seorang mualaf seperti saya berhak mendapat hak penjagaan ke atas anaknya apabila dia bercerai dengan suaminya?

Azmaria Abdullah,
Kuala Lumpur

Jawapan:
Seperti yang kita sedia maklum, Surah an-Nisa 4:3 memberikan kebenaran kepada seorang lelaki untuk berkahwin lebih dari satu dengan syarat dia mesti berlaku adil terhadap isteri-isterinya. Ayat yang sama turut menegaskan bahawa lelaki tersebut tidak boleh mengamalkan poligami sekiranya dia takut tidak dapat melayan isteri-isterinya dengan saksama. Dengan yang demikian, dia dapat mengelak daripada berbuat aniaya ke atas wanita-wanita yang dikahwininya.

Malangnya, kebanyakan orang memilih untuk membaca ayat di atas setakat mana ia membenarkan perkahwinan poligami, yakni hanya bahagian pertama ayat tersebut tanpa mengambilkira bahagian kedua yang menggariskan syarat yang dikenakan ke atas seorang suami yang ingin hidup berpoligami. Golongan ini juga tidak memperdulikan bahawa ayat di atas sepatutnya dibaca dengan ayat 129 surah yang sama. Ayat kedua ini jelas menyatakan bahawa seorang lelaki yang ingin berpoligami sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isterinya walaupun dia sangat ingin berbuat demikian. Dengan kata lain, lelaki tersebut hampir pasti tidak dapat memenuhi syarat yang membolehkan dia mengamalkan poligami. Atas sebab ini, adalah jauh lebih baik bagi lelaki itu agar kekal berkahwin dengan seorang isteri sahaja supaya dia tidak menganiaya dan menyakiti isterinya.

Isu berkaitan ketidakmampuan seorang suami yang mengamalkan perkahwinan poligami untuk berlaku adil terhadap isteri-isterinya adalah sesuatu yang perlu diambil perhatian umum. Ini kerana, seperti puan sendiri, terdapat begitu ramai wanita yang menderita akibat diduakan (mahupun ditigakan atau diempatkan) oleh suami tercinta apatah lagi jika perkahwinan itu sudah sekian lama wujud. Ramai antara wanita-wanita ini memilih untuk mendiamkan diri dan menelan segala kepahitan yang dialami hari demi hari. Namun, ada juga antara mereka yang memilih jalan keluar yakni dengan memohon perceraian atau pembubaran perkahwinan kerana sudah tidak sanggup berkongsi kasih sayang suami seperti apa yang puan ingin lakukan kini.

Seringkali kita terbaca kisah yang menyedihkan akan pelbagai dilema yang dihadapi oleh seorang isteri yang mahu berpisah dengan suaminya. Tambah memedihkan lagi jika perceraian ini terjadi berikutan kehendak suami yang memilih untuk berpoligami seperti suami puan. Tidak cukup dengan itu, masyarakat umum biasanya menyalahkan isteri apabila suaminya mahu mengamalkan poligami. Antara tuduhan yang lazim dibuat ke atas isteri malang itu termasuklah: isteri itu yang tidak pandai melayan suaminya, isteri itu tidak rajin berhias dan isteri itu tidak taat akan kehendak dan kemahuan suaminya. Biarpun berdepan dengan pelbagai kesukaran baik dalam menghadapi pandangan sinis masyarakat (dan kadangkala ahli keluarga sendiri) mahupun dari segi kewangan dan sebagainya, perkara utama yang pasti merisaukan isteri tersebut adalah nasib yang bakal menimpa anaknya akibat daripada perceraian itu, apatah lagi jika anak itu masih kecil.

Menurut Hukum Syara’, hak penjagaan anak (hadhanah) bermaksud ‘membesarkan anak dengan memberikannya makanan, pakaian dan perlindungan baik dari segi fizikal mahupun mental sehingga dia membesar dan boleh menjaga dirinya sendiri’. Memandangkan hadhanah berhubungkait dengan penjagaan anak sejak bayi lagi, adalah dipercayai bahawa proses ini tidak boleh berlaku tanpa sentuhan kasih sayang ibunya atau wanita lain yang merupakan muhrimnya. Ia tanggungjawab yang wajib dipenuhi oleh sesiapa jua yang mendapat hadhanah ke atas anak tersebut. Ini kerana, sebarang kealpaan dalam membesarkan anak itu boleh mendatangkan kemudharatan kepadanya.

Berhubung soalan puan, tidak terdapat sebarang peruntukan dalam ajaran Islam mahupun undang-undang syariah yang menyatakan bahawa seorang mualaf tidak boleh mendapat hadhanah ke atas anaknya. Apa yang dipentingkan dalam menentukan siapa yang akan menjaga kanak-kanak itu adalah sama ada orang yang bakal mendapat hadhanah itu adalah orang Islam atau bukan. Menurut Mazhab Shafii, orang bukan Islam tidak boleh mendapat hadhanah ke atas kanak-kanak Muslim. Ini juga merupakan undang-undang syariah bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di mana puan menetap, yakni di bawah seksyen 82 (a) Akta Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984. Peruntukan undang-undang ini menggariskan bahawa salah satu syarat bagi seseorang untuk mendapat hadhanah adalah dia mesti seorang Muslim.

Oleh yang demikian, puan tidak perlu bimbang bahawa status puan sebagai seorang mualaf akan menjadi penghalang bagi puan mendapat hadhanah ke atas anak lelaki puan. Ketahuilah bahawa seksyen 81 (1) akta yang disebut di atas turut menyatakan bahawa, melainkan adanya sebab-sebab tertentu, ibu dianggap paling berhak mendapat hak penjagaan ke atas anak yang masih kecil.

Akhir kata, puan sebagai seorang ibu sepatutnya diberi pujian dan penghormatan kerana cukup mengambil berat akan kebajikan dan masa depan anak puan biarpun puan sendiri kini perlu berdepan dengan cabaran yang menggugat jiwa. Semoga anak puan membesar sebagai orang yang berguna apabila dia dewasa kelak. Insyaallah.

Panel peguam

Sisters in Islam

TIDAK SANGGUP BERPISAH DENGAN ANAK

Soalan:
Suami saya telah mendapat hak penjagaan sementara anak kami yang berumur 7 tahun. Kami masih lagi dalam proses perbicaraan perceraian.

Beliau kini mendapat arahan untuk berpindah ke luar negara oleh majikannya. Saya tahu memang dia tidak boleh untuk menolak arahan tersebut kerana ia juga merupakan satu kenaikan pangkat tetapi bagaimana dengan hak saya? Saya juga perlukan anak saya. Tidak saya termampu untuk melawat anak saya di Australia setiap bulan ataupun tiga kali setahun. Saya cuma seorang kerani yang bergaji kecil. Saya juga mahu berjumpa dengan anak saya. Saya amat buntu kini.

Amina Daud
Taman Mega, Kuala Lumpur

Jawapan:
Perkara yang paling menyedihkan bagi seorang ibu ialah apabila terpaksa berpisah dengan anaknya. Namun, sebagai seorang ibu, pertalian darah antara puan dan anak masih kukuh walaupun hubungan antara puan dan suami telah berakhir, `air dicincang tak akan putus.’ Kesempitan wang tidak seharusnya dijadikan sebab untuk memutuskan hubungan anak beranak.

Dalam surah al-Baqarah ayat 233 Allah telah berfirman; Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya dan janganlah juga menjadikan seseorang bapa itu menderita kerana anaknya.

Dalam keadaan puan kini, undang-undang ada memperuntukkan bahawa mahkamah boleh mengeluarkan perintah untuk menahan seseorang daripada membawa anak ke luar negara. Ini disediakan dalam seksyen 105 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Oleh itu, puan boleh membuat permohonan untuk mendapatkan perintah penahanan ini dengan menyatakan bahawa jika anak dibenarkan mengikut bapanya ke luar negara, maka puan tidak akan berpeluang untuk berjumpa dengannya lagi. Puan boleh memberi bukti terhadap ketidakmampuan puan untuk menziarahi anak sekiranya anak tersebut mengikut bapa berpindah ke luar negara.

Seksyen ini selanjutnya menyatakan bahawa selain daripada mahkamah mempunyai kuasa untuk menghalang anak dibawa keluar dari Malaysia, ia juga boleh membenarkan anak itu dibawa keluar dari Malaysia sama ada tanpa syarat atau tertakluk kepada apa-apa syarat atau akujanji yang difikirkan patut oleh Mahkamah.

Ini bermaksud, selain mencegah langsung suami puan membawa anak ke Australia, puan boleh meletakkan syarat-syarat yang difikirkan sesuai kepada suami jika dia ingin juga membawa anak mengikutnya ke luar negara. Contohnya, puan boleh meletakkan syarat bahawa puan dibenarkan untuk melawat anak sekali dalam masa sebulan. Suami puan boleh memberi janji kepada mahkamah untuk menghantar anak pulang ke Malaysia pada masa yang ditetapkan atau suami boleh bersetuju untuk menanggung semua atau sebahagian perbelanjaan perjalanan puan ke Australia untuk melihat anak. Perkara ini perlu dibincangkan bersama suami agar permuafakatan dapat diperolehi. Apa lagi kerana ini adalah bagi kebaikan anak bersama.

Kami nasihatkan juga puan dan suami berbincang tentang hak lawatan semasa musim cuti persekolahan dan cuti hari perayaan. Ini bagi mengelakkan berlaku perebutan anak.

Untuk menyokong permohonan puan ini, puan boleh mengambil khidmat seorang psikiatri kanak-kanak atau seorang yang pakar dalam hal kanak-kanak, sama ada dari kerajaan atau swasta. Beliau boleh memberi pendapat kepada mahkamah dan terpulang kepada kebijaksanaan mahkamah sama ada untuk mengikut atau tidak mengikut pandangan tersebut. Perkara ini telah diperuntukkan oleh seksyen 104 Akta.

Jika Mahkamah mengeluarkan satu perintah berkenaan dengan hal ini, maka puan dan suami wajib untuk mematuhinya. Seksyen 105(3) Akta menyatakan bahawa Kemungkiran mematuhi sesuatu perintah yang dibuat di bawah seksyen ini boleh dikenakan hukuman sebagai suatu penghinaan terhadap Mahkamah.

Panel Peguam

Sisters in Islam

PERMOHONAN EX-PARTE DALAM KES HADHANAH UNTUK KEPENTINGAN ANAK-ANAK

Soalan:

SIS, saya mempunyai dua orang anak yang masih kecil. Anak lelaki saya berumur lima tahun dan anak kedua saya berumur tiga tahun. Suami telah menceraikan saya dan perbicaraan mengenai kes kami masih belum selesai. Untuk pengetahuan SIS, suami saya adalah warganegara Yeman. Apa yang menyedihkan saya, suami mengugut untuk mengambil anak-anak saya dan ingin membawa anak-anak ke luar negara. Suami juga berkeras mahu mengambil anak-anak selama tempoh kes kami dijalankan. Apakah yang perlu saya lakukan untuk mendapat hak penjagaan terhadap anak-anak saya? Saya buntu.

Ummi Farissa
Ampang

Jawapan:

Islam amat mengambil berat tentang penjagaan anak-anak atau hadhanah kerana pendidikan dan pembentukan sahsiah anak-anak itu perlu diberi perhatian oleh penjaga mereka. Secara amnya, apabila berlaku penceraian di antara suami dan isteri dan jika anak mereka belum lagi pandai memenuhi keperluan mereka sendiri atau belum mumaiyiz, maka ibulah yang paling layak mendapat hak penjagaan anak tersebut.

Hadis riwayat Abu Daud yang bermaksud:
Seorang perempuan berkata, Ya Rasulullah! Sesungguhnya ini adalah anak lelakiku, perutku ini yang mengandungnya, dadaku ini yang menyusuinya dan ribaku ini tempat dia berlingkar. Bapanya telah menceraikan aku dan menyangka dirinya berhak merampasnya dariku. Maka Rasulullah s.a.w berkata, Kamu adalah lebih baik berhak ke atasnya (penjagaan anak) selama mana kamu tidak berkahwin lain.

Adalah disarankan bahawa puan memohon kepada mahkamah untuk satu permohonan hak jagaan sementara secara ex-parte sehingga kes hak jagaan anak kekal diputuskan di mahkamah. Permohonan ex-parte dalam kes hak jagaan anak atau hadhanah adalah apabila pihak pemohon membuat suatu permohonan di mahkamah Syariah secara sebelah pihak tanpa perlu menyampaikan notis permohonan kepada pihak yang satu lagi (responden) untuk mendapatkan hak penjagaan anak. Setelah mahkamah berpuas hati dengan keterangan dan permohonan yang difailkan oleh pemohon, mahkamah akan mengeluarkan perintah ex-parte.

Antara perkara yang perlu diambil perhatian ialah keadaan atau faktor yang membolehkan hadhanah dipohon secara ex-parte. Antara keadaan yang membolehkan permohonan ini adalah ditakuti anak boleh dilarikan ke luar negara. Seterusnya, keadaan yang menunjukkan bahawa ibu atau bapa anak tersebut murtad. Selain itu, jika ibu atau bapa anak tersebut rosak akhlaknya juga membolehkan permohonan perintah hadhanah secara ex-parte dilaksanakan. Perlu diingatkan bahawa perkara yang dititikberatkan oleh mahkamah ialah kebajikan dan kepentingan masa depan anak-anak tersebut.

Terdapat syarat-syarat dalam permohonan hadhanah secara ex-parte yang perlu dipertimbangkan oleh mahkamah. Puan perlu membuktikan kepada mahkamah bahawa permohonan itu dipohon disebabkan keadaan puan yang terdesak. Mahkamah akan melihat jika pemohon mengambil tindakan melalui proses biasa, haknya akan terjejas disebabkan faktor masa atau prosedur lain.

Selain itu, puan perlu menyegerakan permohonan ex-parte dan mengelakkan sebarang penangguhan. Perlu diingatkan bahawa perintah ex-parte ini adalah bersifat sementara. Pihak responden diberi hak untuk mengenepikan atau mengubahsuaikan perintah ex-parte ini atau mana-mana bahagian darinya dalam tempoh 14 hari dari tarikh perintah tersebut diterima.

Puan juga tidak perlu bimbang mengenai hak penjagaan mutlak terhadap anak-anak tersebut. Seksyen 81(1) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan bahawa tertakluk kepada seksyen 82 Akta tersebut, hak seorang ibu ke atas anaknya adalah melebihi hak bapa dalam hadhanah. Peruntukan ini terpakai sama ada ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan. Seksyen 82 Enakmen tersebut merujuk kepada kriteria-kriteria kelayakan untuk sesuatu hak penjagaan. Kriteria-kriteria yang digariskan adalah penjaga itu seorang Islam, sempurna akalnya, kelayakan umur dan mampu memberi kasih sayang yang sewajarnya terhadap kanak-kanak tersebut dan berakhlak baik. Selain itu, peruntukan tersebut menggariskan bahawa penjaga hendaklah tinggal dikawasan yang tidak membawa pengaruh negatif terhadap anak-anak itu.

Keputusan mahkamah bergantung kepada fakta sesuatu kes. Penghakiman atau suatu perintah terhadap sesuatu kes boleh berubah melihat kepada keadaan yang menjurus kepada kebajikan dan kepentingan anak.

Diharap informasi dan maklumat di atas sedikit sebanyak dapat membantu puan dalam mendapat hak penjagaan terhadap anak-anak puan. Pihak kami mengalu-alukan sebarang pertanyaan atau kemusykilan mengenai perkara-perkara yang berkaitan.

Panel Peguam

Sisters in Islam

PERLUKAH SAYA IKUT NASIHAT PEGUAM?

Soalan:

SELEPAS melalui satu proses Mahkamah yang amat rumit dan menyusahkan, akhirnya hak penjagaan anak diberikan kepada saya. Bekas suami mendapat hak lawatan setiap hujung minggu. Pada mulanya, suami mengambil anak dari rumah dan meminta izin daripada saya untuk bawa anak bermalam di rumahnya. Saya tidak pernah membantah atas permintaannya. Dua bulan kemudian, suami tak minta daripada saya dah untuk bawa anak bermalam di rumahnya. Saya tidak kisah, sebab anak itu anak dia juga, jadi tidak mengapalah.

Sekarang suami sudah berani ambil anak di sekolah tanpa beritahu saya dan bawa anak tinggal di rumahnya seminggu baru hantar balik ke rumah saya. Saya ceritakan masalah ini kepada peguam saya. Peguam kemudian nasihatkan saya supaya jangan bagi bekas suami ambil anak. Bukankah jika saya tidak beri anak kepada bekas suami, saya akan dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana ingkar perintah mahkamah? Macam mana saya hendak tahu jika apa yang dinasihatinya ini betul atau tidak? Kawan saya kata tak boleh. Saya agak bingung kini. Bolehkah saya ikut apa yang dinasihatinya itu? Dan kalau nasihat yang diberikan tidak betul, apa yang boleh saya lakukan?

Mas Mona,
Padang Jawa, Klang

Jawapan:

Apabila satu perintah telah dikeluarkan oleh Mahkamah, semua pihak wajib untuk mematuhi setiap kata putus yang telah dimenterikan. Adalah menjadi satu kesalahan apabila tidak mematuhi dan perkara ini boleh dikenakan hukuman jika didapati bersalah.

Seksyen 229(3) Enakmen Tatacara Mal Syariah Selangor 2003 menyatakan bagi satu penghinaan yang dilakukan di luar Mahkamah, seperti melanggar perintah Mahkamah, satu permohonan yang disokong oleh affidavit hendaklah difailkan. Permohonan ini hendaklah memaklumkan kepada Mahkamah tentang penghinaan yang telah dilakukan. Mahkamah kemudiannya akan mengeluarkan satu notis tunjuk sebab kepada pihak yang telah dikatakan melanggar perintah ini. Kemudian satu perbicaraan akan dijalankan untuk menentukan penghinaan yang telah dikatakan itu.

Menurut Seksyen 229(1) Enakmen Tatacara Syariah Selangor 2004, ia menyatakan bahawa Mahkamah boleh membuat satu perintah pengkomitan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau dikenakan denda tidak melebihi dua ribu ringgit.

Melihat kepada kes puan ini, adalah nyata bahawa suami telah dengan sengaja mengingkari perintah Mahkamah.

Selain daripada dikenakan tindakan menghina mahkamah, satu perintah injuksi juga boleh dipohon.

Permohonan injunksi ini boleh dilakukan secara ex-parte dan boleh didengar dengan kadar segera oleh mahkamah, jika keadaan mendesak. Ini diperuntukkan dalam seksyen 200(3) tatacara Mal. Puan boleh menyatakan bahawa puan takut suami mengambil anak dan tidak memulakan kepada puan lagi. Tindakan suami yang berani melanggar perintah mahkamah juga boleh membantu permohonan puan ini. Dengan injunksi ini, puan boleh memaksa bekas suami mematuhi perintah mahkamah yang telah dikeluarkan apa-apa tindakan mahkamah.

Setelah perintah ini diperoleh, barulah peguam boleh menasihatkan puan agar tidak memberi anak kepada suami jika suami tidak mematuhi syarat-syarat di atas kerana terdapat satu perintah baru yang telah berkuat kuasa. Oleh itu, puan tidak akan dikenakan apa-apa tindakan mahkamah.

Selepas itu, puan hendaklah membuat permohonan kepada mahkamah untuk merubah perintah berkenaan perjanjian penjagaan. Perintah ini boleh diperoleh dalam seksyen 77 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003.

Di sini, puan boleh mengubah perjanjian hak lawatan yang telah diberikan sebelum ini. Mungkin puan boleh menghadkan hari bekas suami hanya dibenarkan melawat dengan kebenaran dan pengawasan puan sahaja, atau apa-apa syarat yang puan fikirkan sesuai.

Di Selangor, peguam-peguam syarienya adalah tertakluk kepada Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1991. Menurut kaedah ini, seorang peguam syarie boleh diambil tindakan tatatertib oleh satu Jawatankuasa Peguam Syarie.

Panel Peguam

Sisters in Islam

PENDAFTARAN ANAK DI LUAR NEGARA

Soalan:

Saya akan meneruskan pengajian di United Kingdom pada September akan datang. Masalah saya ialah saya kini sedang mengandung tiga bulan dan akan melahirkan bayi di sana nanti. Saya pula kini, atas sebab-sebab yang memang tidak boleh dielakkan, sedang dalam proses perpisahan dengan suami saya. Bagaimana saya mahu mendaftar anak saya di United Kingdom kelak? Perlukah suami atau bapa anak saya nanti ada bersama semasa membuat pendaftaran? Saya diberitahu bahawa tandatangan bapa diperlukan untuk membuat passport anak di bawah umur, adakah ini benar? Suami saya tidak akan berada di sana nanti.

Sharifah Dora,
Kuala Lumpur

Jawapan:

Untuk mendaftar anak di luar Negara, puan perlulah ke Kedutaan Malaysia di London yang beralamat di 45 Belgrave Square, London SW1X 8QT. Apabila di sana nanti, puan dikehendaki mengisi borang W, iaitu satu borang yang dikhaskan untuk pendaftaran kelahiran di luar Negara.

Puan hendaklah pastikan bahawa pendaftaran anak puan dibuat dalam masa setahun selepas kelahiran. Salinan sijil kelahiran dari hospital perlu disertakan. Puan juga perlu menyediakan gambar anak puan untuk pendaftaran tersebut.

Bagi memastikan kelancaran proses pendaftaran kelahiran anak, suami hendaklah hadir bersama. Tetapi, memandangkan situasi puan, kehadiran suami adalah tidak perlu. Ini kerana, berikutan dengan desakan daripada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan wanita, pada tahun 2000, Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu telah mengeluarkan satu Arahan Kementerian bahawa semua ibu dibolehkan menandatangani semua dokumen berkenaan dengan perkara-perkara yang melibatkan anaknya. Contohnya dalam hal pendaftaran dan pertukaran sekolah, pendaftaran kelahiran, pendaftaran kad pengenalan dan sebagainya.

Langkah ini amatlah wajar kerana memberikan jalan penyelesaian kepada situasi di mana bapa kepada anak tersebut tidak dapat dihubungi atau pun menghilangkan diri entah ke mana. Malah ia sebenarnya mengambil kira kebajikan anak tersebut.

Tetapi, puan hendaklah menyediakan butir-butir bapa kepada anak puan seperti salinan kad pengenalannya, alamatnya yang terkini, alamat tempat kerjanya, sijil nikah dan apa-apa maklumat yang berkaitan. Ini adalah untuk memudahkan proses pendaftaran di United Kingdom nanti.

Untuk memudahkan proses pendaftaran nanti, puan bolehlah menghubungi Kedutaan Malaysia di London melalui nombor telefon 020 79190230 atau pun menghubungi Jabatan Imigresen di Malaysia di talian 03 20955077 sebelum puan berangkat ke United Kingdom.

Panel Peguam

Sisters in Islam.

CARA AMBIL ANAK ANGKAT

Soalan:

Seorang bayi perempuan telah ditinggalkan di hadapan rumah saya. Walaupun saya masih bujang, namun saya ingin mengambilnya sebagai anak angkat. Saya percaya bayi itu satu anugerah kepada saya. Apakah langkah-langkah yang perlu saya ambil supaya bayi itu menjadi milik saya yang sah di sisi undang-undang?

Hanina Hashim,
Kuala Lumpur

Jawapan:

Di Malaysia, terdapat dua cara untuk mendapatkan anak angkat. Cara yang pertama ialah dengan secara terus daripada ibu bapa yang ingin memberikan anak mereka sebagai anak angkat. Cara yang kedua ialah melalui permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dalam kes saudari, apabila terjumpa bayi yang ditinggalkan, apa yang perlu dilakukan ialah melaporkan hal tersebut ke balai polis yang berhampiran. Seterusnya, bayi itu akan dibawa ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan.

Kemudiannya JKM akan mengambil alih dan menempatkan bayi tersebut di bawah jagaannya. Satu jangka waktu diperuntukkan untuk tuntutan daripada ibu bapa kandungnya. Jika tiada tuntutan, bayi itu akan diserahkan untuk dijadikan anak angkat.

Oleh itu, saudari perlu membuat permohonan pengambilan anak angkat melalui JKM. Faktor utama yang dipertimbangkan oleh JKM ialah kebajikan bayi tersebut. Maka, selain daripada mengisi borang permohonan, satu temu duga akan dijalankan untuk menentukan sama ada saudari mampu dan layak menjadi ibu angkat kepada bayi tersebut.

Antara perkara-perkara yang yang dipertimbangkan oleh JKM ialah latar belakang sosial pemohon serta kesanggupan pemohon menjadi keluarga angkat. Ini kerana pertimbangan utama ialah kebajikan anak itu. Selain itu, syarat-syarat dalam Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991 dan Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 juga perlu dipenuhi.

Antara syarat-syarat perundangan yang perlu dipenuhi ialah:

– Ibu bapa angkat mestilah sekurang-kurangnya berumur 25 tahun dan sekurang-kurangnya 18 tahun lebih tua daripada anak angkat itu;

– Anak angkat itu hendaklah di bawah umur 18 tahun;

– Ibu bapa dan anak angkat hendaklah menetap di Malaysia.

Semasa menemu bual pemohon, pegawai JKM akan cuba membuat penilaian-penilaian seperti kemampuan pemohon untuk memberi kasih sayang, jagaan dan perlindungan yang sempurna kepada anak angkat itu nanti, pemohon faham implikasi dan cabaran menjadi keluarga angkat, pemohon mampu memelihara anak itu dari segi ekonomi, kesihatan, sosial, emosi, mental dan sebagainya.

Walaupun pada kebiasaannya pemohon anak angkat ini adalah pasangan yang telah berkahwin, namun tiada halangan dalam Akta bagi seorang yang bujang untuk memohon anak angkat.

Saudari perlulah membuktikan kepada JKM bahawa walaupun saudari akan menjaga anak angkat tersebut berseorangan, tetapi saudari sanggup mengambil apa-apa langkah yang perlu bagi memastikan bahawa kebajikan bayi tersebut akan terpelihara.

Melihat kepada amalan, agak sedikit sukar bagi seorang yang masih bujang untuk mendapat anak angkat. Oleh sebab tujuan utama JKM ialah memelihara kebajikan anak angkat tersebut, maka JKM berusaha untuk memberikan institusi keluarga yang sempurna kepada anak angkat itu.

Walaupun begitu, ada beberapa kes yang mana seorang yang bujang juga diberikan peluang mengambil anak angkat. Seperti yang telah diterangkan, yang menjadi keutamaan ialah kebajikan anak tersebut.

Kami memuji niat saudari yang mulia. Asal sahaja saudari menunjukkan kejujuran hati saudari, kami merasakan bahawa semua pihak akan dapat melihatnya. Semoga berjaya.

Panel Peguam

Sisters in Islam

KELIRU HAK ANAK ANGKAT

Soalan:

Saya memelihara seorang anak lelaki yang kini berumur tiga tahun sejak dia masih bayi. Dia adalah anak sepupu saya yang tidak dapat menjaga bayi tersebut sebab masalah tertentu. Anak itu telah menjadi sebahagian daripada keluarga saya walaupun saya masih belum mengambilnya sebagai anak angkat yang sah. Siapa yang bertanggungjawab ke atas nafkah anak ini? Memanglah selama ini saya yang menanggungnya tetapi saya cuma ingin pastikan tanggungjawab bapa sebenar anak ini. 

Bahari Barto
Kuala Lumpur

Jawapan:

Seorang anak itu lahir ke dunia dengan hak dan tanggungjawab. Salah satu hak penting yang diperuntukkan adalah hak untuk menerima nafkah.

Menurut hukum syarak tanggungjawab memberi nafkah kepada anak ini terbeban ke atas ayah. Sekiranya tiada ayah, maka adalah menjadi tanggungjawab waris memberi nafkah anak ini.

Ini jelas dinyatakan dalam surah al-Baqarah ayat 223: Janganlah menjadikan seorang ibu itu menderita kerana anaknya dan (jangan juga) menjadikan seorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan tersebut.

Seksyen 72(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan kewajipan menanggung nafkah anaknya. Manakala seksyen 72(2) mempertanggungjawabkan mereka yang bertanggungan di bawah hukum syarak menanggung nafkah anak yang kematian ayah atau ayah menghilangkan diri.

Walaupun begitu terdapat beberapa kes yang mana beban menanggung nafkah dipertanggungjawabkan kepada orang lain, selain daripada ayahnya atau saudara-maranya.

Seksyen 78(1) Akta menyatakan:
jika seseorang lelaki telah menerima seseorang kanak-kanak yang bukan anaknya sebagai seorang ahli keluarganya, maka adalah menjadi kewajipannya menanggung nafkah kanak-kanak itu semasa dia masih seorang kanak-kanak, setakat mana bapa dan ibu kanak-kanak itu tidak berbuat demikian.

Oleh yang demikian, jelas di sini bahawa saudara, sebagai penjaga, yang telahpun menganggap anak itu sebagai sebahagian ahli keluarga adalah bertanggungjawab atas nafkahnya.

Namu begitu, saudara tidak lagi bertanggungjawab memberi nafkah sekiranya anak itu di bawa pergi oleh ayah atau ibu kandungnya.

Perlu diingatkan bahawa tanggungjawab seorang ayah tidak lupus hanya kerana ada orang lain yang dipertanggungjawabkan ke atas nafkah anaknya.

Seksyen 78(3) memberi hak kepada saudara untuk menuntut kembali jumlah wang yang dibelanjakan untuk nafkah anak tersebut. Nafkah tersebut boleh dianggap sebagai hutang dan saudara boleh menuntutnya kemudian hari.

Panel peguam

Sisters in Islam

X